Wednesday, February 17, 2016

LAWATAN KAJISELIDIK KE SETUL 2016



  • MENINJAU KETURUNAN DIRAJA KEDAH, MAKAM DIRAJA KEDAH, DAN KUBURAN PAHLAWAN  DI NEGERI SETUL THAILAND. 
  • MENINJAU SOSIO-BUDAYA AMALAN MASYARAKAT MELAYU SETUL
6 JANUARI 2016 (RABU)

Setul atau Mambang Segara terpisah daripada kerajaan Kedah Darul Aman selepas serangan Ligur pada 12 Nov 1821, dan bercerai terus pada tahun 1909 angakara tipu muslihat British dan pihak Thailand. Jadi kunjungan rombongan kajiselidik PSMCK kali ini, bertujuan tidak lain untuk menjejaki bumi asal nenek moyang kita dahulu, di samping untuk melihat kesinambungan unsur budaya  yang masih diamalkan hingga kini. Anggota rombongan terdiri daripada lapan belas orang semuanya, yang masing-masing bertugas untuk mendokumentasikan semua dapatan sepanjang masa lawatan. Pengerusi PSMCK Dato Wan Shamsuddin telah sudi turut serta, dan Ketua Biro Kajiselidik Dr Kasri Saidon mengetuai rombongan kali ini.

Tepat jam 2.30 petang semua peserta lawatan kajiselidik ke Setul telah berkumpul di tempat letak kereta Balai Polos Bukit Kayu Hitam. Keadaan panas terik tidak langsung dihiraukan. Paling menyeronokkan ahli rombongan, salah seorang anggota menyajikan minuman air kelapa muda buat penyejuk tekak. Sementara anggota yang lain pula sibuk memasukkan bag-beg ke dalam van yang telah sedia menunggu tepat pada waktunya. Semua peserta telah sedia maklum kedudukan masing-masing sama ada ditempatkan di van A atau van B.
Setelah semua siap sedia, ketua rombongan Dr Kasri, memberikan taklimat. Peserta diingatkan agar tandatangan borang imegresen, tujuan lawatan, dan yang paling penting melengkapkan tugasan yang perlu dibuat sepanjang lawatan. Kemudian diperkenalkan Pak Mustafa pemandu pelancong sepanjang lawatan kami, yang kami panggil Pak Mus saja. Bersamanya dua orang ‘pilot’ van iaitu Pak Saad dan Pak Sila. Kesemua mereka orang Melayu Setul, masih fasih berbahasa Melayu, dengan sedikit telor pengaruh dari  bahasa Thai.
Kami kemudiannya bergerak ke Danok, sempadan Malaysia Thailand untuk urusan passport di imegresen. Oleh sebab hari Rabu hari bekerja, tidak ramai pengunjung menuju ke Thailand, jadi urusan passport di Imegresen Malaysia sangat cepat. Begitu juga di pihak Imegresen Thai pula, mereka telah membuka satu lorong khas, satu kaunter mengecop passport, untuk peserta rombongan kami sahaja. Jadi lebih kurang setengah jam di situ semua urusan selesai.  Jam 3.40 petang kami sudah memulakan perjalanan ke negeri Setul. Menurut Pak Mus perjalanan kami akan memakan masa dua setengah jam. Jarak perjalanan ke Setul Cuma lebih kurang 153 kilometer sahaja. Pak mus banyak bercerita tentang Thailand. Penduduknya lebih kurang 6 juta orang,  majoritinya berugama Buddha. Tapi di wilayah sebelah Selatan iaitu sebanyak 14 wilayah, kebanyakan penduduknya adalah berbangsa Melayu beragama Islam. Malah terdapat  5  wilayah iaitu Pattani, Naratiwhat, Yala, Setul dan Chenak majority penduduknya beragama Islam.
Negeri Setul atau duhulunya dikenali sebagai Mambang Segara, terdiri daripada 7 daerah atau amper iaitu Muang, Kundur, Tape, Lengu, Manang, Tonghua, dan Gon Kalong. Kira-kira sejam perjalanan kami singgah di Stesen minyak Rattaphun untuk rehat, minum dan melejangkan urat. Walaupun di Thailand tiada kawasan R&R tetapi semua stesen minyaknya lengkap dengan segala kemudahan seperti kawasan R&R di Malaysia.
Selepas itu Pak Mus terus bercerita apabila kami meneruskan perjalanan.  Menurutnya di sempadan Setul dan Perlis terdapat sebuah pekan kecil iaitu Wang Belacan, sementara di sebelah Perlis pula pekannya ialah Wang Kelian di kawasan Kaki Bukit. Malangnya sekarang kawasan perniagaan itu tidaklah semeriah suatu masa dahulu. Di sebelah laut pula terdapat sebuah pulau peranginan, iaitu Pulau Nipih yang dimajukan kerajaan Thai dan diberi nama Kok Lipeh. Akhirnya lebih kurang jam 6.00 petang kami tiba di Setol. Di jalan raya penuh dengan ‘tuttut’ iaitu kenderaan berbentuk van yang kiri kanan dindingnya, terbuka. Di sini digunakan sebagai kenderaan awam di Bandar dan pada petang ini kelihatan ia  menjadi seperti bas sekolah yang membawa budak sekolah pulang  ke rumah. Ada banyak  juga budak-budak sekolah menuggang motorsikal dan ada juga dijemput ibu bapa mereka untuk pulang. Kami tertarik melihat mesin ATM yang terletak di tepi-tepi jalan. Menurut Pak Mus memang kadar jenayah di situ sangat rendah, dan menurutnya lagi kadar kemalangan juga rendah,  dan  jarang-jarang sangat berlaku kemalangan jalan raya.
Sebelum ‘chek-in’ di hotel kami singgah makan malam di sebuah gerai berhadapan Balai Polis Setul, Warung  Haji Yusof namanya.  Kami makan nasi ayam, nasi briayani ayam, briyani daging, dan juga sateh ayam. Selesai makan kami bergerak ke hotel Starinn Resort. Menurut Pak Mus pemilik hotel itu orang Melayu Setul, seorang usahawan berjaya. Kami tiba di hotel siap ditunggu oleh Puan Sharifah pemilik hotel bersama anaknya Sofia. Selepas bertanya khabar dan bersalaman kami  ke bilik masing-masing untuk membersihkan diri, dan berehat sekejap, sementara menunggu  program pada malam nanti jam 8.00 malam, iaitu perjumpaan dengan masyarakat Melayu Setul.

