Thursday, January 26, 2017

33 PESANAN DR HAMID ARSHAT SEMPENA TAHUN 2017 (3)


Berikut disambungkan lagi petikan pesanan yang dirasakan baik untuk kita ambil peduli bagi membantu kesejahteraan hidup dan kebahagiaan yang diimpikan kita semua.
 


13. Bertindak, Berusaha dan Berkerja. 
Jadi orang yang 'action oriented' yang suka dan gembira buat kerja serta menghasilkan sesuatu. Bila suatu cita-cita dan sasaran telah dikenal pasti terus ambil tindakan segera. Jangan tangguh (procrastinate)  ia menjadi pencuri masa.
Jangan  asyik merungut dan mengkritik sahaja.

14. Sangka baik terhadap orang lain. 
Jangan sering buruk sangka terhadap orang lain - kawan-kawan dan jiran kita, pekerja-pekerja sepejabat atau lain-lain.
Fikirkan mereka ada niat baik.
Fikir positif.

15. Bersyukur kepada Allah dan insan lain.
Sentiasa bersyukur atas segala nikmat yang Allah kurniakan - nikmat kesihatan, panca indera normal, rezeki, iman dan kebahagian hidup. Tunaikan hak dan perintah Allah.

16. Cakap lunak dan sedap didengar.  
Cakap-cakap yang berbentuk pujian dan sanjungan dengan ikhlas kepada mereka berhak menjadi penyejuk dan penawar hati dan merupakan suatu sedekah.
Jauhkan cakap-cakap  negatif yang boleh matikan initiatif orang lain. Cakap-cakap positif memberi galakan.

17. Senyum dan ucap salam selalu. 
Jangan terlalu serious. Senyum dan ketawa boleh kurangkan mental stress.
Beri senyuman dan ucap salam kepada orang lain walaupun tidak dikenali, ia merupakan sedekah. Munkin ini akan membuka pintu perkenalan.

18. Beristighfar, taubat dan bermaafan. 
Mohon ampun kepada Allah setiap masa dengan istighfar berulang-ulang kali.
Mohon maaf jika kita buat kesilapan terhadap orang lain. Rendahkan diri.
Jangan buang tenaga membenci orang lain.
Sedia memaafkan orang lain - satu pahala besar dari Allah.

19. Terima teguran dan pendapat orang lain.
Jangan cuba menang dalam semua perbinacangan. 
Menerima dan menghormati pendapat orang lain boleh menjadikan kita dihormati walau pun mungkin kita tidak setuju.
Jangan buang dan sia-siakan masa bercakap fasal politik.

20. Jangan bersedih terhadap cacian, umpatan dan gosip. 
Lebih baik kita mohon perlindungan Allah daripada cuba memberi penjelasan.

21. Kawal kemarahan.  
Jangan balas kemarahan dengan tindakan buruk. Ucap aauzubillah, istighfar dan ambil wuduk. Sabar dan bertenang.

22.  Bertenang ketika pandu kenderaan di jalan raya. 
Jangan bertindak balas kepada provokasi daripada road bully atas kelakuan buruk mereka. Jangan bunyikan horn. Sabar dan bertenang; sentiasa berzikir dan berselawat.

23. Biarkan apa orang fikir tentang diri kita.  
Jika orang berfikiran baik tentang kita ucapkan 'alhamdulillah'. Tetapi jika mereka fikir buruk , jangan risau atau sedih. Kita tahu diri kita sendiri. Yang penting pandangan Allah terhadap kita.

24. Muasabah diri.  
Cermin diri; tanya diri apa baiknya dan kelemahannya.
Jangan bandingkan diri dengan orang lain khususnya yang lebih kaya, lebih tinggi pangkat dan lebih mewah. Tengok ke bawah pada orang-orang yang miskin dan daif.
Kita lihat orang lain pada zahirnya sahaja sedangkan ciri-ciri lain dan dalaman kita tidak ketahui.

25. Kegagalan tangga kepada kejayaan.  
Kegagalan, kerugian niaga dan musibah adalah cubaan hidup. Bersabar, tabah dan terus berusaha. Jangan putus asa. Mohon pertolongan Allah.

