Wednesday, February 18, 2015

EKSPEDISI ARKEOLOGI


Delegasi Jepun Ke Jeniang, Lembah Bujang dan Sungai Batu
Satu hari bersama dengan delegasi Jepun dari Konsortium Pemuliharaan Warisan Asia Tenggara sungguh membuka luas mata hati anak Kedah yang kerdil ini. Kami orang biasa yang tiada kuasa apa-apa. Tapi kami sangat sayang negeri Kedah negeri kami ini. Sejarah Kedah tersimpul kukuh di kalangan sarjana-sarjana di Menara gading, sejarahwan dan sebilangan kecil sukarelawan pencinta sejarah seperti Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah dan beberapa orang perseorangan sahaja. Jadi rakyat negeri Kedah tercinta ini, kurang berpeluang menghayati sejarah agung negeri ini, dan kurang mengetahui bahawa sebenarnya negeri Kedah ini telahpun  mendokong satu tamadun agung yang tersimpan pada tinggalan-tinggalan arkeologi di  kawasan Sungai Batu, Lembah Bujang Merbok, Jeniang dan kawasan sekitarnya. Disebabkan keunggulan itulah telah mengundang beberapa orang sarjana dari Jepun  untuk membuat kajian lapangan ke Kampung Gading Jeniang, yang dipercayai sebagai salah sebuah Pusat peleburan besi zaman purba seawal abad ke-3 Masihi.

Ketua Projek lawatan Dr Ibrahim selepas taklimat
 di tapak peleburan besi Jeniang
Perjalanan ke situ tidaklah begitu jauh, tapi setibanya kami ke sana, sungguh rasa terharu kerana jumpaan besar itu hanya orang yang tahu sahaja dapat sampai ke sana. Tiada papan tanda yang menyebut dan memberi panduan perjalanan serta boleh menunjukkan kepada pengguna jalan raya dan rakyat Kedah amnya, bahawa di Kawasan itu terdapat satu kawasan yang perlu dikunjungi dan dilawati. Kalaulah ada papan tanda dan penunjuk jalan bermula dari susur keluar lebuhraya Gurun dan di simpang jalan Jeniang ke Kampung itu, sudah tentu lebih ramai rakyat Kedah dan pelancong juga pengunjung ke negeri Kedah, tahu tentang kewujudan tinggalan tamadun besar hasil kerja pasukan aekeologi dari USM itu. Maka sudah pastilah keagungan Kedah akan menjadi kebanggaan orang Kedah dan keagungannya akan tersebar luas di kalangan rakyat Kedah dan rakyat Malaysia amnya, serta pelancong luar juga.
Di Muzeum Arkeologi Lembah Bujang
Kemudian kami bergerak ke Muzeum Arkeologi Lembah Bujang (LB) pula. Selepas taklimat ringkas diadakan pula sessi dialog antara pihak Muzeum dan pasukan delegasi Jepun. Nampaknya mereka berminat untuk mengadakan hubungan kerjasama dalam kajian dan pemuliharaan artifak tinggalan arkeologi yang ada di Kedah. Hubungan itu barangkali dalam bentuk kepakaran arkeologi, tapi nampaknya agak sukar, kerana melalui perbincangan didapati negeri Kedah yang kaya dengan artifak arkeologi tidak mempunyai seorang pakar arkeologi walaupun seorang dalam bidang arkeologi di Perbadanan Muzeun Negeri Kedah. Oleh itu aset besar negeri Kedah ini, tidak begitu mendapat liputan meluas kerana Pakar arkeologi yang ada sekarang, adalah pakar dari Universiti Sains Malaysia bersama kumpulannya, giat menjalankan kerja-kerja pemuliharaan tapak-tapak, yang ada di Sungai Batu. Sementara Muzeum Arkeologi LB adalah di bawah tadbiran Jabatan Muzeum, menjaga Candi-Candi dan Muzeum di Lembah Bujang, maka kuranglah publisiti dan perancangan yang sepatutnya bagi mempromosikan tapak-tapak arkeologi bagi pelancongan negeri Kedah barangkali, kita pun kurang pasti

