Wednesday, September 26, 2012

TAZKIRAH PAGI 28 MEI 2012


Sudah menjadi amalan waktu cuti sekolah, akan diadakan perjumpaan pagi, untuk memberi peluang semua staff berjumpa, bertemu muka dan menyelaraskan tugas-tugas pada musim cuti. Pagi ini staf diperingatkan tentang sifat amanah dalam melaksanakan tugas. Dalam melaksanakan amanah, maka kita perlu memaksimumkan kerja pada setiap masa dan setiap hari. Elakkan membuang masa dengan keluar membeli makanan di luar sekolah. Untuk itu seeloknya kita membawa bekal ke pejabat atau atau memesan makanan kepada kawan yang boleh dibeli semasa dalam perjalanan datang pejabat waktu awal pagi. Dengan cara ini kita juga boleh menjimatkan masa, wang dan juga tenaga, supaya dapat menumpukan perhatian sepenuhnya di tempat kerja.

Perkara kedua yang dikongsi bersama ialah sifat saling hormat menghormati, dan mempunyai persefahaman dan ikatan yang erat antara satu sama lain. Salah satu cara mengeratkan hubungan sesama satff di pejabat ialah sentiasa memberi senyuman antara satu sama lain. Dengan senyuman, selain mendapat pahala kerana senyum itu satu sedekah, akan dapat menjadikan seseorang itu rasa disenangi dan dihargai. Jadi apabila semua orang merasa senang dan selesa di tempat kerja,  ini akan dapat meningkatkan produktiviti sesebuah organisasi.

Seterusnya, dikongsikan juga sebuah hadith Nabi ke arah mengeratkan hubungan di tempat kerja melalui penghayatan  sifat-sifat ahli syurga seperti berikut;
  1. Apadila berkuasa untuk bersedekah, sukalah bersedekah, ada kuasa untuk adil, akan berlaku adil, apabila berkuasa untuk melakukan kebenaran, akan berusaha ke arah melaksanakan kebenaran dan memastikan mengikut jalan kebenaran
  2. Mempunyai hati yang penyayang, dan hati yang lembut terutamanya kepada sanak saudara dan sesama manusia di tempat kerja
  3. Sentiasa menjaga, memastikan dan berusaha supaya rezeki yang dicari dalam keadaan yang halal.

Sebaliknya marilah kita sama-sama menjauhi sifat-sifat ahli neraka seperti berikut;
  1. Orang yang mengikut orang lain tanpa berfikir
  2. Orang yang suka khianat
  3. Orang yang suka berbohong dan menipu
  4. Orang yang bakhil dan kedekut
  5. Orang yang buruk perangai


Mudah-mudahan dengan berkongsi sedikit maklumat setiap pagi akan dapat mengeratkan silaturrahim sesama staff. Semoga semua staff akan terus cemerlang dan dapat meneruskan kegemilangan SMKSB sebagai sebuah organisani sesuai dengan motto Centre of Excellent, insya Allah.




Tuesday, September 25, 2012

ZIARAH KEMATIAN


Berada di kuburan yang hening dan sayu itu, terkenang aku realiti kehidupan masa kini berbanding dahulu. Dulu-dulu  masa masih kecil, masa kemajuan masih belum terasa bahang kesibukan, pernah aku mengikut emak berjaga orang sakit bermalam-malam. Setiap lepas solat maghrib, kami cepat-cepat makan, kemudian dengan menggunakan lampu suluh, kami berjalan meredah kampung ke rumah saudara yang sedang sakit tenat. Selalunya emak akan bawa makanan, bengkang atau apa-apa saja, buat hidangan kepada sanak saudara dan jiran tetangga yang turut serta meringankan beban atau memberi sokongan moral kepada keluarga yang ditimpa musibah.

Masih segar dalam ingatan sanak saudara  memenuhi ruang anjung rumah, membincangkan tentang penyakit dan juga sisakit. Kadang-kadang tok bomoh hadir untuk membuat rawatan pula. Kami yang masih kecil seolah-olah tidak memahami satu apa pun, bermain-main atau kadang-kadang baring saja di ribaan orang tua sementara masih mampu berjaga. Kini kalau ada yang sakit tempatnya di hospital, ditemani sanak saudara terdekat saja seorang dua. Itupun sekadar sebelum jam dua belas tengah malam, kerana esoknya semua orang terpaksa ke tempat kerja dan menguruskan anak-anak ke sekolah.

Oleh itu tiadalah lagi berjaga untuk  sama-sama "menjaga" saudara. Kalau yang sakit tiba masa dijemput  pulang, barulah terpaksa ambil cuti untuk ziarah kematian. Makna sebenarnya ialah menziarahi keluarga yang menghadapi kematian. Sangat suntuknya masa kita sehingga kita hanya mampu pulang bersama keluarga apabila sudah berlaku kematian. Kadang-kadang kita sempat jumpa saudara yang meninggal, tapi selalunya kita cuma sempat memberi pernghormatan terakhir sebelum dikuburkan. Alangkah..... alangkah baiknya jika kita masih mampu mempunyai sedikit masa untuk sama-sama memberi perhatian, dan sama memberi sokongan moral, semasa anggota keluarga masih belum kembali ke rahmatullah, seperti dulu-dulu.......