26. Masa beredar, persekitaran berubah nasib kita juga akan berubah.  
Segala-gala akan berubah; masalah-masalah akan selesai, yang buruk jadi baik dan kegagalan bertukar kepada kejayaan. Sabar dan solat mohon pertolongan Allah; berusaha dan tawakkal.

27. Jadi seorang pemberi dan pemurah.  
Jadikan satu amalan dan budaya untuk memberi sedekah, beri makan, beri hadiah, beri senyuman, beri galakan dan seterusnya mengikut kemampuan dan kaedaan.

28. Jangan harap balasan dari orang yang kita tolong.  
Tolong orang dengan wang, barangan atau tenaga kerana Allah. Hati ikhlas dan tidak rasa bangga atau riak.
Allah akan balas jasa dengan cara lain dan lebih besar ganjarannya.

29. Mengetahui had diri.  
Kita hanya manusia. Ada had kemampuan. Jangan terlalu ghairah menempuhi risiko.
Sebelum menceburi sesuatu bidang buat analisis, penilaian dan dapatkan nasihat terlebih dahulu. Mampukah kita dari segi ilmu, kemahiran, tenaga dan kewangan. Ingat dan waspada.

30. Bergaul mesra dengan semua lapisan masyarakat.  
Jadi seorang peramah, mudah bergaul dan sesuaikan diri. 'Reach out' kita ambil initiatif mulakan perbualan. Mulakan dengan senyuman dan ucap salam.
Bila berjabat tangan genggam dengan kuat sambil senyum untuk menandakan kita ikhlas dan mesra.

31. Janji mesti ditepati.  
Bila berjanji dengan sesiapa pun untuk sesuatu urusan sama ada hal-hal pekerjaan, kewangan, perayaan, pertemuan atau lain-lain mestilah ditepati.
Jika janji untuk bertemu eloklah kita datang lebih awal dari waktu yang ditetapkan.

32. Bijak mengurus kewangan.  
Buat simpanan sedikit dari pendapatan bulanan dalam tabungan yang dikunci seperti tabung haji dan ASB.
Jangan percaya skim cepat kaya. Sudah beberapa kali tertipu.
Belanja untuk keperluan penting bukan ikut kemahuan. Hidup cara sederhana dan jangan terlalu mewah dengan membeli barang-barang branded.
Waspada bila guna credit card dan perlu selesai bayar sebelum habis tempuh sebulan kerana kadar faedah terlalu tinggi.
Berhutang untuk beli hartanah sahaja kerana ada peningkatan nilai. Jangan berhutang untuk beli barang-barang yang susut nilai.
Selesaikan semua hutang sebelum umur 60 tahun.
Waspada jika ada orang yang hendak berhutang dengan kita. Biasanya hutang tidak akan atau sukar dibayar. Ini pengalaman saya sendiri. Beri dia sedikit sebagai hadiah.

33. Dapatkan restu dan doa ibu bapa.  
Dalam segala urusan yang akan diceburi selain dari mendapat panduan Allah melalui solat istikharah doa dan restu ibu bapa sangat penting.
Sentiasa menghubungi dan ziarahi ibu bapa selagi mereka masih hidup.

RUMUSAN  
Untuk capai kejayaan dan kebahagian  hidup.
Perlu kuat iman dan taqwa
Perlu cara gaya hidup sihat tanpa stress.
Berilmu dan kemahiran tinggi.
Berdisiplin.
Bijak dalam pengurusan.
Berakhlak mulia.
Kuatkan Silaturrahim.

33 PESANAN DR HAMID ARSHAT SEMPENA TAHUN 2017 (2)


Hari ingin kusambung lagi pesanan seterusnya. Semoga memberi manfaat untuk tatapan semua yang dikasihi. 


5. Pileh kerja yang diminati dan memberi keriangan.
Saya berkerja sebagai doktor kerana inilah kerjaya yang saya minati dan gembira melakukannya. Bila rasa boring dan stress di tempat kerja, kita perlu fikirkan cari yang lain.
Kerja saya sebagai pakar bidan memang teruk dan berat tanggung jawabnya. Latihan yang saya lalui memang sangat getir dan mencabar.
Tapi sebab saya minat dan gembira melakukannya kerja ini akhirnya ia menjadi sumber hasil rezeki yang tinggi dan lumayan.
Di samping itu kerja saya jadikan ibadah untuk bekalan saya di akhirat kelak.