PERJUMPAAN/TEMUBUAL DENGAN MASYARAKAT MELAYU SETUL
KETURUNAN TUNKU KUDIN, TUNKU BISNU, TUNKU MOHD AKID, ABDULLAH LANG PUTEH DAN LUANG KUCHA ITSAHAK

1.       ALUAN DR KASRI SAIDON
Tepat jam 8.00 malam, semua tetamu yang dijemput sudah hadir berada di lobi hotel. Mereka ialah tetamu yang dijemput khas untuk sesi temubual bagi mengesan keturunan beberapa orang terkenal di Setul iaitu Tengku Kudin, Tunku Bisnu, Tengku Mohd Akid, Abdullah Lang Puteh dan Luang Kuch Itsahak. Senarai jemputan ialah seperti berikut:
 1. Ustaz  Amin Menjamin ( Bekas Speaker, Bekas Kadhi Setul)
 2. Hashim bin Temenggung (bapanya Saad)  (Bekas Penghulu Mukim Kg Guar atau Ban Kuan)
 3. Chaiwad Sanubut (Teng Abd Halim)
 4. Puan Azizah (Anak angkat Tunku Jam-Jam)
 5. Ku Othman b Temenggung (Ahli Majlis Bandaran)  
 6. Hj Abdul Mutalib
 7. Hj Che Long Semantera
 8. Wan Mohd Isa Wan Me (Pengurus Bank)
 9. Ismail

