Thursday, March 26, 2020

SERANGAN COVID 19


Ya Allah, sejak bulan Januari, Februari hingga Mac ini semua orang di seluruh dunia bercakap tentang corona virus desease 2019. Virus ini cepat sungguh merebak, ia dipanggil COVID 19. Bermula di Wuhan daerah Hubei China, sejak bulan disember 2019. Wabak ini menyerang China dengan sungguh cepat dan rakus. Ramai terkena jangkitan, beribu-ribu orang dijangkiti, rebakannya bagaikan sekelip mata, hospital menjadi sesak, barisan hadapan hampir burn-out, dan peralatan semakin mengurang dan ramai pula yang mati.  Akhirnya seluruh China wabak dah merebak. Kemudiannya dengan cepat pula ia merebak ke Hong Kong, Shanghai, Korea dan juga beberapa negara lain. Jangkitan yang meluas ini kerana keadaan waktu itu bulan Januari, ramai orang China berpusu-pusu balik ke kampung untuk meraikan perayaan Tahun Baru China. Di samping  itu, ramai juga pelancong luar dan pelancong China yang keluar masuk ikut keperluan masing-masing pada musim cuti hujung tahun.

Sedang kita mengikuti dan membaca berita-berita wabak yang ganas itu, tiba-tiba kita dikejutkan dengan jangkitan pertama dibawa  dari dua orang pelancong China dan seorang rakyat Malaysia yang balik dari China untuk beraya. Mereka dikarantin, dan orang-orang yang ada kontek dengan mereka dikesan, disaring dan diisolasi di Hospital di Johor Baharu, Sungai Buluh, dan Langkawi. Alhamdulillah selepas dua minggu mereka sembuh dan dibenar keluar hospital. Namun gelombang kedua dan ketiga pula muncul dan berlakulah pertambahan pesakit yang mendadak dan jumlah kematian pun meningkat. Antara kluster yang menyebabkan merebaknya virus dengan banyak ialah seorang pegawai dari Khazanah yang baru balik dari urusan rasmi di China, dan perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling seramai lebih kurang 15 000 orang peserta, dari seluruh negara.  Maka bertebaranlah mangsa-mangsa wabak dari Perlis hingga ke Sabah Sarawak. Melihat berita keadaan pesakit dan mangsa yang meninggal, rakyat jadi bingung. Mana tidaknya semasa diisolasi, dan jika ajal sampai sekalipun, tiada keluarga boleh melawat. Jenazah kita dibawa oleh 6 anggota polis ke kuburan. Tiada seorang pun ahli keluarga  yang dibenarkan ikut serta. Amat memilukan sekali, tapi begitulah hakikatnya kerana virus corona ini.
 
Rakyat semakin runsing melihat rebakan virus yang sangat cepat bagaikan sekelip mata, jumlah pesakit meningkat dengan mendadak. Maka kerajaan pun mengumumkan sekatan pergerakan mulai 14 Mac hingga 31 Mac 2020. Rakyat dirayu supaya tidak keluar rumah, tidak mengadakan  sebarang perjumpaan, membatalkan semua jenis acara rasmi dan membatalkan semua keramaian dan juga kenduri kahwin sekali pun. Namun rakyat tidak merasakan betapa pentingnya duduk di rumah. Kereta di jalan masih banyak, orang di kedai masih ramai, dan pasar masih seperti biasa. Jadi bilangan mangsa jangkitan tidak bekurangan. Kematian pun semakin bertambah-tambah.

Kami terus mengikuti cerita. Hospital dibanjiri pesakit. Di Alor Setar Unit Kecemasan sudah menjadi unit pesakit covid. Satu ruang telah dikosongkan untuk menampung pesakit-pesakit yang bertambah mendadak. Satu khemah besar telah disiapkan untuk ujian saringan pesakit yang tiba-tiba menjadi ramai. Dan sekarang hospital lama dikososongkan untuk dijadikan wad isolasi pesakit-pesakit jangkitan covid 19.

