Saturday, July 7, 2018

DAY 11-12 : 22-23 APRIL AHAD-ISNIN : ZEGREB (CROATIA) - LJUBLJANA (SLOVENIA) - ISTANBUL - KUALA LUMPUR


DAY 11-12: 22-23APRIL 2018: AHAD-ISNIN  
ZEGREB (CROATIA) - LJUBLJANA (SLOVENIA) -  ISTANBUL - KUALA LUMPUR


Seperti biasa pagi itu kami mulakan dengan solat subuh berjemaah di Loby Hotel Aristos, di Wing sebelah kiri. Sungguh terharu dirasakan; pejam celik kami sudah tiba di
penghujungnya, hari yang terakhir berada di negeri Balkan ini. Sekejap lagi selepas sarapan, kami akan bertolak untuk melawat ke negara terakhir dalam rangka kami, negara Slovenia. Kami akan ke ibu negerinya Ljubljana, untuk lawatan singkat sebelum ke Lapangan terbang, untuk berlepas pulang ke tanah air yang kami cintai. Walau bagaimanapun setiap jemaah masih tetap nampak bersemangat dan ceria
walaupun sudah sebelas hari dalam perjalanan, naik bas turun bas, menikmati pemandangan, makan pagi, makan tengah hari dan makan malam pula. Setiap hari begitulah rutinnya, tapi kami semua sungguh rasa terhibur, rasa sungguh gembira, dan terasa bagai sudah kenal lama dan bagaikan saudara adanya. Begitulah kurniaan Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang, meniupkan rasa mahabah antara sesama manusia, hamba Allah di muka bumi ini.

Selepas sarapan pagi itu, semua bagasi disusun rapi di dalam bas oleh Mr Berto, dia dibantu oleh jemaah lelaki yang baik hati. Kemudian kami mulakan perjalanan yang akam mengambil masa lebih kurang 2 setengah jam termasuk urusan imegresen di  Sempadan Croatia dan Slovenia. Memang betul lebih kurang jam 11.30 pagi kami tiba di bandar Ljubljana. Oleh kerana bas tidak boleh masuk ke Ljubljana Old Town, untuk keselesaan dan kemudahan pelancong, maka kami berjalan kaki menuju ke tengah bandar. Lawatan pertama ke pasar pagi di bandar itu yang  masih ada, tapi sudah banyak gerai yang ditutup menjelang tengah hari, kerana ia bermula sejak awal pagi lagi. Ada beberapa buah gerai buah-buahan, dapatlah kami membeli buah-buahan buat kudapan sambil dalam perjalanan. Ada juga gerai cenderamata dan gerai baju-baju. Jadi kami pun ambil peluang untuk membeli belah lagi.
Kami berjalan hingga ke Preseren Square, iaitu suatu dataran di tengah bandar tempat pelancong melihat-lihat seni bangunan yang tersergam indah dan cantik-cantik belaka. Antaranya kelihatan bangunan gereja St Nicholas dan bangunan-bangunan lain seperti Muzeum dan bangunan pentadbiran. Di tengah-tengah dataran terdapat tempat untuk duduk-duduk, dan ramailah orang duduk di situ menghirup udara segar sambil menikmati kenyamanan udara, keceriaan suasana dan keindahan pemandangannya. Ramai pengunjung berjalan-jalan dan ramai juga yang menunggang basikal, terutamanya remaja dan kanak-kanak.  

Kelihatan ramai ibu bapa naik basikal bersiar-siar bersama anak-anak kecil dan besar, di sekitar dataran itu sebagai aktiviti keluarga. Alangkah bahagianya melihat keharmonian keluarga yang terpamer di hari minggu itu.  
Di suatu sudut lain kelihatan satu kumpulan pemuzik bermain alat musik dan menyanyi dengan riangnya menghiburkan orang yang bersiar-siar dan lalu lalang berjalan di situ. Ramai juga pengunjung yang melintasi dataran itu, yang turut menyanyi dan ada yang menari-nari mengikut rentak lagu yang sangat segar. Dan sudah tentulah ada yang bermurah hati pula menyumbangkan wang sebagai menghargai usaha mereka menghiburkan, sebagai satu mata pencarian yang bersungguh-sungguh. Kami pun turut sama menikmati nyanyian yang didendangkan, merdu suaranya dan menghiburkan juga sambil berjalan-jalan menuju ke restoran.


