Wednesday, March 30, 2016

FADILAT LAILAHA ILLALLAH


HIMPUNAN HADITH QUDSI: BAB 9  HADITH N0. 16, 17, 18, 19
RIWAYAT ANAS

Nabi Mohamad saw pernah bersabda, bahawa Allah berfirman, "Apabila seorang hambaKu menyebut Laailaha Illallah, wahai malaikat hambaKu telah tahu, dan telah mengaku, bahawa tiada Tuhan melainkan Aku Allah,  maka kamu semua wahai malaikat menjadi saksi, bahawa Aku telah mengampunkan dosa-dosa hambaKu itu". 

Allah juga berfirman, "Dekatkan orang-orang yang mengucap dua kalimah syahadah, dengan ArasyKu, sesungguhnya Aku kasih kepada mereka".

Allah berfirman  lagi,  "Ada di kalangan umat Musa yang duduk merata-rata, di tempat tinggi atau di tempat rendah, balasan kepada mereka di sisiKu ialah balasan kepada Nabi-Nabi, kerana mereka sentiasa berzikir Laailaha Illallah".

Allah pernah menyebut dalam firmanNya, "Telah tertulis di pintu syurga kalimah Laailaha Illallah - tiada Tuhan melainkan Allah, oleh itu aku tidak akan siksa sesiapa umatKu yang mengucapkannya". 

Pengajarannya:
1. Oleh itu jagalah diri kita supaya sentiasa mengucap dua kalimah syahadah kerana Allah telah menjanjikan keampunan dan syurga kepada kita insyAllah.  

Tuesday, March 29, 2016

PELIHARALAH KALIMAH SYAHADAH


HIMPUNAN HADITH QUDSI: BAB 8  HADITH N0.15
RIWAYAT ABI SAID ALKHODRI

Nabi Mohamad saw telah bersabda, Nabi Musa pernah membuat permintaan kepada Allah azzawajalla, "Wahai Tuhanku, ajarkanlah kepadaku sesuatu yang boleh saya zikirkan dan boleh saya ingatkan kepada kaumku agar menjadi amalan yang memberi manfaat yang besar kepada mereka". Allah berfirman kepada Musa, "Amalkanlah Laailaha Illallah". Nabi Musa memjawab, "Ya Tuhanku, semua hamba Kamu mengatakan itu, Saya mahukan sesuatu yang menjadi milik aku seorang, yang menjadi amalan umatku untuk kebaikan mereka". Lalu Allah menjawab, "Hai Musa, kalau tujuh langit, dan beserta sekalian malaikat di tujuh langit itu, diletakkan di sebelah timbanganKu, lalu kemudiannya diletakkan di sebelah satu lagi timbanganKu itu, ucapan "Laailaha Illallah", sudah pasti  timbangan itu lebih berat lagi daripada yang sebelahnya. Begitulah besarnya kalimah "Laailaha Illallah" sehingga lebih berat timbangannya, daripada tujuh lapisan langit beserta semua penduduk malaikat di tujuh lapisan langit itu.

Pengajarannya:
1. Allah memberi pahala yang besar kepada orang yang mengucapkan kalimah "Laailha Illallah" sehingga pahala timbangan itu melebihi daripada berat tujuh lapis langit dan segala isi malaikat di dalamnya.
2. Jagalah diri kita, supaya kita manusia tidak tergelincir daripada janji kita, yang telah kita buat iaitu mengucap dua kalimah syahadah, yang menandakan kita telah beriman kepada Allah, dengan mengucap dua kalimah syahadah itu, kita tergolong sebagai orang yang mendapat kebaikan di dunia lebih-lebih lagi di akhirat.
3.   Hendaknya manusia menjauhkan diri daripada anasir yang boleh mengelakkan  kita daripada beramal dengan kalimah syahadah "Laailha Illallah".

