Thursday, September 20, 2018

PERSEDIAAN KAHWIN


Dua tahun bertunang bukan satu masa yang singkat. Tapi dilalui dengan sabar walaupun terasa amat lama. Dua tahun itu memang telah ditakdirkan Allah yang maha pengasih lagi maha mengetahui adanya. Masa dua tahun sebenarnya adalah masa untuk mama dan papa membuat persediaan mana yang perlu. Kami dari keluarga biasa yang sedar akan kekurangan keluarga masing-masing. Keluarga papa orang senang juga kerana banyak tanah, dusun dan bendang. Tapi semua itu sukar dicairkan untuk mendapatkan wang lebihan, buat berbelanja apa jua. Jadi makan minum keluarga papa tidaklah susah, cuma tidak biasa sangat berbelanja berbagai-bagai, pada masa itu. Oleh itu, bila sudah buat keputusan untuk berkahwin, sibuklah papa membuat semua persediaan kahwin sendiri-sendiri; dari membesarkan rumah,  kelengkapan bilik pengantin, dekorasi rumah, wang belanja, barangan hantaran, sewa baju bersanding, majlis nikah di Tunjang sehinggalah juga majlis sambut menantu di Langkawi.

Begitulah juga di sebelah mama. Keluarga mama pula kurang berharta, cuma ada rumah dan tanah tempat tinggal saja. Tapi oleh kerana tok wan berniaga maka untuk berbelanja itu tidaklah begitu sukar. Bila mama sudah dewasa tok wan bawa bas sekolah pula, tapi ibarat kais pagi makan pagi jugalah. Jadi bila sudah bekerja, sangat terpanggilah untuk bantu orang tua siapkan rumah, hiaskan rumah, sedia bilik pengantin dan buat segala hal untuk majlis perkahwinan. Oleh itu masa yang berlalu dua tahun itu sebenarnya adalah kerana kami berdua sibuk dengan menyiapkan segala perkara untuk memasuki gerbang perkahwinan, yang semuanya dibuat sendiri oleh kami berdua.

Bila tiba tarikh nikah sudah ditetapkan, kami masih belum boleh menempah kad jemputan kenduri awal-awal, kerana cuti papa yang masih 'houseman' tidak diluluskan lagi. Menurut papa dalam unit mereka (Unit Bius),  cuma ada tiga orang saja 'houseman', jadi kalau seorang bercuti maka terpaksalah dua orang lagi bergilir-gilir bertugas berselang hari. Akhirnya cuti diluluskan dan selamatlah mama diijabkabulkan pada 3 Disember 1982 selepas isyak, selepas semua jemputan sudah selesai makan kenduri   pada siangnya. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Kenduri kahwin dulu amat 'simple' dan sungguh sederhana adanya.