Monday, February 27, 2012

TERKEJUT.......


Sudah lama juga aku tidak berkesempatan balik ke Langkawi. Mendapat berita seorang anak saudara dimasukkan ke hospital, aku pun ambil peluang pulang melawatnya. Cantik sungguh hospital Langkawi, dengan lanskapnya yang bersih dan kemas, ditambah pula pokok-pokok yang menghijau dan sejuk mata memandang memagari bahagian belakang bangunan-bangunannya, sudah tentu pesakitnya terasa amat lega berehat di situ. Selesai melawat orang sakit, melawat kakak yang sudah lama tidak dilawati, kami pun bersiap pulang petang itu juga.

Seperti biasa kalau ke Langkawi tidak lengkap jika tidak membeli choklat kegemaran anak-anak. Selepas sembahyang asar di Jeti Kuah Langkawi, aku bergegas menuju laluan kastam untuk menaiki bot ke Kuala Kedah. Oleh kerana cuma sedikit saja choklat yang dibeli, maka aku melalui pihak kastam tanpa menghiraukan mereka dan tidak pula berhenti. Seperti biasa aku selalu lupa, berjalan dengan pantas walaupun bersama suami dan anank-anak. Tiba-tiba aku dikejutkan apabila terdengar nama aku dipanggil. Tak kanlah choklat sebanyak itu pun mesti ditunjukkan, naik pelik aku bila dipanggil kembali. Berpatah balik, semuanya senyum belaka, termasuk seorang kastam muda, berjalan menuju ke arah aku.

'Cik gu, saya tengok cik gu jalan dari jauh, saya dah cam. Dia terus salam dan cium tangan aku. Oh rupanya aku dipanggil oleh bekas anak murid aku. Masya Allah, bangganya aku, gembiranya aku. Rupanya anak murid, bukannya nak chek choklat. Rugi betul aku terkejut, memang tak patut aku tersirap darah, aku memang sangat terkejut .......... tapi, jauh di sudut hati, aku sungguh bersyukur, kerana masih ada orang yang ingat....

Friday, February 17, 2012

GEOGRAFI OH GEOGRAFI ........


Selepas taklimat Pengetua, aku pun mendapat jadual mengajar, mengajar Geografi Tingkatan 5. Aduh penat rasanya mengenangkan terpaksa berhempas pulas membuat persediaan diri untuk mengajar dan pada masa yang sama terpaksa membimbing pelajar untuk belajar bagi menghadapi peperiksaan SPM. Kasihan betul budak-budak di pedalaman. Guru tak cukup, terpaksalah guru yang ada membantu seadanya untuk mereka bersedia menduduki peperiksaan.

Dengan semangat kental yang berkobar-kobar, aku bersama pelajar-pelajar mengajar dan belajar Geografi. Masih segar dalam ingatan teknik yang pernah diajarkan kepada ku dan rakan-rakan semasa di tingkatan 5 dulu. Teknik yang sama aku gunakan - pengajaran dan pembelajaran berfokuskan pelajar. Dapat kurasakan pelajar boleh menerima aku dan cara aku mengajar. Dapat dilihat dari cahaya mata mereka, mereka faham. Keputusan mereka juga menunjukkan dan mengukuhkan perkara itu.

GURU BARU



Bersama rakan-rakan setugas
Minggu pertama di sekolah dapat kurasakan betapa besarnya tugas dan tanggung jawab sebagai guru. Pengetua dalam taklimatnya di hari pertama mengingatkan, awak orang muda, mengajar anak-anak muda, kalau betul caranya, banyak yang akan berjaya, banyak yang akan teruja dengan kehadiran awak yang masih belia, sebab guru di sini semuanya veteren belaka. Dalam diam aku mengaku kebenaran katanya itu. Ditinjau sekeliling aku, di samping Pengetua, Penolong Kanan, Penolong Kanan HEM dan Setiausaha Sekolah, cuma aku saja guru penolong siswazah. Berbanding dengan sekolah di bandar yang pernah aku bertugas dulu, semasa praktikal, ramainya guru siswazah. Memang betul pelajar di sini memerlukan satu paradigma baru sebagai pencetus kejayaan, sebagai pembuka kepada jalan menuju kejayaan. Mereka memang perlu ditolong dan dibantu.

Bersama pelajar-pelajar yang sangat diingati .......
 Kebetulan aku menggantikan seorang guru Geografi, maka terpaksalah aku mengajar subjek yang bukan opsyen sendiri. Tapi subjek ini memang subjek kegemaran aku semasa di Tingkatan 5 dulu. Guru yang mengajarnya juga guru kegemaran aku, jadi aku memang suka belajar dan dapat pula gred cemerlang mata pelajaran Geografi masa SPM dulu. Jadi aku memang tidak keberatan untuk mengajar sujek itu kepada murid aku yang baru. Mudaha-mudahan aku berharap aku juga menjadi guru yang disukai dan disayangi seperti aku menyayangi guru Geografi aku dulu. Mudah-mudahan dengan sayangnya mereka kepada aku, mereka akan mendapat keputusan yang baik pula seperti aku dulu.