Wednesday, January 20, 2021

PESAN NABI INGAT 5 PERKARA

Nabi telah berpesan ingat 5 perkara: 1. muda sebelum tua, 2. sihat sebelum sakit, 3. kaya sebelum miskin, 4. lapang sebelum susah, dan  5. hidup sebelum mati. 

Sekarang aku sudah mencecah usia tua. Ternyata memang banyak perkaranya yang telah terabaikan untuk dilaksanakan, semasa aku masih muda. Tapi aku masih bersyukur kerana telah tersedar juga, bahawa dalam keterbatasan usia, aku memohon kepadaMu Ya Allah agar dikurniakan sedikit masa untuk dapat terus berusaha melaksanakan apa yang masih terdaya mampu dibuat  walaupun dalam usia yang telah hampir senja.  Semoga Engkau beri kelapangan kepada Ku. Ya Allah dulu masa muda ku, aku habiskan mendidik anak-anakku menjadi anak-anak soleh. Aku berikan pelajaran dunia dan akhirat kepada mereka. Kini mereka telah berjaya menjadi orang besar, bergaji besar dan semoga meraka dapat berbakti kepada agamaMu ya Allah. Ya Allah bimbinglah mereka dan redhalah ke atas mereka. Ya Allah aku serahkan mereka kepadaMu ya Allah, kerana aku yakin Engkau lebih sayang mereka walaupun aku amat menyayangi mereka melebihi apa saja. Semoga Engkau terima itu sebagai amalanku yang baik-baik  Ya Allah, semoga Engkau redha ke atasku Ya Allah. Sesungguhnya aku ini termasuk golongan orang yang zalim ampuni aku ya Allah.

Sekarang juga telah mula merasai sakit, baik penyakit atau sakit-sakit biasa ia sudah mula dirasai. Dulu sakit-sakit demam batuk saja. Sekarang sudah mula darah tinggi, sudah mula sakit urat sana sini, dan merasa sakit gigi, sebab badan dah berumur tidak muda lagi. Jadi kuranglah lagi keupayaan kita dalam menjalani kehidupan yang semakin  lanjut usia. Ya Allah kami hanya dapat memohon agar diberikan kemudahan dalam kami mengharungi hidup walaupun  keadaan kami sudah mula menghadapi sakit-sakit. Semoga dengan itu gugurlah dosa-dosa kami insyaAllah. Jika kami ditakdirkan sakit ya Allah permudahkan urusan kami dalam apa jua keadaan, kerana menjadikan segala yang mudah bagi kami adalah sangat mudah bagiMu.

Ya Allah Engkau berikan kami rezeki yang melimpah ruah kepada kami. Syukur alhamdulillah, kami sudah merasa cukup dengan apa yang kami miliki. Nabi berpesan jika umatku merasa cukup maka, maka sudah kayalah orang itu. Walaupun pada pandangan mata kamit tidak sekaya orang-orang kaya, namun kami masih boleh bersedekah, berinfak dan sebagainya. Bukakan pintu-pintu rahmatMu ya Allah agar kami tidak jadi orang yang kedekut dan berkira-kira dengan rezeki kurniaanMu. Sesungguhnya tiada daya upaya kami untuk berbuat kebajikan melainkan dengan keizinanMu jua dan tiada upaya kami berbuat kejahatan melainkan dengan keizinanMu jua adanya. Lindungi kami dari jalan mungkar ya Allah. Dorong kami ke jalan kebaikan ya Allah, agar kami sentiasa dapat melaksanakan kebajikan, pada setiap masa, seperti yang KekasihMu telah tunjukkan dahulu.

Ya Allah syukur padaMu aku masih dapat rasakan kelapangan walaupun dalam kesusahan yang berbagai. Ya Allah redhalah ke atas ku supaya Engkau dapat terus  memberikan kelapangan hati dan perasaan kepada ku, pada setiap masa dan ketika. Tiada daya upaya ku untuk apa saja melainkan dengan keizinanMu jua. Ya Allah, sesungguhnya aku telah redha dengan semua pemberianMu, dengan segala takdirMu. Ya Allah aku mohon kepada Mu sungguh-sungguh, jadikan anak-anak ku anak-anak yang memberikan kebaikan kepada hidup ku dan juga memberikan kebaikan setelah matiku. Mereka anak-anak yang baik, aku sangat berbangga dan bersyukur Engkau anugerahkan mereka lahir dari darahku. Aku amat bersyukur Engkau takdirkan mereka tidak pernah mendatangkan masalah kepadaku. Aku sangat bahagia dengan kehadiran mereka. Ya Allah rahmati mereka, bimbing mereka dan aku serahkan mereka kepadaMu, kerana Engkau maha menguruskan yang baik-baik untuk mereka. Aku hanya menunggu saat bertemu denganMu, berilah aku syurga Mu atas rahman Mu, dan redhalah ke atas ku yang hina ini. Sesungguhnya aku ini tergolong orang yang zalim ampuni aku ya Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang.