Kami terpaksa berjalan selama sejam perjalanan, ke satu-satunya restoran halal di Ljubljana, oleh kerana bas tidak boleh masuk ke bandar itu, untuk menjaga keharmonian bandar daripada kesesakan lalu lintas. Kami menyusuri Sungai Ljubjanica yang bersih dan cantik dijaga untuk tujuan pelancongan. Di kiri kanan sungai ada Coffee House, ada restoran-restoran dan ada kerusi-kerusi dan tempat-tempat orang boleh duduk-duduk menikmati pemandangan indah sungai Lijubjanica itu, minum kopi dan berjemur juga. Sesekali kelihatan bot-bot membawa penumpang menelusuri sungai yang sungguh bersih dan cantik, dan merasai pengalaman menaiki bot yang unik.


Dari Old Town ke Restoran Saraj, kami melintasi salah satu daripada tiga jambatan terkenal di situ yang dikenali sebagai Triple Bridge. Ia menjadi daya tarikan di bandar Ljubljana. Bukan itu sahaja, daya tarikan lain ialah patung-patung watak makhluk sihir yang dibina gah di sepanjang sungai dan jalan-jalan di situ. Kemudian kami melalui jalan-jalan yang sempit di antara bangunan-bangunan pula. Kami
dapat lihat perbezaan sosio-ekonomi penduduk, norma masyarakatnya dan budaya mereka di situ dengan jelas melalui bangunan-bangunan dan rumah-rumah kediaman mereka. Selesai makan tengah hari kami diberi masa sehingga jam 4.00 untuk aktiviti bebas. Jadi ada yang minum-minum kopi, ada yang terus shopping dan ada yang berehat-rehat sementara menghabiskan masa yang terluang.

Sampai masa yang dijanjikan Mr Berto menjemput kami menaiki bas untuk ke Lapangan Terbang Ljubljana. Sedih juga akan berangkat pulang ke tanah air, kerana akan berpisah dengan sahabat-sahabat yang sudah  lebih 10 hari bersama-sama dalam pengembaraan ini. Namun sudah terbanyang anak-anak dan kaum keluarga yang sudah lama ditinggalkan, hati terasa gembira pun ada. Entah bila pulalah kami dapat berpeluang bersama-sama lagi dengan jemaah kumpulan kami ini. Sekembalinya kami ke rumah sudah pastilah kami sibuk dengan urusan masing-masing, sukarlah untuk dapat bersama-sama walaupun kami tinggal tidak begitu jauh. 

Dalam perjalanan itu, masing-masing jemaah diam melayan fikiran masing-masing, sambil berehat dan menikmati pemandangan yang mempesonakan, yang bakal kami tinggalkan beberapa jam saja lagi. Di kiri kanan jalan kawasan bukit bukau kelihatannya masih bersalji lagi. Menurut Liere banjaran itu merupakan pergunungan yang memisahkan negara-negara Balkan dengan Itali. Ia kelihatan putih dan gebu lagi mempesonakan.  Sungguh amat besar ciptaan Yang Maha Kuasa supaya dapat dinikmati keindahan sebagai tanda kebesaranMu Ya Allah, Ya Rahman Ya Rahim. Dengan rasa syukur semua kami mengambil peluang merakamkan potret pergunungan salji itu sebagai kenang-kengangan untuk dibawa pulang yang dapat diabadikan tentang suasana di Slovenia Balkan.
Setibanya di airport, selepas selesai urusan bagasi kami solat jamak asar zohor di suatu ruang legar  secara bergilir-gilir, alhamdulillah. Kemudiannya kami mula beratur untuk urusan check-in. Subhanallah, alhamdulillah, semua kami telah selamat mendapat boarding-pass dari Ljubjana-Istanbul dan Istanbul-Kuala Lumpur. Dengan itu semua bagasi tiada sebarang masalah lagi, selamat dibawa ke pesawat, untuk nanti kami mengambilnya di Kuala Lumpur. Jadi perjalanan kami ke Istanbul, dan perlepasan di situ diharapkan akan lebih mudah, cepat dan lancar, kerana kami tidak perlu memikirkan soal bagasi lagi, insya Allah. 

