Saturday, March 14, 2015

CERITA-CERITA DOKTOR



Gambar hiasan Doktor yang sudah bekerja


Bila ditanya anak-anak kecil, bila besar nak jadi apa, jawapannya sudah pasti nak jadi doktor. Emak bapa pun tersenyum gembira dan merasa sungguh berbesar hati dan diam-diam mengharapkan ia menjadi kenyataan hendaknya. Kemudian apabila remaja, selepas mendapat keputusan cemerlang bila ditanya lagi, dengan yakin dan senang hati mereka memberitahu nak jadi doktor. Emak bapa pun terus mengharapkan dan terus berdoa agar anak-anak yang dikasihi akan berjaya menjadi doktor nantinya. Kemudian impian untuk menjadi doktor menjadi kenyataan apabila diterima masuk ke universiti dalam Jurusan Kedoktoran. Maka bermulalah satu era baru dalam kehidupan iaitu mengejar cita-cita yang dihajatkan sejak sekian lama.

Sesungguhnya dalam menyusuri era ini banyak cerita yang ingin dikongsi bersama untuk renungan. Seorang teman pernah berkata, aku tak ada rezeki nak jadi doktor. Dua kali  gagal ujian di tahun dua dan tahun tiga pre-klinikal, maka pengajiannya terpaksa ditamatkan. Dia masih ingat dengan jelas emaknya sering menitiskan air mata semasa makan bersama. "Nak buat macam mana nak, tak sampai hajat dan tak ada rezeki nak makan duit doktor, makanlah apa yang ada". Lama juga saat-saat sedih itu menyelubungi keluarga rakan tersebut, sementara hati yang luka diubati dengan sabar dan redha, sehinggalah kehidupan berjalan seperti biasa semula.

Yang tidak menjadi Doktor

Cerita kedua: Seorang anak memang sangat cemerlang sejak di sekolah rendah, sekolah menengah, MRSM, Kursus Persediaan International Barcalaureat, dan berjaya ke Universiti Cambridge dalam bidang perubatan. Pengajian dalam tahun satu hingga tahun tiga berjalan lancar dengan cemerlangnya. Masalahnya timbul bila masuk ke tahun empat, dia terpaksa menjalani latihan klinikal. Kecemerlangan yang dilalui sejak kecil hingga dewasa tidak menjanjikan kecemerlangan semasa dia berada di hospital. Maka bermulalah mimpi ngeri dalam era mengejar cita-cita menjadi doktor. Takdir telah menentukan dia gagal dua kali ujian klinikal di tahun empat yang terpaksa diulangnya. Maka dengan sedihnya dia gagal mendapat gelaran yang dikejarnya sejak kecil, kerana ditamatkan pengajiannya setelah gagal dua tahun  berturut-turut. Maka berkecailah harapannya dan harapan ayah bonda untuk melihatnya menjadi doktor.



Gambar Hiasan Doktor yang sudah bekerja




Cerita ketiga: Ini kisah sedih yang sangat menyentuh jiwa juga. Seorang pelajar perubatan sebuah universiti di England, berada di tahun empat, dikatakan telah mengalami tekanan yang teramat sangat. Mula-mula dia sering berkongsi cerita dengan rakan seperjuangan tentang masalahnya itu. Kemudaian dia bertukar menjadi murung dan akhirnya barangkali tidak tertanggung bebanannya, dia terus hilang ingatan. Rakan-rakan sudah tidak terdaya membantu lagi, kerana dia sudah lupa diri, lari keluar rumah dalam keadaan yang tidak terkawal dan terkadang bertindak berbahaya. Dia terpaksa dirawat di unit psikologi, kemudian ditangguhkan pengajian kerana tidak sihat dan tidak mampu belajar lagi. 

Cerita keempat: Pelajar ini keputusannya cemerlang, boleh mengikuti pengajian perubatan di universiti tempatan dari awal hingga tamat. Dia mendapat ijazah dan sudah bergelar doktor. Kemudian dengan senang hatinya melapor diri di Hospital Alor Setar. Dengan itu bermulalah kehidupan yang mencabar sebagai seorang doktor yang dicita-citakan sejak kecil. Dia bertugas di unit "Medical". Macam biasalah setiap "Houseman" perlu menjalani masa "tagging" selama dua minggu, untuk membiasakan diri bekerja di ward. Menjalani "tagging" ini masa bekerjanya sangat lama, bermula seawal jam lima pagi dan berakhir selewat jam satu pagi. Dan bekerja di ward sudah tentulah di bawah pengawasan doktor-doktor yang lebih senior. Selepas sebulan bekerja dia terus buat keputusan tidak mahu sambung bekerja sebagai doktor. Kononnya dia tidak tahan dengan bebanan kerja dan tekanan doktor-doktor senior yang selalu marah-marah dan tengking-tengking semasa bertugas di ward. Dia berhenti dan terus mencari kerja lain. Alangkah kecewanya ibu ayah yang selama ini mengharapkan anaknya menjawat jawatan doktor yang  selama ini. Ibu ayah yang susuh hidupnya itu, sekian lama mengharapkan kehidupannya akan lebih baik, bila anaknya berjawatan tinggi dan bergaji besar. Namun amatlah malang bila anak yang sudah berjaya menjadi doktot lari dari tugasnya begitu sahaja. Amatlah sedih ibu ayah, namun itulah takdir yang terpaksa diterimanya dengan hati yang berat.