Monday, March 28, 2016

HADEJA NAEMA



Hari ini terasa kurang berminat untuk buat kerja lain. Jadi aku meninjau-ninjau tulisan dalam blog yang temanya 'family'.  Barangkali aku sudah terasa agak lama tidak bersama anak-anak. Jadi mungkin dalam diam-diam aku amat merindui mereka. Merindui masa-masa yang dihabiskan bersama mereka. Mengingati suasana makan bersama, bersantai berehat-rehat bersama, sambil membaca akhbar, dan menonton tv, atau membereskan kerja seperti membasuh atau mengemas rumah yang kami buat bersama-sama. Masih segar terasa keindahan saat-saat mereka masih di rumah, dalam usia remaja mereka dan dalam usia aku masih muda adanya. Semuanya terasa masih baru, dan masih segar walaupun sudah hampir dua puluh tahun ia berlalu. Sekarang tiba pula masa anak-anakku menikmati masa muda mereka, menikmati manisnya kehidupan bersama anak-anak mereka, seperti yang pernah ku lalui suatu masa dahulu. Jadi bila diteliti semua kisah cucu-cucu yang telah kuabadikan dalam ruangan ini, masih  terkecuali Hadeja Naema. Rupanya belum sempat aku menulis tentang dia yang sudah semakin membesar dengan ceria dan sihat adanya.

Sebenarnya Hadeja Naema, adalah cucu kami  yang ke-4, anak ke-3 kepada Haidar Najiyah Ibrahim dan Hasrul Husin. Berbanding abangnya Hayyan Naoki, dan kakaknya Hannah Naomi, dia lebih bertuah kerana dilahirkan semasa mami dan dedinya hidup bersama di Kuala Lumpur. Semasa abangnya dan kakaknya dilahirkan, maminya bekerja di Ipoh sementara dedi di Kuala Lumpur. Tinggallah maminya menjaga Hayyan dan Hannah di Ipoh seorang diri. Hayyan dihantar ke rumah Mak Yah dan Hannah dijaga  pembantu rumah sehingga usia enam bulan, kemudian dia lari meninggalkan Hayyan dan Hannah sendiri-sendiri. Sungguh kejam dia, semoga Allah memaafkan dosanya itu dan memberikan kesejahteraan pula atas penganiayaannya itu kepada kami. Waktu itu dedi balik Jumaat malam ke Ipoh dan pulang KL Isnin pagi. Kadang-kadang boleh dikatakan hampir dua minggu sekali, kami turun ke Ipoh, membantu anak kami, yang menjaga anaknya seorang diri, dengan penuh sabar dan redha. Jadi kedatangan Hadeja Naema dalam keadaan mami dan dedi sudah 'sette' di KL, alhamdulillah. 

Seindah namanya, Hadeja tidak banyak meragam semasa kecilnya. Dia tidur nyenyak pada malamnya. Dia minum susu ibu sepenuhnya. Banyak sungguh susu yang dipam dan disimpan untuk Hadeja. Tapi dia tidak boleh berpisah dengan ibunya kerana dia hanya boleh tidur dengan menyusu sambil berbaring di sisi ibunya saja. Pernah sekali semasa ditinggalkan dengan dedi, kerana mami 'outstation' Hadeja menangis mencari ibunya untuk tidur pada malamnya. Puas dikendong oleh dedi, Hadeja tidak boleh tidur dan bila tertidur, dia tidak nyenyak tidur. Dedi terpaksa bersengkang mata menggendong Hadeja. Selepas itu Hadeja dibawa ke mana saja mami pergi kerja luar kawasan. Jadi kadang-kadang tok dan tok wan ikut  mengasuh Hadeja bersama mami yang pergi mesyuarat atau kursus - ke Alor Setar, ke  Langkawi,  dan Ke Kucing. Neni juga pernah ikut mengasuh Hadeja ke Kota Kinabalu - semuanya kerana Hadeja tak boleh tidur malam tanpa menyusu maminya.

Sekarang Hadeja sudah hampir dua tahun, dia sudah boleh ditinggalkan dengan dedi jika mami kerja luar kawasan lagi. Dia pun sekarang sudah boleh tidur dengan dedi, kakak dan abangnya jua. Dia kelihatan sihat dan cerdas dan agak menonjol sedikit daripada yang lain. Kalau telefon, dia nak dia seorang saja yang monopoli. Walaupun masih belum fasih bertutur tapi dia bercakap banyak. Dia akan 'menyibuk' jika abang dan kakaknya bermain, dan akan menangis jika tidak dapat bermain dengan mereka.
 