Tuesday, September 18, 2012

TELAN PAHIT


Makan-makan semasa meraikan teman-teman yang akan bersara, menyajikan kami dengan pelbagai topik menarik. Seorang rakan bertanyakan kami tentang "telan pahit". Kami sabar menantikan jawapannya, kerana masing-masing enggan menjawab. Kononnya dia dapat istilah ini semasa kursus motivasi suatu masa dulu. Katanya lagi semasa soalan itu ditanya, ramai juga yang memberi jawapan, telan ubat, kerana tidak pernah didengar ada ubat yang manis, kecuali ubat kanak-kanak. Pakar motivasi itu pun memberi tahu jawapan itu betul. Tapi yang lebih betul ialah, dalam menjalani kehidupan kita, kita akan berhadapan dengan situasi "telan pahit" ini, terutamanya dalam pengurusan organisasi.

Contohnya dalam kehidupan seorang pelajar, kita mesti belajar, mesti siapkan kerja rumah, mesti ke sekolah ikut masa dan peraturan dan mesti ulangkaji untuk lulus periksa. Semua itu adalah kerja-kerja yang bukan mudah, tapi kerja yang susah, walau bagaimanapun, terpaksa dilakukan juga. Maka itulah yang dikatakan "telan pahit". Contoh lain seperti kehidupan berkeluarga, yang juga merupakan suatu pengalaman yang sinonim dengan istilah di atas. Sebagai ketua keluarga kita terpaksa bekerja keras dan  membanting tulang untuk memesarkan anak-anak. Di samping itu kita perlu mendidik anak-anak supaya menjadi manusia yang berguna, dan berjaya dalam pelajaran dan berjaya juga di akhirat. Ini tidak termasuk lagi menyediakan perbelanjaan makan minum, wang tuisyen, keperluan asas dan lain-lain lagi. Semuanya itu amat sukar tapi mesti dilaksanakan juga, ditelan juga walaupun pahit.........

Thursday, September 13, 2012

KURUNG AYAM


Lama sudah tidak makan di luar. Sejak akhir-akhir ini memang sangat ketat jadual harian dari pagi hinggalah  ke petang. Oleh kerana alang tidak 'on-call' malam ini, maka kami makan di luar kerana meraikannya yang selalu juga sibuk.Restoran D'dapor Ibu sungguh nyaman dalam keadaan hujan turun tidak henti-henti sejak dari pagi. Kami pesan makanan, ikan siakap goreng halia, sup tulang, udang celup tepung dan sayur cendawan, sungguh menyelerakan kerana cuaca yang sejuk nyaman menjadikan kita terasa lapar dan teringin hendak makan.  Seperti biasa sejak akhir-akhir ini, alang memang banyak benda yang nak diceritakan, sambil kami menuggu makanan siap masak dihidang.

Tiba-tiba perhatian kami berubah sebentar. Papa tanya kami, nama  bagi benda yang menjadi hiasan di dinding restoran itu. Alang bagi tau papa benda itu bubu. Mama pun kata bubu, dan papa ketawa, sebelum papa beritahu kami, benda itu sebenarnya bukan bubu, tapi kurung ayam zaman dulu-dulu. Memang betul, baru teringat, masa kecik-kecil dulu, boleh dikatakan  setiap rumah akan ada kurung ayam di bawah rumah setiap orang, barang sebiji atau dua. Ia dibuat daripada batang buluh, dibelah-belah menjadi sebesar jari di bahagian atasnya, dan dianyam jari-jari belahan buluh, dengan bilah-bilah buluh yang diraut nipis.Bentuknya selepas siap dianyam seperti gelas berkaki.


Biasanya kurung ayam akan dipacak di sebatang kayu supaya tingginya menjadi lebih kurang setinggi dada, kemudian ia diikat di tiang rumah supaya kuat dan tidak tumbang. Di dalamnya akan diletakkan rumput-rumput kering, kemudian dilapiskan dengan jerami kering pula. Kegunaannya ialah menjadi tempat atau sarang untuk ayam bertelur, dan seterusnya menjadi tempat untuk ayam mengeramkan telur pula.Kurung ayam ini sebenarnya disediakan pada zaman dahulu, untuk mengelakkan ayam bertelur merata-rata dan juga untuk  membiakkan ayam jika telur tidak dijual atau dimakan. Di samping itu, kadang-kadang ayam digunakan juga untuk mengeramkan telur-telur itik juga. Maka jadilah ayam sebagai ibu tumpang anak-anak itik sehingga mereka, pandai berenang di air.

Begitulah unsur budaya lama dalam arus pemodenan ini menjadi semakin pupus dan ditinggalkan. Ini terjadi bukan saja dalam dunia melayu tetapi bangsa lain mengalami proses yang sama. Bezanya unsur budaya bangsa lain yang lebih maju, walau mengalami kepupusan, akan kekal dan diabadikan untuk tatapan generasi muda kerana didokumenkan, atau ditulis dan dibukukan atau dipamerkan di muzium-muzium budaya. Sama-samalah kita terus mengekalkan warisan budaya kita untuk tatapan anak-anak zaman ini.