Majlis temubual dipengerusikan oleh Mejar Mokhtar. Dr Kasri memperkenalkan AJK Biro Kajiselidik, mengalu-alukan kehadiran tetamu jemputan dan mengucapkan terima kasih atas kesudian melapangkan masa untuk bersilaturrahim dengan anggota rombongan kajiseldik PSMCK. Tujuan temubual ialah untuk melihat secara dekat masyarakat Setul yang ada hubungkait dengan masyarakat Melayu di negeri Kedah, dan melihat susurgalur kerabat diraja Kedah dan hubunganya dengan Setul. Di samping itu, untuk terus mengeratkan hubungan dua hala antara negeri Kedah dan Setul.

2.       UCAPAN BALAS USTAZ HAMID MENJAMIN
Beliau berasa sungguh gembira, dan terharu, dengan program yang diaturkan. Di samping mengalu-alukan kehadiran kami, beliau sungguh berasa berbesar hati kerana ‘adik-beradik’ di negeri Kedah terpanggil untuk menjenguk mereka. Beliau menegaskan bahawa negeri yang kami lawati bernama Setul. Dia kurang senang dengan perubahan nama yang dibuat oleh pihak Thai, yang mengubah negerinya kepada Satun mengikut lidah mereka sesuka hati.  Menurutnya Thai telah Berjaya mengubah bahasa, sehingga berlaku penghapusan bahasa Melayu di kalangan masyarakat orang Melayu di negeri Setul, Pattani, Yala dan lain-lain. Sekarang ini hanya orang tua-tua sahaja yang masih boleh berbahasa Melayu. Generasi muda sudah hilang jati diri dan tidak boleh lagi berbahasa Melayu, bahasa ibunda datuk nenek mereka dahulu. Beliau rasa sungguh sedih dengan perkara tersebut. Ada juga antaranya yang tukar agama pun ada. Dalam tahun 90an, Kalau orang Melayu malu dengan nama Melayu.

Di samping bahasa, Kerajaan Thai juga, telah mewajibkan penggunaan nama keluarga dan nama Thai di samping nama Melayu Islam. Akibatnya ramai orang Melayu sudah bernama seperti orang Siam. Beliau pernah menyaman Kerajaan  Thai kerana mewajibkan penggunaan nama Thai di kalangan masyarakat Melayu Islam. Kini orang Melayu sudah boleh menggunakan nama Melayu, tidak seperti dahulu lagi. Malah tulisan jawi pun sudah semakin tidak dipelajari. Beliau telah banyak menulis buku tulisan jawi untuk diedarkan kepada umat Islam di Thai dan Vietnam.

Budaya Setul suka kunjung adik beradik, makan kenduri ke Air Hitam, Kuala Sala dan lain-lain pergi sehingga 10 biji van, tapi orang Malaysia takut untuk berkunjung ke Setul. Semua ini kerana ditakut-takutkan oleh media.

3.       TUJUAN TEMUBUAL
Dr Kasri memaklumkan tujuan lawatan  ke Setul dan  kenapa PSMCK memilih Setul untuk membuat kajiselidik. Ini kerana  ramai orang Kedah kurang tahu hubungan Kedah dengan Setul jadi tujuan kajiselidik ke Setul ialah untuk mengkaji hubungan Kedah dengan Setul supaya perkara ini diketahui umum, terutamanya generasi muda kedua-dua buah negara. Perkara keduanya ialah YTM Tunku Salehuddin amat berminat untuk mendapat informasi tentang jurai keturunan kerabat diraja Kedah yang ada hubungan dengan keluarga diraja negeri Setul.

Jadi tujuan utama kunjungan lawatan kajiselidik ini ialah untuk mengesan makam keluarga-keluarga diraja Setul yang ada hubungan dengan keluarga diraja Kedah. Di samping itu tujuan lain ialah untuk menulis kembali cerita dan fakta tentang hubungan negeri Kedah dan Setul.