Nama Hadeja kami pilih, kerana mengenangkan sifat mulia  seorang wanita yang sangat dicintai Nabi Mohamad saw iaitu 'Khadijah'. Mudah-mudahan sifat-sifat  itu mengalir ke dalam diri Hadeja. Kemuliaan dan ketinggian peribadinya amat dikenali dan dia menjadi contoh wanita sejati. Ketabahannya jua tiada tolok bandingnya. Apa lagi kesetiaannya dan kecintaannya kepada Nabi dan agama Islam sungguh amat mengesankan semua sahabat dan seluruh umat. Semoga Hadeja menjadi insan kamil, beriman, beramal soleh dan menjadi penawar di dunia dan di akhirat, insyAllah amin.






Monday, March 21, 2016

MALAIKAT MEMOHON AMPUN


HIMPUNAN HADITH QUDSI: BAB 7  HADITH N0.14
RIWAYAT ABI HURAIRAH

Nabi bersabda, sesungguhnya Allah mempunyai tiang daripada cahaya, yang berada di hadapan arasy. Apabila seseorang menyebut "lailaaha Illallah", tiang cahaya itu bergerak atau bergoncang. Lalu Allah berfirman bertanyakan tiang itu kenapa ia bergoyang? Lalu tiang itu menjawab, mana mungkin aku boleh tenang, sedangkan Engkau Ya Allah, belum mengampuni dosa orang yang mengucapkan dua kalimah syahadah itu. Lalu Allah berfirman, sesungguhnya Aku telah mengampuni dosa mereka itu. Maka selepas itu tiang pun diam.

Pengajaran:
1. Orang yang bersyahadah mendapat perhatian malaikat di langit.
2. Malaikat memohon supaya Allah ampunkan dosa orang yang mengucap dua kalimah syahada.
3. Allah mengampunkan dosa orang yang mengucap syahadah.

Marilah kita rebut janji Allah ini, insyaAllah mendapat kesajahteraan dunia  akhirat. Bagaimana lagi kita dapat menunjukkan cinta kita kepada kekasih Allah Nabi Mohamad saw, kalau kita tidak mengamalkan apa yang disampaikan baginda kepada kita?. Sesungguhnya orang yang mencintai Nabi saw dikasihi Allah dan mendapat syafaat baginda, di saat tiada siapa dapat membantu dan memberi pertolongan kepada kita nanti. Ya Allah ampunilah kami, Amin.   

SYAHADAH


HIMPUNAN HADITH QUDSI: BAB 6  HADITH N0.10
RIWAYAT ALI BIN ABU TALIB

Nabi Mohamad saw bersabda, Allah berfirman, "Sesiapa yang datang kepadaKu nanti dengan membawa amalan ungkapan 'Laailaha Illallah', iaitu mengucap dua kalimah syahadah dengan ikhlas dan jujur, mereka seolah-olah masuk ke dalam kotaKu. Barang siapa masuk kubur, dengan membawa kalimah syahadah, akan dia sudah terjamin terselamat daripada azab". 

Pengajaran:
1. Sesungguhnya Aku (Allah) tiada Tuhan melainkan Aku, maka hendaklah kamu sekalian menyembah Aku.
2. Orang yang mengucap dua kalimah syahadah adalah golongan yang diterima Allah di akhirat nanti.
3. Allah menjanjikan sesiapa mengucap syahadah dia terlepas daripada azab kubur. 
 
Oleh kerana pentingnya dua kalimah syahadah dalam kita mengesakan Allah, maka dalam bab ini, melalui hadith 11, 12, dan 13, Nabi bersabda berulang kali, menegaskan  bahawa baginda telah mendengar Jibril menceritakan bahawa Allah menegaskan barang siapa mengucap dua kalimah syahadah dia telah masuk ke "kubuKu" dan akan terlepas azab  Allah.

