Sunday, September 29, 2013

MAJLIS MOHON RESTU TINGKATAN TIGA


30 SEPTEMBER 2013
8.15 PAGI
DI ANJUNG PETAH BICARA
KEHADIRAN:
SEMUA GURU  DAN MURID TING 3

Seperti biasa setiap tahun sebelum pelajar Tingkatan 3 menduduki peperiksaan PMR mereka akan diraikan dalam suatu majlis sangat bermakna, Majlis Mohon Restu. Majlis ini diadakan tidak lain  untuk menyediakan minda dan memberikan persediaan terakhir, dari segi mental dan fizikal, untuk murid-murid  menduduki PMR. Dengan ini diharapkan mereka mampu  mempunyai kekuatan dan motivasi, seterusnya dapat merasakan sokongan yang berterusan daripada guru-guru yang mengajar dan ibu bapa yang membesarkan dan menyayangi mereka.  Ini kerana PIBG terut memberikan sumbangan dalam menjayakan program ini setiap tahun. Seterusnya diharapkan semua itu menjadi pendorong untuk mereka, supaya dapat menghasilkan keputusan  cemerlang PMR 2013, insyaAllah.

Jika direnung lebih jauh, sebenarnya apa yang guru inginkan daripada majlis ini memang sangat banyak dan bermakna: semua bertujuan sebagai sebahagian daripada pendidikan kepada anak-anak yang sedang membesar dan sedang mencari jati diri. Kita mengharapkan majlis ini dapat:
  • menyemai perasaan menghargai, bersyukur dan berterima kasih kepada guru, ibu bapa  dan pihak sekolah yang telah banyak menabur bakti mendidik murid-murid dalam pelbagai bidang
  • mempunyai semangat tinggi dan kekuatan dalaman yang matap untuk mencapai kecemerlangan
  • mempunyai hubungan yang erat antara sesama pelajar, guru dan pihak sekolah
  • mempunyai keyakinan bahawa kecemerlangan adalah anugerah Allah saw setelah kita berusaha bersunggun-sungguh
  • memohon restu guru, dan ibu bapa  untuk memperoleh keberkatan dan kejayaan dalam peperiksaan PMR dan juga dalam  kehidupan seharian.
Kesimpulannya setelah guru bertongkos-lomos berusaha menyebar ilmu dan membimbing murid dalam usaha menjawab soalan, ditambah pula dengan mendapat restu ibu bapa dan sumbangan PIBG, maka tiadalah daya upaya lagi, selain memohon restu daripada Allah saw. Tiadalah daya untuk membuat kebaikan selain dengan izin Allah jua. Semoga semua pelajar Tingkatan 3, terus tabah dan terus berusaha bersungguh-sungguh untuk menjawab semua soalan dengan cemerlang. Sesungguhnya semua guru mendoakan anda berjaya dengan cemerlang dan mendapat kesejateraan hidup di dunia dan akhirat.

SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN 
SELAMAT MAJU JAYA DENGAN PENUH KEJAYAAN
ANDA SESUNGGUHNYA BAKAL MENCIPTA KECEMERLANGAN!
  


Wednesday, September 25, 2013

PAMERAN FIZIK TINGKATAN 4 SAINS 2 -




MR Darren khusyuk mendengar penjelasan
25 SEPTEMBER 2013
DI ANJUNG SERI GEMILANG
10.30 - 1100 PAGI
GURU BERTUGAS: NOOR AUFA

Dalam kesibukan mesyuarat dan perbincangan dengan Koordinator 'Middle Years Program International Barcalaureate' (MYP IB), sempat juga aku meluangkan sedikit masa melawat Pameran Fizik Pelajar Tingkatan 4 Sains 2. Turut serta Mr Darren yang sangat teruja melihat projek hasil kerja tangan pelajar, yang merupakan sebahagian daripada kehendak filosofi dan pendekatan MYP IB, yang sedang diberi bimbingan dan perkukuhkan kepada kami.


