Friday, October 29, 2010

AMSTERDAM THE SIN CITY


Lepas sarapan seawal 8.30 pagi kami sudah berada di luar Quint Hotel, menikmati udara segar lagi nyaman yang sungguh mengasyikkan. Duduk-duduk di depan hotel, dapat dirasai kesibukan, orang berpusu-pusu naik basikal ke tempat kerja. Berpakaian kemas dan cantik, dengan pelbagai jenis kot yang bagus-bagus, dengan sepatu hitam dan kasut bertumit tinggi, semuanya sungguh kelihatan seperti dalam filem klasik Inngeris. Macam-macam jenis basikal – besar, kecil, sporty, berdua, bertiga – pelbagai rupa yang tidak pernah dijumpa, dapat dilihat di sini. Bukan pergi kerja sahaja, tapi juga pergi ke sekolah dihantar ibu atau bapa, dengan basikal juga. Aduh, sungguh mengasyikkan. Mereka kelihatan sungguh sihat, segar dan bertenaga, kerana pagi-pagi lagi, sudah mulakan hidup dengan gaya hidup sihat.

Sambil menikmati udara pagi, kami melihat-lihat peta, untuk menentukan arah tujuan perjalanan kami pada hari ini. Papa memilih satu peta yang digemarinya kerana dia senang mencari lokasi dengan peta itu. Selepas membuat keputusan untuk ke beberap tempat, kami buat keputusan untuk berjalan kerana tempat pertama yang nak dituju tidak jauh antara satu dengan yang lainnya. Mula-mula kami menuju ke Flower Market – di situ dijual pelbagai jenis bunga tulip, benih bunga tulip, tulip ukiran, dan segala bentuk cenderamata untuk pengunjung.

Sukanya, memang sangat suka dikelilingi bunga pelbagai bentuk, pelbagai jenis dan pelbagai warna. Sungguh mengasyikkan, tapi aku sungguh takjub dengan kebesaran Tuhan yang menciptakan segalanya untuk dinikmati, yang memungkinkan segalanya untuk terjadi.

Sambil itu, dalam meneruskan perjalanan, papa mencari-cari kedai antik atau kedai buku supaya dia dapat merisik-risik jika ada wang lama, buku lama atau peta lama. Memang nasib papa baik kerana terjumpa sebuah kedai buku yang agak besar juga. Maka asyiklah papa memilih peta-peta lama yang memang sangat banyak dijual di kedai itu. Harganya pun taklah begitu mahal sangat – memang papa rasa sangat gembira dapat jumpa peta-peta yang memang dicari-carinya. Semasa di Portobello ada juga peta-peta yang dijumpainya, tapi harganya sangat mahal, rasa tak berbaloilah pula, jadi dia tidak membeli sangat di situ.

Selesai shopping peta, kami terus ke destinasi kedua, Pejabat VOC Holland. Kini menjadi sebahagian daripada bangunan milik Universiti Amstedam. Pejabat VOC, sebenarnya berada di banyak tempat yang menjadi cawangan-cawangannya, kerana ahli lembaga VOC terdiri daripada wakil-wakil daripada negeri-negeri kecil. Pejabat yang kami kunjungi ialah pejabat ahli lembaga VOC pusat, tempat semua wakil lembaga pengarah datang bermesyuarat untuk membuat keputusan.


Berada di pejabat itu, atau lebih tepat di kamar itu, dapatlah kami bayangkan betapa orang-orang Belanda bermesyuarat mengatur strategi perniagaan di luar negeri Belanda. Biliknya tidaklah sebesar mana, tapi pengaruh mereka sangatlah besar pada waktu itu. .Sungguh terasa mengaibkan. Cuma sebuah Syarikat perniagaan perkapalan, mereka telah dengan mudahnya, dapat menjajah suatu bangsa besar, kitalah orangnya yang dijajah itu.


Terasa sungguh kerdil, malu dan tertipu. Tapi apa nak dikata, sejarah sudah berlaku, sudah terpahat dalam sejarah bangsa kita, kita dijajah, dijajah dengan mudahnya. Pengajarannya kita tidak beleh tidah selidik, tidak mendapat maklumat tepat dan tidak berpendidikan, orang mudah tipu kita hidup-hidup. Jangan pandang rupa saja, sudah naik gerun terus ikut, tanpa usul periksa. Benggali putih dulu datang ke rantau kita, dengan badan yang besar, rupa yang menggerunkan, kelihatan sangat menyakinknan, kita pun terpesona, apa lagi terus ikut saja apa cadangan, tanpa usul periksa lagi dah. Alahai……

Lama jugalah kami melihat-lihat, cuba membayangkan keadaan mereka yang sangat kelihatan hebat waktu mereka meneroka ke alam Melayu. Semuanya sangat memedihkan lagi memilukan. Mereka dengan bangganya mempamerkan kebangganaan itu, dan kita dengan sedihnya menyaksikan sejarah hitam itu menjadi kebanggaan mareka zaman berzaman, sampai bila-bila .

Saturday, October 23, 2010

CITY TOUR AMSTERDAM

Canal cruise di Amsterdam

Maha suci Allah, Allah yang maha besar, maha agong, dengan segala ciptaannya supaya umatnya berfikir dan tau bersyukur. Allah telah takdirkan aku sampai ke kota ini, syukur padaMu ya Allah! Amsterdam memang kota yang cantik, memang kota yang klasik, dan sebuah kota yang unik. Unik kerana bandarnya penuh dengan terusan yang dibina dengan terancang untuk kemajuan dan pembangunan, sejak beratus tahun dahulu. Rumah-rumah di Amsterdam kebanyakannya menghadap ke terusan atau, membelakangkan terusan, jadi sungguh nyaman dan mengasyikkan. Bot-bot besar atau kecil, semuanya tidak bising dengan bunyi injin, dan tidak mengeluarkan asap kerana menjaga kehijauan alam sekitar.


