Monday, August 30, 2021

KAMI MOHON SYURGAMU

Jam 6.30 pagi emak diberi susu sarapannya. Kadang-kadang dia biasa saja bila digerak untuk bangun, dibersihkan muka disikatkan rambut dan terus minum. Kemudian dibukakan tv, Quran Time sedang bersiaran, dia pasrah dan tenang menikmatinya sambil diberikan minum. Alhamdulillah. Itu tandanya dia cukup tidur dan emosinya stabil. 

Pada masa yang lain pula, bila buka mata saja dia suruh tutup lampu. Jangan ganggu dia, dia nak tidur. Tv yang bersiaran walaupun sedang mengaji Quran disuruhnya tutup kerana bising. Dia rasa ketat dada. Mukanya pun tak manis, muka kita pun dia tak mau tengok, dia hanya ingin bersendiri. Arahannya suruh tutup lampu kami dengar saja, dia terus diberikan sarapan susu seperti biasa. Kemudian kami tinggalkan dia sekejap supaya dia tenang. Jika dia berseorangan dia akan cepat tenang berbanding jika kita bertingkah bercakap dengannya. Jika dia begini hati terasa amat sayu, amat sedih tak tetahankan. Mengalir air mata tanpa disedari, Allah saja yang tahu.

Kalau begitu karenahnya bermakna emak fikirannya terganggu. Dia tidak boleh tidur, dia berjaga semalaman. Alahai ya Allah ya Rahman kasihannya dia. Aku lena berehat dia berjaga semalaman. Dulu masa dia jaga aku masih kecil, kalau aku tak lena pasti dia juga tidak lena tidur. Dia akan pastikan aku tidur baru dia boleh tidur, besarnya pengorbanan mak membesarkan aku dengan susah payahnya. Terasa amatlah bersalah dan berdosa. Alangkah sedihnya  dia tidak pernah gerak atau kejutkan aku kalau dia tidak lena. Enam tahun teman mak tidur masa dia sakit, tidak pernah dia bertindak luar biasa, sampai aku tak boleh lena. Namun aku tahu dia tidak lena kerana bila aku tersedar untuk ke bilik air aku nampak kelibat mak bergerak tangan atau kaki kanannya. Barangkali dia lenguh dan kurang selesa kerana terlalu lama dalam posisi  tidur tapi tidak lena. Dan dia pun tidak dapat mengalihkan badannya kecuali tangan dan kaki kanannya sahaja. Kerana itu dia juga sentiasa naik turun emosinya yang mesti kami berikan perhatian. Kalau dia tidak lena tidur kami berikan sedikit ubat penenang. Dengan itu dapatlah membantunya supaya dapat tidur malam. Bila dia lena emosinya akan kembali stabil dan dia akan lebih selesa dan tenang.

Waufawwi dhu amri ilaalah, innallaha basiirul bil ibadd. Ya Allah aku serahkan kesusahan yang kami alami kepadaMu kerana Engkau ya Allah, maha melihat dan maha mengetahui keadaan sebenar kami. Dalam kegelapan malam aku panjatkan doa itu bila mana aku terjaga dan melihat mak tak lena tidur. Tak henti-henti aku panjatkan doa itu, hanya Allah saja yang tahu. Aku pun sudah pasrah menerima ketentuan takdir Tuhan kepada kami. Saban hari masa berlalu, minggu berganti minggu, bulan berganti bulan, dan tahun berganti tahun.

Sudah enam tahun keadaannya sama saja tiada yang berubah. Mak masih tetap tidak bergerak dari pinggan ke bawah. Dia tak boleh uruskan dirinya. Dia sudah tidak dapat mengenal masa, pagi atau petang, siang atau malam. Pada mak semuanya sama saja. Diajar mengucap dia ikut, berzikir dia ikut, bila disuruh banyakakan zikir dia dia seolah anak kecil diam membisu. Aku tak paksa cuma lihat saja dengan penuh rasa sayu dan terharu. Ajak baca qulhu dia ikut, tapi baca Quran ayat yang lain dia diam bagai anak kecil lagi. Sedangkan dulu setiap pagi setiap petang kerja dia baca Quran. Ada ayat-ayat yang dihafalnya tapi kini bila dicuba-cuba bawa bacaan itu, dia seperti tidak ingat sangat. Aku sedih lagi rasa sangat sedih. Ya Allah penyakit ini Engkau yang berikan. Tidak ada daya upaya kami berbuat kebaikan melainkan dengan keizinanMu jua dan tiadak ada daya upaya kami berbuat keburukan melainkan juga dengan keizinanMu jua.

