Saturday, June 30, 2018

DAY 9: 20 APRIL 2018: JUMAAT: SARAJEVO - BIHAC (BOSNIA)


20 APRIL 2018: JUMAAT
SARAJEVO - BIHAC (BOSNIA)

Bandar Sarajevo yang moden dan cantik
Kesan perang kelihatan bangunan yang ditembusi  peluru di dinding 
Pagi yang cukup dingin, kami mulakan dengan solat subuh di surau Hotel Hollywood, hotel 5 bintang yang cantik ini. Suraunya terletak di tingkat 1 Blok A. Kami melalui kedai-kedai yang masih tutup dan masih gelap lagi untuk ke surau. Sungguh syahdu dapat berjemaah bersama-sama jemaah yang lain, seperti saudara adanya, ditambah pula dengan lunaknya bacaan Imam, kami menikmati surah Al-Waqiah di pagi yang dingin itu.  Kemudian kami bersarapan. Seperti biasa menunya perlbagai jenis roti, bijirin, buah-buahan dan minuman yang berbagai-bagai jenis. Pagi itu kami diberi masa hingga jam 10.30, sebelum check-out, agar dapat berjalan-jalan ke pasaraya terdekat. Ramailah yang mengambil peluang keemasan itu, sambil melihat-lihat bandar Sarajevo.

Pagi di Bosnia
Banyak masjid yang cantik di Sarajevo
Sungai yang bersih di tengah bandar Sarajevo mengalir tenang
Kawasan penempatan di Sarajevo
Kemudian tepat jamnya Mr Berto memulakan perjalanan kami menuju ke destinasi yang telah diaturkan. Cuaca pagi ini di sepanjang jalan kelihatan cerah tapi dingin dan nyaman dirasakan. Mr Berto membawa kami untuk merasai city-tour bandar Sarajevo.  Bandarnya memang moden dan cantik. Kami ditunjukkan dengan beberapa bangunan yang rosak teruk dan tidak dapat dipulihkan lagi akibat musnah semasa perang contohnya seperti bangunan Rumah Orang Tua. 

Sedih melihat bangunan yang sudah hampir musnah sepenuhnya. Seperti terasa keperitan dan kepedihan yang dialami penduduk Sarajevo waktu itu. Masha Allah, hanya Allah yang maha tahu, kerana apa pun yang terjadi walau kelihatan seburuk manapun kepada kita, tapi itulah yang terbaik untuk kita, yang Allah takdirkan sebagai qadha dan qadar kita. 
Kami meninggalkan bandar Sarajevo dengan perlbagai perasaan sedih, terharu, suka dan duka. Di kiri kanan jalan dalam perjalanan kelihatan rumah-rumah di lereng-lereng bukit, bagaikan lukisan yang besar, cantik dan sungguh mempesonakan. Begitulah agungnya ciptaan Allah untuk umatnya. Alhamdulillah. Di halaman-halaman  rumah kelihatan tanah-tanah baru dibajak untuk bercucuk tanak, pokok-pokok anggur baru berpucuk, pokok plum baru berbunga, dan sekali sekala kelihatan kambing-kambing peliharaan menikmati rumput-rumput yang menghijau.

Kami singgah di Travnik untuk makan tengah hari.  Travnik ialah ibu negeri Bosnia pada zaman Sulaiman Pasha yang agong dahulu, iaitu lebih kurang 70 kilometer dari Sarajevo. Kami berjalan ke Restoran Konoba Plava Voda yang terletak berhampiran dengan Travnik Blue Eye Park. 

Restoran ini unik berkonsepkan tradisi, semua hiasannya barang-barang antik belaka, barangkali koleksi pemiliknya. Hari ini selera kami agak kurang kerana menunya sudah berulang kali disajikan kepada kami. Alhamdulillah kami dapat juga makan seadanya, demi mengumpul tenaga untuk terus
berpariwisata. Selepas makan kami melihat-lihat dan menikmati kesujukan dan keindahan sekitar air sungai yang mengalir deras di tepi restoran. Air yang biru itu mengalir deras dari Pilva Waterfall tidak jauh dari situ. Sambil itu kami melihat-lihat gerai-gerai cenderamata di situ, ada yang ambil kesempatan membeli-belah cenderamata lagi.


