Tuesday, March 13, 2018

ANUGERAH YANG PALING INDAH




Hari raya aidilfitri 2017


Di saat ini usiaku sudah menjagkau lebih 60 tahun. Aku sudah bersara. Semuaanak-anak kesayangku sudah tamat belajar. Aku amat bersyukur setinggi syukur padaMu ya Allah ya Arhamarraahimiin. Syukur yang teramat sangat, maha suci Allah yang menentukan segalanya, yang melakarkan takdir dengan sesempurnanya, dan menjadikan kita manusia terus mengembara di bumi Allah yang tercinta ini, dalam perjalanan menuju kehidupan sebenarnya nanti. Bagaimana mungkin aku tidak memanjatkan kesyukuran setinggi kesyukuran. Jika direnung perjalanan hidup ini, Allah telah mengaturkan dengan penuh rahmatNya, dengan penuh belas  dan  kasihanNya, juga dengan rahimNya. Merenung kehidupan yang telah kulalui, bermula sejak dari awal permulaan berumah tangga, kemudian dikurniai anak, seterusnya membesarkan mereka, menyekolahkan pula, dan seterusnya mengahwinkan mereka, sehingga mereka telah memiliki keluarga mereka sendiri pula.


Allahurobbi..... Alangkah jauh kurasakan perjalanan hidup yang amat indah kurniaanMu kepadaku. Walaupun begitu amat pantas kurasakan masa berlalu. Sedar-sedar semua anak-anak yang kukasihi sudah tamat belajar. Mereka sudah berjaya dalam pelajaran mereka, alhamdulillah. Mereka telah berjaya menjawat jawatan tinggi, alhamdulillah. Dan mereka telah menikmati bahagia berumah tangga, alhamdulillah. Ya Allah, Ya Rahman Ya Rahiim, Engkau berilah mereka kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat. Engkau jadikan mereka anak-anak yang soleh, anak-anak yang dapat memberi manfaat kepada hidupku dan matiku. Begitulah juga ya Allah, jadikanlah anak cucu zuriat keturunanKu juga orang-orang yang soleh. Jadikan mereka orang-orang yang rajin sembahyang, sangat patuh dan mencintai agamaMu,  serta mencintai ilmu, dan terdiri daripada orang-orang yang boleh memberi ilmu yang bermanfaat sebagai jihad ke jalanMu. 


Ya Allah aku mohon kepadaMu ya Allah, semoga anak-anakku semuanya dipermudahkan segala usrusan mereka, ditingkatkan darjat mereka setinggi darjat, dan ditingkatkan iman mereka setinggi-tinggi iman. Semoga mereka menjadi sentiasa kasih dan sayang kepada kami ya Allah, sewaktu hidup kami dan lebih-lebih lagi sewaktu mati kami ya Allah. Ya Allah aku serahkan anak-anakku yang amat kukasihi ini kepadaMU Ya Allah kerana Engkaulah saja sebaik-baik penjaga, dan sebaik-baik pemberi rahmat. Tiada tempat lain dapat ku serahkan mereka, melainkan hanya kepadaMu ya Allah, Ya Arhamarrahimiin.





Sunday, March 11, 2018

AKU DI AMBANG SENJA



Tahun ini 2018, usiaku sudah pun genap 60 tahun. Alhamdulillah setinggi-tinggi syukur kepadaMu Ya Allah ya Rahim ya Rzzak, aku dan suami masih sihat, masih dapat menjalani kehidupan seperti biasa adanya. Kami masih boleh bereadhah setiap pagi berjalan kaki, menikmati nyamannya alam ciptaanMu ya Allah ya Ilahi. Hari-hari yang kami tidak bersenam, kami diizinkan yang maha kuasa untuk hadir ke kelas tafsir, kelas hadith, kelas  fekah dan talaqi al-Quran.  

Tahun ini,  sudah masuk tahun ke-6 menikmati hidup selepas pencen bersara wajib. Ada kawan-kawanku yang tidak sempat pencen sudah dijemput pulang bertemu Allah. Ada yang baru pencen sudah sampai ajalnya. Ada yang pencen terus diserang penyakit. Ada yang kematian isteri dan ada juga yang kematian suami atau ada yang menjaga suami atau isteri yang mengidap pelbagai penyakit. Ada pula yang anak cucu tak sihat atau anak menantu tak sihat. Pendek kata macam-macamlah suratan takdir yang telah dilakarkan untuk dilalui masing-masing, sementara menunggu dijemput pulang ke sana. Alhamdulillah syukur kepadaMu Ya Allah Engkau takdirkan aku masih dapat menjalanai kehidupan bersama lagi. Kami masih boleh ke sana sini berdua,dan masih boleh ada teman bergurau senda. Ada masanya kami boleh masih membuat kerja-kerja ringan bersama - berkebun, menanam pokok-pokok bunga, atau mengubah-ngubah perabut, bila suka.

Mengikuti rombongan Kajiselidik PSMCK ke Bangkok
Ya Allah, memang tidak dapat lagi disangkal firmanMu ya Allah, "Mana satu di antara nikmat Tuhan kamu yang kamu hendak dustakan?" Apa lagi yang diingini manusia selain apa yang direzekikan  Allah kepada aku sekarang ini? Suami sihat dan baik, badan pun sihat dan ada sedikit rezeki untuk kegunaan, dan masa pun ada sedikit kelapangan. Dan yang paling amat kami syukuri, dalam usia senja ini kami masih boleh berkhidmat. Setiap hari papa masih boleh ke klinik memberi khidmatnya. Dan aku masih boleh membantunya mana yang perlu, mana yang dipinta.  Kami masih boleh berbincang-bincang hal-hal yang perlukan buah fikiran dan pandangan, terutamanya dalam kerja-kerja yang papa perlu menghasilkan tulisannya.

Bersama Setiausaha PSMCK di Airport Hatyai
Ya Allah semoga Engkau akhiri hidup kami dengan husnul khotimah ya Allah,
Semoga Engkau jauhi akhir hidup kami daripada suul khotimah,
Bantulah kami supaya kami mati dalam mengingatMu dan dapat bertaubat kepadaMu ya Rahiim,
Mudahkanlah akhir hayat kami supaya kami tidak meminta-minta selain dariMu Ya Allah ya Robbal aalamin,
Takdirkan kami supaya mati di hari yang baik, mati kan kami di hari Jumaat ya Allah, supaya kami dijauhi dari siksa kubur, supaya mati kami itu, menjadi tempat rehat yang aman dan dapat mecium bau syurgaMu ya Allah.  Aamiin ya Robbal aa lamiin