Ya Allah jika segala penyakit Engkau berikan kepada mak untuk menghapuskan dosanya berilah dia syurga Firdaus Mu. Jika segala masalah, kesulitan dan kepayahan mengurus mak Engkau berikan kepada kami untuk menghapuskan dosa kami, kami redha ya Allah. Bantulah kami supaya dapat bersabar, bantulah kami supaya ikhlas, bantulah kami supaya dapat redha dan  redhalah ke atas kami. Mudahkanlah segalanya kepada kami. Hanya kami mengharapkan redhaMu. Kami berlapang dada dengan mengharapakan redhaMu. Ya Allah jika semua yang Kau berikan ini untuk Kau gugurkan dosa-dosa kami, kami mohon syurga FirdausMu ya Allah. Aamiinn ya Allah ya Robbal aa lamiin.

Sunday, August 29, 2021

SEMUA SAMA CERITA

Mulai bulan Mei 2021, ada bibik baru pula membantu menjaga emak yang tidak sihat. Ini bibik yang ketiga. Aku sudah tak kuasa lagi, memang terpaksa menyimpan bibik untuk bantu urus orang sakit. Lemas memang lemas. Rimas pun ada dan terganggu lagi ada. Apa kan daya sudah suratan takdir relakan saja. Allahu Robbi, Allah maha mengetahui akan segalanya. Waufawwi dhu amri ilallah, innallahha basiirul bil ibaad.  

Setiap hari dengar cerita yang sama, banyak hutang, orang minta hutang, orang tak bayar hutang, dan hampir selalu orang telefon tanyakan kot-kot boleh diberi sedikit hutang. Tak faham betul masyarakat depa ni. Manusia macam mana kehidupan mereka, sehingga semuanya nak berhutang. Dulu pun bibik yang sebelum ini juga bawa cerita yang sama. Setiap bulan kirimkan wang gaji untuk bayar hutang, hampir setiap bulan. Kerja dapat gaji bayar hutang, bayar hutang dan bayar hutang. Setahun kerja bayar hutang saja setiap bulan. 

Kemudian adik kakak di Indon bila tak ada nak makan, pergi pinjam duit, bibik pula kena bayar hutangnya. Kakak nak kahwin pinjam duit buat kenduri kahwin bibik juga yang kena bayar. Suami kakak tak kerja, hutang lagi, telefon minta bibik bayarkan. Kakak nak beranak bibik juga bayarkan hutang yang kakak ambil dari jiran dan saudara. Bapa mati buat kenduri tujuh hari, pinjam wang saudara, bibik hantar lagi duit untuk bayar hutang. Kononnya bapa berhutang semasa hidupnya, bibik juga sediakan duit buat bayar hutang bapa kononnya.

Yang sekarang pula, anak nak sekolah hutang beli baju, dan hutang beli segala persediaan masuk pesanteren. Lepas tu bayar hutang yuran persekolahan pula. Aduh hutang apa ni macam-macam hutang. Pening dengar cerita hutang. Lepas tu hutang pula nak beli motor buat anak yang tengah, guna untuk berulang alik ke kedai dan tengok adik di sekolah. Aduh anaknya tak ada kerja, tapi nak pakai motor juga, betul-betul  menghabiskan duit bibik. Anak yang sulung pula hutang nak beli kebun pinang, bibik juga yang bayarkan. Bekas suami nak raya tak ada duit minta hutang dengan bibik juga. 

