Monday, October 30, 2017

MEMUJUK HATI BILA MELIHAT EMAK


Maha suci Allah yang menentukan segalanya. Ya Allah Engkau memberi apa yang terbaik untuk kami. Tapi kami tidak tahu jadi kami rasa terbelenggu. Oleh itu bantulah kami Ya Allah, untuk sentiasa kami dapat bersyukur kepadaMu, sentiasa menyebut namaMu, memperbanyakkan ibadat kepadaMu.

Ya Allah Engkau sentiasa mendengar rintihan hamba Mu, biar dalam senyap, nyaring atau kuat. Kami tahu Ya Allah, walau cuma  terdetik dalam hati Engkau sudah maklum, tapi kami tetap juga merayu dan merintih kepadaMu. Ampunkan kami Ya Allah kami amat dhaif, untuk memahami suratan takdirMu. Terkadang kami rasa sayu, terkadang kami rasa sedih dan pilu, tapi itulah sebenarnya iradahMu, yang telah Engkau tentukan dalam ilmu dan ketentuanMu.

Ya Allah bantulah kami supaya kami dapat sabar menerima segalanya yang Engkau telah lakarkan dalam mengharungi kehidupan yang sementara ini. Ya Allah kami yakin apa pun yang Engkau berikan walaupun terasa amat perit dan pedih, maka itulah yang paling baik buat kami. Bantulah kami  Ya Allah, supaya dapat kami menerima segalanya dengan ikhlas, menghadapinya dengan sabar dan kasihanilah kami supaya kami dapat memperoleh pandangan rahmatMu dan mendapat redhaMu jua Ya Allah. Semuanya tidak lain kerana kami amat berharapa akn mendapat syurgaMu yang kekal abadi ya Allah. Sesungguhnya tidak ada daya upaya kami Ya Allah untuk berbuat kebajikan dan kebaikan melainkan dengan keizinanMu jua. Dan tiadak ada daya upaya kami untuk mengelakkan kuburukan melainkan dengan  kehendakMu  jua. Ya Allah kami sungguh tidak berdaya bantulah kami, kasihanilah kami, tolonglah kami. Hanya padaMu kami menyerahkan segalanya, segala-galanya, tolonglah ya Allah....

Tuesday, October 10, 2017

ORANG BERJAYA DI SISI TUHAN


SURAH AL AN'AM - AYAT 32:
"Dan tidak dinamakan kehidupan dunia ini, melainkan hanyalah permainan yang sia-sia dan senda gurau atau hiburan yang melalaikan. Dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu sungguh lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu tidakkah kamu mahu berfikir atau mahu mengerti?"

Melihat tafsiran ayat di atas, terdetik di fikiran, tentang langkah-langkah  sepatutnya yang Allah mahukan kita menjadi orang yang mahu berfikir untuk menjadi orang-orang yang bertakwa. Sebab itulah Allah sediakan kita satu surah dalam kitabnNya yang suci, iaitu Surah Al Mukminun untuk menjadi panduan kita supaya dapat mencapai kejayaan menuju keredhaan Allah. 

Marilah kita hayati jalan pertunjuk yang digariskan,   dalam Surah Al Mukminun, kerana Allah telah berfirman dengan jelas tentang orang-orang yang bakal berjaya di sisi Allah, dalam ayat 1-11;

"Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya. Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia. Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya dengan menunaikan zakat harta itu. Dan mereka yang menjaga kehormatannya. Kecuali kepada isteri atau hamba sahayanya maka mereka tidak tercela. Kemudian sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas. Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya.Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya. Mereka itulah orang berhak mewarisi. Yang akan mewarisi syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya.

Kesimpulan dari ayat di atas, Di sisi Allah, orang-orang yang berjaya dan akan diberikan dan dijanjikan balasan syurga dan kekal di dalam syurga Firdaus insya Allah, adalah orang -orang seperti berikut;
1. Orang yang beriman
2. Khusyuk dalam sembahyang
3. Menjauhkan diri daripada perbuatan sia-sia
4. Menunaikan zakat
5. Menjaga kehormatan
6. Amanah memegang janji
7. Memelihara sembahyang

Jadi marilah kita semua berusaha keras di dunia ini dengan merebut peluang untuk menjadi orang yang berjaya di akhirat nanti. Memanglah agak sukar dan banyak halangannya untuk melaksanakan kesemua tujuh perkara di atas. Ini kerana iblis telah bersumpah untuk menghasut anak Adam untuk mengikutinya dengan bersungguh-sungguh. Selepas itu iblis akan berlepas tangan kerana dia pun takut dengan azab Allah kepadanya. Ya Allah wahai zat yang membolak-balikkan jiwa, pandulah kami supaya kami dibimbing untuk menjadi lebih bertakwa kepada Mu dan mendapat keredhaan Mu jua. Aamiin.

