Tuesday, July 2, 2013

SURATAN TAKDIR


Alangkah bersyukurnya, menjelang bulan Ramadhan yang mulia terjumpa seorang teman lama, yang jarang-jarang dapat berjumpa. Banyak cerita yang dapat dikongsi bersama. Cerita anak-anak yang sudah membesar dan berjaya. Cerita tentang perjalanan usia yang sudah semakin meningkat dan menghampiri senja. Terasa masih baru kenangan bersama membesarkan anak-anak; ambil Buku Rekod Kemajuan di sekolah, baca Yaasin dan Mohon Restu, kelas renang, kelas piano, kelas tuisyen, kelas lukisan, pesta sambutan hari kelahiran dan berbagai-bagai lagi aktiviti anak-anak yang dikongsi bersama. Bermula dengan persahabatan anak-anak, akhirnya menjadikan ibu dan bapa juga kawan. Sungguh nostalgik dan amat mengesankan, dan bila dikenang-kenang amat menyentuh perasaan.

Dan yang paling menyentuh hati, bila sama-sama menyentuh soal kesihatan. Bila sudah mencecah lebih setengah abad, maka ada saja penyakit yang datang menyapa. Sedih juga mendengar ceritanya yang mengalami 'slip-disc'. Kisahnya semasa mudanya,  selalu dia  berulang-alik, boleh dikatakan setiap minggu melawat anak di KL. Bermula di Sekolah Berasrama Penuh, kemudian di Kolej Mara pula. Bila terbang bawalah pelbagai makanan dingin beku yang pelbagai untuk anak-anak  kesayangan. Maka amat beratlah beg yang terpaksa diuruskan saban minggu semasa melawat anak-anak, seorang  lepas seorang, tiga orang semuanya. Bukan itu saja bila anak di luar negara, bermula pulalah perjalanan yang lebih jauh dengan rutin yang sama juga. Alangkah, alangkah dalamnya kasih ibu kepada anak-anak yang amat dicintai.

Kini anak kesayangan sudah berjaya semuanya, seorang Doktor, seorang Farmasis dan seorang lagi bidang Ekonomi. Alangkah bahagianya suratan Allah ditakdirkan kepadanya. Pada masa yang sama alangkah besar ujian penanggungannya, kerana terlalu sangat mengangkat beg-beg yang berat dia mengalami sakit tulang belakang yang teramat sangat. Sungguh amat insaf melihat pengorbanan seorang sahabat yang sangat kasih kepada anak-anaknya yang tercinta. Sekarang anak-anak tercinta yang semuanya berjaya sibuk dengan kerjaya.  Siibu pula sekarang  sibuk merawat sakitnya pula. Maha suci Allah, begitulah suratan takdir adanya kepadanya. Mudah-mudahan sabarlah ibu menerima takdirnya  yang tertulis kepadanya itu.  

No comments:

Post a Comment