6. Amalkan exercise 30 minit setiap hari.
Tidak kira apa jenis exercise asalkan ia menggerakkan tubuh dan kuatkan otot-otot dan sendi; Berjalan kaki, jogging, kayuh basikal, main golf, berenang atau lain-lain saperti basuh kereta atau nencuci rumah.
Saya pilih berkebun (gardening) di sekitar kawasan rumah untuk tanam kangkung, pucuk paku, kacang bendir, daun kari dan kesum, halia, bunga kantan, pokok pisang, kelapa, tebu dan buah markisa. 
Ini sebagai hobby sahaja tapi berkebun (mencangkul, cabut rumput rumpai dan tebas dahan pokok) boleh mengeluarkan peluh di samping memberi berbagai-bagai hasil untuk dimakan.

7. Exercise paru-paru, mata dan kaki.
Amalkan deep breathing exercise selama 5 minit. Bolih dibuat di mana-mana: sedang duduk di pejabat, sedang berdiri atau lain-lain situasi ; sedut nafas panjang-paanjang dan mendalam melalui hidung untuk mengembangkan paru-paru dan hembus keluar dari mulut. Ulang beberapa kali untuk meningkatkan kadungan oksijen dalam paru-paru. 
Ia mengurangkan stress dan hilangkan mengantuk.
Untuk exercise mata ; mula-mula padang jauh dan kemudian fokus pandangan pada jari yang di depan muka.
Cuba jalan naik turun tangga daripada naik lift. Ini bolih baiki aliran darah dan kekuatan jantung.

8. Amalkan catat dalam buku jernal dan diary.
Jadikan satu budaya dan amalan hidup untuk mencatat semua idea, ilham, peristiwa, cita-cita, rancangan, tindakan  kewangan dan lain-lain dalam satu buku kecil yang boleh dibawa ke mana-mana dalam saku baju atau seluar.
Catitan ini sangat berguna untuk mengimbas semula idea-idea dan tindakan demi untuk mencapai cita-cita.
Sampai sekarang berpuluh--puluh buku-buku nota kecil  saya masih saya simpan dan seringkali saya singkap kembali cita-cita, idea-idea dan peristiwa-peristiwa lampau. Memang sangat berguna dan bermanfaat. Saya lihat orang-orang Jepun dan Korea sentiasa mencatatkan butir-butir pertemuan dan perbincangan.

9. Catatkan cita-cita, azam dan sasaran di merata-rata tempat.
Bahagikan cita-cita dan sasaran kepada pecahan-pecahan kecil dan pastikan tempuh serta jangka waktu yang perlu dicapai.
Sasaran kecil mudah dicapai dalam jangka waktu yang pendek dan ini membina serta memperkukuh keyakinan diri untuk capai sasaran lebih besar.
Tuliskan visi dan misi hidup kita bagi jangka panjang dan pendek.
Destinasi kita ada syurga firdaus di akhirat dan berkekalan selama-lamanya.

10. Amalkan baca dan terus membaca.
Untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran sangat penting membaca. Kitab utama ialah Quran dan baca beberapa muka setiap hari serta fahami makna. Insha Allah dapat barakah dan dipermudah urusan dunia.
Timba ilmu sehingga akhir hayat kita dari mana-mana sumber khususnya dalam bidang kerjaya  dan  hobby kita.

11. Uruskan masa dengan bijak.
Kerja 40 jam seminggu iaitu 8 jam sehari dan 5 hari seminggu biasanya mencukupi. Bersedia untuk kerja overtime khususnya bila mula berniaga atau berlatih dalam bidang kerjaya masing-masing.
Pernah saya kerja 72 jam berterusan sebagai doktor pelatih di hospital Melaka.
Ingat tubuh badan kita dan minda ada hak untuk berehat.
Ingat jangan jadi hamba kerja.
Jangan merungut tidak cukup masa untuk menyiapkan sesuatu tugas. Bila bijak mengurus masa masalah kesuntukan tidak akan timbul.
Jangan membazirkan masa dengan menonton terlalu banyak rancangan televisyen atau bermain video games.