Mudah-mudahan kita semua dapat menjaga diri dan keluarga kita supaya sentiasa menjaga kalimah syahadah dan beramal dengannya. Semoga kita berada di landasan yang betul, supaya dapatlah nanti kita termasuk dalam golongan orang yang diterima Allah hendaknya. Amin

KALEBIHAN TAUHID


HIMPUNAN HADITH QUDSI: BAB 5  HADITH N0.9
RIWAYAT ANAS BIN MALIK

Nabi Mohamad saw bersabda, Allah berfirman, "Adakah ada balasan kebaikan melainkan dengan kebaikan?" Nabi bertanya kepada sahabat-sahabat, "Adakah kamu tahu apa yang Tuhan kamu katakan?" Nabi bersabda Allah berfirman, "Tidak ada balasan bagi orang yang telah pilih untuk beriman mentauhidkan Aku, melainkan ia akan dapat syurga."

Pengajaran: 
1.Orang yang memilih untuk beriman dan mentauhidkan Allah, maka dia akan dapat  merasai nikmat iman.
2. Orang yang beriman, balasannya tidak lain melainkan syurga Allah, jadi jagalah iman kita supaya sentiasa yakin akan keesaan Allah.
3. Orang beriman ialah orang yang melaksanakan perintah Allah dengan sungguh-sungguh dan menjauhi larangan Allah dengan sesungguhnya.. 

Wahai anak-anakku yang dikasihi, marilah kita sungguh-sungguh beriman kepada Allah dengan menunaikan Rukun Iman dan Rukun Islam. Melalui Rukun Iman - marilah kita meneguhkan keimanan dengan meletakkan kepercayaan yang tidak berbelah bagi kepada Allah semata-mata, percayakan Rasul, Malaikat, qadhak dan qadar, dan percaya kepada hari kiamat adanya. Dengan bersandarkan Rukun Iman marilah kita terus istiqamah melaksanakan Rukun Islam - mengucap dua kalimah syahadah, menunaikan sembahyang 5 waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat dan menunaikan haji ke Baitullah.  Semoga dengan ikhlas melaksanakan semua amalan yang dipertanggungjawabkan, kita akan tergolong sebagai umat yang Allah janjikan syurga. Marilah sama-sama kita rindukan syurga Allah dengan menjaga orang-orang di bawah tanggung jawab kita. InsyaAllah teruslah merindui Allah dan Rasul agar kita mendapat redha Allah.

Sunday, March 20, 2016

KEAGUNGAN ALLAH


HIMPUNAN HADITH QUDSI: BAB 4  HADITH N0.7
RIWAYAT ABDU BIN HUMAID ALHARITH

Nabi Mohamad saw bersabda, Allah berfirman, "Sesungguhnya dalam tanganKu, (yakni Allah) yang maha pengasih, ada suatu kitab yang tertulis di dalamnya 315 syariat, iaitu jenis-jenis akhlak dan tingkah laku yang baik seperti benar, amanah, tunai janji, muliakan jiran dan lain-lain lagi. Allah bersumpah demi keagungan Ku, seorang hamba yang menemui Ku di akhirat dalam keadaan dia tidak syirik atau mempersekutukan Aku dan dia telah mentauhidkan Aku, dan ada salah satu daripada 315 akhlak mulia diamalkannya, dengan keagunganKu ia masuk syurga".
Pengajaran:
1. Allah berkuasa memberikan balasan syurga kepada apa saja perlakuan baik yang dilakukan manusia walaupun sedikit di akhirat nanti.
2. Manusia yang mentauhidkan Allah dengan sentiasa mengucapkan ucapan "laaialaha Illallah..." dengan ikhlas, Allah ampunkan dosanya
3. Jauhi perbuatan mensyirikkan Allah kerana Allah bersumpah, orang yang syirik kepada Allah, menjauhkan manusia itu daripada  Syurga Allah. 

Semoga dengan hadis ini, kita akan sentiasa berwaspada agar menjauhi perbuatan yang boleh membawa kita kepada murka Allah iaitu syirik. Perbuatan syirik ini seolah-olah kita menidakkan keagungan Allah swt, dengan itu ia menghalang kita daripada mendapat rahmat Allah yang maha agung, iaitu syurgaNya yang sangat-sangat kita harapkan, yang menjadi destinasi kita dalam kehidupan dunia yang sementara ini.   