Rombongan yang mengiringi pasukan penyelidik Jepun
 di Sg Batu bersama Dato Wan Shamsudin
Seterusnya dalam perbincangan itu, pegawai dari Kerajaan negeri Kedah juga mengesahkan, di kalangan mereka tiada kepakaran arkeologi, dan di UUM juga tiada pengajian khusus dalam bidang arkeologi yang di tawarkan setakat ini. Jadi tidak tahulah bagaimana jumpaan aset besar kepunyaan negeri tercinta ini, dapat diketengahkan agar menjadi gah ke  seluruh Kedah khususnya, dan Malaysia amnya serta seantero dunia, oleh kerajaan negeri, tiada mempunyai pakar-pakar yang selayaknya.




Wednesday, February 4, 2015

CIRI INSAN TERPILIH SURAH ALFURQAN


KULIAH SUBUH
SURAH AL-FURQAN
AYAT 63  Maksudnya,
"Dan hamba Allah yang 'ibaadurrahman' (insan terpilih) ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini."
 CIRI-CIRI INSAN TERPILIH:
1.  Rendah hati
Insan terpilih ini berjalan dengan tidak sombong walaupun siapa kita, kerana kita sedar kita hamba Allah, jadi kita jalan dengan penuh tawadhuk takut kepada Allah - Luqman pernah berpesan kepada anaknya bersederhanalah kamu dalam semua urusan dunia, termasuklah urusan mencari rezeki, pastikanlah dilakukan  dengan penuh batasan yang halal, kerana yang halal itu terang dan yang haram juga terang. Jadikanlah pedoman  apabila mencari rezeki eloklah kita berpegang kepada hadis dan al-Quran.
2.  Lemah lembut
Apabila berkata atau dalam sebarang pertuturan berkata yang baik-baik sahaja. Jika berlaku sebarang perselisihan faham dan pendangan, akan sentiasa memaafkan orang lain. Dalam banyak perkara insan jenis ini sentiasa menahan lisannya dan tidak cepat melatah, kerana dalam al-Quran banyak Allah sebut dan ditunjukkan bahawa orang yang menahan lisannya dimuliakan.
3.  Rajin sembahyang malam
Sesungguhnya orang yang rajin bertahajjud memang merupakan insan pilihan kerana bukanlah mudah untuk meninggalkan tempat tidur yang empuk untuk bertahajjud. Orang yang rajin bertahajjud akan sentiasa sihat dan kuat, dan dijanjikan dengan pelbagai ganjaran tidak ternilai oleh Allah.
4.  Jauhi api neraka - doa agar dijauhi daripada perkara yang boleh membawa kepada balasan api neraka
5.  Sederhana dalam berbelanja - untuk diri sendiri, keluarga, sahabat handai dan banyakkan bersedekah
6.  Tidak menyekutukan Allah
7.  Tidak melakukan pembunuhan - jiwa orang atau jiwa sendiri
8.  Tidak berzina - jauhi sungguh-sungguh fitnah wanita
9.  Tidak menjadi saksi palsu
10.  Tidak mengikut perbuatan yang tidak berfaedah - lalai tidak mengingati Allah
11.  Laksanakan semua perintah Allah dan jauhi perkara yang dilarang Allah
12.  Mendoakan keluarga dan semua orang


Monday, February 2, 2015

UMRAH MABRUR -TAZKIRAH US IZZUDDIN ANDALUSIA


25 JANUARI 2015
DALAM BAS NO 1 - 2.30 PETANG
PERJALANAN KE JEDAH UNTUK PULANG KE TANAH AIR


Menunggu kamar di Madinah



Selesai solat

Menghayati jihad Nabi di Jabal Uhud


Kita semua dikira sangat bertuah kerana telah dipilih Allah, dan diizinkan Allah, telah selesai dan dengan selamatnya berziarah ke Makam Rasulullah yang kita cintai. Kita juga amat bersyukur dan dikira bertuah kerana telah dijemput menjadi tetamu Allah, dan diizinkan Allah selesai melaksanakan umrah. Sekarang pula dalam perjalanan pulang ke tanah air bakal bertemu kaum keluarga dan sanak saudara semuanya. Semuanya dengan izin Allah dan kehendak Allah jua adanya. Marilah kita memanjatkan setinggi syukur ke Hadhrat Allah swt, kerana Dialah selayaknya yang mengaturkan segalanya untuk kita.



