Saturday, June 30, 2018

DAY 9: 20 APRIL 2018: JUMAAT: SARAJEVO - BIHAC (BOSNIA)


20 APRIL 2018: JUMAAT
SARAJEVO - BIHAC (BOSNIA)

Bandar Sarajevo yang moden dan cantik
Kesan perang kelihatan bangunan yang ditembusi  peluru di dinding 
Pagi yang cukup dingin, kami mulakan dengan solat subuh di surau Hotel Hollywood, hotel 5 bintang yang cantik ini. Suraunya terletak di tingkat 1 Blok A. Kami melalui kedai-kedai yang masih tutup dan masih gelap lagi untuk ke surau. Sungguh syahdu dapat berjemaah bersama-sama jemaah yang lain, seperti saudara adanya, ditambah pula dengan lunaknya bacaan Imam, kami menikmati surah Al-Waqiah di pagi yang dingin itu.  Kemudian kami bersarapan. Seperti biasa menunya perlbagai jenis roti, bijirin, buah-buahan dan minuman yang berbagai-bagai jenis. Pagi itu kami diberi masa hingga jam 10.30, sebelum check-out, agar dapat berjalan-jalan ke pasaraya terdekat. Ramailah yang mengambil peluang keemasan itu, sambil melihat-lihat bandar Sarajevo.

Pagi di Bosnia
Banyak masjid yang cantik di Sarajevo
Sungai yang bersih di tengah bandar Sarajevo mengalir tenang
Kawasan penempatan di Sarajevo
Kemudian tepat jamnya Mr Berto memulakan perjalanan kami menuju ke destinasi yang telah diaturkan. Cuaca pagi ini di sepanjang jalan kelihatan cerah tapi dingin dan nyaman dirasakan. Mr Berto membawa kami untuk merasai city-tour bandar Sarajevo.  Bandarnya memang moden dan cantik. Kami ditunjukkan dengan beberapa bangunan yang rosak teruk dan tidak dapat dipulihkan lagi akibat musnah semasa perang contohnya seperti bangunan Rumah Orang Tua. 

Sedih melihat bangunan yang sudah hampir musnah sepenuhnya. Seperti terasa keperitan dan kepedihan yang dialami penduduk Sarajevo waktu itu. Masha Allah, hanya Allah yang maha tahu, kerana apa pun yang terjadi walau kelihatan seburuk manapun kepada kita, tapi itulah yang terbaik untuk kita, yang Allah takdirkan sebagai qadha dan qadar kita. 
Kami meninggalkan bandar Sarajevo dengan perlbagai perasaan sedih, terharu, suka dan duka. Di kiri kanan jalan dalam perjalanan kelihatan rumah-rumah di lereng-lereng bukit, bagaikan lukisan yang besar, cantik dan sungguh mempesonakan. Begitulah agungnya ciptaan Allah untuk umatnya. Alhamdulillah. Di halaman-halaman  rumah kelihatan tanah-tanah baru dibajak untuk bercucuk tanak, pokok-pokok anggur baru berpucuk, pokok plum baru berbunga, dan sekali sekala kelihatan kambing-kambing peliharaan menikmati rumput-rumput yang menghijau.

Kami singgah di Travnik untuk makan tengah hari.  Travnik ialah ibu negeri Bosnia pada zaman Sulaiman Pasha yang agong dahulu, iaitu lebih kurang 70 kilometer dari Sarajevo. Kami berjalan ke Restoran Konoba Plava Voda yang terletak berhampiran dengan Travnik Blue Eye Park. 

Restoran ini unik berkonsepkan tradisi, semua hiasannya barang-barang antik belaka, barangkali koleksi pemiliknya. Hari ini selera kami agak kurang kerana menunya sudah berulang kali disajikan kepada kami. Alhamdulillah kami dapat juga makan seadanya, demi mengumpul tenaga untuk terus
berpariwisata. Selepas makan kami melihat-lihat dan menikmati kesujukan dan keindahan sekitar air sungai yang mengalir deras di tepi restoran. Air yang biru itu mengalir deras dari Pilva Waterfall tidak jauh dari situ. Sambil itu kami melihat-lihat gerai-gerai cenderamata di situ, ada yang ambil kesempatan membeli-belah cenderamata lagi.


