Friday, February 15, 2019

KAJI SELIDIK PETANI 24 DIS -26 DIS 2018 (2)


HARI I
DARI YALA KE PATTANI


Bergambar kenagan dengan Hj Ramli sebelum meneruskan perjalanan
2.30 petang:
Alhamdulillah kami telah berjaya menjejaki laluan purba yang telah sekian lama tercatat dalam kitab sejarah Kedah. Sebelum meninggalkan laluan bersejarah itu, kami berhenti singgah  sekejap di Masjid Nurul Huda Kg Padang Jerai Kunci itu. Kami tertarik untuk merakamkan gambar masjid itu yang masih mengekalkan tulisan jawi di Papan tandanya. Selepas meraikan kejayaaan menemui jalan perhubungan laluan purba, kami pun beransur meninggalkan denai bersejarah itu lebih kurang jam 2.30 petang.  Letih memang letih. Panas dan dahaga tidak tak payah kata. Namun demi cintakan sejarah semua kami sungguh bangga dan lega. Syukur tidak terkira. Alhamdulillah syukur pada Allah. Untuk menjimatkan masa, kerana jam sudah pukul 3.30 petang (2.30 waktu Thailand), kami makan roti lapik perut seadanya di atas van dalam perjalanan ke Yala.  Kami akan makan tengah hari di Yala, dijemput oleh sebuah Pesantren  yang berbesar hati untuk memberikan jamuan makan tengah hari. Alhamadulillah.

Sepanjang dalam perjalanan suasana nyaman dan sejuk kerana hujan lebat mencurah-curah. Sebahagian anggota rombongan telah hanyut dibuai mimpi dek keletihan mengharungi hutan kebun getah meninjau laluan purba. Petang itu walaupun hujan kenderaan agak sibuk dengan lori. Antara yang menarik perhatian kami sebuah lori sarat dengan muatan akar-akar pokok, barangkali  untuk dibuat hiasan. Kami tidak hairan kerana Thailand memang terkenal dengan hasil kraf yang unik untuk hiasan atau pun bagi tujuan landskap. 

Mendengar taklimat di Sekolah Rakyat Kg Melayu Bangkok

4.00 petang:
Sedar tak sedar kami sampai ke sempadan Yala Songkla. Abdullah pemandu kami dengan sabar dan tenang bertugas memandu dengan cermatnya. Lebih kurang jam 4.30 petang, kami tiba  di sekolah Rakyat Tan Theik Tham atau Sekolah Rakyat  Kg Melayu Bangkok. Kami disambut mesra oleh Pengarah sekolah dan guru-gurunya. Mereka kelihatan seperti orang Melayu di Malaysia, perempuannya berbaju kurung, bertudung, manakala lelakinya berbaju batik bersongkok dan bercakap melayu. Alangkah serupanya dua masyarakat dari dua negara, tapi asalnya dari rumpun bangsa yang sama.

Oleh kerana sudah agak lewat, acara dimulakan dengan makan tengah hari. Menunya nasi tomato, sup daging ala Thai, ayam goreng, ulam-ulaman dan perlbagai buah-buahan. Perut kami sebu kerana sudah lepas waktu makan. Jadi kebanyakan kami tak dapat menghabiskan nasi walaupun kelihatan agak sedap dan menyelerakan. Selesai makan Tuan Pengetua memberikan taklimat tentang sejarah sekolah mereka. Mereka bermula sebagai Sekolah Agama Rakyat dikenali sebagai Pondok Haji Harun Thani. Oleh kerana masyarakat Melayu Pattani sangat kuat jati diri, dan tidak mahu kehilangan bahasa mereka, dan tidak sanggup ilmu agama diabaikan, maka sambutan terhadap sekolah agama rakyat tersangat ramai. Sebab itulah mereka cari tempat untuk buat sekolah. Kawasan baru yang dibeli agak luas juga, lebih kurang 17 rai.Mereka bina sekolah dan  bawa budak  150 pelajar sebagai permulaan. Sekarang jumlah murid mencecah1600 orang, suat jumlah yang sungguh ramai. Sebab itulah mereka ingin bekerjawama dengan sekolah di Kedah. Hasrat sekolah untuk buat kerjasama dengan sekolah di Kedah dari aspek Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, kerana mereka kurang kepakarannya.

