Wednesday, March 30, 2011

KAJIAN BEBAN TUGAS GURU

Pagi yang dingin kerana hujan yang berpanjangan menjadi panas dengan kehadiran Dr Nurul dari Institut Perguruan Perlis yang dengan penuh semangat membuat soal selidik beban tugas guru di sekolah. Oleh kerana terlalu sibuk dengan perkembangan ribut di sekolah, Dr Nurul telah dilayani oleh PK Tingkatan 6 terlebih dahulu Bila semua sudah dapat diuruskan barulah Dr Nurul dapat berjumpa dengan guru-guru yang telah diaturkan mengikut jawatan dan tugas khas. Selepas pengenalan pengetua, beliau telah memberikan sedikit pendahuluan tentang kepentingan soal selidik. Beliau meminta guru mengisi soal selidik dengan ikhlas dan penuh rasa tanggung jawab. KPM sedang mengumpul data......

Thursday, March 24, 2011

CERITERA TINGKATAN 6


Saban tahun selepas keluar keputusan peperiksaan SPM, tidak lama selepas itu datanglah satu senarai panjang nama-nama pelajar yang berjaya diterima masuk ke tingkatan 6 atau dinamakan PRAU I. Kami guru-guru pun menuggu dengan penuh debaran, siapa lagi yang akan mendaftar kembali ke sekolah, kerana selalunya pelajar yang diterima masuk sangat ramai - mencecah 90 orang setiap tahun. Puas kami memikirkan kelas yang hendak disediakan untuk jumlah pelajar yang begitu ramai. Tapi selepas seminggu kami menanti, kami pun bersenang hati, tapi sedikit kecewa kerana tingkatn 6 tidak menjadi pilihan pelajar. Barangkali ramai yang mendapat tawaran rasa serik untuk datang dan kembali belajar ke sekolah Bahiyah kerana, selepas meninggalkan tingkatan 5, dengan pelbagai karenah guru yang memaksa mereka rajin, komited dan bersungguh-sungguh, menjadikan mereka rasa tidak tertahan lagi untuk bekerja keras seperti yang dipinta oleh guru. Barangkali tamat tingkatan 5 merupakan satu rahmat kepada mereka, kerana mereka tidak lagi perlu bersusah payah belajar seperti yang dihajati dan dipaksakan oleh guru-guru Bahiyah yang sangat rajin, prihatin dan komited.

Memanglah pelajar yang dapat masuk ke tingkatan 6 adalah pelajar yang tidak begitu cemerlang dari segi sikap, maka kuranglah cemerlang pencapaian prestai mereka. Ada yang main-main, tidak serius, tidak ada harga diri, ada yang ada krisis identiti, ada yang tidak ada hala tuju, ada yang ada masalah keluarga, ada yang malas, ada yang suka ponteng sekolah, ada yang keluarga tak peduli, dan macam-macam lagi. Tapi oleh kerana mereka berada di Bahiyah mereka berjayalah juga, kalau di sekolah lain yang lebih banyak masalah, dan guru-guru pun terhad keupayaan mereka, maka semua mereka ni hancur, gagal lebih teruk dan tidak berupaya untuk masuk tingkatan pun. Itulah kelebihan guru-guru di Bahiyah sebab itulah ramai guru mengajar di sekolah lain, tapi tidak sanggup membawa anak mereka ke sekolah tempat mereka mengajar, kerana barangkali mereka tidak dedikated dan tidak komited di sekolah mereka.

Dengan latar belakang pelajar seperti tersebut di atas, yang masuk ke tingkatan 6, kami sudah bersedia mental untuk membuat operasi minda secara besar-besaran. Bermula pada minggu orientasi, pelajar-pelajar disedarkan dengan kesilapan masa lalu, harapan masa depan, dan yang paling penting cabaran yang bukan calang-calang. Pelajar-pelajar dibedah pekong mereka, diletakkan di bumi nyata, dan dibetulkan landasan supaya perjalanan yang bakal dillaui selama dua tahun akan membuahkan hasil, bukan buang masa, dan tenaga saja. Amatlah bertuah guru-guru tingkatan 6 semuanya memang tiada tolok bandingnya - kesabaran, keperihatinan, kesungguhan, penuh komitmen dan kasih sayang - tidak kira masa, tenaga dan wang ringgit. Dengan segala kekurangan pelajar dan segala kekuatan guru itulah, pelajar tingkatan enam dibimbing, dipimpin, dan dibantu sehingga impian mereka menjadi kenyataan.