Selesai makan kami meneruskan perjalanan lagi, kami singgah di Kompleks Sulaimania Mosque lebih kurang jam 1.00 tengah hari. Mesjid ini dibiayai oleh dermawan dari Malaysia, dan dibuka dengan rasminya oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. Kami sungguh bangga dan terharu melihat papan tanda itu. Hari ini jemaah lelaki sempat bersolat Jumaat bersama masyarakat tempatan, sementara kami wanita solat jamak zohor asar di bilik kelas Madrasah Ibrahim Pasha, kerana mesjid tidak cukup ruang. Alhamdulillah selesai tanggung jawab, rasa lega untuk terus menuju ke destinasi kami hari ini, untuk sampai ke Bihac.
Alangkah syukurnya kami, solat sudah ditunaikan, perut sudah kenyang, perjalanan bas pula lancar walaupun jalan bengkang bengkok dan melalui kawasan berbukit bukau. Alhamdulillah kami ditemukan dengan seorang pemandu yang cekap, cermat, tenang dan sabar, Mr Berto. Sepanjang 9 hari perjalanan ini, wajahnya sentiasa senyum, jamnya selalu tepat, dan tenaganya sentiasa kuat mengangkat bagasi kami dengan cermat. 



Sambil berehat kami menikmati pemandangan. Di kiri kanan jalan kelihatan kawasan-kawasan perumahan di lereng bukit yang yang agak padat. Sesekali kami lihat rumah-rumah di tepi jalan, hamalannya dipenuhi tanaman plum yang berbunga lebat kelihatan putih gebu. Ada pula tanah-tanah yang masih baru dibajak untuk bercucuk tanam, dan kelihatan juga binatang ternakan seperti  kambing yang menjadi peliharaan petani di situ. Sesekali kelihatan pokok-pokok pine dan pokok-pokok di lereng bukit masih gondol belum berpucuk kerana baru saja lepas musim salji.  Ya Allah ya Rahim, sungguh Engkau maha pengasih menciptakan bentuk muka bumi yang berbagai-bagai untuk kegunaan manusia dalam kehidupan seharian. Dan Engkau hiasi bumi ini untuk manusia dapat merasai keindahan dan dapat terus mengingat akan kebesaranMu ya Allah, subha nallah.

Walaupun ramai jemaah yang sudah hampir terlelap, namun Mr Berto tetap siap siaga dan masih bertenaga memandu. Hampir dua jam berjalan kami dikejutkan untuk melawat dan melihat air terjun yang tinggi Jajce Waterfall.


Merasai kesejukan percikan air terjun Jajce
Sungguh hebat ciptaan Allah untuk kita nikmati

Masya Allah maha besar ciptaanMu ya Allah air terjun itu kelihatan seperti Niagara. Dari atas jalan bunyi airnya kedengaran menderu-deru, dan kelihatan airnya yang putih menjunam turun ke bawah. Kami dikenakan tiket 2 EURO seorang, untuk turun melihat air terjun itu dari dekat. Allhu Robbi berada berhampiran tasik  di bawah itu, kami sungguh terpegun dengan kebesaran cipataan Mu ya Allah. Percikan air dapat kami rasakan walaupun jarak kami kira-kira 100 meter jauhnya. Sungguh indah bumi ciptaanMu ya Allah, kami dapat rasakan bagaikan lukisan alam yang mempesonakan kami umatMu yang kerdil lagi dhaif ini. 