4.       SOALAN 1 – APAKAH PANDANGAN TUAN-TUAN TENTANG SETUL?
JAWAPAN HASHIM BIN SAAD – PENGHULU WILAYAH SETUL
Dahulunya Setul cuma satu daerah dikenali sebagai Mambang dan diperintah oleh rajanya Tengku Bisnu. Kemudian bertukar namanya kepada Setul. Sekarang ada 36 mukim semuanya, tapi cuma 22 kampung sahaja boleh bertutur dalam Bahasa Melayu iaitu kira-kira 80 peratus. Masyarakat di Setul terdiri daripada masyarakat asal dari Setul, dan ada juga yang datang berhijrah dari Kedah. Sebahagian kecilnya datang negeri-negeri yang datang berhijrah mencari kerja. Semasa British menyerahkan Setul kepada Siam, terdapat lebih kurang 26,000 orang Melayu


5.       SOALAN 2 –  BOLEH TERANGKAN TENTANG KUBUR DAN MAKAM DI SETUL?
JAWAPAN KU OTHMAN KU TEMENGGUNG
 Antara makam lama di Setul ialah malam keluarga diraja iaitu Langgar Tunku Bisnu atau Makam Tok Marhum. Makam ini menempatkan anggota keluarga diraja Tunku Bisnu dan putera puteri baginda sejak dari duhulu. Selain itu terdapat juga makam orang besar yang menjadi pemerintah di Setul, iaitu Tok Ku Din Ku Meh dan orang besar-besar yang lainnya di satu kawasan perkuburan lain pula. Ku Othman Penolong Pegawai Bandaran memakai nama keluarga Senubut iaitu Senuputera. Mereka masih memakai gelaran Tengku walaupun mereka terpaksa menggunakan nama Siam yang mempunyai nama keluarga. Walau bagaimanapun sudah tiada lagi penghormatan kepada keluarga keturunan diraja.



RUMUSAN DATO’ WAN SHAMSUDIN
Banyak kisah sejarah Setul sebagai satu wilayah Kedah zaman dahulu. Banyak juga  cerita tentang Setul dalam surat-surat Sultan Abdul Hamid. Sekarang walaupun  sudah bertukar pemerintahan tapi bahasa masih sama bahasa Melayu, dan budaya pun lebih kurang sama dalam kebanyakan aspek budaya dan norma sosial. Semoga kedua-dua buah  negeri dapat terus  mengeratkan hubungan dua hala pada masa-masa akan datang. Terima kasih diucapkan kepada semua yang sudi hadir memeriahkan temubual pada malam yang bersejarah itu. Selepas bertukar cenderamata dan menikmati sedikit jamuan semua peserta bersurai dalam kedinginan malam yang penuh dengan sejarahnya.


Tuesday, February 16, 2016

SURI AZZAHRA




Alhamdulillah setelah sekian lama menyepi, hari ini terpanggil untuk berkongsikan cerita sekecil molek, Suri Azzahra yang manis, cucunda yang kelima. Lama sudah kami menantikan puteri kami Fatin Zahirah yang dikasihi, dengan pasangannya yang dicintai, anakanda Mohamad Shazlee,  dikurniakan zuriat selepas lebih setahun mendirikan rumah tangga. Sungguh telah ditakdirkan Allah yang maha pengasih, liku-liku yang pelbagai bagi kedua-dua anakanda tercinta itu. Selepas sebulan berkahwin, dek kerana tugasnya dia tidak dapat bersama dengan suaminya yang tercinta. Seorang di Scotland, dan seorang terpaksa menghabiskan 'housemanship' di Alor Setar. Jadilah mereka pasangan di alam maya, setiap hari cuma dapat bersama melalui 'skype' yang dapat menghubungkan kasih sayang dan rindu yang mendalam antara mereka. Namun alhamdulillah, Allah menjadikan mereka orang yang sabar dan redha. Segalanya dapat dilalui dengan tenang adanya. Tamat saja tempoh 'housemanship' puteriku terbang ke Scotland. Seluruh keluarga amat berasa gembira bagi pihak mereka yang sudah lama tidak bersama. Diam-diam semua kami mendoakan supaya mereka dikurniakan cahaya mata, buat penyeri keluarga. Lama kami menunggu, akhirnya Allah yang  maha pemurah mengurniakan  kepada puteriku dan suaminya, seorang puteri, yang kami namakan Suri Azzahra.