Amsterdam Kota Basikal


Satu lagi keunikannya ialah penduduknya, rata-rata memiliki basikal sebagai kenderaan utama, atau bot yang juga menjadi kenderaan utama. Jadi oleh kerana ramainya penonggang basikal, maka banyaklah basikal yang ada di Amsterdam. Di semua tempat awam atau persendirian semuanya ada tempat parking basikal. Malah di tempat yang menjadi pusat pentadbiran, atau di tempat yang banyak pejabat, maka tempat letak basikalnya bertingkat-tingkat, seperti tempat parking kereta di pusat membeli belah di Malaysia. menurut pemandu pelancong semasa perjlanan kami meninjau bandar Amsterdam dengan bot, telah dilaporkan lebih kurang 60,000 buah basikal dilaporkan hilang setiap tahun.


Salah sebuah boathouse di Amsterdam

Lagi yang menarik, yang jarang dijumpai di tempat lain ialah kehadiran bothouse di sepanjang terusan. Bot yang lama yang tidak digunakan lagi akan berlabuh dan dihiasi indah untuk menjadi tempat kediaman. Dari dalam bot yang kami naiki, dapat dilihat kamar dalam bothouse dihias indah seperti bilik hotel. Yang lebih jelas kelihatan, terdapat taman hiasan yang cantik dan indah lagi kemas, menghiasi bahagian hadapan bot, ibarat halaman di hadapan rumah kediaman kita. Semua yang lain dari yang lain memang unik, tapi yang lebih penting ialah keunikan itu dapat dijadikan bahan pelancongan yang amat besar pulangnnya kepada negara itu.


Friday, October 15, 2010

Amsterdam berpesta bola


Awal-awal pagi kami sudah sedia ke Gatwick Airport, untuk ke Amsterdam, menaiki EasyJet. Yunus cleaner di Malaysian Hall telah sedia sebelum jam 9.00 lagi untuk menghantar kami. Perjalanan satu jam terasa amat singkat, sambil borak-borak mendengar kisah hidup Yunus merantau di kota London. Dia sangat senang tinggal di situ, berbanding negerinya yang tidak aman – maka jadilah dia pelarian yang mendapat perlindungan. Dia hidup dengan agak selesa – bekerja dan berkeluarga. Dia tidak pernah memikirkan untuk pulang ke tanah airnya lagi. Eritrea hanya tinggal kenangan pahit, tidak lebih dari itu.
Lama juga di Gatwic Airport, sempat minum capucino dan makan tengah hari nasi bungkus dari Malaysia Hall yang sedap. Sempat lagi shopping souvenir untuk anak-anak yang tinggal, walaupun sangat ramai dan sibuk keadaannya. Luggage yang banyak terpaksa dibawa kargo berbayar. Sejam di angkasa kami selamat sampai di Schipol Airport, kira-kira sejam perjalanan dengan teksi ke Amsterdam.

Semasa di Schippol Airport, kami dimaklumkan dengan bangganya Belanda menjadi naib juara, oleh seorang wanita pekerja Netherland Information Centre. Mungkin kereta tidak boleh masuk ke bandar, kerana orang Belanda berpesta di tengah kota – kononnya puluhan ribu, mungkin lebih 50 ribu. Mereka meraikan wira-wira pasukan bola Belanda, balik dari Afrika Selatan, menjadi naib juara Piala Dunia 2010.

Kami membayangkan entah jauh mana kami mesti berjalan ke hotel di tengah pekan. Semakin hampir ke Amsterdam, semakin nampak jelas penyokong dan rakyat jelata sedang berpesta – dengan teashirt oren di sana sini, dengan cat warna muka bendera Belanda, topi dan trompet Afrika – semuanya sudah pasti tidak ketinggalan berpesta, kerana Belanda menjulang naib juara Piala Dunia.


Rupanya andaian kami salah sama sekali, melihat teksi membawa pelancong, polis lalu lintas mempesilakan kami dibawa masuk menuju ke hotel di tengah bandaraya Amsterdam. Sepanjang jalan menuju hotel memang sangat ramai, memang sangat meriah, memang sangat terasa aura Belanda berpesta bola. Kami bagaikan VIPlah pula - kerana jalan yang ditutup hanya dapat dilalui oleh teksi yang kami naiki sahaja. Pemikiran negara maju memang menakjubkan - sangat kreatif dan bijak - hal ini kurang dihiraukan di Malaysia, mudahnya ikut buku, banyak birokrasi, berbau superiority kompleks.


Setibanya di hotel, memang suasana riuh rendah, gamat dengan nyanyian dan sorakan, sama ada yang sedang berpusu-pusu berjalan atau yang menyanyi-nyanyi dan menari-nari di bar, seberang sungai di depan hotel. Dari jendela hotel kami dapat lihat orang juga berpesta menaiki bot, tidak henti-henti. Ada bot kecil, dengan sedikit penumpang dan ada bot besar dengan penumpang yang penuh, menyanyi, menari dan ketawa ria meraikan kemenangan juara pasukan bola mereka.

Sepetang itu kami juga turut seronok melihat gelagat dan telatah orang Belanda. Kami juga seperti berpesta bola dengan penduduk Amsterdam. Petang itu memang mengasyikkan, turut teruja dengan keseronokan dan kemeriahan Belanda berpesta bola.