Begitulah cerita bibik dengan hutang mereka, memang tak faham. Budaya tak sama cara hidup tak sama, tapi berhutang itu tidak baik, berhutang itu menyusahkan, memang suatu nilai yang sama. Ada telinga dengarkan saja jangan masuk dalam kepala. Ya Allah Engkau maha mengetahui apa sebenarnya cerita mereka. Semua mereka datang dari negeri yang sama dan membawa cerita yang sama saja, Barang kali itu satu retorik meraih simpati, aku pun tidak tahu. Ya Allah bantulah mereka, tunjukki mereka  jalan yang benar, beri hidayah kepada mereka.

 

Thursday, August 26, 2021

ADA MATA LIHAT, ADA TELINGAT DENGAR, ALLAH SAJA YANG TAHU

Tanggal 18 Mac 2020 bemula PKP iaitu Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara, dengan harapan negara Malaysia tercinta ini dapat membendung gejala wabak covid 19. Waktu itu kelihatan huru hara seluruh negara. Ada isteri terkandas di kampung, ada suami terkandas juga. Tambah teruk lagi ada anak-anak terkadas jauh dari emak bapa. Waktu itu semua sekolah tutup, tempat kerja juga tutup, kilang tutup. Pendek kata tiada pergerakan yang tidak perlu. Tiada rentas negeri, tiada juga rantas daerah, semua diarah duduk di rumah, Stay home stay safe. PKP disambung lepas dua minggu, sambung lagi, sambung dan sambung sehinggalah mencapai ke bulan Ogos. Siapa engkar didenda, siapa tidak patuh diambil tindakan tegas. Nampak jugalah kesannya, jumlah jangkitan pesakit covid agak terkawal, menurun sedikit demi sedikit hingga mencecah dua angka sahaja. Rakyat mula rasa sedikit seronok dan sedikit rasa lega.

Namun apalah malangnya selepas itu timbul  kluster yang berbagai-bagai. Masyarakat tidak mengambil serius apabila disah positif dan diminta karantin di rumah, mereka ambil mudah. Dipakaikan gelang pink untuk mereka berkurung di rumah dan tidak berjumpa orang lain mereka engkar dan tak rasa bertanggung jawab menjaga diri. Mereka tak rasa bimbang akan tersebarkan kepada orang lain. Mereka selfish, bebal dan bengkeng, maka jumlah pesakit yang sudah menurun tiba-tiba melonjak semula menjadi gelombang kedua dan akhirnya tahun 2021 menjagi gelombang ketiga.

Kerajaan tiada pilihan telah mengisytiharkan dharurat kesihatan. Pada masa yang sama kerajaan menggalakkan vaksin, kempen sana sisi, setiap masa setiap hari minta rakyat ikut langkah kerajaan disuntik  2 dos vaksin. Harapan kerajaan dengan semua masyarakat  divaksin, kita  mencapai herd immunity, atau kesihatan kelompok. Seterusnya dengan usaha dan ikhtiar itu, diharap semua rakyat  akan terselamat daripada jangkitan covid 19 in sya Allah. Ramailah yang turut serta, alhamdulillah. Setiap hari di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ramailah yang hadir untuk ambil vaksin. Bermula dengan PM TS Muhyiddin Yasin, semua Menteri dan Pegawai Tinggi, Front-liners, sehinggalah ke masyrakat biasa. Warga emas diberi keutamaan kemudian yang berusia 60 keatas hinggalah kepada yang lainnya. Namun ramai juga yang antivaksin pula. Sudah daftar tidak hadir ke PPV, dan yang lebih teruk lagi, tidak daftar langsung dengan My Sejahtera. Tidak mahu ikut vaksin kononnya tidak perlu dan covid 19 ini tidak akan mengancam masyarakat kononnya. Covid makhluk Allah, kenapa takut covid, kenapa tak takut Allah?. Jadi kenapa perlu ditakuti? Alluhu Robbi tak tahu apa nak kata lagi.

