Sunday, April 3, 2016

TAK PERLU RAKAN KONGSI


HIMPUNAN HADITH QUDSI: BAB 10  HADITH N0.21, 22, 23, 24
RIWAYAT ABU HURAIRAH DAN MUSLIM

Nabi saw bersabda, "Allah yang maha tinggi lagi maha berkat berfirman, "Aku adalah yang paling kaya, daripada rakan-rakan kongsi, Aku tidak memerlukan rakan kongsi. Barangsiapa yang melakukan suatu amalan, dan amalan itu bukan tulin untuk Aku, Aku akan membiarkannya dan langsung tidak akan menerima amalan-amalan itu, Aku akan membiarkannya kepada rakan kongsi". 
"Aku akan berlepas tangan, Aku tidak ada kena mengena denganya dan tidak akan terima sebarang amalan yang dibuat bukan keranaKu, dan bukan semata-mata ikhlas untukKu".
"Ketahuilah bahawa Aku, Allah, adalah sebaik-baik rakan kongsi, Barangsiapa yang melakukan amalan dan mempersekutukanKu, maka untuk amalan itu, Aku berlepas tangan, Aku tidak akan terima. Sesuatu amalan itu bermula dengan niat, jika diniat keranaKu untuk Allah, Aku terima amalan-amalan soleh itu, iaitu amalan-amalan yang dilakukan hanya untuk mendapat keredhaanKu, dan amalan yang mengikut syarak".
Nabi bersabda lagi, "Orang yang melakukan amalan dengan riyak, mendapat masyhur di dunia, di akhirat Allah akan masyhurkannya dengan keburukan-keburukannya".

Pengajaran:
1. Amalan yang dilakukan  kerana untuk mendapat sanjungan dan  pujian  manusia, dibuat dengan adanya perasaan riyak tidak diterima Allah kerana kita sudah mendapat apa yang kita ingini di dunia ini, jadi tiada lagi balasan Allah di akhirat, kerana Allah sudah berlepas tangan, tidak menerima amalan sebegitu. 
2. Amalan-amalan yang dilakukan dengan ikhlas, semata-mata kerana Allah, seperti bersilaturrahim dan sebagainya, Allah akan beri balasan baik sejak di dunia lagi, seperti murah rezeki dan lain-lain keberkatan yang tidak boleh kita fikirkan.
3. Marilah kita beramal dengan penuh keikhlasan dan semata-mata kerana Allah jua adanya, semoga kita mendapat kebaikan di dunia dan kebaikan akhirat sana.  


YANG PALING BERTUAH


HIMPUNAN HADITH QUDSI: BAB 9  HADITH N0.20
RIWAYAT ABU HURAIRAH

Abu Hurairah bertanya kepada Rasulullah saw, berkali-kali, "Siapakah yang paling gembira mendapat syafaatMu wahai kekasih Allah? Nabi bersabda, "Orang yang paling bertuah ialah orang yang mengucap 'Lailaha Illallah', dari hatinya yang sungguh-sungguh ikhlas, faham maksudnya dan maknanya dengan sebenar-benarnya, kemudian dengan rela hati ikut arahan Allah, dengan melaksanakan tanggungjawabnya kepada Allah iaitu mematuhi perintah Allah dan menjauhi laranganNya. 

Seterusnya riwayat daripada Bukhari, Nabi pernah bersabda, "Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas api neraka daripada membakar orang-orang yang mengucap kalimah  'Lailaaha Illallah'  dan mencari keredhaan Allah."

Hadith daripada Bukhari lagi, suatu hari, Abu Zhar pernah berjumpa Nabi saw, yang tertidur dengan pakaian putih, Nabi bersabda, "Tidak ada seorang hamba pun yang mengucap 'Lailahaa Illallah', dan mengekalknnya sampai mati bertemu Tuhan, melainkan dia masuk syurga....."

Pengajaran:
Jika kita inginkan balasan syurga Allah jagalah kalimah syahadah kita dan berpeganglah dengan janji kita itu kepada Allah seikhlas mungkin. Sesungguhnya Allah tidak pernah memungkiri janji.