Saturday, May 21, 2016

SUDAH SURATAN.....


Sudah sekian lama sejak abah meninggalkan kami pada tahun 2010, yang telah kembali menemui pencipyaNya yang maha besar, maka tinggallah emak seorang diri di rumahnya yang sangatlah 'besar' untuk didiaminya sendiri-sendiri. Kami masing-masing sudah punya rumah, sudah bermastautin di tempat baru, sesuai dengan kehidupan berkeluarga dan kerjaya yang telah kami lalui sejak sekian lama. Oleh sebab emak berkeras untuk terus tinggal di rumah pusaka tinggalan abah, maka kami merestuinya, walaupun secara terpaksa. Mula-mula anak cucu yang masih bersekolah berselang-seli silih-berganti, menemani mak yang baru kehilangan abah. Selepas itu emak berjinak-jinak hidup sendiri sekejap, sementara menunggukan pembantu rumah Indon yang kami carikan. 

Seterusnya emak ditemani Yani orang Medan yang dibawa oleh agen dari sana. pembantu itu juga dalam keterpaksaannya menemani emak untuk mencari rezekinya yang dikirakan sebagai terpaksa. Malangnya cuma dua tahun saja emak bertemankan 'maid' yang bernama Yani itu. Selepas dia tidak lagi mahu terus tinggal dengan emak, maka silih- bergantilah pembantu-pembantu yang menemani emak saban malam, dengan bayaran yang dipersetujui.  Kami pun dengan senang hati dapat merasakan sedikit lega melihat kehidupan emak dengan pembantunya yang dapat meleraikan sedikit kesunyian yang dilaluinya saban hari.

Namun setiap masa dan ketika tak putus-putus kami memujuk emak untuk tinggal di rumah kami supaya hidupnya lebih bermakna, terurus dan teratur. Jawapannya tetap sama nantilah, tiba masanya dia sudah tidak boleh menguruskan dirinya, dia akan tetap bersama kami juga akhirnya. Tapi kami tetap pujuk dia, kami tak mau dia tak sihat baru nak duduk dengan kami. Biar dia duduk dengan kami semasa dia sihat barulah seronok. Apalah daya kami: semua orang tua pun begitu, tetap akan duduk di rumah mereka jua selagi ada kudrat dan upaya. 

Masapun berlalu seperti seadanya. Takdir Allah tiada siapa pun yang tahu. Tidak dapat dijangka dan tidak juga boleh diteka. Tanggal 24 April 2016, telah tertulis dan telah ditentukan Allah yang maha Esa, emak diserang 'stroke' lebih kurang jam 12.30 tengah hari, ketika sedang bersiap sedia untuk melawat cucunya yang diserang kanser dan akan dibawa balik ke KL. Maka bermula hari itu, tanpa sempat melihat cucunya hingga dia menghembuskan nafasnya, emak pun dirawat di Hospital SB seminggu. Namun pada tanggal 2 Mei dia dibenarkan pulang ke rumah, dalam keadaan emak sudah tidak boleh bergerak tangan dan kaki kirinya akibat 'stroke'.

Sungguh sedih melihat emak terlantar di katil dengan tiba-tiba. Dengan sekelip mata dia sudah tidak bermaya lagi. Dia hanya boleh bercakap. Itupun butirannya sudah banyak yang tidak tepat kerana memorinya juga terganggu. Ya Allah Engkau maha pengasih. Aku yakin, Engkau berikan kepadaku apa yang terbaik untukku walaupun kelihatan amat tidak baik dari kaca mataku yang dhaif ini. Ya Allah Aku yakin Engkau menguji hambaMu dengan apa yang tertanggung oleh hambaMu jua. Dari itu Ya Allah bantulah aku, berikanlah kekuatan kepadaku, siramkan dan bajakan sifat sabar kepadaku agar aku tabah menerima ujianMu. Bantulah aku Ya Allah, agar aku dapat menerima ujian ini dengan berlapang dada dan redha dengan segala ketentuanMu ini Ya Allah. Ya Allah padaMu kupanjatkan doa agar Kau berikan yang terbaik kepada emakku ini. Apa pun yang Engkau takdirkan aku terima Ya Allah. Ya Allah kasihanilah ibuku ini seperti mana dia mengasihani ku semasa aku masih kecil. Amin ya Robbal aalamiin.