Hampir jam 6.00 petang kami sampai di Bihac. Bandarnya tidaklah besar tapi masih seperti bandar lain di Sarajevo ini, cantik dan nyaman. Kami diingatkan oleh Kak Zaharah supaya dapat menyediakan makanan untuk perjalanan pada esok hari yang akan memakan masa yang panjang. Kami terus makan malam di hotel, kemudian rehat dan membuat persediaan untuk hari berikutnya. 

Untuk membeli sedikit makanan kami pergi ke stesen minyak bersebelah Hotel Emporium itu. Oleh kerana kami menggunakan EURO, mereka meminta passport kami sebagai pengesahan, alhamdulillah dapatlah kami berbelanja walaupun tiada wang Bosnia MARK. Selesai berkemas semua keperluan kami berehat lagi untuk mengumpul tenaga buat berjalan lagi esoknya. Alhamdulillah kami. Syukur padaMu ya Allah Engkau memberikan kami kesihatan, dan kesenangan hati. Kami amat bersyukur jemaah kami juga sehati sejiwa dan sepakat sehingga semua kami measa amat selesa pada setiap ketika. Syukur juga kami sentiasa selamat mendapat perlindungan Allah pada setiap masa walaupun sudah melalui satu perjalanan yang panjang masuk hari yang ke-9 Alhamdulillah.

 





Sunday, June 24, 2018

DAY 8: 19 APRIL 2018: KHAMIS: MOSTAR - SARAJEVO (BOSNIA)


19 APRIL 2018: KHAMIS
MOSTAR  -  SARAJEVO (BOSNIA)

Suasana pagi yang dingin di Mostar
Walau masih pagi sudah ada peminta sedekah mencari rezeki
Sebuah mesjid dekat hotel
Pagi di Mostar sungguh amat dingin, semakin kami ke utara cuaca semakin sejuk rupanya. Pagi itu kami mulakan dengan berjalan ke masjid tidak jauh dari Hotel Bristol untuk solat subuh berjemaah. Kami meredah dinginya pagi diiringi deruan air sungai Neretva yang deras di sebelah hotel. Kami tiba di mesjid sewaktu azan rakaman kaset baru berkumandang, disambut oleh isteri Tuan Imam dengan senyuman mesra, bagaikan saudara yang sudah lama tidak berjumpa.

Kesan tembakan jelas kelihatan
Sungguh terharu saudara seagama di negara Balkan, walau lain bangsa dan lain rupa pula, tapi berdiri sesaf menunaikan solat subuh pagi itu. Ya Allah segalanya Engkau takdirkan, sungguh amat terharu melihat beberapa orang jemaah tempatan bersama-sama 33 orang jemaah Flyworld menunaikan tanggungjawab kepada Allah yang maha Esa  lagi Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Subhaa nallah. 
Kesan perang lagi.....

Membelakangi satu lagi masjid
Dahulunya mereka tidak berkemampuan untuk menikmati nikmatnya iman, kerana mereka ditekan pemerintah, mereka dihalang mengamalkan walau apa agama sekalipun. Jadi kini syukur alhamdulillah, Allah berikan mereka peluang untuk menjinakkan diri dengan Allah Maha Pencipta. Sudah mula kerdipan sinar Islam di Balkan terutamanya di bumi Bosnia ini, yang penduduknya lebih 90% beragama Islam. Azan sudah mula berkumandang di masjid-masjid, dan sudah ada beberapa orang jemaah yang mengimarahkan masjid-masjidnya, subha nallah, alhamdulillah. Segala puji hanya layak bagiMu Ya Allah yang Maha Mengetahui akan segalanya. Sungguh kami rasa amat  terharu.

Pelbagai jus dan madu
Seperti biasa jam 7.00 pagi kami sarapan dan terus check-out. Pelbagai roti, bijirin dan buah-buahan memang sudah menjadi menu rutin kami bersama teh atau kopi dan jus oren. Selalunya sarapan yang kami ambil di hotel, cukup untuk kami bertahan hingga waktu makan tengah hari dalam perjalanan nanti. Untuk melengkapi lawatan, pagi itu kami berjalan ke pasar pagi. Tidak banyak gerai yang dibuka, cuma gerai buah-buahan, gerai manisan dan gerai pakaian saja yang baru dibuka kerana masih terlalu pagi. 

