Saturday, January 23, 2010

AIR SUNGAI YANG JERNIH


Papa selalu usik mama, ‘ tu air sungai jernih, sampai hijau,’ dan aku selalu ketawa. Dulu-dulu memang air sungai kelihatan sangat jernih kehijauan. Air sungai itulah pada musim kemarau, kami mandi, kami guna untuk memasak, dan membasuh . Di tepi sungai telah dibina satu pelantar tempat mandi dan membasuh. Kalau tidak kami mandi dan membasuh di simen kok laluan air. Tapi yang hairannya kami tidak minum air sungai yang dikatakan jernih tu. Kami angkut air dari telaga batu di kaki bukit yang sangat jernih. Satu hari kami ambil setong air pagi dan setong waktu petang pula. Itu sudah cukup untuk bekalan air minuman sekeluarga bagi sehari. Waktu itu tiada peti ais untuk menjadikan air minum sejuk. Tapi kami masih boleh minum air yang hampir sejuk seperti air peti ais sekarang. Air minuman dari telaga batu rasanya seperti air mineral sekarang. Kami simpan air di dalam buyung tanah – rasanya memang agak sejuk.

Bukan itu saja yang aku ingat, yang lebih ingat kami kena basuh baju sekolah warna putih di telaga batu juga. Jika baju putih sekolah dibasuh di sungai warnanya tidak kelihatan putih berseri, tapi agak putih kemerahan. Masa tu aku sangat malas ke telaga batu di tepi bukit kerana agak jauh. Mengikut arahan mak aku pergi juga. Alangkah sangat mudahnya kehidupan sekarang, semuanya ada di rumah, ada dihujung jari pula tu. Alangkah nikmatnya hidup di zaman moden ini, tapi berapa orang yang mampu bersyukur?

40 TAHUN YANG LALU - SUNGAI DAN KAMI


Balik kampung menjenguk orang tua memang sangat nostalgik. Sungai masih mengalir tenang. Sawah padi tetap menghijau. Jauh berbalam-balam kelihatan bukit yang batunya kelabu dibarisi pokok-pokok yang menghijau. Masih segar dalam ingatan kehidupan remajaku dulu, sangat hampir dengan alam. Sungai menjadi tempat mandian yang sangat nyaman dan menyeronokkan. Sungai juga tempat riadhah yang sangat mengesankan. Tanpa perlu ada juru latih kami pandai berenang. Yang senior mengajar yang junior, sedikit demi sedikit, lama-lama semuanya sama-sama berpesta berenang dengan pelbagai gaya yang mengasyikkan. Jika terlalu lama berenang, akan ada orang tua yang menyuraikan semua, supaya masing-masing pulang ke rumah. Walau pun bukan anak sendiri, tapi semua akur dan tidak pernah marah, memberontak atau tidak senang hati, dan tiada pula perselisihan antara orang tua yang anak mereka ditegur. Masing-masing faham, semua orang tua perlu dihormati dan tiada siapapun, dalam apa bentukpun melawan orang tua-tua yang memberi teguran. Begitulah cantiknya norma masyarakat waktu itu, sosialisasi anak-anak menjadi tanggung jawab masyarakat, dan kami membesar dengan sihat dan penuh jati diri.

Di samping sungai, sawah juga menjadi unsur alam yang sangat mengasyikkan. Kecil-kecil diajak ke sawah membawa air untuk orang tua yang haus. Setiap musim jika orang tua ke sawah kami diberikan tanggung jawab menjadi pembawa minuman bila matahari sudah agak tinggi. Ini dilakukan dengan penuh keseronokan kerana apabila ke sawah, kanak-kanak bukan hanya membawa air minuman tapi boleh bermain serunai pada musim menuai, atau menangkap belalang pada musim menanam. Bila sudah besar, kami tidak lagi menjadi pembawa air tapi sudah boleh turun ke bendang mengatur anak semai untuk orang tua menanam. Kami bermandi selut tanpa sedikit pun berasa kotor, dan orang tua pun membiarkan saja, walaupun kami lebih banyak main daripada bekerja. Musim menuai kami memotong padi pula. Dan kadang-kadang membakar jerami kering juga. Begitulah sangat indahnya rasa tanggung jawab dan kasih sayang dipupuk di hati kami. Tidak pernah dipaksakan, ia menyemarak dan mendarah daging sehingga kami sangat menghargai jasa dan pengorbanan orang tua yang sangat kami cintai.