Tuesday, May 10, 2016

NABILA..... OH NABILA


Telah lama tidak menulis di sini. Barangkali sangat sibuk dengan urusan roomstay di Langkawi. Barangkali juga sangat sibuk melayan perasaan sedih yang menimpa keluarga. Syukur alhamdulillah, Belukar Lodges telah selamat beroperasi, walaupun dengan serba kekurangan. Jadi tidak perlulah berulang-alik setiap minggu memantau kerja-kerja pembinaan dan persiapan dalaman bilik-bilik sebelum disewakan kepada pelanggan. Sesungguhnya Allah maha mengetahui, dan Allah maha mengasihani. Maha suci Allah yang telah mengaturkan segala perjalanan kehidupan dengan rapi dalam hidup ini.

Seelok selesainya urusan Belukar Lodges, maka kami berhadapan pula dengan berita sedih, ujian besar yang Allah sajikan kepada kami, Nabila semakin serius penyakit kanser lidah yang telah menyerangnya. Allah menggalakkan manusia berusaha, jadi kami telah berusaha, agar Nabila dapat menjalani pembedahan secepat mungkin, di PPUKM, kemudian menjalani rawatan susulan di Institut Kanser Negara pula. Dia juga telah memilih untuk mengikuti rawatan alternatif, telah juga diusahakan, dan dibawa balik ke Kedah atas permintaannya. Tapi Allah maha besar, Dialah yang mengaturkan segalanya. Nabila semakin kritikal, jadi dia dimasukkan ke Unit Kecemasan Hospital Sultanah Bahiyah. Tiga hari dia tidak sedarkan diri. Kemudian dengan izin Allah dia mula menampakkan perubahan, boleh bercakap dan berkomunikasi seadanya. Tapi masih dengan bantuan pernafasan dan masih dengan bantuan 'drip' untuk ubatan dan minuman. Dia kelihatan sungguh lemah menanggung kesakitan bengkak di pangkal lidahnya itu. Kami hanya mampu berdoa dan tak henti-henti berdoa, memohon dipermudahkan segala urusan kami dan urusannya jua, diampunkan segala dosa kami, dan diberi kekuatan kepada kami agar sabar dan redha dengan segala yang ditakdirkan olehNya. 

Takdir telah mengaturkan Nabila mahu dibawa ke Institut Kanser (IKN) oleh suaminya. Dengan harapan ada sesuatu yang dapat diusahakan, selain memberikan antibiotik dan ubat penahan sakit yang mampu dibuat di HS Bahiyah HSB). Berat bagi kami nak melepaskan dia dibawa ke Kuala Lumpur. Kami nampak pada adatnya dia sudah amat serius, tapi kalau untuk terus berusaha bagi membantunya, kami cuba bertenang, berlapang dada dan memujuk hati supaya redha dengan segala ketentuan yang bakal ditempuhi. 

Setelah segalanya diaturkan oleh HSB dengan IKN maka  dibawalah Nabila dengan ambulan, diiringi suaminya, seorang Doktor dan seorang Jururawat ke IKN. Perjalanan yang agak jauh menjadikan Nabila sangat letih. Dia tidak dapat bertahan lagi. Keesokan harinya Nabila sudah tidak sedarkan diri. Itulah takdir yang telah tertulis untuknya. Mendengar berita itu bonda tercinta bergegas ke IKN, dia masih boleh menganggukkan kepalanya kepada ibu kesayangan, bila mendengar bisikan ibu di telinganya.

Selepas itu Nabila diam kaku, hanya bergantung kepada alat pernafasan. Akhirnya kami semua terpaksa redha Nabila meninggalkan kami pada hari Khamis petang Jumaat 28 April 2016. Barangkali itulah yang terbaik buat Nabila, Allah maha mengetahui dan maha mengasihani. Tinggallah Dhiya Adnin, dan Amanda Azzahra dengan ayahnya. Mereka tidak faham apa-apa. Cuma kami saja yang melihat dengan sayu. Semoga Allah memberikan yang terbaik juga kepada kedua-dua anak kecil yang comel ditinggalkan ibunya, yang pergi mengadap Allah buat selama-lamanya. Semoga Allah mengampunkan segala dosanya, dan menempatkannya di kalangan orang-orang yang beriman. Amin ya Allah, amin ya Robbal aalamin.