Thursday, September 21, 2017

OYSTER FARM SUNGAI MERBOK


Sudah lama kami ingin menelusuri Sungai Mebok yang bersejarah bersama anak cucu jika mereka pulang bercuti.  Kebetulan pada hari Raya Aidil Adha yang ketiga, kami tidak ada agenda khusus, jadi kami buat keputusan untuk mencuba nasib. Jadi kami bertolak awal ke Sungai Petani, menuju ke Jeti Semeling, dengan harapan pengusaha bot beroperasi, jadi bolehlah kami menikmati perjalanan di Sungai Merbok yang sudah lama kami hajati. Hayyan dan Hannah dengan terujanya mahu mengikuti kereta tok wan dan tok. Jadi terpaksalah Aunti Ya dan Julia mengikut kereta Dedi dan Maminya bersama Hadeja dan Hawa. 

Walaupun masih awal, tapi ketibaan kami disambut kecerahan matahari  pagi yang ceria. Alangkah hampanya kami bila mendapat tahu pengusaha bot cuti raya lagi. Mereka orang kerajaan jadi masih bercuti lagi sehingga hari Isnin esoknya. Untuk menghilangkan kehampaan di hati, kami meninjau-ninjau sekita jeti itu. Pejabat Perbandaran SP kelihatan sangat unik dibangunkan di atas air dengan lanskap yang unik dan cantik. Galeri Pameran Kedah Tua juga masih ditutup. Cuma pengawal keselamatan saja yang setia menunggu di hadapan pintu galeri itu. Sambil merakamkan beberapa keping gambar kenangan kami pun membuat keputusan untuk terus pergi ke Tanjung Dawai ikut jalan darat. Hawa telah dibawa maminya naik ke kereta, sementara Hayyan masih lagi teruja mengambil gambar sana sini dengan kamera tok wannya.

Tiba-tiba kami terdengar bunyi injin bot menghampiri ke jeti. Aku terus meluru menuju ke bot yang sudah menurunkan penumpang, beberapa orang pelancong luar. Dengan pantas aku mendapat maklumat, mereka adalah pengusaha ladang oyster atau tiram berhampiran di situ. Rupanya kamu boleh menaiki bot ke situ dengan harga Rm 5.00 seorang pergi balik. Di sana kami boleh melawat perusahaan tiram dan melihat-lihat kawasan pokok-pokok bakau dengan harga RM 20 seorang dan  boleh menjamu selera  makan  tiram  segar dari ladang, berharga RM  20 satu set (3 ekor tiram dan set salad sayuran secukupnya)

Alangkah kreatifnya perusahaan mereka. Sungguh green, tapi dapat dirasakan bahawa  usaha besar itu telah memakan belanja yang agak besar. Yang menariknya mereka membuka peluang kepada sukarelawan untuk memberi perkhidmatan dalam pelbagai bentuk seperti menyumbang tenaga dan buah fikiran untuk terus membangunkan kawasan mereka.  Ada yang datang memberi perkhidmatan bertukang, seperti membuat pengubahsuaian rumah, membuat kerusi meja dan balai-balai serba guna. Ada yang datang membantu menjaga tiram, dan ada yang datang membantu menanam semula pokok-pokok bakau sebagai usaha menjaga alam sekitar. 

Satu yang menarik, mereka ada MOU dengan USM dalam usaha menternak tiram. Mereka dibantu dalam penyelidikan menambah biak, dan proses pemeliharaan tiram mengikut peringkat usia - penetasan, pembesaran, dan menuai. Bantuan lain  juga dalam pengendalian peralatan dan penyediaan tempat penternakan tiram. Tiram yang sudah cukup usia akan disajikan di Restoran bagi pengunjung-pengunjung dan juga penggemar tiram yang membuat tempahan khusus. Kami juga dapat melihat sukarelawan  membantu penyediaan tiram sebagai menu kepada pelanggan.

Sementara menunggu sajian tiram segar, kami dimaklumkan mereka juga sedang menyediakan perkhidmatan tuisyen kepada pelajar setempat. Mereka mengajar Bahasa Inggeris kepada pelajar-pelajar, di situ, dengan bantuan sukarelawan juga.  Seterusnya mereka dalam proses untuk menyediakan ruang dewan untuk seminar atau mesyuarat. Mereka perlu membuat jaring atau sangkar supaya tetamu tidak diganggu oleh monyet liar yang hidup bebas di situ. 

Sedang asyik mendengar taklimat, tak lama selepas itu kami dihidangkan air oren sejuk. Oh alangkah nikmatnya dapat minum dalam keadaan kami sedang kehausan. Dalam sekelip mata selesai air oren itu. Kemudian datanglah hidangan yang dinantikan tiram segar dari ladang bersama salad segar. Sekelip mata selesai juga. Jadi terpaksalah ditambah satu set lagi. Sungguh istimewa dan rasanya pun sedap. Kami rasa sungguh berbaloi-baloi lawatan dan aktiviti pada hari itu. Bagi sesiapa yang gemarkan nature bolehlah berkunjung ke Oyster Farm ini untuk merasakan satu pengalaman yang unik dan adventures.