Taklimat Dr Kasri tentang Jalan Purba yang ditemui

Sehubungan itu, dalam ucapan balas Dr Kasri, beliau berjanji akan menyampaikan hasrat tersebut kepada sekolah yang bersesuaian. Barangkali akan disusuli lagi lawatan ke situ di lain masa. Dr Kasri juga menceritakan pengalaman team kaji selidik menjejaki laluan purba yang pernah menjadi penghubung aktiviti ekonomi, sosial dan polotik. Psmck telah mencari Genting Pahat di sebelah Malaysia (Kedah) sebelum ini. Kini tiba masa mencari laluan itu di sebelah Thailand pula. Kami berkongsi kegembiraan itu dengan semua pengurusan sekolah yang kami kunjungi. Mereka juga sungguh teruja. Tidak pernah diketahui tentang fakta yang ditemui  sebelum ini.
Bergambar kenangan dengan kakitangan Sekolah Rakyat
4.35 petang:
Alhamdulillah selesai ucapan, bertukar-tukar cenderamata dan bergambar kenangan, kami meneruskan perjalanan ke Pattani. Kami lalu di  Kersik dalam suasana hujan lebat. Abdullah pemandu kami seronok memandu kerana dalam hujan lebat itu, jalan tidak sibuk. Ada baiknya kerana jalan lengang tidak ada sebiji motosikal pun yang sudi meredah hujan lebat. Kami melalui masjid Kersik yang terkenal terbina di zaman perang. Sehingga sekarang masjid itu tidak siap-siap. Ia menjadi salah satu tempat wajib dikunjungi pelancong jika ke Pattani. Ia menjadi lambang pembakar semangat pengukuh  jati diri generasi muda. Kami tidak singgah di situ, kerana akan berkunjung ke Kampung Parit, menerima jemputan Penghulu Husin, Pengerusi Persatuan Penghulu.
Makam Diraja yang kami kunjungi
5.45 petang:
Lama juga di perjalanan, akhirnya kami tiba di mesjid Kampung Parit. Kami solat jamak takkhir asar zohor. Kemudian kami dibawa untuk ziarah kubur kerabat Diraja Pattani. Sepanjang jalan  dilihat rumah besar dan cantik. Rumah-rumah itu milik taukeh tomyam yang bekerja di Malaysia. Mereka buka restoran tomyam di Malaysia atau bekerja tukang masak di kedai tomyam,  kemudian membawa  balik keuntungan dibuat rumah besar. Tapi  tinggal kosong, cuma balik  balik sekali sekala sahaja. Kami berjalan merentas kampung untuk ziarah perkuburan Raja tiga beradik itu, Raja Hijau, Raja Biru, dan Raja Ungu. Di kiri kanan makam tiga beradik itu ialah makam Raja Bahadur, dan Raja Bima. Seorang lagi Raja Kuning mangkat di Kelantan dan dikuburkan di sana.
Restoran Rakit Terapung Kg Parit
Makanan yang disajikan kueh tempatan
Kemudian kami dibawa minum petang sambil menjamu selera di atas rakit terapung di muara sungai Kampung Parit yang tenang dan cantik pemandangannya. Angin petang yang nyaman bagai menyambut kami dengan mesra semesra penduduk di situ. Penghulu Husin mengerahkan anak buahnya menyediakan kueh-kueh traditional. Antaranya kueh dodol, ladu, baulu beras, dan apam nyok pisang yang masih panas. Airnya air bunga anchan ais. Sambil minum dapat dinikmati alangkah indahnya kawasan perairan muara Sungai Parit. Bagaikan lukisan sungguh terpesona mata memandang dari semua sudut kampung itu. Begitulah Ya Allah besarnya ciptaan Mu untuk kami nikmati masya Allah. Suasana yang damai dan indah menjadi tarikan pelancong ke situ. Produk pelancongan desa memang maju. Mereka menggabungkan unsur air di muara sungai dengan produk kampung seperti makan traditional. Antara aktiviti mereka permaikan kayak, dan berjualan di pasar terapung. Pelancong yang ke desa itu, diberi menginap di rumah tomyam. Sudah pastilah seronok dan selesa tinggal di rumah cantik dan besar.

