Sunday, July 21, 2013

UJIAN BULAN PUASA


Tiba-tiba seorang anak muda muncul di depan pintu pejabat selepas dimaklumkan oleh PAR bertugas. Tanpa membuang masa dia memberi salam dan memperkenalkan dirinya, bekas pelajar zaman 80-an dulu. Aku sangat kenal namanya itu. Masih jelas dalam ingatan rupa parasnya, tindak-tinduknya, perangainya, tutur katanya, malah segala-galanya tentang dia. Dia selalu tidak siapkan kerja rumahnya, selalu saja memberi alasan, malah terkadang bercakap sesuatu yang menjadikan seorang guru hilang sabarnya. Selalu diingatkan dia ada rupa, ada gaya, dan jika ada pelajaran tentu kerja besar pula. Sebab itu dia perlu rajin belajar, dia perlu rajin buat homework dan mesti tahu batas-batas agama. Jangan nanti menyesal di kemudian hari. 

Hari ini setelah hampir tiga puluh tahun tidak berjump dia muncul di depan mata. Selalunya bila berjumpa anak murid lama, hati aku kembang bangga dengan perkembangan dan pencapaian mereka. Biar tidak kerja besar, biar tidak kaya, tapi berjaya menjadi manusia, membina keluarga dan kelihatan bahagia. Tapi bekas murid yang ini sangat menyentuh hati dan terasa amat sayu pula. Dia datang minta belas ihsan, minta sumbangan untuk anaknya melanjutkan pelajaran. Dia masih sama seperti dulu, masih tidak berubah. Diberi beberapa cadangan untuk membantu, dia masih memberi alasan-alasan yang memang tidak masuk akal.

Aku dapat bayangkan dia memang bermasalah seperti yang pernah diberitahu oleh rakan karibnya kepadaku. Barangkali dia sangat memerlukan dalam bulan puasa yang  mulia ini. Oh, alangkah pilunya. Aku tahu dia tidak bekerja lagi, aku tahu dia barangkali sangat terdesak dan tersepit memerlukan sedikit belanja. Tapi aku sedih kerana dia memilih jalan ini sehingga tidak lagi ada harga diri, dan sanggup meminta-minta lagi. Barangkali dia sudah habis fikir, sehingga sanggup datang ke pejabat, walaupun hampir tiga puluh tahun tidak pernah berjumpa.

Ya Allah, maha suci Allah yang maha  pengasih lagi maha menentukan. Kau temukan aku dengan pelajarku dalam keadaan yang menyanyat hati. Ya Allah semoga dia diberi pertunjuk jalan yang benar untuk terus mengharungi hidupnya dengan lebih bermakna dan penuh dengan barakah.

Wednesday, July 17, 2013

DIA DATANG JUGA


Mengunjungi seorang pelajar yang sudah lama  tidak hadir ke  sekolah mengundang pelbagai pertanyaan. Pertama, terlintas di fikiran, bagaimanakah pandangannya terhadap kehidupan, kerana kelihatan seolah-olah dia sudah putus harapan dan kecewa menjalani kehidupan, yang kelihatan sangat sukar dan menyakitkan. Sungguh sukar hidupnya, dalam usia belasan tahun, tiada belaian kasih seorang ibu yang memayungi hatinya yang masih rapuh dan mendambakan seorang yang bernama ibu seperti orang lain. Bayangkan  seorang anak gadis berusia lima belas tahun, hidup sendirian bersama bapanya saja. Bapa pula kedua-dua belah kakinya telah dipotong menjadi OKU adanya. Makan minum, pakaian, pengurusan rumah, dan semua keperluan asas terpaksa diurus sendiri tanpa bantuan, dan tunjuk ajar siapa-siapa. Yang lebih menyentuh hati, sudah tentulah dia jugalah yang menguruskan bapanya yang tidak berdaya, dan sangat terhad pergerakannya.