Hari itu Khamis 19 Mac, seperti biasa adik balik dari hospital hampir senja.  Tapi lama dia tidak keluar, sedang sibuk berbual di telefon, itu perkara biasa. Tiba-tiba aku dikejutkan dengan berita dia dikhuatiri ada kontek dengan pesakit covid, jadi dia diarahkan mesti self-quarantin di rumah selama 14 hari.  Ya Allah bagaimana lagi dapat aku katakan, Engkau maha mengaturkan, lagi maha mengetahui, Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim. Aku minta adik mandi, bersihkan badan di luar rumah dan ganti baju yang baru. Selesai semuanya dia telefeon dan kami semua masuk ke bilik memberi lauan kepadnya untuk naik ke biliknya. Ya Allah terasa hancur luluh hati ku. Ibu mana yang sanggup melihat anaknya sakit. Tapi dalam hati aku sangat yakin Allah akan membantu aku. Malam itu kami semua baca Yaasin, kami berdoa bersungguh-sungguh minta Allah diselamatkan adik dari virus, minta kami semua dijauhi daripada jangkitan virus itu.  Hari Jumaat kami buat pembersihan kereta adik luar dan dalam, supaya bersih daripada virus. Hari Sabtu pagi adik hadir ke hospital untuk buat ujian saringan. Dalam hati Ya Allah aku sungguh berharap semuanya akan baik-baik saja.  Alhamdulillah hari Isnin dapat keputusan ujian saringan negatif virus covid.
Syukur alhamdulillah Ya Allah Engkau maha mengaturkan takdir. Maha suci engkau Ya Allah, semua kami rasa lega dan terus memohon ampun minta kebaikan di dunia dan akhirat. Adik diminta untuk terus karantin hingga 14 hari. Sejak hari Jumaat adik berkurung di dalam biliknya saja. Makan minum semua  dihantar, untuk mengelakkan kontek dengan kami. Tapi oleh kerana kekurangan staff di Unit Kecemasan, dia diminta buat saringan kedua pada hari Isnin. Diharapkan ujian ini pun negatif, dan jika positif adik akan mula bekerja semula. Alhamdulillah ujian kedua juga negatif. Aku peluk adik erat-erat. Sungguh rindu untuk memeluknya, sejak dia disuruh karantin kami hanya berbual dan berurusan melalui telefon. Kadang-kadang bercakap di sebalik  pintu yang tertutup rapat pula. Ya Allah nikmat apa lagi yang kami dustakan, sungguh Engkau maha penyayang lagi maha bijaksana. Maka mulai 30 Mac adik  pun mula bekerja semula. Ya Allah aku serahkan anak-anakku kepada Mu, Engkaulah yang selayaknya menguruskan mereka. Engkau pinjamkan mereka kepadaku, jadi sejahterakan meraka Ya Allah. Sesungguhnya aku amat bersyukur dengan segala nikmat yang Engkau berikan, nikmat yang tak terhitungkan, Ya Allah, nikmat yang melimpah ruah Ya Allah, namum kadang-kadang kami kurang bersyukur Ya Allah, Ya Rahman Ya Rahiiim, ampuni kami Ya Allah.





Friday, March 6, 2020

TAKDIR YANG TERTULIS




Sejak emak sakit bermula 26 April 2016, sehinggalah dia dibawa balik ke rumah ku 1 Mei 2016, emak sudah tidak boleh berdiri, dan dia tidak boleh menggerakkan kaki dan tangan kirinya lagi. Puas aku cuba membantu emak untuk berdiri supaya dia boleh diajar berjalan semula, tapi tiada daya upaya aku. Kudrat aku seorang perempuan tidak kuat untuk memimpinmya. Aku menangis setiap hari mengenangkan aku tak berdaya membantunya. Mujurlah papa kuat memberi sokongan buat aku terus dapat bertahan.

'Jangan sedih, kerosakan otak mak teruk. Dia tak sama macam abah dulu, sikit ja pendarahan dia. Terimalah, dia akan begitu entah sampai bila. Jangan terkejut, dia bukan akan bertambah baik, tapi dia akan semakin menurun keadaannya. Kita kena bersedia, untuk apa sekali pun. Berdoalah yang baik-baik insyAllah, berserah sajalah, kita pun tak tau takdirnya, terimalah seadanya,tapi hidup mesti diteruskan.'

Mengenang kata-kata papa aku terus dapat bertahan dengan izin Allah, dan barangkali berkat doa yang tak pernah jemu-jemu dipohonkan pada setiap masa, aku dapatlah tenang bersama mak. Papa sentiasa membantu alhamdulillah, aku amat bersyukur semoga Allah berikan balasan yang setimpal untuknya. Dia menjadi pendengar yang setia, dan dia menjadi pendengar yang baik sehingga segala yang terbuku di hati dapat dileraikan. 
'Yang penting macam mana kita nak buat untuk memudahkan kita nak jaga mak.' 

Selepas itu papa lengkapkan bilik emak seperti bilik hospital kelas satu - beli katil hospital, dan pasangkan televisyen, supaya mak tak sunyi. Bilik along disusun dan diubahsuai menjadi seperti bilik wad kelas satu, kemas selesa dan cantik. Kasihan along sejak dari kecil dia sentiasa berkorban biliknya untuk orang lain. Teima kasih along anak yang sangat baik dan banyak berkorban. 

