Tuesday, September 8, 2015

YANG SUKAR DILUPAKAN



Lama sudah tidak menulis.Tiba-tiba teringat seorang rakan, dan seorang teman seperjuangan yang sungguh sangat dikagumi. Orang yang kuat bekerja akan menyenanginya. Orang yang komited akan  meniru dan mengunggulinya. Jika tiada akan terasa ketiadaanya. Jika bercakap akan dirasai tepat, ringkas dan padat buah butirannya. Jika menulis akan terasa tertusuk ke sanubari lontaran idea-idea yang bernas dengan bahasa yang sudah pastinya, elok lenggok susunan ayatnya, dan  pemilihan perkataannya menepati tema yang ingin disampaikan. Lontaran idea pada setiap masa pun, sentiasa sesuai dengan matlamat. Jarang tersasar dan  amat  membantu menyelesaikan masalah atau membuka ruang untuk pengembangan dan peningkatan dalam apa jua bidang.  Amat jelas pemikiran di  'luar kotak' yang sungguh bermanfaat untuk kemajuan, sama ada kemajuan organisasi, sumber tenaga atau anak bangsa. Begitulah Puan Ariyaty nama orangnya, Guru Cemerlang Bahasa nama jawatannya, tapi sudah bersara sebelum tiba masanya, tahun 2013 tamat perkhidmatanya. 

Sungguh amat dirasakan kehilangannya selepas bersaranya. Sekolah kehilangan seorang guru yang sungguh amat dedikated, yang meletakkan sekolah dan pelajarnya di atas semuanya. Jabatan Pendidikan  kehilangan sebutir permata yang amat sukar boleh dicari ganti. Sumbangan baktinya dalam kemajuan bidang pendidikan dan kecemerlangan pelajar sukar ditandingi pencapaiannya.  Persaraannya ditangisi anak-anak murid yang mengenalinya, juga seluruh warga sekolah yang sudah dapat melihat kesan ketiadaannya selepas bersara. Memang kata orang yang patah akan tumbuh, yang hilang akan berganti. Namun yang ganti tak akan pernah sama, dan yang tumbuh tak akan boleh setara dengan yang bersara. Begitulah adanya, dan begitulah kenyataannya yang terlaksana oleh kehendak Allah jua. 

Sesungguhnya hanya Allah sahajalah yang layak memberikan anugerah dan nikmatnya kepada guru ini. Manusia memang tidak termampu membalasnya dalam apa jua bentuk balasan sekalipun. Sungguh besar bakti yang dicurahkan, khidmat yang diberikan, pengorbanan yang disajikan, hati dan perasaan yang sedia berkhidmat dengan penuh kasih sayang, dan umur yang dihabiskan dengan penuh kerelaan, ikhlas dan redha.  Itulah dia Puan Hajah Ariaty Basiron, seorang Guru Cemerlang Bahasa Melayu, yang sentiasa seger dalam ingatan sebagai seorang guru sejati, seorang guru yang berjiwa besar dan seorang guru yang sarat menaburkan bakti, kepada semua muridnya yang amat dikasihi. Mudah-mudahan Allah merahmatinya, mengasihinya, dan meredhainya, insya Allah.

 

 

Monday, September 7, 2015

DOA MA'THUR


KULIAH USTAZ WAHID
SURAU DARUL SHIFA
14 OKTOBER 2015

Nabi Mohamamad saw. pernah bersabda, tiada   orang  yang  tersalah doa atau dalam lain perkataan, doanya tidak  didengar oleh Allah. Jika  dipohon doa, Allah akan  ampunkan  dosa, atau  Allah  akan beri  kebaikan  yang dipercepatkan  untuknya. Kadang-kadang ada orang terasa lambat dimakbulkan doanya, itu  barangkali  ada  kebaikan  yang  Allah  simpan  untuknya di akhirat  nanti  kalau  cukup syuratnya. Allah telah berikan kepada umatnya doa-doa yang ma'thur untuk menjadi amalan. Doa-doa ini adalah doa yang menjadi amalan para Nabi dan  para Rasul terdahulu, yang terdapat di dalam Quran, untuk kita jadikan amalan. Mudah-mudahan dengan itu kita akan mendapat keberkatan daripada Allah swt.