Makam Raja Pattani Tiga beradik
6.40 malam
Masa sangat pantas berlalu. Matahari hampir terbenam kami pun mula bertolak menuju ke bandar Patttani. Sungguh terharu dibekalkan dengan pelbagai makanan dan kudapan. Sungguh terasakan ukhwah saudara  seagama dengan kesmesraan dan keikhlasan serta sambutan yang diberikan oleh Penghulu Husin dan penduduk Kampung itu. Kenangan sungguh manis, tak mungkin dapat kami lupakan sehinga ke akhir hayat. Alhamdulillah. Ini sudah tentulah kerana mereka sangat hormatkan Haji Ramli Bekas DO Pattani yang menjadi Pegawai Perhubungan kami. Syukur padaMu ya Allah yang menentukan segalanya, subhanallah.

7.00 malam:
Kami tiba di Hotel, selepas checkin dan membersihkan badan, kami terus ke Restoran Pattana Buffet. Makan malam ini di sponsor oleh Tuan DO pattani. Malangnya beliau tidak dapat bersama kami, cuma diwakili oleh ADO Keselamatan James, Tuan Abdullah, Tuan Mansur. Hidangan istimewa itik salai disajikan kepada kami. Begitu juga tomyam, ikan dan ayam. Alhamdulillah seharian dari pagi sehingga tengah hari dan malam kami makan kenduri. Semoga Allah memberikan kesejahteraan kepada yang bermurah hati menjamu kami, insyaAllah.
9.30 malam
Selepas makan kami singgah sebentar  di rumah Tuan Halim taukeh kedai antik. Banyak sungguh koleksi barangannya. Bangakali kedainya besar, sebab barangan di rumahnya pun sudah amat banyak. Sebelum tidur kami minum teh tarik di warung depan hotel. Kecilnya dunia kami berjumpa seorang rakan lama bersama keluarganya, dari Jitra yang sudah dua hari melawat Pattani. Ramai lagi pelancong dari Malaysia yang menginap di situ. Hotel ini milik orang Melayu sebab itu ramai orang melayu Malaysia menginap di situ. Mudah makan sebab halal dan sedap pula. Selesai minum teh kami naik awal untuk berehat bagi meneruskan perjalanan esok.

Sunday, February 10, 2019

KAJI SELIDIK PETANI 24 DIS -26 DIS 2018 (1)


HARI 1:  24 DISEMBER 2018
ALOR SETAR  - SAMNAK OK (BUKIT TEBUK) - PATTANI 
BAHAGIAN 1

Semua ahli kaji selidik di Ban Prakop
8.30 pagi:
Pagi yang dingin tapi cerah, selepas semua peserta berkumpul, taklimat perjalanan disampaikan oleh  Dr Kasri Saidon. Kemudiannya diselaraskan pula semua tuagasan bagi setiap jawatan kuasa.  Alhamdulillah, daripada laporan ketua-ketua AJK, semua tugasan sudah diselesaikan. Kecuali ketua bahagian hadiah Dr Ismail tidak dapat dihubungi. Jadi urusan hadiah diambil alih oleh Dr Ibrahim Bakar, iaitu membawa Buku Attarikh Salasilah Negeri Kedah sebagai hadiah dan cenderamata semasa lawatan kajian. Kos akan dibiayai oleh PSMCK. Selepas selesai taklimat dan penyelarasan tugas, ahli kumpulan kaji selidik, sudah siap siaga untuk memulakan perjalanan.   Kemudiannya,  doa dibacakan oleh Dr Ibrahim Bakar, dan kami pun memulakan perjalanan dengan ucapan Bismillaa hirrohmaa nirrohiimmm.