Sesungguhnya melihat anak gadis sekecil itu dengan penanggungannya yang berat dan sungguh-sungguh  tidak tertanggung,   memang sangat menyayat hati. Kelihatan bekas-bekas bungkusan makanan bersepah di lantai, yang dirasakan sudah lama tidak bersapu. Baju-baju yang sudah dipakai juga bersepahan sudah sekian lama, menunggu masa untuk dibasuh. Pinggan mangkuk, gelas dan cawan, serta bekas makanan juga bertimbun di sinki tidak dicuci lagi.

Alangkah, alangkah, sebak di hati mengenangkan. Dalam bulan puasa ini kita semua bergembira sekeluarga menikmati juadah bersama anak-anak tercinta. Malangnya  seorang anak kecil ini sendiri-sendiri. Makan apa ada, dan pastinya cari makan untuk bapanya yang tak bermaya tiada anggota kakinya. Patutlah tindakannya saja, sudah jelas dia sudah hilang semangatnya. Barangkali dia sudah pasrah dan amat  kecewa, jadi kalau sudah hidupnya tidak bermakna lagi, kenapa perlunya dia pergi ke sekolah lagi,

Mujurlah masih ada yang masih mengasihani. PK HEM dan Kaunselor mengusap lembut kepala yang barangkali  tidak pernah diusap ibu sendiri. Mereka dengan lembut dan sabar  bertanya khabar. Mereka dengan penuh prihatin memujuk dan membimbing. Mereka dengan penuh semangat menunjuk cara dan memberi sedikit masa menyelami hati nan lara. Akhirnya sianak kecil berjanji untuk ke sekolah semula. Selepas itu kita amat gembira dia datang juga.




Monday, July 8, 2013

MENCARI HIDAYAHNYA


SYARAHAN US WAHID
SURAH ANNAHLU AYAT 61
16. 1. 13

PENGAJARAN AYAT
  1. Marilah kita meminta ampun kepada Allah kerana ajal maut akan sampai tepat pada masanya, tidak kurang atau tidak lewat walau sesaat pun. Imam Al Qurtubi  pernah berkata, Allah tidak akan tinggal walaupun seekor semut di atas muka bumi, daripada menerima balasanNya, kalau   nak ikutkan kesalahan yang kita buat dan yang pernah manusia lakukan, sama ada buat zalim kpd diri sendiri atau juga kepada orang lain.
  2. Marilah kita meminta hidayah Allah kerana manusia selalunya menzalimi diri sendiri, dengan melakukan pelbagai kesalahan dan kezaliman sama ada kepada diri sendiri atau kepada orang lain. Menurut Abdullah Ibn Mas'ud, kalau Allah ambil kira kesalahan yang manusia lakukan,  walaupun binatang yang  kecil yang tinggal di dalam  lubang akan merasa azab Allah, contohnya seperti Allah  tahan hujan dari langit, tapi oleh kerana Allah maha pengampun kepada dosa-dosa manusia dan maha luas hidayahNya, jadi mintalah hidayah supaya dijauhkan kita daripada melakukan  sebarang dosa.
  3. Kita wajib mencari hidayah dan beristiqamah minta hidayah daripada Allah, iaitu  hidayah umum untuk menjaga Islam dan Iman, dan  hidayah  khusus untuk mendapat nikmat iman, serta hidayah menuju jalan ke syurga. Menurut Imam Abd Rahman Ahmad, beliau pernah berkata, Allah sangat suka jika manusia minta drp Allah
  4. Marilah kita memohon doa supaya kita dimatikan sebagai orang yang beriman, kerana Allah akan balas pahala yang banyak kepada kita insyaa Allah. Kalau kita ditimpa bala sekalipun sebelum mati, jika kita benar-benar beriman dan redha, Allah akan bangkitkan dengan kebaikan.

    Untuk semua marilah kita memohon daripada Allah dengan bersungguh-sungguh kerana Allah amat besar rahimnya, maha pengasih lagi maha penyayang, Janganlah sekali-kali kita berputus asa dan bersangka buruk kepada Allah kerana tiada daya kita untuk mengelak keburukan, dan tiada daya kita untuk berbuat kebaikan melainkan dengan kehendakNya jua.