ALLAH LAYAK DITAKUTI


HIMPUNAN HADITH QUDSI: BAB 3  HADITH N0.6
RIWAYAT ANAS BIN MALIK


Nabi saw bersabda maksudnya, Allah berfirman "Aku"lah yang layak ditakuti, dengan bertaqwa, iaitu mematuhi segala perintahKu, dan menjauhi segala laranganKu. Barangsiapa taqwa kepadaKu, tidak akan mempersekutukan Aku, atau berlaku syirik. Sesungguhnya "Aku"  layak mengampuni dosa-dosa manusia selain dosa syirik.

Pengajaran:
1.Allahlah yang berkuasa menciptakan manusia daripada tiada apa-apa sehingga manusia dapat hidup di dunia ini.
2. Dialah Allah yang menjamin kelangsungan hidup dan kehidupan di dunia dengan segala nikmat yang disediakan tanpa kita sedari. 
3. Oleh itu wajarlah manusia ikut akan perintah Allah dan takutkan Allah azzawajalla  kerana Dialah yang berkuasa sepenuhnya terhadap perjalanan hidup dan perjalanan dunia yang dinikmati manusia.
4. Orang lain tidak berkuasa mengampuni dosa mana-mana manusia sekalipun.
5. Orang yang melakukan dosa dan  bertaubat,  Allah berfirman "HambaKu tahu dia ada Tuhan yakni Allah dan takut kepadaKu , maka Aku ampuni dosa hamba itu". 

Ku tuliskan terjemahan hadis yang ku pelajari dari Ustaz Saad seorang tenaga pengajar INSANIAH yang berasal dari Mesir, untuk tatapan anak-anakku yang kukasihi, yang aku tahu kamu semua kurang masa untuk mendalami sunnah Nabi secara istiqamah.  Mudah-mudahan tulisan ini dapat membimbing anak-anak tercinta untuk membimbing cucu-cucuku sebagai penyambung warisan menjadi orang yang beriman dan bertaqwa, agar mendapat kesejahteraan di dunia dan akhirat. Mudah-mudahan kegembiraan di dunia menjadi amalan untuk sama-sama kita mendapat redha Allah menuju nKe syurgaNya insyaAllah....Amin

Friday, March 11, 2016

LAWATAN KAJISELIDIK KE SETUL HARI KE-4




SABTU 9 JANUARI 2016
TAPAK KOMUNIS KHAW NANG KANG

Seawal jam 9.00 pagi kami sudah bersedia di lobby Hotel Central untuk menikmati sarapan di Hatyai. Pagi itu kami makan di sebuah kedai seorang Ustaz berasal dari Pattani. Pilihan menu yang disajikan kepada kami di kedai itu pelbagai. Kami boleh pilih untuk makan nasi lemak, nasi berlauk, atau meehoon goreng. Minuman pula kami boleh buat pilihan sendiri ikut cita rasa masing-masing. Lama juga kami menikmati makanan secara santai di situ, kerana kami hanya akan mengunjungi satu lagi tempat yang telah diaturkan dalam jadual lawatan kajiselidik.

Selepas itu kami ada acara membeli-belah di bazaar. Masa sejam yang diberikan agak suntuk tapi kami dapatlah membeli sedikit sebanyak apa yang boleh dibawa balik sebagai buah tangan kepada yang ditinggalkan. Ada yang membeli biji janggus, buah-buahan seperti limau, dokong, mangga, jambu dan juga nanas. Ada juga buah-buahan kering yang turut dibeli untuk dibawa pulang. Tidak ketinggalan, ada juga yang membeli pakaian yang cantik-cantik untuk isteri dan anak cucu. Selesai membeli-belah di bazaar, kami kemudiannya dibawa ke kedai cenderamata. Banyak sungguh barangan yang boleh dipilih, baju kemeja, baju-T, pakaian kanak-kanak, bag, seluar dan juga hiasan dinding. Cendermata kecil untuk kenang-kenangan seperti rantai kunci juga banyak dan semuanya cantik dan menarik untuk dibawa pulang. Sejam di situ terasa poket menjadi kosong kerana membeli pelbagai barangan yang menarik perhatian ikut citarasa dan keperluan masing-masing.

