Monday, November 14, 2011

LAPOR DIRI


Tamat pengajian Diploma Pendidikan di UM, seperti rakan-rakan lain aku mendapat penepatan pertama di negeri Perak, bukan negeri kelahiranku. Berbanding rakan lain, ada yang kurasakan mereka amat bertuah, kerana mereka dapat kembali bekerja di kampung halaman masing-masing. Ditempatkan di sekolah SMKDS di pekan L, pelbagai perasaan timbul dalam hati kecikku. Aku memang tidak pernah mendengar nama pekan yang akan menjadi tempat aku bertugas. Dengan segala susah payah mencari maklumat dan panduan arah, dapatlah aku mendaftar pada hari yang ditetapkan, 20 Januari 1981.

Bersama rakan serumah sewa
Pertama kali menjejakkan kaki ke pejabat Pengetua di SMKDS, soalan pertama ialah untuk mendapatkan rumah sewa buat aku berteduh untuk berkhidmat di tempat yang baru dan asing tanpa seorang sanak saudara pun. Nasib aku memang baik kerana memang terdapat sebuah rumah yang boleh aku tumpang, kongsi menyewa bersama dua orang lagi teman. Alangkah sangat terharunya, kedua orang tuaku, meninggalkan aku di rumah sewa yang sangat dhaif pada fikiran mereka. Rumah papan satu bilik yang serba sederhana menjadi tempat aku berteduh di perantauan. Alangkah terasa sangat gerun mengenangkan keselamatan aku, di tempat baru dengan segala kekurangan. Apa kan dayaku, memang tiada rumah yang lebih baik untuk aku sewa. Di pekan L memang cuma ada satu saja kawasan perumahan, semuanya milik persendirian, semunya milik orang yang tinggal menetap di situ sahaja. Jadi memang amat bersyukurlah aku dapat menyewa walaupun cuma rumah kayu tinggalan seorang opah yang tidak seberapa. Lagi pun rumah itu tidak jauh, lebih kurang dua kilometer saja jaraknya dari sekolah tempat aku mengajar.

Di sinilah baktiku tercurah ........
Aku rasa amat bertuah kerana walaupun tiada pengankutan, aku menumpang kereta cik gu K untuk ke sekolah setiap hari, pergi dan balik. Kebetulan rumah sewaanku hanya bersebelahan rumahnya saja. Maka bermulalah kehidupanku di situ, sebagai guru. Bermulalah kehidupanku di sebuah pekan kecil jauh dari ayah ibu.