Sunday, July 7, 2013

YANG MAHA PENGASIH


Syarahan Us Wahid 
Surah AnNahlu  Ayat 71
6 FEB 2013

Kata Imam Ibn Musa,  berpada-padalah kamu dalam bab rezeki dan dalam kehidupan dunia, sesungguhnya Allah telah melebihkan rezeki pada sesiapa yang Dia suka. Tetapi kepada semua yang Allah kurniakan rezeki itu, Allah akan uji, siapakah antara umatNya yang bersyukur atau sebaliknya.

Sebenarnya yang dikatakan rezeki itu adalah berbagai-bagai pemberian yang diberikan oleh Allah kepada kita, sama ada dalam bentuk wang ringgit, anak-anak, ilmu dan kemahiran, kesihatan tubuh badan, suami atau isteri, sahabat handai dan jiran tetangga, kelapangan, atau boleh jadi apa saja yang tidak terfikirkan oleh kita manusia. Dalam sebuah  Hadis, Nabi Mohamad saw. pernah berkata Jibril pernah memberi tahu, bahawa  setiap yg bernyawa tidak akan mati, hingga disempurnakan rezekinya, oleh itu bertaqwalah kepada Allah, cantikkanlah kamu ketika mencari rezeki.

Nabi saw pernah berkata kepada Abdullah Ibn Mas'ud, jangan kerana  nak gembirakan hati kawan sampai sanggup langgar perintah Allah, jangan  puji lebih-lebih sangat  orang yang membantu kita mendapat sesuatu, sdgkan segala rezeki dan nikmat   Allah yang bagi, begitu juga jangan   cela orang yang dapat rezeki, jika Allah tak bagi rezeki kepada kita, kr rezeki tidak blh dihalang, dan bukan boleh ditolak pula, sesungguhnya siapa yang redha, dan yakin dengan rezeki, Allah akan br ketenangan, dan ssebaliknya Allah akan beri perasaan kusut dan serabut kepada  org yg selalu rasa dia tidak dapat rezeki yang sewajarnya daripada Allah.

Iktibarnya marilah kita menjadi orang yang mencari rezeki di jalan yang halal. Kalau Allah murahkan rezeki kita maka bersyukurlah kita. Tapi jika sebaliknya redhalah kita denga segala pemberianNya. Di samping itu janganlah kita tamak dengan segala pemberian Allah kepada kita, kerana sesungguhnya perasaan tamak itu boleh membawa sebesar-besar bencana kepada manusia. 



Wednesday, July 3, 2013

SUKAN TAHUNAN KE-46 2013


Hari ini hari meriah, dan hari yang dikira  hari bersejarah. Hari ini sejak 10 tahun yang lalu memang sangat dinantikan oleh guru dan murid. Hari ini selalunya ditanya siapa VIPnya, dan  siapa yang menutupnya pula. Cenderamata VIP siap? Jangan lupa drivernya! Cepat siap nanti tunggu VIP biar kita yang dulu. Buku pelawat jangan lupa bawa turun. Makanan biar semua guru dan staf dapat - tengah hari dan 'oleh-oleh' dibawa pulang.  Dan sebenarnya banyak lagi soalan-soalan yang di tanya kepada yang sepatutnya, supaya nanti  majlis tiada cacat celanya. Semuanya akan berdoa memohon kepada Allah diberikan cuaca yang baik, dan majlis yang sempurna adanya.

Sebenarnya persiapan untuk hari ini, bermula sejak seminggu lebih awal. Bahang hari sukan terasa dengan acara-acara pra- kejohanan - mengadakan pertandingan acara-acara akhir hinggalah upacara penyampaian hadiah kepada pelajar. Kemudian raptai perbarisan dibuat sebanyak dua kali, tiga hari sebelum hari kejohanan. Sehari sebelum semua guru dan murid sibuk dengan tugas  masing-masing. Pada hari sebenar,  Hari Kejohanan Olahraga ke-46, maka semuanya siap siaga dengan tugas dan tanggung jawab masing-masing. Semua nampak segak dan ceria, tak kira murid, guru atau pekerja. Semuanya menanti tibanya upacara bermula.

