Thursday, December 29, 2011

SIAPA PUN TAK MAHU

'Tolonglah saya cik gu, saya harap sangat cik gu dapat tolong saya.'
Susah juga memikirkan masalah ni. Kalau tak di tolong susah, kalau nak tolong pun susah
'Cik gu, saya bukan tak mahu jaga dia, cuma saya berniaga, sehari suntuk di luar rumah. Semua anak saya lelaki pula tu, tak elok bila saya tak ada di rumah.'

'Tak adakah emak saudara, atau bapa saudara lain yang boleh bantu beri dia tempat tinggal sementara, bantu dia beri tempat perlindungan, sementara dia boleh berdikari.'
'Susah cik gu, adik saya yang lawyer tu tinggal di Pulau Pingang, tak ada orang gaji, lagi pun isteri dia macam tak senang, selalu mengelak bila berbincang tentang budak ni.'

'Tulah, saya rasa nak menolong tapi, nak masukkan dia di asrama susah juga, kalau dia kononnya sukar ditegur. Tambah lagi kalau dia juga dikatakan agak degil, dan kurang mendengar cakap. Kalau di asrama pelajar yang degil susah dibentuk seab kita ada ramai pelajar yang mesti dijaga dan diberi perhatian.'
'Saya rayu cikgu tolonglah saya, kalau tidak tak tahu mana saya nak letakkan dia, kerana memang saya tak mampu jaga dia di rumah saya. Ini saja yang saya rasa saya mampu buat. Letakkan dia di asrama dan hujung minggu dia boleh alik rumah saya, kerana saya ada di rumah'

Aku memang bingung nak beri pertolongan, sudah nampak budak ini memang bermasalah, takut nanti jadi virus kepada pelajar lain pula. Tapi sayu juga mengenangkan nasib seorang anak yang tidak diingini oleh siapa-siapa - bapa di penjara, ibu entah di mana, kaum keluarga merasa terbeban pula dengannya. Alangkah malangnya menjadi insan yang siapa pun tidak mahu. Alangkah sedihnya menjadi manusia yang menyusahkan semua orang. Alangkah kejamnya dunia ini. Belum lagi boleh berdikari, terpaksa menanggunng bebab perasaan setinggi ini.

Mengenangkan nasib seburuk itu, aku masukkan juga dia ke asrama. Aku berharap dia akan menghargai peluang yang diberikan kepadanya, agar dia dapat terus bersekolah di samping ada tempat untuk berteduh.