 Melihat hasil tangan ciptaan pelajar berdasarkan  kefahaman mereka kepada topik-topik yang terdapat dalam buku teks, terasa sungguh terharu dan bangga. Sudah lama diminta guru melibatkan pelajar belajar dengan lebih seronok dan mengesankan. Sudah lama  telah ditegaskan bahawa pelajar akan lebih suka belajar jika mereka diberi peluang, menggunakan tangan mereka sendiri menghasilkan bahan-bahan hasil pembelajaran mereka secara peribada atau dalam kumpulan. Terutamanya  mata pelajaran yang dianggapa sukar oleh pelajar seperti Fizik, kerana mereka tidak dapat melihat konsep sesuatu topik, jika tidak dibuat sebarang projek yang boleh dilihat dengan mata kasar. Hari ini telah berjaya ditunjukkan bahawa pelajar boleh buat apa saja, dan pelajar menjadi sungguh kreatif jika guru merancang dan memberi tunjuk cara kepada mereka. 

Bertanya sesuatu ....

Sesungguhnya inilah guru abad 21, guru yang dapat keluar daripada kepompong tradisi. Guru yang  berdaya maju dan kreatif yang berdaya mendorong pelajar supaya dapat 'engaged' dalam proses pembelajaran yang memerlukan mereka berfikir. Guru begini dapat menggerakkan pelajar berfikir secara terbuka dan global demi mencari ilmu melalui proses inkuiri dan mendapat ilmu tanpa dipaksakan, tapi berdaya usaha menggunakan ilmu yang ada untuk terus menambah ilmu yang diperlukan.
 Penuh minat .......

Syabas Puan Noor Aufa, anda menjadi kebanggaan sekolah. Anda menjadikan kami tidak terasa rugi kerajaan memberikan biasiswa kepada anda ke luar negara untuk pulang dan berbakti kepada anak bangsa. Semoga semangat menjadikan pelajar 'open-minded', kreatif dan inovatif, boleh menyelesai masalah, boleh bekerjasama, dan boleh berkomunikasi akan terus mengalir kepada semua guru dalam melaksanakan program MYP IB yang sedang dalam proces permohonan dan penilaian. Jika semua orang menjadi Aufa maka pendidikan di negara ini akan lebih bermakna kerana pelajar mampu berfikir sendiri dan mencari ilmu sendiri tanpa paksaan mana-mana pihak.

Bergambar kenangan bersama pelajar .....



Monday, September 16, 2013

SAMBUTAN AIDILFITRI ASRAMA SMKSB


Ucapan Tn Hj Mohamad Hj Abd Hamid

27 OGOS 2013
2. 30 petang, di Balai Waris Asrama



KHUSYUK MENDENGAR UCAPAN KETUA SEKTOR


  





Kita baru saja lepas bulan Ramadhan, dan selesai menjalani ibadat  puasa. Seperti lazimnya kita kuat dan berazam bersungguh-sungguh untuk menjalankan ibadat puasa dan ibadat-ibadat lain di bulan puasa.  Semangat beribadat itu tidak lain kerana semua percaya akan diberi ganjaran yang tinggi jika beribadat di  bulan mulia. 
UCAPAN PENGETUA
UCAPAN KETUA SEKTOR
Dalam menjalani ibadat, kita semua dengan sedar akur, bahawa kita mesti patuh dan kita semua tanpa banyak soal akur ikut peraturan dan semua ikut tertib. Sebabnya dalam beribadat ada hukum hakamnya, ada syarat wajib, dan  syarat sahnya dan ada sunat-sunatnya. Orang Islam telah diajar ikut peraturan, dalam apa jua ibadat. Orang Islam ada pilihan untuk beribadat bersungguh-sungguh atau beribadat seadanya. Kalau kita boleh memilih untuk beribadat bersungguh-sungguh, dan  boleh memilih untuk patuh peraturan, terutamanya semasa bulan-bulan tertentu, kenapa tidak kita memilih untuk patuh peraturan dalam melaksanakan tugas dan tanggung jawab yang diamanahkan?  Kenapa kita tidak boleh memilih untuk bekerja bersungguh-sungguh,  kerana kerja itu satu ibadat? 