Untuk sampai ke bazaar kami melalui sebuah masjid yang agak besar, di sebelahnya terdapat kuburan. Kami nampak batu nisan yang tinggi dan besar, barangkali ulamak besar atau yang mati syahid, kami tidak  tahu. Kami juga melewati War Muzeum, sedih pun terasa, tapi itulah ketentuan Ilahi kepada makhlukNya. Kami terus berjalan ke bazaar yang kelihatan meriah pada pagi itu.

Sebuah kedai cenderamata copper
Kami sungguh teruja kerana kedai cenderamata di Old Bazaar sebelah hujung yang kami tidak sampai kelmarin sudah dibuka sejak awal pagi. Kami berjalan melihat-lihat kedai cenderamata sehingga ke masjid di pertengahan bazaar yang sudahpun kami sampai kelmarin dan berpatah balik selepas itu. Banyak sekali kedai yang menjual barang-barang hiasan diperbuat daripada copper, kerana Mostar memang kaya dengan copper. Selepas shopping terakhir  di bazaar, lebih kurang jam 10.30 pagi Mr Berto dengan sabarnya meneruskan perjalanan ke Sarajevo ibu negeri Bosnia Herzagovenia.

Satu lagi suasana kampung
Perkampungan di kaki gunung
Sedang mengusahakan tanaman
Sepanjang perjalanan dalam cuaca yang dingin kami menikmati pemandangan negeri Bosnia yang sungguh indah ciptaan Tuhan yang maha pencipta. Buminya kelihatan subur dan lanskapnya sungguh mengasyikkan, subha nallah, Allah maha besar lagi maha halus pekerjaanNya, sungguh cantik ciptaan Allah untuk kita nikmati. Pokok-pokok di lereng bukit masih ada yang belum berpucuk kerana baru habis musim salji. Kelihatan juga di puncak-puncak bukit masih diliputi salji nan gebu, cukup indah. Tidak hairanlah Bosnia menjadi idaman Serbia yang rakus kejam, cuba menawan bumi yang indah itu. 

Hampir tengah hari lebih kurang jam 11.30, kami singgah di Jablanica untuk makan tengah hari di Restoran Kovasevic, yang terletak di tepi klif menghadap ke lereng-lereng bukit dan sungai, sungguh cantik pemandangan di sini. Masha Allah sungguh banyak nikmat Tuhan untuk hambaNya nikmati, alhamdulillah. Hari ini puas makan nasi dengan kambing panggan panas-panas, sambil menikmati udara nyaman dan pemandangan indah di tepi sungai yang airnya kelihatan biru dan bunyinya airnya deras menderu. 

Di hadapan rumah yang dibina terowong Tunnel Of Hope
Kesan peluru jelas kelihatan tinggalan perang
Selepas itu kami terus ke Sarajevo melawat kesan-kesan tinggalan perang yang sungguh mengerikan. Kami sampai lebih kurang jam 2.00 petang, di tempat penduduk Sarajevo terkepung berhampiran Lapangan Terbang dalam cuaca terik panas. 

Di situlah terbinanya sebuah terowong Tunnel Of Hope, bermula dari sebuah rumah seorang wanita unggul, sehingga ke Lapangan Terbang lebih kurang jaraknya 800 meter di bawah tanah. Beberapa orang tentera telah dengan secara sukarela membina terowong itu untuk untuk penduduk Sarajevo dapat berhubung dengan dunia luar. 

Melalui terowong itulah mereka mendapat bekalan makanan, bekalan ubat-ubatan, dan juga sebarang bentuk bantuan dari luar untuk mereka terus dapat bertahan selama mereka dikepung kafir laknatullah hampir tiga tahun.  Sungguh terharu mendengar kisah-kisah penderitaan yang ditanggung saudara seagama kita, subha nallah, semoga Allah memberikan mereka yang terkorban tempat di kalangan orang-orang beriman yang syahid menentang kafir yang dilaknati.

