Friday, March 11, 2016

LAWATAN KAJISELIDIK KE SETUL HARI KE-4




SABTU 9 JANUARI 2016
TAPAK KOMUNIS KHAW NANG KANG

Seawal jam 9.00 pagi kami sudah bersedia di lobby Hotel Central untuk menikmati sarapan di Hatyai. Pagi itu kami makan di sebuah kedai seorang Ustaz berasal dari Pattani. Pilihan menu yang disajikan kepada kami di kedai itu pelbagai. Kami boleh pilih untuk makan nasi lemak, nasi berlauk, atau meehoon goreng. Minuman pula kami boleh buat pilihan sendiri ikut cita rasa masing-masing. Lama juga kami menikmati makanan secara santai di situ, kerana kami hanya akan mengunjungi satu lagi tempat yang telah diaturkan dalam jadual lawatan kajiselidik.

Selepas itu kami ada acara membeli-belah di bazaar. Masa sejam yang diberikan agak suntuk tapi kami dapatlah membeli sedikit sebanyak apa yang boleh dibawa balik sebagai buah tangan kepada yang ditinggalkan. Ada yang membeli biji janggus, buah-buahan seperti limau, dokong, mangga, jambu dan juga nanas. Ada juga buah-buahan kering yang turut dibeli untuk dibawa pulang. Tidak ketinggalan, ada juga yang membeli pakaian yang cantik-cantik untuk isteri dan anak cucu. Selesai membeli-belah di bazaar, kami kemudiannya dibawa ke kedai cenderamata. Banyak sungguh barangan yang boleh dipilih, baju kemeja, baju-T, pakaian kanak-kanak, bag, seluar dan juga hiasan dinding. Cendermata kecil untuk kenang-kenangan seperti rantai kunci juga banyak dan semuanya cantik dan menarik untuk dibawa pulang. Sejam di situ terasa poket menjadi kosong kerana membeli pelbagai barangan yang menarik perhatian ikut citarasa dan keperluan masing-masing.

Sebelum meneruskan perjalanan kami makan tengah hari di Maroc Restoran. Pak Mus memang aturkan restoran ini istimewa untuk rombongan, suasananya kondusif makanannya pula eksklusif. Menunya seperti biasa tomyam, ayam gajus, sayur campur dan telur dadar. Memang diakui istimewa sebab sajian makanannya sungguh enak dan menyelerakan. Selepas solat jamak zohor kami meneruskan perjalanan. Kami akan ke tapak kubu komunis Khaw Nang Kang. Kawasan ini terletak di suatu kawasan yang sangat luas dalam hutan tebal yang berada di sempadan antara Malaysia dan Thailand. Kononnya di sinilah di tempatkan Pasukan Regimen ke-9 Parti Komunis Malaya yang beroperasi untuk menentang kerajaan Tanah Melayu dan Malaysia, sejak mula mencapai kemerdekaan sehinggalah perjanjian damai Chin Peng dan YM Tunku Abdul Rahman. Menurut propaganda mereka, sekarang ini mereka dalam proses ‘berehat’.

Boleh dikatakan hampir seluruh anggota rombongan melihat museum dan kawasan operasi dengan perasaan jengkel dan tidak puas hati.  Boleh dikatakan semua urusan mereka, baik kehidupan, mesyuarat, aktiviti ketenteraan, dan aktiviti riadah, semuanya dilaksanakan di bawah tanah dalam terowong yang dibina dengan rapi dan lengkap.  Di dalam terowong itulah disediakan bilik-bilik tidur, lengkap dengan tandas, bilik mesyuarat, bilik radio dan hubungan luar, lapang sasar menembak, gelanggang motorsikal, dapur, tempat simpan barang makanan mentah dan tempat rehat. Semuanya lengkap sebagai suatu tempat operasi yang sangat sukar dan tidak berjaya dikesan, jika mereka tidak menzahirkannya kepada kita seperti yang dilihat itu. Oleh kerana ideologi mereka tidak dapat diterima jadi operasi mereka pun terpaksa disembunyikan dengan rapat daripada pengetahuan umum. Pihak kerajaan Thailand telah mengeksploit kawasan itu sehingga dijadikan suatu tempat tarikan pelancong yang menjengkelkan kita rakyat Malaysia. Mereka telah banyak menyusahkan negara kita, membunuh banyak anggota tentera kita dan mengganggu ketenteraman dan keselamatan rakyat seluruhnya. Sekarang kita datang melawat dan memberi duit pula kepada mereka kerana dikenakan bayaran masuk sebanyak RM 15.00. Sungguh tidak puas hati, tapi mengenangkan kita perlu tahu bagaimana keadaan musuh kita maka, kita kunjungi bekas tapak itu semata-mata bagi melihat bagaimana jahatnya mereka dengan ideologi mereka.  Dan kita juga dapat lihat bagaimana tidak jujurnya Thailand kepada Negara kita, kerana mereka seolah-olah menyokong ideologi jahat komunis, kerana di tanahnyalah pergerakan komunis bergerak dan beroperasi. 

Kami meninggalkan Khaw Nam Kang dengan berbagai-bagai perasaan marah, jengkel dan benci. Tapi semua perasaan itu cair dalam lena semasa perjalanan menuju Sadao dan Bukit Kayu Hitam untuk pulang ke kampung halaman di tanah air yang dicintai. Lebih kurang jam 5.30 petang semua urusan kastam dan Imegresen di sempadan selesai. Semua anggota rombongan berpisah dan bersalaman di tempat letak kereta di Balai Polis Bukit Kayu Hitam. Dr Kasri selaku ketua rombongan kajiselidik mengucapkan setinggi ucapan penghargaan terima kasih kepada semua ahli rombongan,  terutamanya Pak Mus dan dua orang pilot van yang telah membantu melancarkan perjalanan dan program kajiselidik itu. Alhamdulillah kajiselidik yang dirancang telah berjaya, dan berjalan lancar seperti yang diaturkan. Dr Kasri berharap semua anggota akan menyiapkan laporan masing-masing, melengkapkan data-data yang diperolehi, menghimpunkan gambar-gambar dan menyiapkan audio visual yang telah diusahakan sepanjang perjalanan kajiselidik selama empat hari itu.

No comments:

Post a Comment