Sekarang kes sudah mencecah 22,000 setiap hari. PM pun sudah bertukar ganti. Tiba giliran DS Ismail Sabri kali ini. Tak tau apa nak jadi lagi. Kita setiap hari bergelut menentang covid, orang politik bergelut nak jadi PM dan nak jadi Menteri. Hari-hari dalam Parlimen bergaduh, bertekak macam orang tak sekolah. Sampai baca fatihah untuk mangsa covid pun orang dah tidak hormat, lawan menjerit bagai nak pecah Parlimen. Patutlah Allah masih membiarkan covid berleluasa. Dia sedang menyaksikan manusia hilang punca, Dia sedang menyaksikan kemungkaran, Dia sedang menyaksikan tiada rasa insaf dengan musibah yang ditimpakan, tiada rasa berdosa dengan segala kesalahan. Tidak ada, malah bagai tidak dirasakan apa-apa dengan teguran yang Allah turunkan. Masya Allah.

Masyarakat semakin terhimpit. Yang susah semakin susah. Tiada pekerjaan, tiada makanan. Maka timbul pula pemberian bakul makanan, pamer bendera putih jika terputus makanan. Alhamdulillah terima kasih kepada yang dermawan dan perihatin. Maka ramailah pula yang mengedarkan bakul-bakul makanan kepada yang memerlukan. Tapi masih ada juga yang tidak dapat merasakannya. Bukan makanan saja yang tidak ada tapi ada juga api air dah tak mampu nak bayar, tak tau apa nak jadi. Ansuran kereta, ansuran rumah, ansuran perniagaan semunya membebankan, dan tiada lagi kemampuan untuk melunaskannya, kerana hilang kerja, hilang mata pencarian. Keadaan menjadi semakin sukar dan semuanya menjadi semakin rumit. Ya Allah kami sudah tidak berdaya lagi. Ampuni dosa-dosa kami ya Allah. Kami banyak berdosa ya Allah. Jangan Engkau siksa kami dengan dosa-dosa kami melainkan Engkau ampunkan ya Allah. Sesungguhnya kami tidak berdaya, kami hanya mengharapkan bantuanMu ya Allah bantulah kami ya Allah ya Rahman ya Rahiim ya Robbal aalamiin.

MUSIBAH ZAMAN COVID

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasihani. Ya Allah kami tahu kami sangat dhaif dan tidak berdaya. Kami tahu kami banyak dosa. Malah ada antara kami yang masih belum sedar-sedar juga. Barang kali kerana itulah Engkau jentik hati-hati kami dengan covid 19, supaya kami tahu diri dan kembali bertaubat, supaya kami kembali kepadaMu yang maha pencipta, yang maha menentukan segalanya. Kami dikenakan PKP, Perintah  Kawalan Pergerakan, tapi sebenarnya jika direnung sedalam-dalamnya sebenarnya Engkau kenakan Perintah Kembali ke Pencipta. 

Ya Allah, ya Rahman ya Rahiim, Engkau sebenarnya mahukan kami lebih dekat denganMu. Engkau sebenarnya mahu kami merintih dan merayu kepadaMu. Untuk yang berfikir sebenarnya itulah jalanNya. Jadi Engkau yang menentukan covid 19 ini melanda kami, tidak lagi mengangkat covid 19 ini dari kami. Sebenarnya menghilangkan wabak ini jika Engkau mahu boleh terjadi sekelip mata sahaja, segalanya amat mudah bagi Mu "kun fa-yakun". Tapi Engkau masih mahu menguji kami, kami redha ya Allah.

Maka terus berleluasalah covid ini. Kononnya untuk membendungnya, dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan lepas satu fasa ke satu fasa,  PKP, PKB (Bersyarat), PKD (Diperketat), PKPP (Pemulihan). Lepas sebulan ke sebulan, lepas setahun ke setahun, dari tahun 2020 hingga sekarang 2021 sudah masuk bulan Ogos, sudah hampir dua tahun. Maka apa daya kita lagi, cuma berdoa dan bermunajat, bermohon seikhlasnya supaya Allah yang memberikan penyakit, Dialah juga yang akan menyembuhkan penyakit. Itulah harapan kita, jadi mari kita banyakkan bertaubat, jangan tinggal sembahyang,  banyakkan membaca Al-Quran, banyakkan bersedekah dan mengingat Allah setiap masa dan ketika. Yakinlah hanya dengan cara kembali ke Allah, kita akan dibantu Allah untuk pulih semula, in sya Allah.