Sesungguhnya hari ini nanti akan menjadi kenang-kenangan  sampai bila-bila. Hari ini lambang kesungguhan guru-guru, dan lambang kesatuan seluruh warga. Sesungguhnya pada hari ini terpancar kecemerlangan semua yang bernama warga Bahiyah. Warga yang meletakkan kecemerlang di mana-mana dalam apa jua tugas yang dilaksana. Persiapan tempat, cantik, kemas dan rapi. Hadiah dan penerimaan hadiah tersusun dan sedap mata memandang. Juru acara suaranya lunak  dan mengasyikkan, tanpa sebarang silap dan alpa. Makanan sedap terhidang segak dan anggun. Perbarisan pelajar segak bergaya, tiada yang kelihatan tidak bermaya. Gimik perasmian setiap tahun ada kejutan, Acara guru memang menggembirakan dan amat bermakna terpahat dalam ingatan. Setiap acara berjalan ikut yang disusunkan. Persembahan pelajar juga tidak kurang mempamerkan kehebatan.

Alangkah, bersyukurnya, nanti semunya akan menjadi kenangan abadi yang bakal terpahat di hati. Selamat bersukan.


RAMADHAN DATANG LAGI


Bulan Ramadhan bakal tiba. Seorang jiran telah kembali ke rahmatullah dengan selamatnya. Semua kaum keluarga dan sahabat handai merasa kehilangan dengan pemergiannya. Di surau Imam memohon derma ikhlas untuk jamuan berbuka, kalau boleh jumlahnya biarlah lebih banyak daripada tahun-tahun sebelumnya. Di surau juga Imam mengingatkan ahli jemaah tentang kelebihan merindui bulan penuh rahmat ini, rindukan pahala berganda-ganda, rindukan rahmatNya yang tidak terduga, rindukan aura Ramadhan yang tidak boleh dipisahkan dengan solat tarawih dan qiamullailnya. Lebih syahdu lagi  rindukan lailatul qadar yang dijanjikan, sudah pasti pada umatNya,  malam yang sarat dengan pahala, rahmat dan barakahNya.

Untuk mendapat pahala Ramadhan yang berganda-ganda, marilah kita semak bagaimana caranya. Selain menjaga haram halalnya, marilah kita lihat sunat-sunat semasa menjalankan ibadat puasa yang dikongsikan oleh Iman dengan kami.
- sahur 15 minit sebelum terbit fajar
- berbuka dengan tamar, zam-zam dan air tidak dimasak
- mandi selepas maghrib supaya tidak mengantuk sembahyang tarawih
- memberi jamuan kepada orang berbuka puasa - pahalanya sama dengan orang puasa sepenuhnya
- sembahyang tarawih tiap-tiap malam - siapa bersembahyang dengan penuh keimanan tiap-tiap malam, diampunkan dosa
- jaga sembahyang witir - sunat berjemaah, baca nyaring dan sunat baca qunut selepas 15 hari bulan puasa
- banyakkan baca alQuran
- jaga sunat rawatib yang mengiringi sebelum dan selepas sembahyang fardhu, kerana ia lebih afdhal, jangan tinggal 
- banyakkan membaca alQuran, melakukan amalan baik, berselawat dan membaca doa alMakthurat
- bersungguh-sungguh beribadat  10 malam terakhir, kerna mencaari lailatulqadar
- lapangkan perbelanjaan untuk keluarga
- elakkan bertengkar

Mudah-mudahan dengan sedikit perkongsian itu dapatlah kita  meningkatkan keberkatan bulan Ramadhan al-mubarak ini insyaa Allah.

