Sunday, July 28, 2019

AL-FATIHAH UNTUK CIK GU ABDUL RAHMAN RAOF


Pagi kelmarin kami dikejutkan dengan berita sedih pemergian seorang teman yang banyak berjasa. Beliau seorang Pengetua yang berkarisma dan berkemahiran tinggi ketika itu. Semasa  aku baru menjawat jawatan Pengetua,  tahun 2001 beliau sudah sangat mahir menggunakan komputer dalam pengurusan. Waktu itu ramai Pengetua kurang mahir berkomputer, dalam zaman transisi pengurusan alaf baru. Masih segar dalam ingatan selalu beliau akan menerangkan tentang banyak hal berkaitan pengurusan menggunakan komputer di sekolah. Pada waktu itu, hanya beliau seorang saja yang membawa komputer riba semasa mesyuarat di PPD dan JPN. Dalam diam ramai yang ingin jadi seperti dia, ingin belajar menggunakan komputer, nampak mudah dan sungguh mengesankan. Seringkali kami diajak ke sekolahnya untuk melihat apa-apa yang perlu bagi memudahkan kerja pengurusan kami. Dia tidak pernah kedekut menyebarkan ilmu yang  bermanfaat kepada rakan sekerja, terutamanya Pengetua-Pengetua yang baru dilantik. Pendek kata dalam kebanyakan hal pengurusan di sekolah, seperti mesyuarat, peperiksaan, jadual waktu, kehadiran guru dan kehadiran pelajar, menggunakan komputer. Ilmu inilah yang dikongsikan dengan kami. Kami amat berterima kasih kepadanya.

Selain itu perawakannya juga amat disenangi oleh rakan-rakan. Dia 'happy-go-lucky' orangnya, sentiasa tersenyum dan mudah didekati dan kadang kala cukup preventive. Kadang-kadang kami sangat segan kerana ada Pengetua senior yang bila menegur kami, kami terasa malu. Cik gu Rahman akan nutralise on the spot sehingga kami rasa dihargai dan lebih selesa. Ini pengalaman yang dialami dalam satu mesyuarat dengan Pengetua-Pengetua. Jadi aku sangat terasa terhutang budi dan selesa bila cik gu Rahman akan bangun dan akan defend Pengetua-pengetua baru.

Sekarang semuanya tinggal kenangan. Tenanglah hendaknya cik gu di sana. Allah sajalah yang selayaknya memberikan balasanNya. Semoga cik gu mendapat balasan jannah insyAllah.