Sekadar untuk renungan bersama,  tujuan kita berkunjung ke Mekah ini, tidak lain untuk menunaikan ibadat khususnya umrah. Dalam zaman serba moden dan dikatakan mewah ini, semua orang mampu dan boleh usahakan untuk tujuan kerja umrah ke Mekah  dan ziarah Makam Rasulullah di Madinah. Boleh dikatakan semua orang mampu dari segi kewangan. Marilah kita tinjau sejenak, umrah yang kita idamkan itu semua kita inginkan umrah yang mabrur.


Umrah yang mabrur itu tidak semudahnya kita peroleh, kerana untuk mendapatkan sesuatu yang baik dari Allah, sudah tentulah mesti melalui siri ujian-ujian yang Allah sediakan, dan mestilah lulus siri-siri ujian Allah itu pula dengan jayanya. Cuba kita imbau perjalanan kita yang dirancang dengan teliti ini oleh manusia, tapi bagi Allah telah disediakan satu silibus ujian untuk kita tempuhi sebagai ujian kepada kita ke arah mencapai umrah yang mabrur. Allah maha mengetahui segalanya, kita merancang sebaik manapun, ketentuannya hanya Allah jua yang maha mengetahui. Jadi fikirkanlah dan renungkanlah adakah kita telah lulus ujian-ujian itu dengan jayanya?.


Keduanya, semasa di Mekah dan Madinah kita belajar dan mengamalkan berbagai-bagai amalan, perkara baik-baik yang Allah perintahkan kepada kita dengan tekun dan baik sekali. Kita sangat istiqamah melaksanakannya dengan sungguh-sungguh. Kita belajar menepati waktu solat, ke mesjid di awal waktu, beriktikaf, sembahyang sunat, berqiamullail, berzikir, sembahyang berjemaah, dan sembahyang jenazah boleh dikatakan setiap waktu solat. Umrah yang mabrur ialah umrah yang membawa tuannya terus beristiqamah melaksanakan apa yang dibuat di tanah suci Mekah sebagai amalan yang berterusan yang dapat dilaksanakan selepas pulangnya kita  ke rumah nanti. Umrah yang mabrur menggerakkan tuannya setiap saat, sangat cinta sunah Rasul dan tuntutan Allah, sehingga dapat terus berkunjung ke mesjid untuk solat berjemaah di sana tanpa alasan, tanpa henti dengan tekunnya. Di samping itu, umrah mabrur juga dapat menggerakkan tuannya agar terus dapat berqiamullail di malam hari, dengan istiqamahnya, dan sentiasa berzikir membasahkan  lidah mengingati Allah yang maha pemurah, tanpa henti, dengan penuh kasihnya, walau di mana jua adanya.



Ketiganya, semasa menjadi tetamu Allah kita mendidik perasaan dan hati kita dengan pelbagai sifat yang baik-baik belaka. Sentiasa mendoakan ibu bapa dan muslimin muslimat seluruhnya, rajin bersedekah, sabar sedaya mungkin, dan redha menerima qadha dan qadar yang ditentukan. Apakah nanti semua sifat baik ini akan terus menjadi amalan secara berterusan lagi istiqamah pula? Apakah sifat-sifat baik ini dapat didorongkan dan disebarkan, supaya semua anak-anak, sanak saudara, dan sahabat handai juga, turut terdorong mengamalkannya? Umrah yang mabrur dapat menyaksikan semuanya itu terus kekal diamalkan dengan istiqamah dan orang lain juga akan turut dapat mengamalkannya  bersama-sama dengan rela dan redha, tanpa dipaksakan.