Tuesday, July 2, 2013

SURATAN TAKDIR


Alangkah bersyukurnya, menjelang bulan Ramadhan yang mulia terjumpa seorang teman lama, yang jarang-jarang dapat berjumpa. Banyak cerita yang dapat dikongsi bersama. Cerita anak-anak yang sudah membesar dan berjaya. Cerita tentang perjalanan usia yang sudah semakin meningkat dan menghampiri senja. Terasa masih baru kenangan bersama membesarkan anak-anak; ambil Buku Rekod Kemajuan di sekolah, baca Yaasin dan Mohon Restu, kelas renang, kelas piano, kelas tuisyen, kelas lukisan, pesta sambutan hari kelahiran dan berbagai-bagai lagi aktiviti anak-anak yang dikongsi bersama. Bermula dengan persahabatan anak-anak, akhirnya menjadikan ibu dan bapa juga kawan. Sungguh nostalgik dan amat mengesankan, dan bila dikenang-kenang amat menyentuh perasaan.

Dan yang paling menyentuh hati, bila sama-sama menyentuh soal kesihatan. Bila sudah mencecah lebih setengah abad, maka ada saja penyakit yang datang menyapa. Sedih juga mendengar ceritanya yang mengalami 'slip-disc'. Kisahnya semasa mudanya,  selalu dia  berulang-alik, boleh dikatakan setiap minggu melawat anak di KL. Bermula di Sekolah Berasrama Penuh, kemudian di Kolej Mara pula. Bila terbang bawalah pelbagai makanan dingin beku yang pelbagai untuk anak-anak  kesayangan. Maka amat beratlah beg yang terpaksa diuruskan saban minggu semasa melawat anak-anak, seorang  lepas seorang, tiga orang semuanya. Bukan itu saja bila anak di luar negara, bermula pulalah perjalanan yang lebih jauh dengan rutin yang sama juga. Alangkah, alangkah dalamnya kasih ibu kepada anak-anak yang amat dicintai.

Kini anak kesayangan sudah berjaya semuanya, seorang Doktor, seorang Farmasis dan seorang lagi bidang Ekonomi. Alangkah bahagianya suratan Allah ditakdirkan kepadanya. Pada masa yang sama alangkah besar ujian penanggungannya, kerana terlalu sangat mengangkat beg-beg yang berat dia mengalami sakit tulang belakang yang teramat sangat. Sungguh amat insaf melihat pengorbanan seorang sahabat yang sangat kasih kepada anak-anaknya yang tercinta. Sekarang anak-anak tercinta yang semuanya berjaya sibuk dengan kerjaya.  Siibu pula sekarang  sibuk merawat sakitnya pula. Maha suci Allah, begitulah suratan takdir adanya kepadanya. Mudah-mudahan sabarlah ibu menerima takdirnya  yang tertulis kepadanya itu.  

Monday, July 1, 2013

MENJADI DIRI SENDIRI


Sejak berkahwin, berkerjaya, dan berkeluarga, rutin harian memang sangat padat. Apatah lagi apabila diamanahkan jawatan pula. Sejak memegang jawatan, kalau tidak kena gayanya memang tiada masa langsung  untuk diri sendiri. Setiap masa difikirkan untuk urusan di tempat kerja, banyak masa untuk urusan keluarga, dan masa-masa yang lain untuk serbaguna. Begitulah saban hari yang telah ditakdirkan atas ketentuanNya.

Oleh itu selalu juga diingatkan kepada rakan, sesekali kita perlu jadi diri kita sendiri. Jadi antara program yang boleh merealisasikannya ialah  'team- building'. Melalui program ini kita boleh melaksanakan aktiviti yang boleh merehatkan fikiran dan minda, dan boleh juga mengurangkan stress yang berganda-ganda. 

Jadi amatlah bersyukurnya kami dapat melapangkan masa untuk 'team-building' yang sangat singkat tapi amat bermakna. Walaupun cuma dua hari satu malam, tapi masa yang dilalui bersama amat berharga dan bermakna; perjalanan ke destinasi yang sama,  tinggal di apartment sama, 'boating' bersama, dan  makan bersama-sama. Sama-sama berpanas dan sama-sama berhujan, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

Tahniah kepada semua yang terlibat, together we go for excellence, excellence is a reality......