Doa 1
Surah Taha ayat 25 - 29
Dua nabi Musa,
Robbishrohli sadri, wayassirli amri,  wahlol uqdatam min lisani, yafqahu  qauli, waj alli waziiran min ahli
Ya Allah, Lapangkanlah bagiku dada  aku, permudahkanlah bagiku tugasku dan lepaskan simpulan dari lidahku atau (fasihkanlah lidah ku), supaya aku cakap betul dan supaya orang  faham akan perkataanku,  dan jadikanlah bagiku seorang penyokong dari keluarga ku

Sabda nabi, tidaklah Allah utuskan manusia untuk jadi khalifah melainkan kepada 2 perkara iaitu menyeru kepada kebaikan dan menghindarkan perkara-perkara keburukan, kalau hendak membuat benda-benda yang baik, akan ada orang memberi pertolongan kepada  pekerjaannya, begitulah sebaliknya.

Doa 2
Surah Al Baqorah ayat 201
Nabi Mohamad saw. banyak menyebut doa ini dan sentiasa berdoa, tanpa jemu.
Robbana a tina fiddun ya hasanah, wafil aa khirati hasanah waa qina azab bannaar
Ya Allah brikanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat. Antara kebaikan dunia ialah kesihatan yang baik , rumah yang lapang, isteri atau suami yang baik, rezeki yang luas, ilmu yang bermanafaat, amalan yang soleh, kenderaan yang sedap dipandu, dan pujian yang baik. Dan akhirat yang elok iaitu syurga, iaitu selamat dari azab neraka, dan aman dan dipermudahkan  daripada kekalutan pada hari qiamat.

Doa 3. 
Surah Ali imran ayat 8
Robbana la tuziaq qulu bana bakda izha daitana wahab lana minladunka rohmah innaka antal wahhab
Wahai Tuhan kami janganlah engkau pesongkan hati kami sesudah Engkau memberi pertunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu, sesungguhnya Engkaulah Tuhan yang melimpah-limpah pemberianNya.

Doa 4. 
Doa Ali Imran 38
Doa Nabi Zakaria
Robbana hablana minladunka  zirriyatan toyyibatan innaka samii 'uddua'
Wahai Tuhanku kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik-baik, sesungguhnya Engkau sentiasa mendengar doa permohonan kami

Doa 5
Robbij 'alni muqii massolah wa min zurriyati Robbana wataqabbal  duaa'

Jadi oleh itu amalkanlah doa-doa yang diberikan Allah dalam alQuran. Nabi  Mohamad bersabda pilihlah masa-masa yang terbaik untuk berdoa seperti beikut:
1.1 Pilih masa- pintu langit terbuka iaitu semasa tentera tengah bergerak menuju fisabilillah
1.2. Ketika turun hujan- mintalah benda yg ada dunia dan akhirat
1.3. Ketika selawat yg fardhu antara azan iqamah dan iqamah dengan sembahyang yg fardhu
Ulamak kata sembahyang dijadikan sebaik-baik masa, maka hendaklah berdoa slps syang
1.4. Antara azan dan iqamah
1.5. Semasa seseorg itu berpuasa
1.6. Semasa waktu sahur dalam bulan puasa
1.7. Pada hari arafah
1.8. Semasa waktu sujud dalam sembahyang
 Bagaimanakah kita berdoa?
1. Tidak perlu mereka-reka doa
2. Doalah dengan suara yg merintih
3. Menghadap qiblat
4. Minta dengan lidah yg hina
5. Yakin dengan Allah Nabi sbt berdoalah kpd Allah dgn yakin, dan Allah x terima doa org yg lalai - tidak khusyuk
6. Ulang 3x
7. Bertaubat dulu sebelum berdoa, jika zalim, kembalikan selesaikan kezaliman kita dulu

Sunday, September 6, 2015

REZEKI YANG BERKAT


Gambar hiasan
Saya petik cerita ini dari whattsap, yang dihantar kepada saya untuk dikongsikan, moga-moga memberi manfaat kepada kehidupan kita menuju ke akhirat:

Seorang lelaki datang menemui Imam Syafie mengadukan tentang kesempitan hidup yang dia alami. Dia memberitahu bahawa dia bekerja sebagai orang upahan dengan gaji sebanyak 5 dirham. Dan gaji itu tidak mencukupi untuknya. Namun anehnya, Imam Syafie langsung menyuruh dia untuk menemui orang yang mengupahnya supaya mengurangkan gajinya menjadi 4 dirham.