Sunday, October 8, 2017

SEMAKIN HARI SEMAKIN SAYU MELIHAT EMAK


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi kekasih Allah Nabi Mohamad saw. Mudah-mudahan Allah memberi rahmatNya, seperti mana telah dikurniakan rahmat ke atas kekasihNya itu. Aku mohon perlindunganMu Ya Allah dan aku mohon RedhaMu Ya Allah, dalam setiap gerak laku pekerjaan ku. Ya Allah....sesungguhnya dengan takdir Allah jualah segalanya terjadi. Begitulah telah tertulis  Tanggal 24 April 2016,  tarikh bermulanya era baru dalam perjalanan hidup ku ini. Ya Allah bantulah aku supaya sentiasa menerima takdir ini dengan sabar dan redha, ya Allah.

Ya Allah pada tarikh itu, Engkau takdirkan emak diserang 'strkoke'.  Aku amat terkejut, dan semua orang pun terkujut juga. Tapi dengan penuh harapan aku mengharapkan emak cepat sembuh. Setiap hari di samping memberi ubat ikut jadual, dan membuat senaman seperti ditunjukkan, aku juga tak henti berdoa supaya emak kembali sembuh, kalau boleh seperti sedia kala. Malangnya selepas dua minggu di hospital, selepas segala usaha dilakukan aku sungguh sedih emak dibawa pulang, sudah tentulah ke rumah ku untuk rawatan susulan, jika Allah izinkan dia sembuh. 

Malang sungguh  bagiku yang sangat-sangat berharap agar emak kembali pulih. Rupanya takdir Allah tidak seperti yang kita harapkan. Kita hanya mampu berusaha - buat yang terdaya - urut,  phsio-theraphy, senaman  dan memberikan ubat-ubatan. Tapi itu saja usaha yang terdaya, selainnya hanya mampu memanjatkan doa agar diberikan yang terbaik kepadanya. Sungguh Ya Allah aku tak berdaya lagi. Sungguh Ya Allah aku sudah pasrah dan redha. Bahawa inilah sesungguhnya yang telah Engkau takdirkan kepada ku. Hari berganti hari, bulan berganti bulan, dan sekarang tahun sudah berganti tahun. Nampaknya keadaan emak semakin hari semakin merosot. 

Mula-mula dulu emak masih kuat ingatannya, walaupun kadang-kadang ia lupa. Dia masih ingat dengan kuat untuk balik ke rumahnya. Kadang-kadang tak berhenti ia minta aku bawa dia pulang ke kampung untuk melihat rumah dan tinggal di rumahnya sendiri. Kemudian dia sudah mula memanggil-manggil kami untuk duduk di dekatnya. Kadang-kadang dia marah-marah kerana kami tak sempat banyak masa bersamanya.  Tapi dia masih boleh ingat. Sekarang emak sudah tidak ingat dia sudah makan atau tidak. Kadang-kadang dia bagi tau aku dia tidak diberi makan oleh pembantu. Alangkah sayunya aku. 

Bukan itu saja badannya terutama kaki dan tangannya yang tidak bergerak sudah semakin kaku dan agak keras. Bila disapu minyak dan diurut-urut dia sakit, dan dia marah-marah. Dia sudah tidak boleh menerima pertolongan kami itu dengan sepatutnya kerana dia sudah kurang rasional pemikirannya. Ya Allah sayu hati ini melihat wajah emak yang semakin hari semaki di mamah usia. Dulu dialah yang mengadunkan makan minum, dan segala keperluan yang tidak dapat aku sediakan untuk anak-anakku, sehingga semua mereka membesar dengan sempurna. Mereka semua dapat menjalani kehidupan dalam kesibukan aku, dengan selesa, dengan penuh kasih sayang seorang nenek yang kuat bertenaga, sentiasa gembira bersama cucu-cucunya. Dialah juga dengan kudrat dan tulang empat keratnya membantu menguruskan rumah tangga ku, sehingga semuanya teratur. Makan pakai kami, dan penjagaan rumah kami, pendek kata semuanya dialah yang menguruskan.

Aku masih ingat dengan jelas, pagi dia dan abah datang ke rumah kami setiap hari, uruskan segala keperluan kami, kemudiannya petang balik bersama arwah abah yang mereka kedua-duanya sangat kami kasihi. Bukan saja kami dan anak-anak kami, tapi saudara-saudara dari Langkawi semuanya mendapat manfaat dari keringat dan tenaga tulang empat kerat emak.  Bermula dengan Kakak Wan, kemudian Mat Hamat, diikuti Mat Di, selepas itu Cik On, datang pula Kakak Yah, disusuli Kakak Kiah, kak cik Nurul dan akhir sekali Shahirah, datang tinggal di rumah kami silih berganti; semuanya dapat merasai air tangan emak memasak makanan kami setiap hari. 