Di situlah kami berhimpun anak beranak untuk beramai dengan mak. Alhamdulillah hingga sekarang mak sudah hampir 4 tahun sakit stroke tapi dia masih boleh kenal dan ingat anak cucunya, dia masih boleh tidur lena dan dia masih seperti dia yang dulu, walaupun tak boleh makan solid food tapi dengan susu yang diberi dengan tiup, dia kelihatan sihatlah seperti orang sakit stroke. Alhamdulillah. Ya Allah berilah husnol khotimah kepada mak di akhir hayatnya, aamiin.


Virus Corona COVID 19


Bulan Disember 2019 dunia dikejutkan dengan serangan virus corona.  Virus ini dikenali sebagai Corona Virus Desease. Oleh kerana ia bermula pada tahun 2019, maka ia dipanggil sebagai COVID19. Rebakan virus ini bermula di Wuhan China. Ia sejenis virus berasal dari haiwan-haiwan liar yang dijual di pasar basah Wuhan.   Makanan eksotik kegemaran masyarakat China ini sebelumnya tidak pernah popular diketahui umum. Bila berlaku serangan virus yang tak terkawal lagi, perkara ini menjadi berita sensasi dan sekaligus menjadi popular ke seluruh dunia. Bukan saja beritanya yang menggemparkan dunia, malah jangkitan virus yang merebak dengan cepat juga turut menggoncang hati penduduk dunia. Ini kerana virus daripada binatang itu kemudiannya berpindah dan merebak dengan cepat kepada manusia, yang boleh menyebabkan kematian kerana ia menyerang paru-paru manusia.

Hanya pada bulan Januari 2020, Kerajaan negara China baru menyekat pergerakan penduduknya. Semua mereka diarah tidak keluar rumah, kedai-kedai ditutup, kenderaan awam diberhentikan operasi, malah semua penerbangan masuk dan keluar diberhentikan perkhidmatan. Tapi malangnya virus sudah pun tersebar keluar kerana  sebelum mereka tersedar akan masalah itu, pelancong-pelancong yang berkunjung ke China dan rakyatkya yang keluar untuk pelbagai urusan di seluruh dunia, telah membawa bersama mereka virus yang mebawa maut itu.

Maka banyaklah negara  termasuk Malaysia yang telah mengesan adanya jangkitan corona virus kepada penduduk tempatan, atau pelancong China yang masuk ke negara Malaysia. Maka Kementerian Kesihatan Malaysia pun dengan cepat bertindak mengadakan bilik isolasi, di tempat-tempat yang terdapat pesakit corona virus iaitu di Hospital Langkawi, Hospital Sungai Buluh,, Johor Baharu, dan Alor Setar. 

Aku pun sangat terkesan dengan isu semasa ini kerana 3 orang anak terlibat secara langsung, Alang, Adik dan Along, bertugas di Hospital Sungai Buluh, Hospital Alor Setar dan Hospital Shah Alam. Dan seorang lagi Angah, terlibat secara langsung menyediakan Bilik Isolasi di hospital-hospital di seluruh negeri. Ini tugas Angah sebagai pegawai di Kementeria Kesihatan Malaysia (KKM). Dan yang paling dikasihi suamiku juga terpaksa berhadapan dengan pesakit yang tidak tahu tentang pergerakan mereka. Entah terjangkit corona, entah terjumpa pesakit corono, semuanya tidak pasti dan amat membahayakan.  Maka pada setiap hari, yang dapat aku buat ialah berdoa untuk keselamatan anak-anakku dan juga berdoa untuk suamiku yang sangat  terdedah dengan pesakit corona virus di kliniknya sendiri di Pendang.

Allahumma ya baariik, ya Allah yang maha menguruskan, tolonglah uruskanlah anak-anakku dan suamiku serta seluruh doktor dan petugas KKM yang bertugas untuk membantu mangsa-mangsa yang terlibat. Sesungguhnya Engkau  maha mengetahui ya Allah, Engkau maha pengasih ya Allah lagi maha mendengar doaku ini, Ya Allah, tolonglah kami semua, tolonglah lindungi kami semua daripada mara bahaya musibah yang Engkau berikan kepada manusia yang zalim ini. Ampuni kami ya Allah sesungguhnya kami terdiri daripada orang-orang yang zalim. Virus ini juga makhlukMu ya Allah, lindungi kami daripada bahayanya, ya Allah.  InsyaAllah dengan rahim dan rahmatMu bahaya ini akan cepat berakhir. Kami hanya mampu berusaha, Engkalah juga yang menentukan takdir apa pun jua yang Engkai ingini, kasihani kami ya Allah. Aamiin Ya Robbal aalamiin.