9.00 pagi:
Anggota rombongan kaji selidik seramai 12 orang semuanya. Kami menaiki dua buah van iaitu van sumbangan dari Muzeun Negeri Kedah dan Perbadanan Perpustakaan Negeri Kedah. Van akan menghantar kami hingga ke sempadan, kemudian kami akan bertukar van di sempadan, untuk meneruskan perjalanan di Thailand. Dengan penuh syukur dan bersemangat kami bertolak ke sempadan Durian Burung. Cuaca pagi itu sungguh elok. Awan kelihatan kebiruan, cuaca cerah dan terang. Di kiri kanan jalan kelihatan padi menghijau bagaikan permaidani gebu yang terhampar luas. Cantik dan menyejukkan mata memandang.

10.00 pagi:
Alhamdulillah, kami sampai di sempadan  Durian Burung dengan selamatnya. Suasana pagi  masih segar dan nyaman. Keadaan di sempadan agak tenang kerana pelancong yang akan ke Thailand tidak ramai. Deretan kereta yang menunggu untuk urusan Imegresen juga tidak banyak. Alangkah leganya kami disambut mesra dan  dijemput oleh Hj Ramli Apirat Pegawai Pengiring kami, di Banprakop sempadan  di sebelah Thailand.  Segala urusan cop passport, telah diaturkan jadi sungguh pantas, sekejap saja kesemua 12 orang peserta rombongan telah dapat melintas sempadan Malaysia Thailand. Selepas bertanya khabar dan bergambar kenangan, Tuan Haji Ramli memberikan taklimat ringkas tentang perjalanan yang akan dilalui untuk kajian di hari pertama. 

11.00  pagi:
Dalam dingin pagi di negara gajah putih ini, dua buah van yang disewa khas  bergerak dari Banprakop meredah lebuh raya. Di kiri kanannya masih hutan tebal. Kami dapat lihat perbezaannya dengan Malaysia, walaupun jalan bengkang  bengkok, tapi ia bertaraf lebuh raya 4 lorong. Barangkali Thailand sudah bersedia untuk menambah laluan masuk di Durian Burung ini untuk mengelak kesesakan trafik di Bukit Kayu Hitam yang sangat sibuk dan sesak. Terasa seperti di pihak Malaysia masih kurang bersedia dan kurang perancangan untuk laluan baru ini, alangkah ruginya jika peluang ini tidak digunakan, nampaknya Thailand akan mengaut keuntungan besar seperti apa yang telah berlaku di Pekan Danok yang jauh lebih maju dan terancang daripada Pekan Bukit Kayu Hitam, yang suram dan kurang meriah. Sungguh amat jelas, kita Malaysia kurang menggunakan peluang perniagaan di Durian Burung sempadan Malaysia Thailand yang baru ini, untuk perkembangan industri pelancongan. Alangkah malangnya. 

Sesi temubual dengan informan Haji Ramli  di rumahnya

Sambil melayan fikiran van kami terus meluncur ke destinasi yang dituju iaitu Daerah Samnak Ok. Di situ kami akan meninjau laluan tradisi dari Padang Sanai Kedah melintas sempadan Bukit Tebuk menuju ke Thailand di daerah Samnak Ok. Alhamdulillah kami selamat  sampai di Ban Thung Sai Chee atau Kampung Padang Jerai Kunci. Pertemuan telah diaturkan dengan seorang imforman bernama Haji Ramli bin Sulong yang tinggal di hadapan masjid kampung itu.