Kami amat bersyukur kerana Allah yang maha berkuasa mengaturkan segalanya. Kedatangan Suri memang sungguh dipermudahkan. Ibunya mula mengalami contraction bermula awal petang, tapi masih boleh lagi dia keluar ke Aman Central, dan mengunjungi Gunung Keriang bersama kakaknya. Selepas maghrib barulah sakitnya mula terasa lebih kerap. Maka kami bersedia untuk membawanya ke Hospital SB. Sedang merasai contraction puteri kami yang cekal kelihatan sabar dan tenang, dan dia masih boleh bercerita itu ini pula. Lebih kurang Jam 10 malam dia sudah dimasukkan ke Wad Bersalin, dan selepas itu pada  jam 10.30 malam, dia sudah ditolak masuk ke bilik bersalin.   Barangkali itulah berkatnya membaca 3 Qul semuanya lancar, aturan Yang Maha Pengasih untuk umatnya.

Oleh sebab anakanda Shazlee belum sempat tiba lagi,  maka Allah telah takdirkan aku dapat bersama puteriku semasa menunggu kelahiran bayi sulungnya itu. Tiada lain yang dapat kulakukan melainkan hanya bermohon kepadaNya supaya dipercepatkan dan dipermudahkan kelahiran cucu kami itu. Alhamdulillah dengan izinNya jua Suri selamat dilahirkan dengan selamat sejahteraya pada jam 12.20 pagi 27 Oktober 2015. Air mata gembira mengalir tanpa henti, syukur alhamdulillah ibu dan anak kedua-duanya selamat -  tiada sebarang masalah dan komplikasi, begitulah  adanya yang telah ditakdirkan untuk kami.

Ruang legar Hospital menjadi tempat kami meraikan kegembiraan, dan menikmati suasana penuh syukur menyambut orang baru bagi keluargaku dan keluarga Shazlee. Kedua-dua orang tuanya telah sejak seawal pukul sepuluh malam lagi,  telah bersama-sama kami menanti ketibaan orang baru dengan penuh doa dan harapan. Tidak kami hiraukan kedinginan malam bercampur-baur dinginnya penghawa dingin di situ. Kami cuma berharap, menanti, dan berdoa dengan penuh yakin semuanya akan selamat jua hendaknya. Alhamdulillah  kedua-dua keluarga sama-sama berada di hospital menyambut kelahiran Suri. Bayi seberat 2.6 kg itu mendatangi kami di awal pagi, menambahkan lagi jumlah anggota keluaga kedua belah pihak, menyerikan lagi  dan menyemarakkan lagi ikatan kasih sayang yang telah terikat dan terpadu sejak sekian lama.  Syukur padaMu ya Allah. Engkau maha pengasih, Engakau maha penyayang, dan Engkaulah yang mentakdirkan segalanya. Ya Allah semoga Engkau jadikan Suri cucu kami ini, anak yang solehah, anak yang berbakti kepada kedua orang tuanya dan berbakti juga kepada masyarakat dan agamanya, insyaaAllah. Dan yang paling  kami harapkan dariMu ya Allah Suri menjadi  anak yang Engkau takdirkan menjadi seorang insan yang sentiasa patuh dan taat kepadaMu ya Allah ya Robbalaalamiin. Amin ya Allah.







Monday, February 15, 2016

MENIMANG CUCU LAGI .....