12. Banyak minum air.
Badan perlu air untuk menghidupkan organ-organ penting saperti jantung otak dan buah pinggang. Kekurangan air menyebabkan dehydration yang mengganggu fungsi organ.
Orang lelaki perlu 3 liter dan perempuan perlu 2.2 liter sehari. Minum air mineral , air zam-zam atau air masak suam.
Minum juz buahan segar - air kelapa muda, air jambu, air limau nipis/kasturi.
Minum air halia atau cuka apel dengan madu.

Sekian dulu semoga memberi manfaat mana -mana yang sesuai, insha Allah

 

Monday, January 9, 2017

33 PESANAN DR HAMID ARSHAT SEMPENA TAHUN 2017


Pesanan ini sengaja dipetik dari orang terkemuka dan kutujukanya kepada anak-anak dan cucu-cucu tersayang sebagai kenang-kenangan jika suatu hari nanti kalian sudah tidak lagi bersama ku. Apa yang ditulis oleh Dr Hamid hampir sama dengan apa yang aku praktikkan sepanjang menjalani  kehidupanku, sejak muda hinggalah sudah menjangkau usia yang hampir senja. Seperti mana Dr Hamid yang bahagia dengan kehidupannya, aku juga dengan izin dan takdir Allah, sungguh amat bahagia menjalani kehidupan berkeluarga. Dalam usia menjangkau 60 tahun, dan menikmati kehidupan berumah tangga selama sudah lebih 34 tahun, alhamdulillah Allah aturkan aku masih sihat, di samping anak-anak dan cucu-cucu yang juga diberikan kesihatan yang bai-baik adanya. Berikut diturunkan cacatan Dr Hamid supaya menjadi bacaan anak-anak dan cucu-cucu dan sesiapa yang melayari ruangan ini agar dapat menjadi panduan untuk kejayaan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat insyaa Allah. Mudah-mudahan dapat memberi manfaat walaupun sepotong ayat.

1. Tidur awal
Jadikan amalan dan budaya untuk tidur awal. Bila kita penat kerja mudah kita tidur. Kalau sukar tidur cuba baca Quran tentu mudah tidur. Jangan lupa baca fatihah, ayat kursi, 3 Qul,zikir, istighfar dan selawat sebelum tidur. Juga jadi amalan baik ambil wudhuk sebelum tidur. Sebaiknya kita tidur 7 jam setiap hari. Selepas solat zohor ambil 'power nap' antara 10-15 minit. Ia beri tenaga untuk terus kerja hingga petang.

2. Bangun awal 
Saya bangun jam 5 pagi. Loceng jam dan radio alarm akan berbunyi setiap pagi. Sering saya terkejut dulu sebelum loceng bunyi kerana loceng alarm dalam minda saya sudah tergerak. Baca doa bangun tidur 'Alhamdulillahil lazi ahyana ba'da amatana wa ilai hinnusyur', baca istighfar,dan selawat sebelum ke tandas. Saya kejutkan isteri, Saya solat tahajjud 4 rakaat dan witir 3 rakaat, kemudian tahlil arwah-arwah ibu bapa dan saudara-saudara. Zikir  panjang sebelum menuju masjid untuk solat subuh berjemaah. Sempurnakan solat lima waktu dan Rukun Islam yang lain.

3. Sarapan seperti raja
Amalkan makan sarapan pagi yang sempurna dan mengeyangkan untuk membekalkan tenaga dan kekuatan bila bekerja. Saya makan buah-buahan dulu biasanya 3 bitir kurma dan seterunya 2 biji telur rebus setengah masak, dicampur kicap manis dimakan dengan 2 keping roti  multigrain toasted disapu cheese, Minum nescafe susu satu mug. Saya kurangkan makan tengah hari dan malam. di samping banyak makan buah-buahan dan salad.

4. Supplemen vitamin dan lain-lain
Selepas sarapan saya makan supplemen-supplemen vitamin dan antioxidants. Saya kongsi makan obimin, calcium dan fishoil dengan isteri, sudah berpuluh tahun saya amalkan.Saya makan yang lain seperti resveraterol, dan Q10 yang baik untuk kesihatan jantung dan pil NuFocus untuk tenaga dan anti stress, Vitamin C 500 mg, dan kalau saya dalam perjalanan atau kurang sihat saya makan vitamin C 1-2 gm sehari. walaupun saya banyak makan buah dan sayur-sayur saya perlu supplemen-supplemen tersebut.