Kenapa kita memilih untuk menjadi pembangkang atau penentang, walaupun  kita amat tahu yang dikatakan menentang  itu, maknanya tidak patuh kepada peraturan dan dikatakan tidak ikut disiplin yang ditentukan. Dalam Islam dengan jelas Allah menyebut, yang dikatakan menentang itu, disebut kufur dalam al-Quran. Yang kufur itu maknanya tidak patuh displin dan peraturan yang Allah tetapkan melalui ajaran Rasul-Rasul yang diutuskan. Jadi orang yang suka menentang itu bolehlah dikatakan orang yang tiada disiplin kerana tidak mengikut disiplin.

CENDERMATA KPD KS

Oleh itu, jika orang selalu berkata  'Disiplin  Tangga Kejayaan'  jadi  sepatutnya orang Islam lebih berjaya daripada orang-orang  lain kerana sudah dilatih dengan disiplin dalam menjalani  ibadat, dan kehidupan seperti yang Allah sebutkan dalan al-Quran.  Seharusnya  amalan disiplin diaplikasikan di tempat lain, terutamanya dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan. Jika boleh buat yang baik kenapa pilih yang buruk? Jika boleh memilih untuk sama-sama bekerja dan melaksanakan tugas, kenapa pilih untuk menjadi orang yang tidak patuh peraturan yang membawa kepada perpecahan dalam organisasi? Bukankah itu berdosa namanya? Bukankah kita semua sangat yakin balasan baik, dan balasan buruk iaitu dosa dan pahala atas segala apa pun perbuatan kita? Nanti  di akhirat akan dihitung, ditimbang dan dihisap semua amalan baik dan amalan buruk, supaya dapatlah  diberi balasan yang baik atau sebaliknya di sana nanti, seperti yang telah dijanjikan Allah.

Iktibarnya  apabila diamanahkan untuk  buat kerja, walaupun banyak kerja dan berat pula, kenalah buat, kalau benda yang kita perlu buat itu baik, buatlah saja, carilah cara untuk buat, tidak ada sebab untuk kita mengelak daripada buat kerja. Apatah lagi menghalang orang daripada buat kerja.

Saturday, September 14, 2013

PESAN SEORANG TEMAN


Apa yang ditulis hari ini ditujukan khusus untuk anak-anak tercinta yang sangat mama sayangi pada setiapa masa dan ketika. Walaupun jauh adanya dari kalian tapi mama akan terus mengajar dan membimbing, semoga kalian semua akan terus menjadi anak yang soleh dan solehah. Kutujukan juga untuk sahabat handai yang menjadi penggemar blog ini mudah-mudahan memberi manafaat, jika inilah sumbangan terakhir yang boleh diberikan. Selamat membaca.....