Masa yang masih berbaki sementara menunggu perlepasan, kami sempat shopping buah tangan untuk anak cucu, ramai yang beli serba sedikit choklat di kedai bebas cukai itu. Kami dipesan oleh Kak Zaharah, supaya solat jamak maghrib Isyak dalam pesawat kerana di Istanbul kami akan kesuntukan masa dan belum tentu sempat solat. Tambahan pula pesawat ke Istanbul petang itu lewat berlepas lebih kurang setengah jam jugalah.  Hanya pada jam 8.30 malam kami selamat terbang, dan tiba di Istanbul hampir jam 12.00 tengah malam waktu Istanbul, alhamdulillah. Tapi kami terpaksa bergegas ke pintu berlepas untuk penerbangan ke Kuala Lumpur pada jam 1.20 pagi 23 April itu.

DAY 12: 23 APRIL: ISNIN 
ISTANBUL - KUALA LUMPUR

Sebaik turun pesawat Turkish Airlines di Istanbul, semua jemaah kami bergegas mencari pintu pelepasan ke Kuala Lumpur dengan tergesa-gesa kerana kami sudah kesuntukan masa. Kak Zaharah berpesan tiada siapa pun boleh singgah di washroom, ataupun di kedai, supaya semua kami akan sampai ke dewan perlepasan sejam sebelum penerbangan pada jam 1.20 pagi. Alhamdulillah kami berada dalam barisan untuk masuk ke dewan perlepasan dalam masanya, syukur ya Allah, yang mengaturkan semunya berjalan lancar, walaupun ada sedikit masalah kelewatan semasa di Ljubljana. Bila semua kami berada di situ barulah kami dapat qadha hajat dan menarik nafas lega sebab semua sudah berada di dewan perlepasan sebelum pintu ditutup. Semua kami dapat duduk dengan tenang sambil menunggu pesawat di pagi hari itu untuk pulang ke tanah air tercinta. Ya Allah selamatkan kami sepanjang penerbangan nanti, sehingga sampai ke pangkuan keluarga kami, ya Rahman ya Rahiim ya Robbalaalamiin.

Kami masuk ke pesawat, dengan iringan doa Bismillaa hirrohmaa nirrahiim. Perjalanan yang lama ini hampir 8 jam berada di dalam pesawat. Ya Allah perliharalah kami, hanya pada Mu kami kami berserah dan pada Mu pula tempat kami memohon. Kasihanilah kami ya Allah dan  jauhi kami daripada mara bahaya, ya Arhamarroohimiin. 

Walau bagaimanapun masa yang begitu lama tidak terasa kerana, lepas makan kami berehat dan dapat tidur dengan nyenyaknya. Kami solat subuh di pesawat, kemudian makan pagi dan makan tengahari pula. tepat jam 5.00 petang waktu Malaysia, kami mendarat dengan selamatnya. Urusan bagasi dan imegresen mudah dan lancar, inilah keistimewaan Malaysia negaraku yang tercinta. Syukur alhamdulillah. Sebelum keluar dan selepas mengambail bagasi kami solat jamak asar zohor dahulu. Kami semua bersalaman dan mengucapkan selamat tinggal kepada semua sahabat jemaah yang telah bersama-sama selama 12 hari di perantauan, sama-sama menikmati percutian di negara Balkan, bumi Allah yang cantik lagi nyaman. Ya Allah semoga silaturrahmi ini dapat diteruskan lagi, kerana mu ya Allah. Semoga kami saling ingat mengingati dan dapat terus berjumpa lagi di lain masa di lain ketika insya Allah. Aamiin





No comments:

Post a Comment