Sunday, July 1, 2018

DAY 10: 21 APRIL 2018: SABTU: PLETVICE - ZEGREB CROATIA


DAY 10: 21 APRIL 2018: SABTU:  
BIHAC (BOSNIA)  -   PLETVICE    -   ZEGREB (CROATIA)

Bandar Zegreb musim bunga
Bersama polis khas bandar Zegreb
Menikmati suasana petang yang nyaman di Dataran Bandar
Alhamdulillah, malam terakhir di Bosnia kami dapat berehat secukupnya, dan bangun dengan segar pula. Tambah segar lagi apabila kami dapat berjemaah solat subuh di Bilik Mesyuarat Hotel Emporium di pagi yang dingin itu. Papa sebagai imam membaca Surah Al Qiamah, mendayu-dayu suara papa di pagi yang bening itu. Terima kasih Kak Zaharah yang mengaturkannya berjemaah setiap pagi dengan izin Allah, Alhamdulillah. Sarapan di hotel pagi itu seawal jam 6.30, seperti biasa kami makan roti, bijirin, buah-buahan dan minum kopi, teh, dan jus buah-buahan. Kemudian jam 7.00 Mr Berto sudah sedia memulakan perjalanan ke Plitvice suatu kawasan peranginan air terjun yang diiktiraf sebagai warisan oleh UNESCO. Lebih kurang jam 8.30 pagi kami melepasi sempadan dan meninggalkan negara Bosnia memasuki negara Croatia. Entah bila pulalah kami  akan datang lagi ke Bosnia, hanya Allahlah yang maha mengetahui lagi maha mengaturkan. Insya Allah.

Plevice yang nyaman
Rasa terharu juga meninggalkan Bosnia sebuah negara yang penduduknya majoriti Islam. Di Croatia majoriti penduduknya beragama Kristian, sudah pastilah nanti susah untuk kami  mencari makan dan solat di mesjid. Croatia menggunakan mata wang KUNA, 1EURO bersamaan 7KUNA. Tapi sepanjang perjalanan mata wang EORU diterima saja untuk memberli apa-apa barangan, jadi ia bukanlah satu masalah.

Lebih kurang jam 9.00 pagi, kami tiba dengan selamatnya di tempat peranginan Plitvice Lake National Park yang luasnya lebih kurang 295 kilometer persegi. Taman ini merupakan salah sebuah taman yang tertua, iaitu telah dibuka pada tahun 1949 lagi, dan antara yang terbesar sehingga diiktifar oleh UNESCO sebagai warisan dunia pada
tahun 1979. Tiket masuknya 24 EURO seorang, ia merupakan  kawasan hutan simpan di tengah-tengah negara Croatia, bersempadan dengan negara Bosnia Herzagovina. Ia terkenal dengan rangkaian 16 buah tasik yang bertingkat-tingkat, bersambung-sambung dengan air terjun berbagai-bagai ketinggian, sehingga akhirnya membentuk air terjun limestone canyon setinggi 78 meter. Dari pintu masuk ke Taman ini kami berjalan menuruni bukit ke tasik yang paling bawah.

Maka pagi ini bermulalah satu pengembaraan yang sungguh mencabar bagi kumpulan kami yang kebanyakannya melebihi umur 50 tahun. Kami difahamkan akan berjalan jungle tracking di taman ini selama 4 jam, melalui jalan di lereng-lereng bukit, jalan di tepi-tepi tasik, mendaki dan menuruni anak-anak tangga, dan juga melintasi jambatan-jambatan yang merentasi tasik-tasik. Kami bermula dengan menuruni cerun bukit menuju ke tempat tinjau air terjun Veliki Slap yang tertinggi  di situ iaitu setinggi 78 meter. Ya Allah subha nallah, Allahhu akbar, tiada kata yang dapat kami sebutkan lagi melainkan segala puji hanya padaMU ya Allah kerana menciptakan bumi yang indah untuk kami nikmati
dan mensyukuri nikmatMu. 