Berbua-bual dengan seorang teman untuk memperbaiki diri sendiri, memberikan sentuhan yang bukan kepalang. Dengan tenang dan hati-hati, dia memberitahu. Kita manusia, semakin meningkat usia dewasa,  seeloknya semakin dekat kita dengan Allah. Sepatutnya kita berusaha bersungguh-sungguh untuk 'taqarrub'. Maknanya taqarrub itu ialah, kita berusaha bersungguh-sungguh untuk  mendekatkan diri dengan Allah Rabbul Jalil, Allah Yang Maha Berkuasa dan lagi Maha  Penyayang. Bila kita dekat dengan Allah, Allah akan sentiasa dekat dengan kita. Sudah pasti orang yang Allah dekat Allah akan sayang. Bagaimanakah kita boleh mendekatkan diri kita dengan Allah? Bagaimanakah perlakuan mendekatkan diri dengan Allah supaya Allah akan sayang kepada kita dan kita kembali kepadanya, sebagai orang yang disayangiNya. Berikut dicadangkan langkah-langkah menuju 'taqarrub' atau mendekatkan diri kepada Allah:
1. Apabila kita mengerjakan solat, selalulah bayangkan bahawa  solat ini, solat yang terakhir yang boleh kita kerjakan. Maka solatlah dengan sekhusyuk yang boleh, rasakan nikmat bersolat terakhir itu dan mohonlah kemaafan daripada Allah agar diampunkan semua dosa, dan mohonlah supaya diterima solat yang terakhir itu, dengan sebaik-baik balasan. Cubalah laksanakan anda akan dapat rasakan kenikmatan bersolat dan akan dapat dirasakan dekatnya kita dengan Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang.
2.  Setiap kali kita membuat kabaikan dan kebajikan cuba bayangkan bahawa inilah perbuatan yang terakhir yang boleh kita kerjakan. Bayangkan kita sudah tidak ada masa  lagi dan tiada ada peluang lagi untuk berbuat kebajikan kerana ajal kita akan sampai pada bila-bila masa sekejap lagi. Sudah tentu kita akan mengharapkan hanya kepada Allah supaya menerima kebaikan ini, dan memberikan balasan sebaiknya kepada kita kerana kita akan menghadapa Allah sebentar saja lagi. Sudah terntu kita akan berbuat baik tanpa mengharapkan siapa-siapa dan tidak akan ada apa-apa perasaaan lain selain berharap hanya kepada Allah semata-mata. Bayangkan betapa dekatnya kita dengan Allah pada ketika itu, sudah pasti kita dapat merasakan nikmatnya mengharapkan harapan hanya kepada Allah jua. Alangkah indahnya..
3.  Pada setiap hari dan setiap masa, seeloknya  fikiran kita, hati kita dan bibir kita dibasahi dengan zikirullah. Bayangkan kita akan dijemput bila-bila masa saja, jadi sudah terntulah kita akan berzikir sebanyak yang termampu. Kita akan menyebut saja apa yang termampu supaya bila kita dijemput pergi, pasti banyaklah zikirullah yang sempat kita ucapkan. Bayangkan setiap hari kita membayangkan kita akan dijemput Allah pada bila-bila masa jadi sudah tentulah kita akan tidak lupa menyebut nama Allah dan akan berzikir kepada Allah, untuk menjadikan kita kembali kepada Allah sebagai orang yang hampir dengan Allah. Tidak ada lain yang kita harapkan selain Allah  jua adanya.
 
4.  Jika masih ada ibu dan bapa berbuat baiklah kepada mereka. Berilah apa saja yang mereka minta. walaupun kepuasan ibu bapa bukan menerima pemberian dari anak-anak, tetapi berilah kepada mereka untuk mendapat keberkatan kepada diri kita sebagai anak. Berilah sedikit wang gaji kita, walaupun sedikit tapi berterusan supaya berkat hidup kita. Jangan tunggu kita ada duit baru bagi, tapi bagi duit yang sedikit supaya kita akan ada duit, hasil berkatnya rezeki kerana berbakti kepada ibu bapa. Yang penting bukan duit itu kepada ibu bapa tapi ingatan dan sayang kita kepada orang tua kita yang dilihat oleh Allah.

5.Akhir sekali pada setiap hari sepatutnya kita berusaha menuntut ilmu, dan menambah ilmu walaupun sedikit. Bayangkan kita berada di taman-taman syurga, dan kita cuba menimba sebanyak mungkin pahala dengan menuntut ilmu, kerana berada di majlis ilmu selalu dikatakan berada di taman-taman  syurga. Bayangkan ajal kita sudah sampai dan kita pula berada di taman syurga yang Allah suka. Betapa nikmatnya kita merasakan dekat diri kita dengan Allah pencipa yang mencintai kita. Dan jika itu hari terakhir kita alangkah bahagianya kita dijemput pergi dengan mendapat pahala daripada menuntut ilmu di taman-taman syurga.