Monday, March 28, 2016

HADEJA NAEMA



Hari ini terasa kurang berminat untuk buat kerja lain. Jadi aku meninjau-ninjau tulisan dalam blog yang temanya 'family'.  Barangkali aku sudah terasa agak lama tidak bersama anak-anak. Jadi mungkin dalam diam-diam aku amat merindui mereka. Merindui masa-masa yang dihabiskan bersama mereka. Mengingati suasana makan bersama, bersantai berehat-rehat bersama, sambil membaca akhbar, dan menonton tv, atau membereskan kerja seperti membasuh atau mengemas rumah yang kami buat bersama-sama. Masih segar terasa keindahan saat-saat mereka masih di rumah, dalam usia remaja mereka dan dalam usia aku masih muda adanya. Semuanya terasa masih baru, dan masih segar walaupun sudah hampir dua puluh tahun ia berlalu. Sekarang tiba pula masa anak-anakku menikmati masa muda mereka, menikmati manisnya kehidupan bersama anak-anak mereka, seperti yang pernah ku lalui suatu masa dahulu. Jadi bila diteliti semua kisah cucu-cucu yang telah kuabadikan dalam ruangan ini, masih  terkecuali Hadeja Naema. Rupanya belum sempat aku menulis tentang dia yang sudah semakin membesar dengan ceria dan sihat adanya.

Sebenarnya Hadeja Naema, adalah cucu kami  yang ke-4, anak ke-3 kepada Haidar Najiyah Ibrahim dan Hasrul Husin. Berbanding abangnya Hayyan Naoki, dan kakaknya Hannah Naomi, dia lebih bertuah kerana dilahirkan semasa mami dan dedinya hidup bersama di Kuala Lumpur. Semasa abangnya dan kakaknya dilahirkan, maminya bekerja di Ipoh sementara dedi di Kuala Lumpur. Tinggallah maminya menjaga Hayyan dan Hannah di Ipoh seorang diri. Hayyan dihantar ke rumah Mak Yah dan Hannah dijaga  pembantu rumah sehingga usia enam bulan, kemudian dia lari meninggalkan Hayyan dan Hannah sendiri-sendiri. Sungguh kejam dia, semoga Allah memaafkan dosanya itu dan memberikan kesejahteraan pula atas penganiayaannya itu kepada kami. Waktu itu dedi balik Jumaat malam ke Ipoh dan pulang KL Isnin pagi. Kadang-kadang boleh dikatakan hampir dua minggu sekali, kami turun ke Ipoh, membantu anak kami, yang menjaga anaknya seorang diri, dengan penuh sabar dan redha. Jadi kedatangan Hadeja Naema dalam keadaan mami dan dedi sudah 'sette' di KL, alhamdulillah. 

Seindah namanya, Hadeja tidak banyak meragam semasa kecilnya. Dia tidur nyenyak pada malamnya. Dia minum susu ibu sepenuhnya. Banyak sungguh susu yang dipam dan disimpan untuk Hadeja. Tapi dia tidak boleh berpisah dengan ibunya kerana dia hanya boleh tidur dengan menyusu sambil berbaring di sisi ibunya saja. Pernah sekali semasa ditinggalkan dengan dedi, kerana mami 'outstation' Hadeja menangis mencari ibunya untuk tidur pada malamnya. Puas dikendong oleh dedi, Hadeja tidak boleh tidur dan bila tertidur, dia tidak nyenyak tidur. Dedi terpaksa bersengkang mata menggendong Hadeja. Selepas itu Hadeja dibawa ke mana saja mami pergi kerja luar kawasan. Jadi kadang-kadang tok dan tok wan ikut  mengasuh Hadeja bersama mami yang pergi mesyuarat atau kursus - ke Alor Setar, ke  Langkawi,  dan Ke Kucing. Neni juga pernah ikut mengasuh Hadeja ke Kota Kinabalu - semuanya kerana Hadeja tak boleh tidur malam tanpa menyusu maminya.

Sekarang Hadeja sudah hampir dua tahun, dia sudah boleh ditinggalkan dengan dedi jika mami kerja luar kawasan lagi. Dia pun sekarang sudah boleh tidur dengan dedi, kakak dan abangnya jua. Dia kelihatan sihat dan cerdas dan agak menonjol sedikit daripada yang lain. Kalau telefon, dia nak dia seorang saja yang monopoli. Walaupun masih belum fasih bertutur tapi dia bercakap banyak. Dia akan 'menyibuk' jika abang dan kakaknya bermain, dan akan menangis jika tidak dapat bermain dengan mereka.
 
Nama Hadeja kami pilih, kerana mengenangkan sifat mulia  seorang wanita yang sangat dicintai Nabi Mohamad saw iaitu 'Khadijah'. Mudah-mudahan sifat-sifat  itu mengalir ke dalam diri Hadeja. Kemuliaan dan ketinggian peribadinya amat dikenali dan dia menjadi contoh wanita sejati. Ketabahannya jua tiada tolok bandingnya. Apa lagi kesetiaannya dan kecintaannya kepada Nabi dan agama Islam sungguh amat mengesankan semua sahabat dan seluruh umat. Semoga Hadeja menjadi insan kamil, beriman, beramal soleh dan menjadi penawar di dunia dan di akhirat, insyAllah amin.






No comments:

Post a Comment