Tuesday, March 15, 2011

KISAH SEORANG IBU TUA


Mana-mana ibu yang baru melahirkan akan sangat bersyukur dikurniakan seorang cahaya mata, apatah lagi cahaya mata lelaki. Hati terasa memang amat bahagia. Seluruh keluarga bersuka ria menyambut kedatangan orang baru dalam keluarga. Bermulalah era baru hidup bercahaya mata. Amat tinggilah harapan, cita-cita juga menggunung tinggi - anak lelaki sulung dalam keluarga akan membesar, akan menjadi dewasa, dan akan mencapai kejayaan yang boleh membanggakan keluarga, tentunya.

Dalam proses membesar, anak diberi pendidikan, diajarkan tulis baca, diajarkan baca quran dan solat, diajarkan nilai murni dan budi bahasa agar menjadi insan kamil yang akan mendapat kesejahteraan di dunia dan akhirat. Sangat bersyukurlah ibu dan bapa anak menjadi pandai, anak rajin sembahyang dan rajin baca quran. Sangat banggalah kaum keluarga, anak itu bukan saja pandai tapi baik budi pekertinya. Sangat banggalah guru-gurunya juga, anak yang diajarkan tulis baca menjadia pandai dan kelihatan sangat pintar. Pandai juga dan berkebolehan dalam banyak perkara - berdaya kepimpinan, pandai baca doa, pandai azan, pandai dan boleh menghafaz ayat-ayat lazim, pandai bercerita, berpidato, menyanyi dan menari - pendek kata sangat berkebolehan dan membanggakan guru dan sekolah. Dari sekolah rendah lagi, kalau masuk apa-apa pertandingan pun memang sangat disenangi oleh guru dan ditakuti oleh lawan - memang selalu dapat mengalahkan orang lain dengan mudah dan mendapat kejayaan bergaya bagi sekolahnya.

Dan yang lebih membanggakan lagi, sama ada guru atau ibu bapanya, dia juga sangat cemerlang dalam pencapaian pelajarannya. Tidak pernah dia tidak berjaya dalam peperiksaannya - setiap ujian dan peperiksaan, sudah pastilah dia berada di atas - tidak pernah boleh dipintas oleh kawan- kawan sekelas dengannya. UPSR, PMR, SMP, Matrikulasi, Universiti - semuanya dilalui dengan cukup berjaya - semua orang pun turut gembira.

Akhirnya masuklah dia ke alam pekerjaan. Ibu bapa amat bersyukur anak yang dikasihi berjaya mencapai cita-citanya, menjawat jawatan yang tinggi, dengan gaji pun sangat lumayan. Tapi rupanya gembira sang ibu tidak ke mana. Bahagia si ayah tidak lama. Jauh di sudut hati ibu yang sudah tua, amat rasa terharu. Jauh di sanubarinya ibu rasa sudah tidak mengenali anak kesayangannya. Makan semeja masih selera yang sama. Duduk borak-borak masih topik yang boleh dikongsi bersama. Tapi ibu sangat rasa sedih yang tidak terhingga, waktu subuh anak terkadang sempat solatnya, terkadang sudah dikejut berkali-kali, tapi matahari sudah tinggi baru terjaga. Ini di depan mata - memang nyata dan sohih - sembahyang yang dulunya memang tidak pernah diabaikan, kini kelihatan sudah kurang diberi perhatian.

Apalah malangnya, di manakah silapnya, besarnya dugaan dariNya. Seorang ibu tua termangu memikirkan, dan seorang ibu tua meratap kesedihan. Anak kesayangannya yang dulu tidak lekang sembahyang, dan selalu baca quran, kini sudah lalai sembahyang. Anak kesayanganya yang dulu mengumandangkan azan, kini bila terdengar azan sudah tidak segera bangun untuk sembahyang. Apalah malangnya nasib si ibu yang sudah semakin senja. Dia selalu mengharapkan dan selalu membayangkan anaknya yang kerja besar itu, juga berjiwa besar. Dia selalu membayangkan, kalau tiba masanya dia memejamkan mata buat selamanya, anak itu bakal menjadi anaknya yang tetap solih, yang tetap akan menjadi anak yang boleh memberi manafaat kepada ibu yang sudah tiada lagi di dunia ini. Tapi ibu malang itu sekarang hanya dapat berharap, ibu malang itu hanya dapat berdoa, anaknya yang satu itu, akan menjadi seperti anaknya yang dikenalinya dulu-dulu - rajin sembahyang dan rajin baca quran.