Sebelum meneruskan perjalanan kami makan tengah hari di Maroc Restoran. Pak Mus memang aturkan restoran ini istimewa untuk rombongan, suasananya kondusif makanannya pula eksklusif. Menunya seperti biasa tomyam, ayam gajus, sayur campur dan telur dadar. Memang diakui istimewa sebab sajian makanannya sungguh enak dan menyelerakan. Selepas solat jamak zohor kami meneruskan perjalanan. Kami akan ke tapak kubu komunis Khaw Nang Kang. Kawasan ini terletak di suatu kawasan yang sangat luas dalam hutan tebal yang berada di sempadan antara Malaysia dan Thailand. Kononnya di sinilah di tempatkan Pasukan Regimen ke-9 Parti Komunis Malaya yang beroperasi untuk menentang kerajaan Tanah Melayu dan Malaysia, sejak mula mencapai kemerdekaan sehinggalah perjanjian damai Chin Peng dan YM Tunku Abdul Rahman. Menurut propaganda mereka, sekarang ini mereka dalam proses ‘berehat’.

Boleh dikatakan hampir seluruh anggota rombongan melihat museum dan kawasan operasi dengan perasaan jengkel dan tidak puas hati.  Boleh dikatakan semua urusan mereka, baik kehidupan, mesyuarat, aktiviti ketenteraan, dan aktiviti riadah, semuanya dilaksanakan di bawah tanah dalam terowong yang dibina dengan rapi dan lengkap.  Di dalam terowong itulah disediakan bilik-bilik tidur, lengkap dengan tandas, bilik mesyuarat, bilik radio dan hubungan luar, lapang sasar menembak, gelanggang motorsikal, dapur, tempat simpan barang makanan mentah dan tempat rehat. Semuanya lengkap sebagai suatu tempat operasi yang sangat sukar dan tidak berjaya dikesan, jika mereka tidak menzahirkannya kepada kita seperti yang dilihat itu. Oleh kerana ideologi mereka tidak dapat diterima jadi operasi mereka pun terpaksa disembunyikan dengan rapat daripada pengetahuan umum. Pihak kerajaan Thailand telah mengeksploit kawasan itu sehingga dijadikan suatu tempat tarikan pelancong yang menjengkelkan kita rakyat Malaysia. Mereka telah banyak menyusahkan negara kita, membunuh banyak anggota tentera kita dan mengganggu ketenteraman dan keselamatan rakyat seluruhnya. Sekarang kita datang melawat dan memberi duit pula kepada mereka kerana dikenakan bayaran masuk sebanyak RM 15.00. Sungguh tidak puas hati, tapi mengenangkan kita perlu tahu bagaimana keadaan musuh kita maka, kita kunjungi bekas tapak itu semata-mata bagi melihat bagaimana jahatnya mereka dengan ideologi mereka.  Dan kita juga dapat lihat bagaimana tidak jujurnya Thailand kepada Negara kita, kerana mereka seolah-olah menyokong ideologi jahat komunis, kerana di tanahnyalah pergerakan komunis bergerak dan beroperasi. 

Kami meninggalkan Khaw Nam Kang dengan berbagai-bagai perasaan marah, jengkel dan benci. Tapi semua perasaan itu cair dalam lena semasa perjalanan menuju Sadao dan Bukit Kayu Hitam untuk pulang ke kampung halaman di tanah air yang dicintai. Lebih kurang jam 5.30 petang semua urusan kastam dan Imegresen di sempadan selesai. Semua anggota rombongan berpisah dan bersalaman di tempat letak kereta di Balai Polis Bukit Kayu Hitam. Dr Kasri selaku ketua rombongan kajiselidik mengucapkan setinggi ucapan penghargaan terima kasih kepada semua ahli rombongan,  terutamanya Pak Mus dan dua orang pilot van yang telah membantu melancarkan perjalanan dan program kajiselidik itu. Alhamdulillah kajiselidik yang dirancang telah berjaya, dan berjalan lancar seperti yang diaturkan. Dr Kasri berharap semua anggota akan menyiapkan laporan masing-masing, melengkapkan data-data yang diperolehi, menghimpunkan gambar-gambar dan menyiapkan audio visual yang telah diusahakan sepanjang perjalanan kajiselidik selama empat hari itu.