Gambar hiasan Doktor  yang sudah lama bertugas
Bakal-bakal Doktor
Sebenarnya banyak lagi kisah-kisah sedih  dalam proses menjadi doktor. Sebab terjadinya kisah sedih ini terbahagi kepada beberapa fasa - fasa pertama ialah semasa pembelajaran iaitu tidak lulus dua kali di tahun pre-klinikal, atau tahun klinikal. Dalam fasa ini selain gagal peperiksaan bertulis atau praktikal,  terjadi juga masalah apabila pelajar mengalami gangguan tekanan sehingga menjadi tidak sihat kerana tidak mampu menahan bebanan pembelajaran. Maka jika berlaku pelajar tidak sihat juga, pembelajaran akan ditangguhkan atau ditamatkan ikut ketetapan pihak universiti. Fasa kedua ialah tidak tahan dengan tekanan semasa sudah mula bekerja sebagai houseman. Jadi itulah antara cerita-cerita sedih yang boleh dikongsikan bersama untuk renungan. Semuanya adalah takdir dan ketentuan Allah yang telah diaturkan Allah untuk semua umatNya. Mudah-mudahan kita mengambil iktibar daripada kisah-kisah di atas.

Wednesday, March 11, 2015

UJIAN ALLAH


Sudah menjadi lumrah, manusia akan diuji. Ramai yang beranggapan ujian itu berupa kesusahan, kesempitan, kesedihan, kegagalan dan segala bentuk musibah yang menimpa. Jadi bila kita berhadapan dengan segala macam kesusahan maka kita akan beranggapan itulah ujian yang Allah berikan kepada kita. Kadang-kadang dengan segala kesusahan yang  dilalui kita selalu mengatakan Allah sedang menguji kita. Teringat akan seseorang, hidupnya susah - umur sudah tua, anak masih kecil, dan berpenyakit pula. Kita lihat seolah-olah dia begitu diuji Allah - sering meminta-minta, terkadang memaksa-maksa untuk diberikan sedikit sedekah, tidak kira masa atau siapa. Kita kasihan melihat dia dengan takdirnya yang terkadang kelihatan seperti sungguh susah, sempit dan sedih.

Tetapi sebenarnya jika direnung sedalam-dalamnya, kita juga sebenarnya sedang diuji dengan segala pemberian rezeki yang Allah tumpahkan kepada kita. Sebenarnya yang miskin itu ada haknya, dan yang meminta-minta itu juga, ada haknya yang Allah telah sebut dalam  surah Al-Baqarah ayat 177 yang bermaksud "Bukankah kebajikan itu.......,   .......mendermakannya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya - kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta...... dan mereka itulah orang-orang yang bertaqwa."

Jadi Allah juga menguji orang yang berada, kerana didatangkan kepadanya dengan sahabat handai yang susah, kaum keluarga atau sesiapa saja yang meminta-minta kepadanya pada bila-bila masa adanya. Tidak lain Allah sebenarnya sedang melihat adakah mereka itu tergolong  dalam golongan orang yang bertaqwa kerana orang yang meminta juga ada haknya yang telah disebutkan Allah dengan jelas. Wallahuaklam

Monday, March 9, 2015

LIMA FASA KEHIDUPAN



KULIAH SUBUH OLEH USTAZ AZLI
DARI KITAB RISALAH TAZKIRAH - SH DAUD FATONI
DI MESJID ALBUKHARY - 1 MAC 2015

Kehidupan manusia sebenarnya, Allah telah tetapkan terbahagi kepada lima fasa yang mesti dilalui oleh seseorang yang dikatakan insan, yang dilahirkan ke dunia ini. Walau bagaimanaupun selalunya kita perhatikan, manusia sangat leka dan taksub serta sangat fokus kepada satu fasa kehidupan lebih daripada  yang lainnya, sehingga lupa akan fasa-fasa kehidupan yang lain,  yang Allah telah tetapkan untuk kita lalui. Inilah yang disentuh oleh Sh Daud dalam pendahuluan kitabnya, "aku perhatikan masyarakat kampung, dan gelagat manusia sekelilingnya, manusia sangat kasih kepada dunia seolah-olah di sinilah tempat yang kekal kesudahan mereka. Cara hidup mereka seolah-olah mereka tidak akan mati, contohnya mereka bersembang-sembang dengan sungguh leka, dengan sungguh seronok, sehingga tidak lansung  ingat tentang akhirat, dan mereka bekerja  pula sehingga tidak ingat akan waktu sembahyang zohor, asar, maghrib dan lain-lainnya. Berpunca dari sinilah aku pun kesiankan merka dan  inilah tugas aku ulama untuk memperingatkan janji Allah,  orang lalai akan dapat balasan Allah di akhirat nanti iaitu satu lagi fasa kehidupan yang Allah telah tetapkan untuk dilalui." 