Musim covid ini ramai orang hilang pekerjaan, ramai orang hilang orang tersayang tempat bergantung harapan, ramai yang hilang kaum keluarga. Semuanya amat memilukan, Segalanya menjadikan perasaan masing-masing tertekan. Tertekan hilang pekerjaan, tertekan rugi dalam perniagaan, tertekan bebanan hutang, dan tertekan hilang kaum keluarga. Semuanya menjadikan manusia semakin hilang punca. Ada yang bergaduh, ada yang hutang sana sini, yang teruk lagi ada yang dalam kesusahan ditekan along  pencekik darah. Jadi ada yang bergaduh suami isteri, tipu sana sini, malah ada yang bercerai berai laki bini, sehingga anak-anak menjadi mangsa keadaan ini. Ini amat memilukan hati. Ini amat menyedihkan sekali.

Ya Allah tolonglah kami berilah kami kesabaran menghadapi musibah ini. Berilah kami pertuntuk jalan yang benar. Bimbinglah kami supaya semakin dekat denganMu dalam menghadapi musibah ini. Bimbinglah kami supaya dapat bersabar dan redha dengan segala pemberianMu, walaupun kelihatan sangat berat di mata kami, tapi kami sangat yakin mesti ada kebaikan yang Engkau telah sediakan kepada kami in sya Allah. Ya Allah janganlah Engkau uji kami dengan ujian yang tidak tertanggung oleh kami. Bantulah kami, bantulah kami, bantulah kami ya Allah. Aamiin.

Tuesday, August 24, 2021

BETUL-BETUL NORMA BARU

Kes covid 19 sudah menjangkau lebih 22,000 kes sehari. Kematian juga jumlahnya semakin meningkat. Aku sudah malas nak mengingat jumlah kematian berapa orang sehari. Hati rasa tersayat, sedih dan terharu melihat jumlah pesakit yang semakin melambung tinggi. Setiap hari lepas sarapan mulai jam 7.30 hingga 8.30,  kami mula kelas on-line secara zoom-meeting, bermula hari Ahad hingga Khamis. Mula dulu cuma beberapa orang turut serta. Sekarang jumlahnya sudah mencecah lebih 70 orang setiap kelas. Alhamdulillah orang tua-tua baby-bloom pun sudah mula menyesuaikan diri dengan teknologi, bagi meneruskan kesinambungan menuntut ilmu, yang sudah tidak dapat diteruskan. Ini kerana tidak dibernarkan sebarang perjumpaan semasa musim PKP yang masih berjalan.

Hari Jumaat papa tidak ke mesjid kalau tidak mendapat kad kebenaran solat Jumaat dari mesjid. Maka solat zohorlah papa, di rumah saja. Sesekali dapat kad papa amat bersyukur dapat melepaskan rindu solat Jumaat di Masjid. Lepas itu di rumah lagi, tak tahu sampai bila, Allah sajalah yang maha mengetahuinya. Ya Allah ya Rahman ya Rahim, ampuni dosa-dosa kami, angkatlah wabak ini dan berikan kesembuhan kepada kami. Sesungguhnya kepadaMu kami bertaubat dan kepadaMu kami berserah, Bantulah kami.

Kelas pengajian malam di surau juga terbantut. Mujurlah salah seorang jemaah berusaha menjadi hos menggunakan google-meet. Alhamdulillah dapatlah kami terus menadah kitab, Adap Menjadi Imam dan Makmum. Kelas Ustaz Rahman ini kuliahnya sangat padat, jadi sejam selepas maghrib itu kami tidak berpeluang untuk rasa mengantuk. Syukurlah semoga Allah memberikan kami jiwa yang faqqih agama, untuk kami terus menuntut ilmu buat bekalan di sana nanti.

Mesyuarat AJK PSMCK pun macam tu juga. Dah tak tertanggung menunggu beberapa bulan selepas  mesyuarat Agung bulan Mac dulu. Maka bekerjalah papa untuk menyiapkan semua bahan mesyuarat. Mesyuarat diadakan secara atas talian zoom-meeting. Hanya Dato Syed Azizan yang masih datang ke rumah bagi menyertai zoom-meeting. Yang lain hadir atas talin di rumah masing-masing dan mengikut kluster daerah sebab tak boleh rentas daerah. Alhamdulillah berjaya diadakan mesyaurat. Alhamdulillah, selesai satu tugas mesyuarat bilangan 1 sesi 2021-2023. Memang lega kalau tengok papa lega.