Wednesday, March 9, 2016

LAWATAN KAJISELIDIK KE SETUL HARI KE-3




HARI KETIGA JUMAAT - SONGKHLA HATYAI
8 JANUARI 2016

Tepat jam 8.00 pagi kami sudah ‘checked-out’  dari Hotel Best House Resort. Selepas taklimat pagi kami dibawa ke Gerai Bara Roti, milik Tuan Haji Ariff seorang penduduk tempatan. Menu pagi ini ialah roti canai berkuah kari, nasi campur dan pulut ikan kering. Barangkali gerai ini antara gerai yang sedap makanannya, sebab itulah sangat ramai pengunjungnya, sehingga semua meja penuh dengan pelanggan. Lama juga kami terpaksa menunggu roti canainya. Ada daripada anggota rombongan yang sudah selesai makan nasi campur yang bergerak ke tepi pantai menikmati pemadangan pagi itu. Yang lain mengambil kesempatan bertemu bual dengan beberapa orang pengunjung kedai daripada penduduk tempatan. Ramai pengunjung pada pagi itu, kelihatannya ramai warga emas yang baru balik daripada sembahyang subuh di mesjid. Selain itu kelihatan juga beberapa orang remaja berjubah putih pelajar-pelajar Sekolah Tahfiz berdekatan, yang singgah di gerai itu. Dan ada juga pelancong-pelancong berbangsa Cina yang turut serta menikmati sarapan di gerai itu.

Lebih kurang jam 9.30 pagi, kami bertolak ke Songkhla. Dalam perjalanan yang agak lama itu masing-masing mengambil kesempatan untuk merehatkan diri. Pak Mus membiarkan kami terus berehat, dia pun tidak bercerita apa-apa pagi itu. Lebih kurang jam 11.30 pagi kami singgah di stesen minyak Klong He, kemudian kami meneruskan perjalanan lagi.  Jam 12.00 tengah hari kami tiba di Songkhla, melintasi Jambatan Tinsu Lanond, dan melalui sebuah Watt Siam yang di hadapannya kelihatan sebuah patung budha besar sedang terbaring di hadapannya. Pak Mus buat lawak;  jangan bising-bising, sebab budha tengah tidur, nanti dia terjaga, semua kami tertawa.  Tak lama selepas itu kami selamat sampai di Pintu Masuk Muzeum Folklore Wilayah Selatan, yang terletak di kaki bukit.    Oleh kerana kunjungan kami adalah lawatan rasmi,  jadi kami tidak perlu membayar tiket untuk pelancong sebanyak THB 100.00. Selepas menunjukkan surat permohonan dan kad jemputan, van kami dibenarkan naik ke Muzeum yang terletak di puncak bukit yang agak tinggi. Dari atas puncak bukit yang menempatkan Muzeum Folklore, kami dapat melihat jambatan yang telah kami lalui tadi. 

Kami disajikan dengan tayangan filem ringkas dalam Bahasa Melayu, tentang Muzeum itu. Kemudiannya semua peserta dibawa melawat sekitar Muzeum dan diberi penerangan oleh  seorang petugas yang berbahasa Inggeris seadanya.  Oleh kerana kesuntukan masa kami cuma melawat lebih kurang lima bilik pameran  sahaja, iaitu bilik pakaian, bilik peralatan pertanian, bilik peralatan logam tembaga, bilik senjata tradisional, dan bilik peralatan dapur (kukur kelapa). Muzeum yang mempunyai 34 bilik pameran itu,  tidak sempat kami jelajahi semuanya. Bilik-bilik pameran terletak  di lereng-lereng bukit dengan susun atur dan lanskap yang cantik, kelihatan sungguh indah  apabila menikmati pemandangannya  yang  menghadap ke laut.