Hendaklah kita tahu bahawa kehidupan manusia daripada Nabi Adam yang diciptakan hingga anak cucunya, sama ada yang baik ataupun tidak, ada lima fasa umur sebagai kehidupan, yang perlu manusia tempuhi, sama ada kita mahu ataupun tidak. Sesungguhnya ketentuan Allah akan tetap terjadi, dan manusia telah ditakdirkan akan melalui lima fasa kehidupan yang Allah telah janjikan:

1. Bermula di alam roh - Allah telah tanya roh yang  dihimpunkan, semua roh mengaku Allah sebagai Tuhan. Tapi di dunia apabilah dilahirkan kita lupa janji kita kepada Allah. Allah telah beri tiga nikmat kepada kita, nikmat dilahirkan, nikmat diberi rezeki, dan nikmat diberi pertunjuk Nabi dan Quran.

2. Kehidupan  alam janin - alam sebelum manusia dilahirkan iaitu alam janin manusia berada dalam perut ibu masing-masing, setelah roh ditiupkan ke dalam janin, ia akan membesar selama sembilan bulan biasanya, kemudian barulah dilahirkan ke dunia yang penuh pancaroba ini.

3. Kehidupan dunia fana - alam sementara yang dilalui selepas manusia dilahirkan sehinggalah kita mati - peringkat ini amat penting untuk mencari pahala sebanyak mungkin, bekerja sekeras-kerasnya, berusaha dengan sungguh-sungguh dan istiqamah, untuk bekalan akhirat nanti, kerana kehidupan ini hanyalah sementara sahaja, tapi  kelihatan sangat penting dan mengasyikkan . Di dunia yang sementara ini, sepatutnyalah kita bekerja keras, seperti mencari ilmu, supaya tidak tertipu dengan fitnah dunia yang sementara, tapi ramai yang terlupa akan kesementaraannya. Ramai yang terleka sehingga seluruh tenaga difokuskan kepada kerja-kerja dunia semata-mata. Fasa ini sangat penting, hidup di dunia seperti  sedang lalu di sebatang jalan raya untuk menuju ke suatu destinasi. Jadi terkadang kita terlupa bahawa tidak selamanya kita akan berada di jalan raya. Apa yang penting ialah di sepanjang jalan kita perlu mencari bekalan yang sebaik-baik dan sebanyak-banyaknya, supaya bila kita sampai ke destinasi kita dapat menikmati bekalan yang dibawa dengan penuh kenikmatan. Antaranya ialah taqwa, iaitu buat yang Allah suruh dan tinggal yang Allah larang, supaya kehidupan ini menjadi kebun yang boleh memberikan bekalan yang hasilnya  akan dituai dan memberi manafaat untuk kehidupan sebenar nantinya. 

4. Kehidupan Alam kubur/barzah - Keluar dari dunia manusia mati dan masuk ke dunia baru dalam alam kubur hinggalah kita dibangkitkan semula. Saidina Umar pernah menangis kerana Nabi pernah berkata kubur adalah tempat singgah yang pertama sehinggalah kiamat. Kata Nabi lagi, kubur boleh jadi satu taman dari taman-taman syurga, kalau tiada azab, jika selamat daripada siksa kubur, maka yang lain akan lebih selamat. Kalau di kubur sudah diazab,  yang lain akan lebih payah, seperti di mahsyar, siratol mustaqim, dan neraka.


5. Kehidupan kekal Alam akhirat - Selepas kiamat, selepas dibangkitkan, manusia dihimpun di mahsyar untuk dihisab segala amalan baik atau sebaliknya, Nabi bersabda,  Allah akan tanya - umur dihabiskan untuk apa? Allah juga tanya tentang ilmu bagaimana digunakan.  Kemudian ditanya juga tentang harta, dari mana diambil, bagaimana dibelanjakan dan ke mana dihabiskan . Pada ketika itu anggota kita yang digunakan di dunia  akan menerangkan segalanya yang terjadi, kerana mulut sudah tidak dapat berkata-kata. Kemudian selesai dihisab, semua akan menuju ke satu tempat titian siratul mustaqim - jika lulus berjaya melepasi titian sirotalmuataqim, maka manusia akan ditempatkan di perhentian yang menjadi destinasi sebenar iaitu syurga untuk dapat merasai nikmat yang sebenar-benarnya. Jika sebaliknya gagal maka akan berhenti di destinasi yang amat perit iaitu neraka, dengan mendapat azab yang tidak terperi siksanya.

Semoga dengan peringatan ini, kita akan dapat muhasabah diri, dan membuat persediaan yang sewajarnya supaya kita tidak tertipu dengan kenikmatan dunia yang sementara cuma. Marilah kita memohon keredhaan Allah  supaya kita dapat mengecapi nikmat di dunia dengan tidak melupai akan usaha untuk merebut peluang balasan nikmat di akhirat sana, supaya kehidupan yang kekal abadi, penuh dengan rahmat Allah di syurga iaitu kurniaan Allah yang maha pengasih kepada hambanya yang taat.