Taklimat yang menyayat hati
Membawa  pesakit untuk rawatan melalui terowong
Di rumah itu   dipamerkan  perlatan-peralatan yang digunakan, dan aktiviti-aktiviti semasa perang menggunakan terowong yang terbina selama lebih tiga tahun. Alangkah jahatnya Serbia, alangkah sedihnya mengenangkan kehidupan yang dilalui. Subha nallah, Allah sajalah yang maha mengetahui kesenggsaraan yang dilalui, semoga Allah menempatkan mereka sebagai orang-orang yang syahid kerana mempertahankan diri dan agama mereka. Aamiin. 
Wanita bertudung adalah pemilik rumah yang berjasa kepada bangsanya

Desiran air sungai yang menderu-deru
Sungai-sungai di Vrela Park
Pepohon nan rimbun
Tasik  yang mendamaikan
Kemudiannya, kami dibawa menikmati keindahan Vrela Bosna Park. Ya Allah air terjunnya kedengaran menderu-deru, sejuk terasa. Airnya yang deras mengalir ke Bosna River, dan sungainya  jernih kelihatan airnya yang biru mengalir deras di sekitar kawasan taman itu. Ramai pengunjung seperti kami berjalan-jalan, makan-makan dan berehat-rehat sambil menikmati suasana nyaman di Bosna Park yang indah ini. 

Bandar Sarajevo yang moden
Sungai yang bersih di tengah bandar Sarajevo
Pemandangan petang
Tidak lama di situ, kami terus dibawa melawat sekitar bandar Sarajevo. Kami berjalan menyusuri sungai sambil menikmati pemandangan indah bandarnya yang kelihatan moden dan maju. 

Corner of  WW1
Ramai pelancong lain  seperti kami dan kami dibawa ke tempat bermulanya  peristiwa semasa Perang Dunia Pertama (Corner of First World War). Pemandu pelancong menceritakan hal itu  kepada kami dengan penuh perasaan. Terharu kami mendengarnya. Oleh kerana kami belum solat zohor , kami singgah sembahyang jamak asar zohor di Gazi Husrev Bey Mosque dan berehat sebentar di perkarangannya (yard) yang luas, sementara menunggu semua jemaah kami selesai  solat. 

Selepas itu kami terus melawat ke Sarajevo Old Town, yang sangat ramai pengunjungnya, dan ramai pula orang melepak-lepak menikmati  kopi memanaskan badan di petang yang agak dingin itu. Ramai juga peminta sedekah yang mengekori kami, remaja dan juga kanak-kanak semasa kami berjalan ke Bascarsija Old Town Bazaar. Alangkah sedih melihatnya, yang miskin, dan yang meminta sedekah orang Islam. Rasa kurang selesa kerana kelihatan satu jurang yang sangat jauh antara Islam dan yang lainnya. Tapi itulah hakikatnya yang dipandang mata.
Sepetang di Sarajevo Old Town

Kami berpeluang menikmati suasana petang yang nyaman dan indah. Ramai yang membeli cenderamata dan lain-lain lagi. Kami juga dapat menikmati pemandangan indah matahari hampir terbenam  di situ, sebelum kami dibawa ke Hotel Hollywood untuk bermalam bagi merehatkan badan setelah seharian berjalan menikmati sejarah silam  dan keindahan alam di Sarajevo .
Berjalan untuk menaiki bas yang sedang menunggu
Alhamdulillah kami masih boleh lagi meneruskan perjalanan yang masih belum selesai. Malamnya kami menikmati  makan malam yang mewah di hotel selepas check-in. Syukur Ya Allah akan nikmat yang Engkau berikan kepada kami di bumi Balkan bumiMu yang indah  ini.
Musim bunga Sarajevo baru bermula
Kesan perang lagi...