Oleh kerana turun naik tangga ke bilik-bilik pameran, anggota rombongan yang kebanyakanya warga emas mengambil masa yang agak lama juga. Selepas lawatan bilik-bilik pameran, upacara penutup dihadiri oleh Pengarah Muzeum Puan Sweetre. Beliau telah sudi menyampaikan sijil-sijil kehadiran kepada anggota rombongan kami, selepas ucapan aluannya. Selesai pertukaran cenderamata, kami di bawa ke sebuah Restoren Thai (Muslim Kitchen) untuk jamuan tengah hari yang diberikan oleh Puan Sweetre. Restoren Makanan Laut itu terletak di hujung sebuah tanjung, sehingga ia kelihatan seperti  berada di sebuah pulau. Puan Sweetre pohon untuk meninggalkan kami pada jam 2.00 petang  kerana ada urusan mesyuarat penting. Selepas bersalaman kami terus menikmati jamuan yang sungguh enak. Alhamdulillah.

Oleh kerana kesuntukan masa hajat untuk melawat pondok di Ban Trap (Kampung Terap) terpaksa dibatalkan. Hajat kami tidak kesampaian untuk membuat kunjungan dan melawat Tok Guru Pondok keturunan dari Kedah itu. Kami terus mengunjungi Makam Sultan Sulaiman di Songkhla, walaupun terpaksa mencari-cari tempatnya. Almarhum memang sangat banyak berjasa kepada masyarakatnya. Kini kawasan makam itu telah dibina kota dan dijaga oleh petugas dan menjadi pusat tarikan pelancong yang ingin melihat kesan tinggalan kekuasaan Melayu di Thailand.

Kami juga tidak sempat melawat ke Kota Tun Silanot bekas Perdana Menteri Thailand berketurunan Melayu. Tapi kami terus dibawa ke Pantai Samila Songkhla, yang sangat popular dengan patung duyung dan patung naga terputus tiga bahagian iaitu kepala, badan dan ekor, di tiga tempat yang berlainan. Oleh sebab jalan sesak kerana pukul 5 petang waktu pejabat, jadi Pak Mus membawa kami menaiki feri melalui jalan pintas ke Pantai Samila, dengan bayaran THB 20. Menaiki feri memang sungguh cepat, ia hanya  mengambil masa lima minit sahaja untuk menyeberangi teluk ke pantai Samila. Kami tidak lama di pantai Samila, kerana terpaksa berkejar untuk solat jamak asar. Kami singgah di Kampung Kao Seng , sebuah Kampung Melayu yang sangat padat di tengah-tengah pekan di Pantai Samila itu. Mesjidnya besar dan luas terletak di belakang deretan kedai-kedai, dan kelihatan masih  ramai pengunjung yang bersolat semasa kami solat di sana.

Alhamdulillah, dari pantai Samila kami terus bertolak untuk meneruskan perjalanan supaya dapat bermalam di Hatyai. Dalam perjalanan Pak Mus memberitahu kami Bandar Songkhla adalah ‘bandar ilmu’. Banyak universiti seperti Universiti Rajabat, Universiti Rajapak dan beberapa buah lagi universiti terkemuka berada di Bandar Songkhla. Dalam van masing-masing semuanya telah keletihan jadi tidak banyak soalan dan tidak banyak cerita disampaikan oleh Pak Mus, dia membiarkan kami berehat kerana terlalu keletihan. Sunyi sepi dalam perjalan kerana semuanya sangat lelah, cuma menunggu tiba di tempat penginapan sahaja. Akhirnya apabila hari hampir senja  barulah kami tiba di Hatyai untuk berehat pada malamnya.

Malamnya kami diberikan masa untuk memenuhi acara bebas. Kami menikmati makan malam di Restoran Salma. Bersama kami Dr Ismail, Firdaus, dan beberapa orang lagi. Selepas makan kami sempat ke kedai buku untuk mencari peta, tapi malangnya tiada. Jadi kami terus pulang berehat meninggalkan rakan yang lain untuk membeli belah di pasar malam.