Friday, January 21, 2011

BILA ANAK LEPAS SEKOLAH

Adik sudah nampak hampir sebaya dengan alang
Alangkah bahagia dan bangganya bila anak-anak sudah besar. Hidup jadi sungguh bermakna. Tiada lagi ajar mengajar tulis baca, memupuk tabiat rajin membaca dan rajin buat kerja sekolah. Tiada lagi didik mendidik sifat anak soleh dan solehah , bentuk sikap positif dan berperibadi mulia, dengan serius, tekun dan sabar; penuh dengan doa dan harapan. Tiada lagi asuh mengasuh cara sembahyang, amal sembahyang berjemaah, amal baca quran. Tiada lagi ajar mengajar cekal puasa di bulan Ramadhan. Tiada lagi jadual harian yang padat dengan tuisyen segala. Tiada lagi hantar menghantar sana sini untuk aktiviti yang pelbagai - lukisan, renang, piano, birthday party kawan, persembahan sekolah, beli peralatan sekolah, dan entah apa-apa lagi yang tak tersenaraikan.

Kini yang sulung dan kedua sudah selamat bekerja, alhamdulillah, yang ketiga tinggal setahun lagi akan turut berkerja juga bila tamat belajar nanti. Yang bongsu sudah tamat sekolah, sedang menunggu SPM. Bila duduk rumah sudah pandai menyimpan rumah tangga, kemas dan bersih. Setiap hari basuh baju dan lipat baju, basuh pinggan dan simpan dapur dengan bersih dan kemasnya. Dan yang paling membanggakan basuh bilik air dengan cantik dan berkilatnya. Boleh tolong jaga baby lagi. Aduh sungguh membanggakan, sungguh bahagia. Alangkah baiknya jika semua anak remaja dapat jadi anak mithali. .......

Wednesday, January 19, 2011

CUCU SULUNG


Menimang cahaya mata memang sungguh indah, apa tah lagi menimang cucu, cucu sulung pula tu. Dalam usia menjangkau melebihi separuh abad, syukurlah aku sempat menimang seorang cucu lelaki. Sungguh membahagiakan kami, bertambahlah lagi seorang lelaki dalam keluarga, yang dulu cuma seorang saja. Masih segar dalam ingatan semasa aku menimang cahaya mata pertama dulu - abah emak jua mertua, semua sangat bangga. Masa tu emak yang jaga - baby, aku yang masih lemah, kain baju dan makan minum - semuanya dijaga.

Lain pula aku yang menimang cucu, rasa gembira dan bahagia masih tetap sama. Tapi urusan menguruskan anak yang melahirkan, baby yang masih kecil, kain baju baby, mengurut dan bertungku semuanya sudah diswastakan. Kalau tidak urusan orang sakit dan orang baru, sudah tentulah tidak terurus, sudah tentulah ibu muda seperti anakku tidak dapat belajar mengurus bayinya kerana aku tiada di rumah. Nasib baiklah ada perkhidmatan confinement lady yang menggantikan tugas tok zaman dahulu. Syukurlah dapat cucu, dibantu confinement lady, jadi tok pergi kerja pun dengan hati yang lapang dan senang. Dunia sudah berubah walaupun baru cuma 26 tahun berlalu.

Confinement lady - Mak Njang: Mengurut RM 60 per service (3x seminggu = 9 x 60= RM360 ), (bertungku RM 40, mandi baby, dan basuh baju baby RM 20, including cukur rambut = RM 60 perday). Total for 20 days RM1200.00 + RM 360 = RM1560 cash - down payment RM RM500, last day full payment. Terima kasih mak njang yang bersusah payah menjaga cucu sulung saya yang comel tu.

Saturday, January 1, 2011

PATAH TUMBUH HILANG BERGANTI


Tanggal 24 Disember 2010 sehari sebelum hari krismas kami mendapat ahli keluarga baru. Nabila sudah selamat diijabkabulkan dengan Baysamuddin @ Syam selepas asar. Angah yang sedang sarat menunggu hari untuk bersalin, jadi mak andamnya. Semua kami berdoa agar angah sempat makan kenduri keesokan harinya. Tapi ketentuan Tuhan tiada siapa yang tahu. Pagi-pagi 25 Disember 2010, sebaik bangun dari tidur, dia terasa contraction yang berterusan. Kami terus membawanya ke KMC, dan terus masuk labour room. Setelah semua urusan seleseai , dan papa confirm angah tidak akan melahirkan dalam masa yang terdekat, barulah kami balik kampung untuk kenduri kahwin Nabila.

Semua orang seronok mendengar berita angah akan bersalin. Semua mendoakan angah akan selamat mendapat cahaya mata pertama, anak lelaki. Semua orang,  semua adik beradik dan tetamu turut seronok, mendengar berita gembira itu . Aku juga sangat exited, akan mendapat cucu sulung. Badan di majlis kenduri tapi hati di labour room, sambil mendoakan supaya angah selamat bersama bayi yang akan dilahirkan. Kami agak rasa lapang juga kerana Hasrul sudah berada di sisinya, menantikan kelahiran bayi sulung itu. Tepat jam 2.50 petang ketika kami masih dalam perjalanan, angah sudah selamat melahirkan cucu sulung kami itu - Hayyan Naoki. Alhamdulillah ....syukur pada Allah, angah bersalin normal, walaupun baby seberat 3.5 kg... syukur pada Allah. Syukurlah segala penantian sudah berakhir.

Syukurlah.......Hari semua orang bercuti umum kami telah dikurniakan dua ahli keluarga baru serentak. Dua-duanya lelaki. Terubat jugalah kesedihan kami kehilangan abah yang masih baru, yang masih segar dalam ingatan. Tuhan maha pengasih... yang patah tumbuh, yang hilang berganti, tapi sesungguhnya yang hilang tak kan sama dengan yang berganti.......