Lelaki itu pergi melaksanakan perintah Imam Syafie sekalipun dia tidak faham apa maksud dari suruhan itu. Setelah berlalu beberapa lama lelaki itu datang kembali menemui Imam Syafie mengadukan tentang kehidupannya yang tidak ada kemajuan. Lalu Imam Syafie memerintahkannya untuk kembali menemui orang yang mengupahnya dan minta untuk mengurangkan lagi gajinya menjadi 3 dirham. 


Lelaki itu pun pergi melaksanakan anjuran Imam Syafie dengan perasaan sangat hairan. Setelah berlalu sekian hari lelaki itu kembali lagi menemui Imam Syafie dan berterima kasih atas nasihatnya. Dia menceritakan bahawa wang 3 dirham itu dapat mencukupkan semua keperluan hidupnya, bahkan hidupnya menjadi lapang. Dia menanyakan apa rahsia di sebalik semua itu? 

Gambar hiasan
Imam Syafie menjelaskan bahawa pekerjaan yang dia jalani itu tidak berhak mendapatkan upah lebih dari 3 dirham. Dan kelebihan 2 dirham itu telah mencabut keberkatan harta yang dia miliki ketika bercampur dengannya. Lalu Imam Syafie membacakan sebuah sya'ir yang bermaksud: جمع الحرام على الحلال ليكثره دخل الحرام على الحلال فبعثره  "Dia kumpulkan yang haram dengan yang halal supaya ia menjadi banyak. Yang haram pun masuk ke dalam yang halal lalu ia merosakkannya"

Riwayat kisah itu mengingatkan saya beberapa cerita yang betul-betul terjadi tapi jarang orang mengambil iktibar mengenainya. Kadang-kadang saya bawakan ibarat ini untuk dihayati guru-guru dan staff-staff di sekolah agar mereka dapat bertugas sebaik mungking supaya pendapatan yang diperoleh setimpal dengan upah yang diperolehi. Saya sering menegaskan biarlah tugas titik peluh  kita, melebihi daripada ganjaran upah yang diberi. Kerana Allah sajalah yang selayaknya dapat menilai kerja buat kita, sama ada setimpal atau sebaliknya. Saya ingin berkongsi cerita  yang terjadi di  sekolah  semasa saya masih bertugas, supaya dapat menjadi renungan kita bersama:

 
CERITA 1
Seorang guru selalu memberi alasan kepada saya apabila diberi suatu amanah untuk dilaksanakan, selain tugasan mengajar di dalam kelas. Selalunya apabila diberi tugas dia merungut, marah-marah dan tugasan yang diberi, tidak dilaksanakna mengikut spesifikasi yang sepatutnya, lambat bertindak, buat kerja sambil lewa dan yang lebih teruknya dia tidak masuk kelas, dan membuat kerja semasa masa PdP (pengajaran dan pembelajaran), dengan alasan dia sangat sibuk selepas waktu sekolah dengan urusan anak-anak dan keluarganya yang perlu diberi perhatian yang lebih. Setelah gagal melaksanakan tugasnya berkali-kali, serta tidak mengikut piawai yang sepatutnya, maka terpaksalah tugas itu diberikan kepada guru lain pula. Supaya dengan ini, dapatlah menjamin proses pendidikan supaya dapat berjalan lancar, dan perjalanan sekolah menjadi lebih berkesan. Bila dia tidak lagi memegang tugasan, maka dia pun dengan gembira dan bangganya menghasut rakan-rakan guru yang lain pula: "Senang saja kalau dapat kerja jangan buat elok-elok, nanti akan diberikan tugas itu kepada orang lain, kan selesai masalah...." Maka kuranglah tugasannya selain mengajar, sedangkan rakan yang lain sibuk melaksanakan tugasan yang diagihkan. Namun saya selalu menegaskan, kita tidak boleh bergembira dengan kurangnya bebanan kerja kita, kerana gaji kita tidak pernah berkurang adanya.