Saturday, January 2, 2021

SELAMAT TINGGAL 2020

 

SELAMAT TINGGAL TAHUN 2020. 

Sebelum tiba tahun 2020, semua orang tertunggu-tunggu. Pernah satu ketika tahun 2020 dikaitkan dengan negara maju, dan dikaitkan dengan wawasan 2020. Ramai yang merancang pelbagai program untuk menyambut ambang tahun 2020. Tapi manusia merancang Allah jua yang menntukan. Tahun 2019 diakhiri dengan penularan wabak corona. Ia bermula di China dari daerah Wuhan, kononnya merebak daripada pasar basah yang menjual pelbagai binatang makanan orang China. Virus ini  kemudiannya dengan cepat merebak  ke banyak  daerah lain di China. Kemudia dengan sangat pantas ia merebak ke banyak negara lain ke seluruh dunia. Oleh sebab ia bermula dalam tahun 2019 maka ia dikenali sebagai covid 19. Kini di seluruh dunia wabak ini menjadi satu pendemik yang perlu ditangani oleh kita semua. Tidak tahu bila ia akan berakhir hanya Allah saja yang ada jawapannya. Jadi marilah kita semu berdoa agar Allah ampuni kita semua dan semoga di tahun yang baru ini tahun 2021, Allah akan membantu kita. Ya Allah angkatlah wabak ini ya Allah. Engkau yang memberikan penyakit kepada kami, kami yakin sudah tentu Engkaulah yang amat berkuasa menyembuhkannya, insyaAllah. Kami hanya berserah kepadaMu, bantulah kami Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim. 

Walau bagaimanapun kehidupan kami tetap diteruskan. Sepanjang tahun 2020 kami mula hidup dengan norma baharu selepas menjalani kehidupan dalam keadaan Mematuhi Perintah Kawalan Pengawalan Pergerakan (PKPP) bermula 18 Mac 2020 sehingga 31 September 2020. Kami hanya duduk rumah, bekerja dari rumah, mesyuarat dari rumah dan belajar dari rumah. Kami belajar menyesesuaikan diri dengan norma baharu yang dianjurkan Kerajaan. Kerajaan tetapkan SOP, dan meminta rakyat  menjaga SOP. Jika perlu keluar rumah mestilah  pakai topeng muka, mesti basuh tangan dengan pencuci pada setiap masa, mesti jaga jarak dalam satu meter jauh dari orang laing, dan mesti  jauhi tempat sesak dan mengelakkan sebarang perhimpunan.

Sehubungan itu banyaklah drama berlaku dalam kehidupan, Ada anak terkandas di rumah nenek, ada suami isteri terkandas tidak boleh rentas negeri, Ada jua rakyat Malaysia terkandas di luar negeri, dan banyak pelajar Malaysia terkandas di Indonesia, di China, Di Mesir dan banyak lagi. Mereka memohon misi bantuan untuk pulang ke Malaysia kerana penularan wabak yang teruk di negara tempat mereka belajar. Pekerja Malaysia di Singapura juga ramai tidak boleh berulang alik pergi kerja setiap hari, terpaksa tinggal di sana. Akhirnya Malaysia membenarkan rakyat Malaysia pulang ke Malaysia tanpa perlu dikarantin di pusat karantin, sebaliknya menjalani karantin di rumah sahaja. Maka beribu-ribu rakyat Malaysia pulang termasuklah anakandaku Azfar suami adik. Dia karantin di rumahnya di Johor. Aku senang hati sebab sejak Mac adik tidak berjumpa suaminya yang terkandas di Singapura. Alhamdulillah aku berdoa agar PKPP ini akan segera berakhir supaya dapatlah adik selalu berjumpa dengan suami

Dalam suasana berharap PKPP akan berakhir rupanya ia tiada kesudahan, berpanjangan lepas sebulan ke sebulan. Dan alangkah sedihnya aku dalam suasana ketidaktentuan itu,  adik pula tamat housemanship, dan dapat posting di Johor, sedangkan Azfar terpaksa balik bekerja ke Singapura. Alangkah hancurluluhnya hati seorang ibu untuk melepaskan anaknya untuk hidup dalam PKPP seorang diri jauh di perantauan. Apa kan daya, aku hanya mampu berdoa. Aku dapat bayangkan kehidupan yang akan adik lalui di sana sebatang kara, di tempat yang baru, suasana kerja yang baru dan segalanya akan jadi sangat asing baginya tanpa ayah ibu dan suami tercinta. Tapi sebagai ibu aku sangat yakin Allah sangat halus urusan dan tadbirannya, insyAllah segalanya akan selamat kerana Allah maha pengasih, maha penyayang dan maha bijaksana. Ya Allah aku serahkan anakku ini dalam urusanMu, Engkau sahajalah tempat kami bergantung harap, berikan yang terbaik untuk mereka dan berikan kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat kepada semua anak-anakku, aamiin.