Selesai makan kami meneruskan perjalanan lagi, kami singgah di Kompleks Sulaimania Mosque lebih kurang jam 1.00 tengah hari. Mesjid ini dibiayai oleh dermawan dari Malaysia, dan dibuka dengan rasminya oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. Kami sungguh bangga dan terharu melihat papan tanda itu. Hari ini jemaah lelaki sempat bersolat Jumaat bersama masyarakat tempatan, sementara kami wanita solat jamak zohor asar di bilik kelas Madrasah Ibrahim Pasha, kerana mesjid tidak cukup ruang. Alhamdulillah selesai tanggung jawab, rasa lega untuk terus menuju ke destinasi kami hari ini, untuk sampai ke Bihac.
Alangkah syukurnya kami, solat sudah ditunaikan, perut sudah kenyang, perjalanan bas pula lancar walaupun jalan bengkang bengkok dan melalui kawasan berbukit bukau. Alhamdulillah kami ditemukan dengan seorang pemandu yang cekap, cermat, tenang dan sabar, Mr Berto. Sepanjang 9 hari perjalanan ini, wajahnya sentiasa senyum, jamnya selalu tepat, dan tenaganya sentiasa kuat mengangkat bagasi kami dengan cermat. 



Sambil berehat kami menikmati pemandangan. Di kiri kanan jalan kelihatan kawasan-kawasan perumahan di lereng bukit yang yang agak padat. Sesekali kami lihat rumah-rumah di tepi jalan, hamalannya dipenuhi tanaman plum yang berbunga lebat kelihatan putih gebu. Ada pula tanah-tanah yang masih baru dibajak untuk bercucuk tanam, dan kelihatan juga binatang ternakan seperti  kambing yang menjadi peliharaan petani di situ. Sesekali kelihatan pokok-pokok pine dan pokok-pokok di lereng bukit masih gondol belum berpucuk kerana baru saja lepas musim salji.  Ya Allah ya Rahim, sungguh Engkau maha pengasih menciptakan bentuk muka bumi yang berbagai-bagai untuk kegunaan manusia dalam kehidupan seharian. Dan Engkau hiasi bumi ini untuk manusia dapat merasai keindahan dan dapat terus mengingat akan kebesaranMu ya Allah, subha nallah.

Walaupun ramai jemaah yang sudah hampir terlelap, namun Mr Berto tetap siap siaga dan masih bertenaga memandu. Hampir dua jam berjalan kami dikejutkan untuk melawat dan melihat air terjun yang tinggi Jajce Waterfall.


Merasai kesejukan percikan air terjun Jajce
Sungguh hebat ciptaan Allah untuk kita nikmati

Masya Allah maha besar ciptaanMu ya Allah air terjun itu kelihatan seperti Niagara. Dari atas jalan bunyi airnya kedengaran menderu-deru, dan kelihatan airnya yang putih menjunam turun ke bawah. Kami dikenakan tiket 2 EURO seorang, untuk turun melihat air terjun itu dari dekat. Allhu Robbi berada berhampiran tasik  di bawah itu, kami sungguh terpegun dengan kebesaran cipataan Mu ya Allah. Percikan air dapat kami rasakan walaupun jarak kami kira-kira 100 meter jauhnya. Sungguh indah bumi ciptaanMu ya Allah, kami dapat rasakan bagaikan lukisan alam yang mempesonakan kami umatMu yang kerdil lagi dhaif ini. 

Hampir jam 6.00 petang kami sampai di Bihac. Bandarnya tidaklah besar tapi masih seperti bandar lain di Sarajevo ini, cantik dan nyaman. Kami diingatkan oleh Kak Zaharah supaya dapat menyediakan makanan untuk perjalanan pada esok hari yang akan memakan masa yang panjang. Kami terus makan malam di hotel, kemudian rehat dan membuat persediaan untuk hari berikutnya. 

Untuk membeli sedikit makanan kami pergi ke stesen minyak bersebelah Hotel Emporium itu. Oleh kerana kami menggunakan EURO, mereka meminta passport kami sebagai pengesahan, alhamdulillah dapatlah kami berbelanja walaupun tiada wang Bosnia MARK. Selesai berkemas semua keperluan kami berehat lagi untuk mengumpul tenaga buat berjalan lagi esoknya. Alhamdulillah kami. Syukur padaMu ya Allah Engkau memberikan kami kesihatan, dan kesenangan hati. Kami amat bersyukur jemaah kami juga sehati sejiwa dan sepakat sehingga semua kami measa amat selesa pada setiap ketika. Syukur juga kami sentiasa selamat mendapat perlindungan Allah pada setiap masa walaupun sudah melalui satu perjalanan yang panjang masuk hari yang ke-9 Alhamdulillah.

 





No comments:

Post a Comment