12.00 tengah hari:
Dalam temu bual itu menurut  Hj Ramli bin Sulong (70 tahun), kampung mereka tidak jauh dengan sempadan Malayisa. Pada zaman dulu-dulu, mereka masih boleh mendengar suara azan dari sebelah kampung di Malaysia. Kg Padang Jerai Kunci ini dibuka oleh mereka sejak berpuluh tahun dahulu. Mereka diberikan tanah yang diusahakan sebanyak 20 hektar seorang. Kebanyakan mereka menanam getah sebagai sumber mata pencarian sehinggalah sekarang. 

Menurutnya lagi dulu mereka sering berulang-alik dari Thailand ke Malaysia melalui Genting Pahat. Mereka berjalan  melalui kebun getah kemudian terus sampai ke sempadan dan masuk ke Malaysia. Orang Malaysia juga sering menggunakan laluan yang sama mengunjungi mereka di sebelah Thailand pada waktu dahulu. Oleh kerana jarak yang tidak begitu jauh, sering juga mereka terdengar bunyi kokok ayam dari kampung-kampung di sebelah sempadan Malaysia. Kami sungguh rasa teruja mendengar cerita itu. Alangkah terasa dekatnya hubungan masyarakat Thailand dan Malaysia. Melihat riak muka Haji Ramli dan kebanyakan jirannya yang turut hadir meraikan kami, sungguh amat terasa banyaknya  kesamaan mereka dengan masyarakat Melayu di Kedah. Melihat susuk tubuh dan raut muka, warna kulit dan cara berpakaian serta lenggok pertuturan mereka, amat dirasakan kesamaan yang ketara sebagai satu rumpun bangsa Melayu. Tambah lagi dengan melihat budi bahasa melayan tamu,  dan menyajikan air dan makanan seadanya, sungguh amat terasa seperti berada di kampung sendiri. Begitulah satu rumpun bangsa yang melalui sejarah silam, dipisahkan menjadi  masyarakat dua negara.

Berjalan ke kawasan Bukit Tebuk atau Genting Pahat
12.45 tengah hari:
Selesai temu bual dengan penduduk kampung di situ, kami kemudiannya memulakan perjalanan menuju ke Genting Pahat atau dikenali juga sebagai Bukit Tebuk. Dengan bersemangatnya kami mula berjalan ikut lorong dalam kebun getah. Kononya jarak ke sempadan Genting Pahat itu tidak jauh, jadi walaupun kebanyakan kami warga emas, kami sanggup berjalan ke situ. Tapi setelah berjalan agak jauh, dan bertanya khabar dari penduduk yang lalu lalang di situ, mereka menasihatkan kami untuk pergi ke situ dengan menaiki van, jadi kami pun menuggu van  yang disewakan berharga TB 500, membawa kami ke destinasi yang dihajati. Rupanya perjalanan kami ditakdirkan menaiki van pacuan 4 roda. Alangkah mencabarnya laluan lorong yang sempit, ada kalanya  yang curam dan licin yang kami tempuhi itu. Menempuhi perjalanan itu barulah kami tahu bukanlah dekat sangat sempadan Bukit Tebuk itu, untuk kami sampai dengan berjalan kaki. Walaupun jaraknya lebih kurang 2 kilometer, tetapi laluan itu tidak sesuai untuk pergi ke situ dengan berjalan kaki, terutamanya bagi kami yang sudah lanjit usia. Terima kasih yang tidak terhingga kami ucapkan kepada Haji Ramli Apirat yang menyewakan van pacuan 4 roda untuk kami. Kami sungguh terhutang budi kepada pemandu pacuan 4 roda yang memandu dengan cekap dan hati-hati sehingga kami sampai di Genting Pahat. Ada kalanya terasa seperti berada dalam filem National Geografik kerana laluan yang sungguh mencabar. Kami melalui jalan yang sempit, bukit yang curam berlumpur dan licin serta muatan yang ramai. Terasa berdebar-debar juga kami sehingga ada antara kami yang terpaksa turun, untuk membolehkan van terus bergerak di tempat yang curam lagi licin.