Masa pun berlalu, suatu hari dia datang mengadu yang anaknya bermasalah di asrama sebuah sekolah terpilih, kerana masalah disiplin. Dia marah-marah guru-guru di sekolah itu, guru tidak ambil tahu anaknya, tidak membantu perkembangan anaknya, sekolah tidak menyediakan apa yang sepatutnya kepada anaknya, dan ramai guru tidak menjalankan PdP dengan baik. Ada yang tidak masuk kelas pula tu, sebab itulah anaknya yang pandai sejak sekolah rendah, telah merosot pencapaiannya di sekolah itu. Hatinya yang dikatakan senang tidak lagi senang. Masanya yang banyak kerana kurang tugas di sekolah tidak lagi lapang. Perihal anak yang bertimpa-timpa itu, menjadikan dia sangat banyak masalah. Bukan itu saja malah dia menanggung malu yang amat sangat kerana karenah anak yang tidak lagi dapat dikawalnya.

Itulah dia yang saya selalu katakan kepada guru-guru, jika kita memudahkan orang lain,Tuhan akan mempermudahakan urusan kita, jika kita membantu orang lain Allah akan sentiasa membantu kita. Jika kita melaksanakan tugas dengan niat membantu anak-anak yang perlu dididik maka Allah akan membantu memberi kesejahteraan dan perlindungan kepada anak-anak kita. 


 CERITA 2
Seorang tukang kebun, memang sesungguhnya sangat rajin dan tekun bekerja. Dia bekerja dengan penuh minat. Semua kerja buatnya dibuat dengan hati-hati, kemas dan teliti. Dia tidak pernah merungut jika kerja lebih masa, atau jika banyak diminta buat kerja sekali pun. Dari pagi membuat kerja, sehinggalah tengah hari, waktu matahari terik panasnya di kepala. Pada bila-bila masa pun dia kelihatan tekun melaksanakan amanahnya. Tidak pernah terjumpa dia mencuri tulang dalam bekerja. Tidak pernah terasa dia tidak bekerja dengan berkualiti sepanjang masa bekerja. Selalu dipesan kepada staff-staff lain cubalah tiru macam dia, tapi jika tiada kesedaran dari dalam hati sendiri tidak akan menjadi. Sesungguhnya ketekunan bekerja dengan sungguh-sungguh lahir atas kepatuhan dan 'takut' dengan Allah yang menyaksikan segalanya. Jadi memang dapat kita rasakan, gaji yang diterimanya memang setimpal dengan kerja buatnya, malah melebihi daripada upah gajinya.

Cerita gembira ini sangat layak kita kongsikan. Dia cuma seorang tukang kebun, yang rendah pendidikannya. Isterinya juga suri rumah yang setaraf dengannya. Tapi berkat kerjanya yang sungguh-sungguh melebihi upah yang diperolehinya, Allah gantikan 'bayaran' untuk kerjanya itu dengan anak-anak yang pandai-pandai, semua anaknya mencapai keputusan cemerlang untuk semua peperiksaan UPSR, PMR, dan SPM serta dapat melanjutkan pelajaran ke Universiti pula, alhamdulillah. Sesungguhnya Allah bayar kepadanya dengan kesihatan yang baik yang diberikan kepadanya dan keluarganya. Dia tidak pernah mengambil cuti sakit setiap tahun. Dia tidak pernah mengadu menghadapi sebarang masalah, atau ditimpa musibah. Melihat wajahnya, dia sentiasa kelihatan tenang dan gembira menjalani kehidupan sehariannya. Dia bukan saja kelihatan tenang tapi juga dapat menenangkan seiapa saja yang melihatnya. Barangkali itulah harga bayaran kepada titik peluhnya yang tumpah melebihi upah kerja buatnya....

Semoga dengan ini akan memberi motivasi kepada kita untuk bekerja lebih kuat. Kalau kerja kita tidak setimpal malah melebihi jika dibandingkan dengan gaji kita, percayalah Allah akan membayarnya dengan kesenangan, kesejahteraan, kesihatan dan ketenangan hidup yang kita sendiri tidak mampu mengadakannya jika tidak dengan izin dan rahmat dari Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang.