Thursday, March 26, 2020

SERANGAN COVID 19


Ya Allah, sejak bulan Januari, Februari hingga Mac ini semua orang di seluruh dunia bercakap tentang corona virus desease 2019. Virus ini cepat sungguh merebak, ia dipanggil COVID 19. Bermula di Wuhan daerah Hubei China, sejak bulan disember 2019. Wabak ini menyerang China dengan sungguh cepat dan rakus. Ramai terkena jangkitan, beribu-ribu orang dijangkiti, rebakannya bagaikan sekelip mata, hospital menjadi sesak, barisan hadapan hampir burn-out, dan peralatan semakin mengurang dan ramai pula yang mati.  Akhirnya seluruh China wabak dah merebak. Kemudiannya dengan cepat pula ia merebak ke Hong Kong, Shanghai, Korea dan juga beberapa negara lain. Jangkitan yang meluas ini kerana keadaan waktu itu bulan Januari, ramai orang China berpusu-pusu balik ke kampung untuk meraikan perayaan Tahun Baru China. Di samping  itu, ramai juga pelancong luar dan pelancong China yang keluar masuk ikut keperluan masing-masing pada musim cuti hujung tahun.

Sedang kita mengikuti dan membaca berita-berita wabak yang ganas itu, tiba-tiba kita dikejutkan dengan jangkitan pertama dibawa  dari dua orang pelancong China dan seorang rakyat Malaysia yang balik dari China untuk beraya. Mereka dikarantin, dan orang-orang yang ada kontek dengan mereka dikesan, disaring dan diisolasi di Hospital di Johor Baharu, Sungai Buluh, dan Langkawi. Alhamdulillah selepas dua minggu mereka sembuh dan dibenar keluar hospital. Namun gelombang kedua dan ketiga pula muncul dan berlakulah pertambahan pesakit yang mendadak dan jumlah kematian pun meningkat. Antara kluster yang menyebabkan merebaknya virus dengan banyak ialah seorang pegawai dari Khazanah yang baru balik dari urusan rasmi di China, dan perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling seramai lebih kurang 15 000 orang peserta, dari seluruh negara.  Maka bertebaranlah mangsa-mangsa wabak dari Perlis hingga ke Sabah Sarawak. Melihat berita keadaan pesakit dan mangsa yang meninggal, rakyat jadi bingung. Mana tidaknya semasa diisolasi, dan jika ajal sampai sekalipun, tiada keluarga boleh melawat. Jenazah kita dibawa oleh 6 anggota polis ke kuburan. Tiada seorang pun ahli keluarga  yang dibenarkan ikut serta. Amat memilukan sekali, tapi begitulah hakikatnya kerana virus corona ini.
 
Rakyat semakin runsing melihat rebakan virus yang sangat cepat bagaikan sekelip mata, jumlah pesakit meningkat dengan mendadak. Maka kerajaan pun mengumumkan sekatan pergerakan mulai 14 Mac hingga 31 Mac 2020. Rakyat dirayu supaya tidak keluar rumah, tidak mengadakan  sebarang perjumpaan, membatalkan semua jenis acara rasmi dan membatalkan semua keramaian dan juga kenduri kahwin sekali pun. Namun rakyat tidak merasakan betapa pentingnya duduk di rumah. Kereta di jalan masih banyak, orang di kedai masih ramai, dan pasar masih seperti biasa. Jadi bilangan mangsa jangkitan tidak bekurangan. Kematian pun semakin bertambah-tambah.

Kami terus mengikuti cerita. Hospital dibanjiri pesakit. Di Alor Setar Unit Kecemasan sudah menjadi unit pesakit covid. Satu ruang telah dikosongkan untuk menampung pesakit-pesakit yang bertambah mendadak. Satu khemah besar telah disiapkan untuk ujian saringan pesakit yang tiba-tiba menjadi ramai. Dan sekarang hospital lama dikososongkan untuk dijadikan wad isolasi pesakit-pesakit jangkitan covid 19.

Hari itu Khamis 19 Mac, seperti biasa adik balik dari hospital hampir senja.  Tapi lama dia tidak keluar, sedang sibuk berbual di telefon, itu perkara biasa. Tiba-tiba aku dikejutkan dengan berita dia dikhuatiri ada kontek dengan pesakit covid, jadi dia diarahkan mesti self-quarantin di rumah selama 14 hari.  Ya Allah bagaimana lagi dapat aku katakan, Engkau maha mengaturkan, lagi maha mengetahui, Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim. Aku minta adik mandi, bersihkan badan di luar rumah dan ganti baju yang baru. Selesai semuanya dia telefeon dan kami semua masuk ke bilik memberi lauan kepadnya untuk naik ke biliknya. Ya Allah terasa hancur luluh hati ku. Ibu mana yang sanggup melihat anaknya sakit. Tapi dalam hati aku sangat yakin Allah akan membantu aku. Malam itu kami semua baca Yaasin, kami berdoa bersungguh-sungguh minta Allah diselamatkan adik dari virus, minta kami semua dijauhi daripada jangkitan virus itu.  Hari Jumaat kami buat pembersihan kereta adik luar dan dalam, supaya bersih daripada virus. Hari Sabtu pagi adik hadir ke hospital untuk buat ujian saringan. Dalam hati Ya Allah aku sungguh berharap semuanya akan baik-baik saja.  Alhamdulillah hari Isnin dapat keputusan ujian saringan negatif virus covid.
Syukur alhamdulillah Ya Allah Engkau maha mengaturkan takdir. Maha suci engkau Ya Allah, semua kami rasa lega dan terus memohon ampun minta kebaikan di dunia dan akhirat. Adik diminta untuk terus karantin hingga 14 hari. Sejak hari Jumaat adik berkurung di dalam biliknya saja. Makan minum semua  dihantar, untuk mengelakkan kontek dengan kami. Tapi oleh kerana kekurangan staff di Unit Kecemasan, dia diminta buat saringan kedua pada hari Isnin. Diharapkan ujian ini pun negatif, dan jika positif adik akan mula bekerja semula. Alhamdulillah ujian kedua juga negatif. Aku peluk adik erat-erat. Sungguh rindu untuk memeluknya, sejak dia disuruh karantin kami hanya berbual dan berurusan melalui telefon. Kadang-kadang bercakap di sebalik  pintu yang tertutup rapat pula. Ya Allah nikmat apa lagi yang kami dustakan, sungguh Engkau maha penyayang lagi maha bijaksana. Maka mulai 30 Mac adik  pun mula bekerja semula. Ya Allah aku serahkan anak-anakku kepada Mu, Engkaulah yang selayaknya menguruskan mereka. Engkau pinjamkan mereka kepadaku, jadi sejahterakan meraka Ya Allah. Sesungguhnya aku amat bersyukur dengan segala nikmat yang Engkau berikan, nikmat yang tak terhitungkan, Ya Allah, nikmat yang melimpah ruah Ya Allah, namum kadang-kadang kami kurang bersyukur Ya Allah, Ya Rahman Ya Rahiiim, ampuni kami Ya Allah.





No comments:

Post a Comment