Sambil mendengar penerangan dalam perjalanan ke Genting Pahat
Akhirnya kami sampai di sempadan Bukit Tebuk di sebelah Thailand. Dr Kasri dan semua ahli kaji selidik, sangat gembira dan sungguh berpuas hati kerana hajat untuk meninjau sempadan Bukit Tebuk tercapai. Beberapa orang anggota yang telah membuat kajian di sebelah sempadan Malaysia, dengan gembiranya menunjukkan pokok besar yang ditandakan sebagai sempadan. Mereka telah berjaya menjejak sempadan dari dua negara Malaysia dan Thailand. 

Kawasan ini dahulunya menyimpan sejarah menjadi laluan ekonomi masyarakat kedua-dua negara untuk berulang-alik bagi aktiviti perniagaan. Masyarakat Thailand membawa barangan untuk berjualan di sebelah Malaysia, begitu juga masyarakat Malaysia, turut menjalankan urusan perniagaan dengan masyarakat di Thailand sejak sekian lama. Di samping aktiviti-aktiviti ekonomi, kawasan ini juga menjadi laluan sosial yang menghubungkan masyarakat yang mempunyai pertalian keluarga dan  pertalian sosial yang terjalin sejak sekian lama juga. Ini sejarah silam yang tersimpan dalam lipatan sejarah masyarakat setempat. 


Melihat denai laluan gajah purba yang dijejaki
Laluan purba yang yang bersejarah
Seterusnya jika ditinjau jauh lebih lama lagi, laluan ini juga menjadi saksi kepada aktiviti yang lebih besar. Inilah laluan yang pernah dilalui oleh rombongan YTM Sultan Ahmad Tajuddin  Raja yang memerintah  negeri Kedah untuk perjalanan ke Bangkok. Mereka menaiki gajah dan melalui denai atau jalan gajah untuk perjalanan pergi dan balik ke Bangkok, seperti yang tercatat dalam Kitab Attarikh Salasilah Negeri Kedah. Alangkah terharunya kami. Inilah jalan yang menghubungkan Sultan negeri Kedah dengan Raja Thailand di Bangkok. Dapat dibayangkan bagaimana laluan itu menjadi sungguh bersejarah kerana Tuanku Sultan bercemar duli melalui denai ini, bersama-sama dengan ahli-ahli rombongan diraja. Sudah tentulah ahli rombongan jumlahnya ramai, termasuk pembesar-pembesar, pengiring, petugas dan rakyat jelata yang turut serta.  Sudah tentulah denai ini mencatat sejarah agungnya yang tidak akan dilupakan. Kami rasa sungguh bersyukur dapat menjejaki laluan purba ini. Sungguh bersyukur kerana dipertemukan laluan ini walaupun susah dan dengan agak sukar sekali, alhamdulillah. Tahniah kepada Biro Kaji Selidik PSMCK yang berusaha untuk mengimbau sejarah silam ini.

2.30 petang:
Sebelum meninggalkan laluan bersejarah itu, kami berhenti singgah  sekejap di Masjid Nurul Huda Kg Padang Jerai Kunci itu. Kami tertarik untuk merakamkan gambar masjid itu yang masih mengekalkan tulisan jawi di Papan tandanya. Selepas meraikan kejayaaan menemui jalan denai laluan purba, kami pun beransur meninggalkan denai bersejarah itu lebih kurang jam 2.30 petang.  Letih memang letih. Panas dan dahaga tidak tak payah kata. Namun demi cintakan sejarah semua kami sungguh bangga dan lega. Syukur tidak terkira. Alhamdulillah untuk menjimatkan masa, kami makan roti lapik perut seadanya di atas van dalam perjalanan ke Yala.  Kami akan makan tengah hari di Yala, dijemput oleh sebuah Pesantren  yang berbesar hati untuk memberikan makan tengah hari. Alhamadulillah. 
Bersedia meneruskan perjalanan lagi