Sekarang papa tengah siapkan kertas kerja untuk dibentangkan dalam persidangan UPSI melalui medium di webex. Buat kertas kerja hantar, buat slide power point dihantar, buat rakaman dihantar juga. Sekarang dah siap satu. Selepas itu,  kini sedang memurnikan artikel untuk persidangan atas talian dengan Muzium Merbuk. Semoga cepat siap dan lengkap untuk berkongsi ilmu yang bermanfaat, insyaAllah.

Monday, August 16, 2021

YANG SUKAR PASTI ADA JALANNYA

Sejak tahun 2019 dunia dikejutkan dengan satu penyakit, satu wabak iaitu cocona virus. Oleh sebab bermula di tahun 2019 maka ia disebut corona virus 19. Bermulanya di China kemudian merebak ke seluruh dunia termasuklah Malaysia. Semua orang terkejut, terkapa-kapa, hilang punca dan hilang arah. Peringkat awal ramai yang mati. Maka dikenakan perintah kawalan pergerakan. Semua aktiviti terhenti. Ofis tutup, kilang tutup, pasaraya tutup, dan sekolah tutup, maka semua diminta patuh perintah kawalan pergerakan dan duduk di rumah untuk mengawal keadaan. Maka ramailah orang hilang pekerjaan, ramailah orang hilang perniagaan dan ramailah pula orang hilang mata pencarian. 

Setahun berlalu, tahun 2020 keadaan masih tidak menunjukkan sesuat yang lebih baik. Malah datang pula gelombang kedua yang lebih teruk dan lebih ganas. Tiada tanda-tanda penurunan, maka kerajaan memutuskan untuk memberikan vaksin kepada rakyat supaya masyarakat dapat sama-sama membendung gejala ini. Tapi keadaan masih tetap tidak memberangsangkan. Dan tahun 2021 gelombang ketiga barangkali sedang melanda. Hanya kepadaMu kami berharap dan hanya kepadaMu kami berserah. Bantulah kami ya Allah ya Rahman Ya Rahimm.

Sesungguhnya Allah sedang menduga kita, Dia menjadikan semuanya ada berpasang-pasang seperti yang dibertiahu dalam surah Al-Lail yang bermaksud  seperti berikut,

"Allah bersumpah demi malam apabila menutupi siang. Demi siang apabila terang benderang. Demi penciptaan lelaki dan perempuan. Sungguh usahamu memang beraneka macam. Maka barang siapa memberikan hartanya di jalan Allah dan bertaqwa. Dan membernarkan pahala dan  syurga. Maka akan Kami (Allah) mudahkan baginya jalan menuju kebahagiaan. Dan yang kikir, merasa dirinya cukup, tidak perlu pertolongan Allah. Serta mendustakan pahala yang terbaik. Maka kami mudahkan baginya jalan menuju kesukaran. Dan hartanya tidak bermanafaat baginya apabila dia telah binasa. Sesungguhnya Kamilah yang memberi pertunjuk......."

Memang sudah lumrah alam, dan jika Allah memberikan kita penyakit , sudah tentulah akan tiba masanya Allah akan berikan kesembuhan kepada kita. Jika Allah berikan kita kesusahan sudah pastilah Allah akan berikah kita penyelesaiaan. Jadi marilah kita sama-sama bersabar dan berdoa agar Allah akan memberikan kita jalan penyelesaian dalam apa jua masalah yang kita hadapi. Tolong kami ya Allah. Hanya padaMu kami memohon, hanya padaMu kami berserah, bantulah kami, ya Allah. Kami sudah tidak berdaya, bantulah kami. Ampunilah  kami, hanya dengan keampunanMu kami dapat meneruskan kehidupan dengan penuh keberkatan. Aaamiin ya Allah.