Semoga renungan ringkas ini dapat menarik jiwa kita untuk menilai diri kita, dan umrah yang kita telah laksanakan, setelah dijemput menjadi tetamu Allah untuk  sekian lamanya. Semoga   semangat cintakan Rasullullah akan dapat dinikmati dan mendorong kita terus beribadat mengikut sunah Nabi, sebagai tanda kasih dan cintanya kita kepada baginda.



CUTI SEKOLAH DI MEKAH MADINAH


Sungguh meriah musim cuti sekolah di Madinah. Kemeriahan ini amat dirasakan di Kota Madinah, khususnya di Mesjid Nabawi. Seluruh keluarga dari sekecil-kecilnya hingga sebesar-besarnya mengunjugi kota suci itu seolah-olah berpesta, seolah-olah tiada malamnya, siang dan malam sama saja pesuh sesak orang bersembahyang, beriktikaf, berzikir dan membaca al-Quran tanpa henti, setiap masa, pagi petang, siang dan malam. Selepas Isyak kelihatan setiap keluarga duduk di perkarangan mesjid, menikmati juadah mengalas perut dalam dingin cuaca, dalam kumpulan masing-masing. Anak-anak kecil yang sudah kenyang bermain dengan gembiranya, manakala yang dewasa dan yang tua berbual-bual sambil tidak lupa berzikir dan dan berselawat kerana tasbih tidak pernah henti-henti digerakkan jari jemari mereka. Tiba waktu sembahyang semuanya menunaikan tanggung jawab; walaupun siibu yang beranak kecil dengan bayi yang dalam kendongan sehinggalah bayi yang baru boleh duduk atau anak kecil yang baru boleh berdiri, sehinggalah situa yang berkerusi roda, semuanya berjemaah di mesjid. Ramainya anak kecil yang dibawa ke mesjid, sehingga bila heningnya waktu sujud kedengaran dengan jelas suara anak-anak kecil menangis ditinggalkan ibunya untuk solat, kedengaran bersahut-sahutan pula adanya.

Begitulah juga di Mekah penuh sesak pengunjungnya sehingga lagi setengah jam tiba waktu sembahyang, polis sudah menutup laluan ke dalam mesjid, maka sembahyanglah di dataran di sekeliling mesjid, yang di situpun penuh sesak dengan manusia. Selesai berjemaah maka berkumpullah setiap keluarga masing-masing untuk makan pagi, makan tengah hari atau makan malam. Siang atau malam, pagi atau petang sama sahaja, setiap masa di semua tempat dipenuhi manusia yang dijemput menjadi tetamu Allah terutamanya orang-orang Arab yang bercuti sekolah selama dua minggu itu. Mereka berebut-rebut peluang beribadat kepada Allah pada setiap masa - sembahyang, tawaf, umrah, berzikir, membaca Quran atau beriktikaf, berjariah, dan melihat Kaabah - pada setiap ketika, dan setiap hari adanya.

Alangkah syahdunya, sejak dari kecil, semasa bayi lagi hingga ke alam kanak-kanak, sehingga meningkat remaja, menjadi dewasa dan semakin menjadi tua, dapat dirasakan kemeriahan bila tibanya musim cuti sekolah. Sermuanya menyumbang kepada pembentukan jiwa, kekentaalan rohani dan jati diri mukmin sejati. Alangkah, alangkah.....tiada lagi kata yang dapat diungkapkan, Allahurobbi, Allahhuakbar, subhallahwabihadihi subhanallahal azim.