Kami berjalan dengan tenang, melepasi satu tasik ke satu tasik hinggalah sampai juga ke tasik yang terakhir. Sambil berjalan kami menikmati keindahan flora dan faauna di situ dan menyaksikan keindahan air tasik yang jernih berbagai warna. Kadang-kadang kelihatan ada air tasik yang sangat biru jernih dan bening. Ada tasik yang kelihatan airnya kehijauan pula. Sesekali kelihatan airnya kelabu, dan
terkadang airnya jernih berkaca sehingga kelihatan ke dasarnya serta kelihatan semua kehidupan di dalamnya. Kami meneruskan perjalanan dengan hati-hati dan tenang. Ada antara kami yang hampir mengalah tapi melalui sokongan kawan-kawan sejemaah dapat juga kami semua sampai di kawasan rehat di tasik yang terakhir, untuk kemudianyan kami naik bot menuju ke tempat perhentian bas. Di situ


kami berehat seketika, kemudian menaiki bot elektrik untuk ke kawasan bas berhenti menunggu kami. Mr Berto telah setia menunggu kami di situ, alhamdulillah perjalanan kami hiking merentasi tasik-tasik  tamat di situ, dengan selamatnya. Semuanya berasa lega bila berada di atas bas, hingga tak terkata letihnya kami dengan aktiviti jungle tracking itu. tapi Allah bersama kami dan kami melepasinya syukur alhamdulillah.

Kemudian lebih kurang jam 1.00 tengah hari, Mr Berto membawa kami melalui kawasan gunung ganang yang jalannya bengkang bengkok pula, menuju ke Zegreb. Alhamdulillah kami  menjamu selera tengah hari itu di Restoran Pusat Islam Zegreb lebih kurang jam 2.00 petang.  Selesai
makan kami berjemaah solat jamak zohor asar di mesjid yang besar dan cantik. Sedang kami bersedia untuk meninggalkan majlis kami didatangi oleh isteri Grand Mufti of Bosnia. Beliau sangat terharu dan sungguh gembira berjumpa kami. Rupanya dia pernah selama 5 tahun tinggal di Malaysia semasa suaminya belajar di UIA dulu. 

Bersama isteri Grand Mufti of Bosnia
Sungguh mesra walau baru berjumpa
Dia mengucapkan terima kasih berkali-kali kepada kami kerana orang Malaysia telah melayannya dengan baik. Orang Malaysian telah menganggapnya seperti kaum keluarga sendiri. Dia sekeluarga rasa sangat terhutang budi kepada orang Malaysia. Hari ini takdir telah menentukan dia mengikut suaminya bermesyuarat di Pusat Islam Zegreb, dan ditakdirkan bertemu dengan kami orang Malaysia yang sangat diingatinya sampai bila-bila katanya. Masya Allah, sungguh terharu dan rasa tersentuh perasaan jemaah kami, menerima segala pujian yang tak henti-henti itu. Alhamdulillah segala puji hanya bagi Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang yang menentukan segalanya itu. Kami mengucapkan selamat tinggal dengan penuh rasa terharu. Hati sungguh tersentuh seolah-olah akan meninggalkan saudara sendiri, masya Allah sungguh syadu terasa. Dalam melayani perasaan, sambil berjalan menuju ke bas, kami dihiburkan dengan kecantikan bunga-bungaan hiasan taman di hadapan masjid yang sungguh segar, cantik dan mempesonakan. Sungguh cantik ciptaan Allah untuk dinikmati manusia, cuma manusia saja yang sentiasa bersifat zalim. Subha nallah, Lahaula walaa quwwata illah billaah....



Zegreb Old Town
Selepas  menikmati alam ciptaan Tuhan yang indah itu, jam 4.00 petang kami mula naik bas untuk meneruskan perjalanan, melawat ke Zegreb Old Town. Dalam perjalanan yang singkat itu, kami dapat lihat kawasan  pergunungan Zegreb masih diliputi salji di puncaknya. Kawasan pergunungan itu yang melebihi 1000 meter tingginya, boleh dikatan selalu bersalji dan dikenali sebagai Snow
White Mountain. Tiba di bandar Zegreb banyak kedai yang tutup pada petang Sabtu itu. Adalah beberapa kedai yang masih buka, dapatlah juga kami membeli barang cenderamata untuk kenang-kenangan. 



Tapi petang itu kami amat bertuah kerana terserempak dengan satu event menarik, Zegreb Time Machine. Tema pada petang itu ialah Kostum perkahwinan zaman dahulu, iaitu tahun-tahun 30an hingga 90an. Sungguh cantik dan real pasangan pengantin yang dipamerkan itu, pakaiannya, peralatannya, dan tatacaranya dapat dilihat dengan jelas, dan semua itu memberikan maklumat kepada pelancong dan masyarakat moden sekarang ini. Selain itu kami juga dapat menikmati keindahan bandar Zegreb yang sudah mula dihiasi dengan pelbagai jenis bunga-bungaan.  Lebih kurang jam 6.15 petang kami bertolah ke Hotel Aristos.
 
Dataran Zegreb
Pasar pagi Zegreb

No comments:

Post a Comment