Monday, August 9, 2021

SELAMAT TAHUN BARU 1443 HIJRAH

Hari ini 10 0gos 2021, bersamaan 1 Muharram 1443. Semalam telah dibacakan doa akhir tahun. Syukur alhamdulillah kami telah dipanjangkan usia hingga ke saat ini. Pada saat ini kes wabak covid 19 sedang mencecah lebih 24 000 kes setiap hari. Jumlah kematian ratusan setiap hari. 

Yang paling tersentuh hari ini Siti Sarah Raissudin seorang penyanyi mati bertarung nyawa dengan covid, dikomakan 14 jam, dibuat operasi melahirkan bayi yang dikandungnya dan selepas itu ditiarapkan dalam ICU dengan harapan agar membantu pernafasannya, dengan harapan agar kembali pulih, namun Allah lebih mengetahui segalanya. Manusia hanya berusaha Allah menentukan segalanya. Pulanglah ia ke pangkuan Maha Pencipta. Rakyat Malaysia turut bersedih dengan pemergiannya. Dia juga bertarung nyawa melawan covid yang mengganas kepadanya. Dia juga bertarung nyawa melahirkan bayi lelakinya. Dia meninggalkan anak-anaknya yang masih kecil. Sudah pasti ini amat perit bagi suaminya yang kehilangan tempat bermanja, ibu yang membelai semua anaknya yang masih tidak mengerti suka duka kehidupan adanya.

Itulah covid 19. Dia tidak kenal siapa-siapa, bila dan di mana. Maka sama-samalah menjaga SOP. Dan untuk pasangan yang menantidan mengharapkan kelahiran bayi,  dapatkan vaksin segera, sebagai langkah berjaga-jaga. Sama-sama kita jaga kita insyAllah. Allah jaga kita.

Saturday, August 7, 2021

RISAU BERSERAHLAH KEPADANYA

Kadang-kadang ada banyak sangat masa  terluang masa zaman  pendemik covid 19 ini. Suatu hari  terlihat di whats app ada posting seorang sahabat memaparkan banyaknya jumlah van jenazah membawa jenazah mangsa covid 19, ke tanah perkuburan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah, ke tanah perkuburan di Klang. Maka hati terus tersentuh dan terdetik, teringatkan anakanda yang sedang bertugas di sana. Ibu mana yang tidak runsing, ibu mana yang tidak bimbang, hati mana yang tidak terdetik, tambah-tambah sudah lama tidak dapat bertemu dan bersua muka kerana PKP yang tak sudah-sudah. Tambahan pula lama juga abang long tidak telefon dek sibuknya dengan kerja-kerja di wad covid dan sibuk pula mengulang kaji pelajaran untuk kursus kepakarannya. 

Tanpa fikir panjang terus capai telefon dan panggil along. Terkejut dia sebab dia tengah kerja, selalu jarang di telefon waktu-waktu kerja begitu.

Along, 'Ada apa mama?'

Mama, 'Saja tiba-tiba teringat bang long, lama tak cakap rindu. Risau pun ada sebab la ni covid banyak sangat.'

Along, 'La memang pun abang pun teringat kat mama, tapi tak dan nak call.'

Mama, 'Along semua sihat ka? Mama risau tengok kes kat Klang banyak sangat, tu teringat nak cakap kot-kot tak sihat ka, macam manaka.'

Along, 'Tak pa mama insyaAllah abang semua sihat-sihat ja, tapi semua pun kena jaga SOP la sebab patient di Klang ni ramai sangat.'

Alhamdulillah lega rasa hati. Alhamdulillah syukur pada Mu Ya Ilahi, Ya Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang. Tolong pelihara kami ya Allah, Tolong pelihara kaum keluarga kami ya Allah, tolong sembuhkan mereka yang sedang sakit dijangkiti covid ya Allah. Tolong ya Allah mereka yang dalam kesusahan bantu ringankan beban mereka ya Allah, ya Rahman ya Rahiim. Ya Allah hanya pada Mu kami berserah dan hanya padaMu kami bergangtung harap bantulah hilangkan musibah ini ya Allah. Kami banyak bersdosa ya Allah, ampuni kami dan kasihanilah kami ya Allah yang maha mengetahui, aamiin