Thursday, August 15, 2019

LASBELA PSMCK KE KAMPUNG-KAMPUNG MELAYU THAILAND (1)



1. KAMPING KHLONG DIN
Bila direnung lama aku dan suami berkecimpung dalam persatuan ini (Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah - PSMCK). Sejak bersara aku menjadi ahli seumur hidup. Lama sebelum itu, masa aku masih bertugas lagi, aku sudah turut serta dalam banyak aktivitinya. Kadang-kadang mengikuti ceramah, kadang-kadang ikut suami ke mesyuarat agung, kadang-kadang pula ke jamuan hari raya. Sesekali ikut LASBELA (Lawatan Sambil Belajar) ke negara jiran Thailand dan pernah juga ke Indon. Banyak tempat di Thailand telah aku kunjungi, Saetoi Hatyai, Songkhla, Phuket, Narrathiwat, Ranong, Pulau Pingai (Sin Hai), Bangkok, Segenting Kra, Yala, Nakhorn Sithamarat dan Pattani. Selalunya lawatan kami bukan sekadar melihat-lihat tempat-tempat menarik dan indah. Tapi kami lebih terdorong mencari tempat-tempat yang berunsur sejarah yang ada kaitan dengan orang-orang Melayu.

Kami pernah berkunjung ke  Kampung Khlong Din, Narrathiwat, sebuah kampung  Melayu asal penduduknya keturunan Melayu Kedah, tawanan perang yang dibawa balik oleh Siam semasa perang Kedah Siam. Sekilas pandang melihat dari rupa paras, cara berpakaian, lenggok pertuturan, dan sopan santun dalam kehidupan, dapat   dilihat persamaan yang sangat ketara. Tambahan lagi bila disambut kami dengan jamuan tengah hari, hidangannya seperti makan di rumah sendiri, kari ikan, ikan goreng, ulam dan sambal. Cara hidangannya juga sama, hidangan diangakat pakai talam dan dihidang untuk 4 orang makan, sama seperti makan kenduri di kampung sendiri dalam tahun-tahun 60an atau 70an. Makan kenduri berhidang begitu masih diamalkan sehingga tahun 90an juga.

2. PULAU PINGAI
Begitu juga semasa berjkunjung ke Pulau Pingai di Kawasan Ranong, kami sungguh tersentuh hati. Kesesemua seratus keluarga di situ bertutur loghat melayu Kedah, sama seperti kami yang menjadi tetamu mereka. Sambutan mereka juga sama seperti kita menyambut tamu ke rumah kita. Sifat ramah tamah mereka, hidangan mereka, senda gurau mereka terasa seperti berkunjung ke rumah saudara mara di Kedah. Sungguh tersentuh di hati, masyarakat dua negara tapi budayanya sungguh hampir serupa, cuma rasanya kehidupan mereka agak  sedikit ketinggalan ke belakang, berbanding kehidupan di kampung kita di sini. Tapi selepas beberapa tahun, kunjungan kami kali kedua, sudah terasa sedikit berbeza. Kami rasakan perubahannya, generasi muda yang  masih bersekolah sudah tidak berbahasa ibunda bahasa melayu loghat Kedah. Mereka sudah tidak begitu fasih lagi berbahasa melayu. Mereka bersekolah di sekolah kerajaan, yang kebanyakan   gurunya berbahasa Thai. Kami sungguh sedih melihatkan perubahan itu. Nampaknya usaha kerajaan Thailand itu, sedikit demi sedikit telah menghakis jati diri Melayu dan  menidakkan bahasa melayu dalam halus. Begitulah liciknya Thailand menghapuskan bahasa melayu, melalui dana pendidikan yang disalurkan ke sekolah-sekolah agama kendalian orang-orang melayu di negeri-negeri Selatan Thai yang kebanyakannya berketurunan melayu jati.

3. KAMPUNG SUNGAI AIR MATA
Selain itu kami kami pernah ke Bangkok dan dibawa melawat Kampung masyarakat Melayu keturunan Kedah yang tinggal di Kampung "Sungai Air Mata". Dalam temubual dengan informan-informan, mereka memberitahu nenek moyang mereka berasal dari Kedah. Mereka adalah tawanan perang Kedah Siam, dibawa ke Bangkok dan ditempatkan  di sebuah kawasan. Di situ mereka dipaksa mengorek sungai untuk kegunaan perairan dan kegunaan harian. Memang sedih mendengar cerita sebenar berlaku kepada orang-orang melayu tawanan perang itu. Kononnya mereka hanya diberikan beras untuk bekalan makan. Yang lain ikan dikutip dari bendang dan ulam-ulaman dipetik dari kawasan tempat mereka bekerja. Untuk megorek sungai supaya lurus mereka mengukur dan menanda pacakan kayu pada waktu malam.  Berpandukan   cahaya lampu suluh mereka memacak pancang-pancang kayu, dan menarik tali sebagai penanda sebelum mengoreknya. Ramai antara mereka yang mati akibat penyakit malaria dan kekurangan makanan. Sebab itulah sungai itu dikenali Sungai Air Mata, dek kerana banyaknya air mata tercurah keluar kerana menanggung kesedihan  terpisah dengan sanak saudara dan kampung halaman di Kedah selepas menjadai tawanan perang, dan banyaknya air  mata kerana kesulitan berada di tempat orang dengan segala kesusahan, serta sedihnya yang teramat sangat apabila ramai sahabat taulan yang mati akibat penyakit. Alangkah terharunya mendengar kisah sedih itu, tapi mereka telah berjaya bangun sehingga kini mereka telah berjaya di rantauan.

Sekarang ini di sungai korek puluhan kilometer itu,  terdapat sebuah kampung masyarakat Melayu keturunan Kedah. Kampung mereka menjadi sebuah kampung contoh dan sebuah kampung yang menjadi tempat pelancongan yang mempamerkan sebuah masyarakat yang menjadi daya tarikan pelancong. Mereka terkenal dengan pengurusan masjid moden iaitu Masjid Kamalul. Koperasi masjid menguruskan sekolah agama rendah dan menengah, perusahaan ikan air tawar, kilang roti, catering masakan ikan tilapia dan menyambut pelancong.