Friday, November 9, 2012

TUKANG KEBUN OH TUKANG KEBUN.....



Bila cuci kawasan diswastakan, tukang kebun mendapat memo ke sekolah lain. Susahnya menyelenggara orang yang tiada komitmen bekerja. Suka-suka datang kerja, tak suka tak datang. Buat kerja sambil lewa, lambat-lambat dan ikut suka masa sendiri. Mandor sesekali nampak muka, pekerja tidak cukup, pekerja tua-tua, dan kalau yang muda terlalu muda. Yang paling sakit, bekerja tidak seberapa. Susahlah macam ni, kawasan 21 ekar dengan pokok bunga yang berkembang di sana sini, janganlah sampai terbiar tak terbela, janganlah kering dek tak bersiram, janganlah tenggelam dek rumput bermaharaja lela.

Dulu masa baru aku bertugas masalah juga. Masing-masing tak satu kepala, ada yang besar kepala, ada yang tak ketahuan hala. Ada yang bekerja sangat rajin dan peka, ada yang bekerja sambil lewa ikut suka. Buat kursus teambuilding tak tentu masa, asal ada masa panggil ustaz bercakap soal hati – bekerja dengan ikhlas, sungguh-sungguh, tekun dan rajin. Bekerja untuk cari rezeki yang halal, jangan curi tulang, supaya berkat dan bermanafaat. Bekerja jangan berpuak-puak, tidak akan menjadi kerja tanpa muafakat. Lama-lama sempadan semakin menipis dan sesudah itu semangat bekerjasama semakin tebal. Semua kerja dibuat bersama. Sebagai ganjaran dibawa lawatan penanda aras, semuanya dibiaya. Nampaknya hati sudah bertaut, tiada lagi syak wasangka. 

Sekian lama mereka sudah faham tugas mereka dan kehendak ketua. Kawasan mesti kemas, bersh dan lawa. Bekerja di kawasan masing-masing pada setiap masa – mesti kelihatan di mata Pengetua, mesti boleh dihubungi dengan serta merta. Keluar untuk kerja peribadi kalau boleh dielakkan masa kerja. Apatah lagi keluar tak bagi tau Pengetua, jangan bagi ada. Buat kerja jangan curi tulang sebab nak bagi makan anak isteri, nak bagi diberkati, supaya senang hati. Seboleh-bolehnya jangan ada iri hati, kerja seikhlas hati, sama-sama turut berbakti mencari rezeki. Kerjalah satu pasukan dengan muafakat, tolong menolong kepada kebaikan. Yang buruk kalau ada jangan diikut, abaikan saja kalau nasihat pun tak masuk di hati, minta doa semoga diberikan pertunjuk, semoga mudah bekerja sepasukan, semoga terpancar kebenaran.

Jadilah sekolah bersih, cantik dan mengasyikkan. Semua rasa sangat penting dan berperanan. Semua rasa sayangkan kawasan, pokok-pokok dibelai, dijaga dan diuruskan. Semua yang datang berkunjung, turut merasakan keindahan hasil titik peluh yang ditaburkan. Sekian lama sudah selesa dengan tukang kebun yang sayang kawasan, tukang kebun yang menjadi kebanggaan dan tukang kebun yang memahami tugasan, tiba-tiba mereka di tarik ke sekolah lain kerana cuci kawasan di swastakan.

Tibalah saat getir semula. Pekerja swasta tidak tahu kerja, tidak bermotivasi, kerja sambil lewa, suka datang, tak suka tak datang. Mandor ada enam sekolah untuk dipantau, ketua pekerja tak tau kerusi. Tujuan swasta untuk memudahkan sekolah boleh tumpu kerja lain kerana ramai tukang kebun menjadi masalah besar kepada Pengetua untuk mengurus kebersihan. Ini sudah terbalik bila swasta, kita pula jadi mandur kalau tidak rumput tak terbela, pokok tak terjaga, kawasan tak tau nak kata, penuh dengan sampah sarapnya. Aduh susahnya tiada tukang kebun. Sangat luar biasa. Orang lain akan kata, seronoknya tiada tukang kebun, biarlah swata, lagi senang kira. Aku pun sedang berkira-kira supaya swasta jadikan senang segalanya.

No comments:

Post a Comment