MENJADI TETAMU ALLAH


Sudah sekian lama sejak 1992, dan 1996 tersimpan rasa rindu yang teramat sangat. Setiap saban tahun sahabat handai khabarkan telah dijemput Ilahi menjadi tetamuNya, jauh di sudut hati tersimpan satu azam aku akan ke sana jua nantinya. Mudah-mudahan Allah akan menjemputku menjadi tetamuNya, insyaa Allah, aku berharap sangat-sangat ia akan menjadi kenyataan. Kutanamkan cita-cita besar itu, setiap detik dan saat ku panjatkan doa agar sampai jua jemputan itu nantinya. Alhamdulillah tanggal 15 Januari 2015 (15.1.15) hasrat murni itu datang jua akhirnya. Aku telah ditakdirkan menjadi tetamu ke rumah Allah bersama teman hidup yang kusayang. Aku amat bersyukur masa yang dinantikan akhirnya menjadi realiti, kami berkunjung ke bumi Madinah dahulu, sebelum menjadi tetamu Allah di Mekah, menaiki Saudia Air Chartered. 

Pada anak-anak dikhabarkan, jangan papar gambar di fb atau di mana-manapun. Kenapa? Memang sengaja tidak dihebahkan takut nanti hati diganggu bisikan yang tidak disukai. Cuma keluarga terdekat dan jiran-jiran yang ke surau saja yang mendengar khabar gembira ini. Ini pun agar tidak menimbulkan fitnah. Perjalanan yang sudah lama ditunggu ini ingin dirasai nikmatnya, kegembiraannya dan rasa syukurnya hanya kepada Dia. Tidak ingin kalau boleh, ada noda walau setitik perasaan terhadap manusia. Perjalanan ini barangkali amat sesuai dengan tema syarikat yang dipilih, Penyucian Jiwa Di Tanah Suci. Jadi biarlah akan nanti berlaku sebenar-benarnya penyucian jiwa, jika boleh tidak mahu diganggu kestabilan emosi untuk nantinya menjadi tetamu yang hina dina lagi dhaif ini sejak sekian lamanya menanti.

Rasanya sudah sekian lama memendam rasa rindu dendam ini. Jadi hendaknya rindu dendam ini menjadi satu pengabdian yang sungguh-sungguh tanpa menghiraukan siapa-siapa lagi. Rasanya kami berdua hanya akan menyerahkan rasa rindu ini semata-mata, bertumpu kepadaMu. Rasa rindu ini juga akan dihabiskan mengunjungi KekasihMu dengan sungguh-sungguh dan tekun. Sungguh tiada yang lain lagi, tiada rasa untuk apa-apa lagi, cuma memuji selawat dan salam buat junjungan besar Nabi saw, dengan beriktikaf dan beribadat di mesjid kekasihMu itu. Seakan-akan tidak cukup masa berada di bumi bertuah, bumi Madinah ini. Dengan rasa yang amat berat, dan dengan doa agar akan diberi peluang lagi mengunjungi KekasihMu Ya Allah, kami meninggalkan Madinah, dengan satu perasaan, bagai tidak puas bersama junjungan besar Nabi Mohammad saw, di Mesjid Kekasih Mu itu Ya Allah. Kami pulang dengan hati yang berat, untuk nantinya dapat datang lagi, bagi menziarahiMu wahai kekasih Allah, yang sentiasa dirindui adanya.

Selepas 4 hari di Madinah, kami pun dijemput menjadi tetamu Allah,  ke Makkah al Mukarramah. Alluhurobbiiii... tiada lagi perkataan yang dapat dikatakan selain bersyukur ke hadhratMu ya Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang. Engkau jemput kami ya Allah, kami menjadi tetamuMu ya Allah. Terimakah kami ya Allah, terimalah taubat kami ya Allah, ampunilah dosa kami ya Allah, ampunilah dosa kedua ibu bapa kami ya Allah, ampunilah dosa anak-anak kami ya Allah. Berilah kepada kami perkara-perkara yang menyenangkan hati kami daripada zuriat kami ya Allah. Berilah kebaikan di dunia kepada kami dan kebaikan di akhirat kepada kami ya Allah, ya rahman, ya aziz, ya jabbar. Amin ya robbal aalamin. Sesungguhnya 6 hari di Mekah amat berharga untuk kami yang sangat merinduiNya...... Mudah-mudahan akan tiba masanya nanti, kami akan dijemput lagi menjadi tetamuNya insya Allah...