Wednesday, July 17, 2013

DIA DATANG JUGA


Mengunjungi seorang pelajar yang sudah lama  tidak hadir ke  sekolah mengundang pelbagai pertanyaan. Pertama, terlintas di fikiran, bagaimanakah pandangannya terhadap kehidupan, kerana kelihatan seolah-olah dia sudah putus harapan dan kecewa menjalani kehidupan, yang kelihatan sangat sukar dan menyakitkan. Sungguh sukar hidupnya, dalam usia belasan tahun, tiada belaian kasih seorang ibu yang memayungi hatinya yang masih rapuh dan mendambakan seorang yang bernama ibu seperti orang lain. Bayangkan  seorang anak gadis berusia lima belas tahun, hidup sendirian bersama bapanya saja. Bapa pula kedua-dua belah kakinya telah dipotong menjadi OKU adanya. Makan minum, pakaian, pengurusan rumah, dan semua keperluan asas terpaksa diurus sendiri tanpa bantuan, dan tunjuk ajar siapa-siapa. Yang lebih menyentuh hati, sudah tentulah dia jugalah yang menguruskan bapanya yang tidak berdaya, dan sangat terhad pergerakannya.

Sesungguhnya melihat anak gadis sekecil itu dengan penanggungannya yang berat dan sungguh-sungguh  tidak tertanggung,   memang sangat menyayat hati. Kelihatan bekas-bekas bungkusan makanan bersepah di lantai, yang dirasakan sudah lama tidak bersapu. Baju-baju yang sudah dipakai juga bersepahan sudah sekian lama, menunggu masa untuk dibasuh. Pinggan mangkuk, gelas dan cawan, serta bekas makanan juga bertimbun di sinki tidak dicuci lagi.

Alangkah, alangkah, sebak di hati mengenangkan. Dalam bulan puasa ini kita semua bergembira sekeluarga menikmati juadah bersama anak-anak tercinta. Malangnya  seorang anak kecil ini sendiri-sendiri. Makan apa ada, dan pastinya cari makan untuk bapanya yang tak bermaya tiada anggota kakinya. Patutlah tindakannya saja, sudah jelas dia sudah hilang semangatnya. Barangkali dia sudah pasrah dan amat  kecewa, jadi kalau sudah hidupnya tidak bermakna lagi, kenapa perlunya dia pergi ke sekolah lagi,

Mujurlah masih ada yang masih mengasihani. PK HEM dan Kaunselor mengusap lembut kepala yang barangkali  tidak pernah diusap ibu sendiri. Mereka dengan lembut dan sabar  bertanya khabar. Mereka dengan penuh prihatin memujuk dan membimbing. Mereka dengan penuh semangat menunjuk cara dan memberi sedikit masa menyelami hati nan lara. Akhirnya sianak kecil berjanji untuk ke sekolah semula. Selepas itu kita amat gembira dia datang juga.




No comments:

Post a Comment