Tuesday, August 24, 2021

BETUL-BETUL NORMA BARU

Kes covid 19 sudah menjangkau lebih 22,000 kes sehari. Kematian juga jumlahnya semakin meningkat. Aku sudah malas nak mengingat jumlah kematian berapa orang sehari. Hati rasa tersayat, sedih dan terharu melihat jumlah pesakit yang semakin melambung tinggi. Setiap hari lepas sarapan mulai jam 7.30 hingga 8.30,  kami mula kelas on-line secara zoom-meeting, bermula hari Ahad hingga Khamis. Mula dulu cuma beberapa orang turut serta. Sekarang jumlahnya sudah mencecah lebih 70 orang setiap kelas. Alhamdulillah orang tua-tua baby-bloom pun sudah mula menyesuaikan diri dengan teknologi, bagi meneruskan kesinambungan menuntut ilmu, yang sudah tidak dapat diteruskan. Ini kerana tidak dibernarkan sebarang perjumpaan semasa musim PKP yang masih berjalan.

Hari Jumaat papa tidak ke mesjid kalau tidak mendapat kad kebenaran solat Jumaat dari mesjid. Maka solat zohorlah papa, di rumah saja. Sesekali dapat kad papa amat bersyukur dapat melepaskan rindu solat Jumaat di Masjid. Lepas itu di rumah lagi, tak tahu sampai bila, Allah sajalah yang maha mengetahuinya. Ya Allah ya Rahman ya Rahim, ampuni dosa-dosa kami, angkatlah wabak ini dan berikan kesembuhan kepada kami. Sesungguhnya kepadaMu kami bertaubat dan kepadaMu kami berserah, Bantulah kami.

Kelas pengajian malam di surau juga terbantut. Mujurlah salah seorang jemaah berusaha menjadi hos menggunakan google-meet. Alhamdulillah dapatlah kami terus menadah kitab, Adap Menjadi Imam dan Makmum. Kelas Ustaz Rahman ini kuliahnya sangat padat, jadi sejam selepas maghrib itu kami tidak berpeluang untuk rasa mengantuk. Syukurlah semoga Allah memberikan kami jiwa yang faqqih agama, untuk kami terus menuntut ilmu buat bekalan di sana nanti.

Mesyuarat AJK PSMCK pun macam tu juga. Dah tak tertanggung menunggu beberapa bulan selepas  mesyuarat Agung bulan Mac dulu. Maka bekerjalah papa untuk menyiapkan semua bahan mesyuarat. Mesyuarat diadakan secara atas talian zoom-meeting. Hanya Dato Syed Azizan yang masih datang ke rumah bagi menyertai zoom-meeting. Yang lain hadir atas talin di rumah masing-masing dan mengikut kluster daerah sebab tak boleh rentas daerah. Alhamdulillah berjaya diadakan mesyaurat. Alhamdulillah, selesai satu tugas mesyuarat bilangan 1 sesi 2021-2023. Memang lega kalau tengok papa lega.

Sekarang papa tengah siapkan kertas kerja untuk dibentangkan dalam persidangan UPSI melalui medium di webex. Buat kertas kerja hantar, buat slide power point dihantar, buat rakaman dihantar juga. Sekarang dah siap satu. Selepas itu,  kini sedang memurnikan artikel untuk persidangan atas talian dengan Muzium Merbuk. Semoga cepat siap dan lengkap untuk berkongsi ilmu yang bermanfaat, insyaAllah.

No comments:

Post a Comment