Setakat ini dulu, nanti saya akan sambung yang seterusnya ya. 

Sunday, January 8, 2017

DYTM TUNKU ABDUL MALIK: RAJA MUDA KEDAH




DYTM Tuanku Raja Muda Kedah
Tunku Haji Abdul Malik Ibni Almarhum Sultan Badlishah
Oleh: Hajah Rahinun binti Mohd Noor,
Diterbitkan oleh Buletin Lindungan Bulan 2016 


Tanggal 29 November 2015, rakyat negeri Kedah telah dikejutkan dengan berita sedih kemangkatan DYTM Tuanku Raja Muda Kedah. Berita  sedih dan dukacita itu telah dimaklumkan bahawa Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah Darul Aman, Tunku Haji Abdul Malik Ibni Almarhum Sultan Badlishah, telah mangkat di Hospital Sultanah Bahiyah, kira-kira pukul 1 pagi, pada usia 86 tahun. Baginda mangkat akibat kegeringan dan sakit tua, lebih kurang 2 bulan selepas kemangkatan isteri baginda Almarhum Tengku Hajah Raudzah.

Mengenang kembali riwayat hidup baginda, Tunku Abdul Malik diputerakan pada 24 Sptember 1929 di Istana Anak Bukit, Kedah. Tunku Abdul Malik merupakan adinda kepada Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah. Baginda merupakan putera kepada pasangan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Badlishah Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah dan Yang Amat Mulia Tunku Sofiah Binti Almarhum Tunku Mahmud. 

Tunku Abdul Malik mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Titi Gajah. Di sinilah baginda berpeluang dapat bergaul dengan rakan-rakan yang menjadikannya lebih memahami akan kehidupan dan keadaan hidup rakyat.  Selepas itu baginda menyambung pelajaran menengah ke Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar. Kemudian baginda melanjutkan pendidikan ke peringkat tinggi di Wadham College, Oxford, United Kingdom, dalam bidang Ilmu Kemasyarakatan dan Pentadbiran Awam.

Tunku Abdul Malik menamatkan zaman bujangnya apabila bertemu jodoh dengan puteri Sultan Selangor iaitu Yang Amat Mulia Tengku Raudzah Binti Sultan Hisamuddin Alam Shah AlHaj. Baginda berkahwin pada 16 Julai 1956 di Istana Bukit Kota, Alor Star.

Apabila Ayahanda baginda mangkat pada 13 Julai 1958 dan kekanda baginda Tunku Abdul Halim dilantik sebagai Sultan Kedah, baginda telah berkenan untuk mengurniakan gelaran Yang Teramat Mulia Tunku Bendahara Kedah kepada Tunku Abdul Malik pada 23 Februari 1959. Akhirnya Tuanku Sultan telah berkenan melantik Tunku Abdul Malik sebagai Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah berkuatkuasa 28 November 1981.

Oleh kerana baginda menceburi bidang pendidikan  dalam  Ilmu Kemasyarakatan, maka  tidak hairanlah baginda telah berkenan menjadi Penaung kepada Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), sejak persatuan ini  diasaskan pada tahun 1956, sehingalah kemangkatan baginda. Di bawah naungan baginda persatuan ini bergerak semakin hari semakin maju. Sehingga kini PSMCK sudah genap mencecah usia 60 tahun, sehingga dapat memantapkan budaya dan jati diri masyarakat Kedah, melalui kecintaan terhadap sejarah. PSMCK bergerak aktif dalam memasyarakatkan ilmu sejarah, melalui pelbagai aktiviti yang direncanakan saban tahun. Sehubungan itu, Baginda DYTM Raja Muda Tunku Abd Malik, telah memberikan sokongan yang kuat kepada PSMCK dalam setiap aktiviti yang dilaksanakan pada setiap masa. PSMCK amat merasakan kehilangan baginda kerana sepanjang penglibatan Baginda, boleh dikatakan setiap agenda besar PSMCK akan mendapat sentuhan baginda. Setiap majlis besar juga akan diserikan jua. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh baginda dan dimasukkan di kalangan orang-orang yang beriman. Amin.