Sekarang dia sudah tidak berdaya lagi. Dia sudah tidak boleh bergerak dan tidak boleh  berjalan. Malah dia sudah tidak ingat makan atau tidaknya dia. Ya Allah aku mohon kepada Mu Ya Alllah, berilah segala kebaikan kepadanya. Sangat banyak baktinya kepada kami tidak terbalaskan ya Allah. Kasihanilah dia Ya Allah sepertimana dia mengasihi kami sewaktu kami masih kecil Ya Allah. Bukankah Engkau telah berfirman "Dan orang yang sabar kerana mengharapkan redhaan TuhanNya, melaksanakan solat, dan menginfakkan sebahagian rezeki yang kami berikan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan; orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik." ArRa'd ayat 22.

Monday, October 2, 2017

RUMAH OH RUMAH BILA EMAK JATUH SAKIT



Gambar kenangan emak masih sihat semasa menghantar alang pergi ke Scotland
 Sejak emak sakit, selepas keluar hospital pada 1 Mei 2016, emak tinggal di rumahku. Jadi rumahnya ditinggalkan. Mula-mula adikku menghantar anaknya untuk melihat-lihat rumah dan sekaligus menjaga rumah yang serba lengkap itu. Selepas itu  ditinggalkan  semula, rumah itu dimasuki pencuri, mengangambil telivisyen emak. Kemudian adik bersemuka dengan budak-budak yang "terkenal" di kampung dan memberi amaran, maka rumah itu tidak diganggu gugat buat seketika. Kemudian semua barangan dibawa balik ke rumah adik di Penang, dia tidak peduli lagi dan tidak balik-balik lagi menjenguk rumah pusaka itu lagi. Maka semak samunlah rumah kesayangan keluarga itu. Rumput di halaman sudah panjang. pagar-pagar dipenuhi pokok menjalar dan usanglah rumah atas keringat emak abah dan juga wang saku yang aku belanjakan sejak sekian lama untuk mebahagiakan kedua orang tua yang aku sayangi. Juga untuk memenuhi semua permintaan mereka yang mahukan keselesaan dalam usia mereka yang sudah lanjut. Semuanya aku belanjakan kerana kasih sayang ku yang tidak berbelah bahagi.

Adik mengenang kembali kenangan manis di kampung
 Hari ini 30 September 2017, hari yang aku  rasa amat bersedih hati melihat rumah kesayangan emak. Rumah yang penuh memori indah bersama kaum keluarga dan sanak saudara. Maha suci Allah, hanya Allah yang maha mengetahui bagaimana perasaan ku melihat rumah ini. Sebelum ini rumah tinggalan emak telah dimasuki orang jahat, tapi tiada apa yang hilang kerana memang rumah sudah kosong. Tapi hari ini ruamah usang ini sekali lagi telah diceroboh dengan rakusnya. Alangkah kejamnya manusia di kampung Rumput Minyak ini. Tidak pernah terlintas dalam hati perkara seperti ini sanggup dilakukan oleh manusia yang semuanya boleh dikatakan mempunyai pertalian darah dengan kami. Tidak sedikitpun ada ingatan terhadap emakku, orang tua yang sedang terlantar sakit ini. Alangkah butanya mata hati mereka, tidak langsung terkenangkan "mata" emak yang selalu bersama mereka terutamanya dalam kesusahan dan kedhaifan mereka. 

Damainya suasana rumah kami di kampung
Alangkah , alangkah, alangkah..... sudah tiada perkataan Ya Allah Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Pengasih. Ya Allah sanggup sungguh mereka yang bergelar adik beradik itu membuat kerja-kerja itu.. Semua wayar elektik rumah emak di potong dan dicuri, wayar yang membekalkan elektrik itu semuanya dipotong dan dicuri semuanya, semuanya. Alangkah sangat kejam dan tidak berhati perutnya. Berapalah sangat harganya bila dijual berbanding kesusahan yang terpaksa dilalui apabila semua wayar telah dipotong??? 

Masya Allah, Maha suci Allah... Ya Allah jika ini cubaan yang Engkau telah takdirkan kepada ku dan kepada emak ku aku redha. Aku redha Ya Allah....aku redha Ya Allah. Cuma aku ini manusia kerdil Ya Allah, bantulah aku Ya Allah... Ya Allah jika takdir ini menjadi  kifarah sepada segala dosa kami, jadikan ia sebagai sebagai penghapus dosaku dan dosa kedua ibu bapaku. Ya Allah berilah segala kebaikan atas segala keburukan yang telah Engkau takdirkan kepada kami. Ya Allah bantulah kami supaya kami tidak menjadikan harta dunia ini sebagai kehendak kami. Ya Allah berilah jalan kepada kami supaya semua harta tinggalan kedua ibu bapa kami ini boleh memberi manafaat kepada kami di dunia dan akhirat nanti. Aku serahkan semua harta yang kuwarisi dan kumiliki dalam jagaanMu Ya Allah. Bantulah kami dan permudahkan kami dalam urusan harta-harta itu supaya mentadangkan manfaat kepada agamaMu Ya Allah. Bantulah aku Ya Allah, hanya padaMu aku berserah dan berharap....  
Emak bergambar kenangan bersama kaum keluarga yang menghatar Shazlee dan alang balik ke Scotland