Ya Allah aku bersyukur yang teramat sangat kepadaMu  ya Allah.. Engkau telah panjangkan usiaku. Dengan segala kasihMu engkau kurniakan aku seorang demi seorang cucu buat penyeri hidup, dan buat menjadi warisan meneruskan legasi keluarga. Kali ini aku ingin menulis tentang seorang cucu lelaki dari satu-satunya anak lelaki yang sulung, Danial Fa-iz Ibrahim. Kebetulan dia lewat bertemu jodoh, mendirikan rumah tangga dengan pilihan hatinya, jadi lambatlah dia memiliki cahaya mata. Dinamakan cucu lelaki yang menambah seri itu Ali AlFarinn. Dibawah ini ialah cacatan tok wan untuk cucunya itu dan fakta sejarah berkaitannya, agar menjadi kenang-kenangan yang abadi untuk tatapan semua ahli keluarga.




ALI ALFARINN, KETURUNAN KE-7 TOK MAT ALI LANGKAWI
1. Ali Alfarinn bin Danial Fa-iz lahir pada 10 Disember, tahun 2013 di Kuala Lumpur. Ali ialah keturunan ketujuh ‘Tok Ali’ atau ‘Tok Mat Ali’, penduduk Langkawi sekitar 200 tahun lalu.
2. Dr Danial Fa-iz bin Ibrahim, lahir pada 1984 di Alor Setar, anak pertama Dr Ibrahim dan Puan Rahinun. Danial memperoleh anak pertamanya ketika berumur 29 tahun.
3. Dr Ibrahim bin Bakar, lahir pada 1952 di Kampung Bayas, Pulau Langkawi, anak ke-5 Haji Bakar bin Taib dan Sitiamin binti Abdul Rahman. Ibrahim memperolah anak pertamanya ketika berumur 32 tahun.
4. Haji Bakar bin Taib lahir pada tahun ca. 1919 di Kampung Bayas (‘ca.’ menunjukkan anggaran, seperti tercatat pada kad pengenalan), dari hasil perkongsian hidup Taib bin Salleh dengan Syamsiyah binti Abdul Hamid. Haji Bakar ialah anak bungsu Tok Taib (Tok Yit). Abang Hj Bakar bernama Abdul Rahman (Tok Ngah Man), lahir ca. 1915, manakala abang sulungnya Ismail (panggilan, Tok Mail Badak), lahir ca. 1910. Anak pertama Haji Bakar lahir pada 1939, ketika beliau berumur 20 tahun (anggaran). Mulai Haji Bakar ke atas, tahun kelahiran adalah anggaran, sebab pada ketika itu memang belum ada dokumen kelahiran untuk rakyat). Ciri-ciri Haji Bakar: Pernah dihantar belajar agama di Pondok Penanti, Seberang Perai ketika remaja. Suka meneroka ilmu agama hingga akhir hayat. Banyak Kitab Kuning yang miliki dan dipelajarinya. Suaranya kedengaran bengis, tapi hatinya amat lemah lembut, mudah terkeluar air matanya.
5. Taib bin Salleh (Tok Yit) lahir ca. 1880, dari hasil perkongsian hidup bapanya Salleh bin Ali dengan ibunya Yah binti Abdul Rahman (Tok Yah), duduk di Kampung Bayas. Tok Yit berkahwin dengan Tok Syamsiyah, sepupunya sebelah ibu. Tok Yit adalah anak sulung.
6. Salleh bin Mat Ali (Tok Salleh ‘Kaya’) lahir ca. 1850 dan di Kg Candik Kura, Mukim Kedawang. Beliau lahir daripada hasil perkongsian hidup bapanya Tok Ali dan ibunya Tok Halimah, dibesarkan dan tinggal di Kampung Candik Kura.
Tok Salleh adalah anak keempat Tok Mat Ali. Saudara sebelumnya ialah Tok Alang Besar (lahir ca. 1845), Tok Simah (lahir ca. 1840), dan kakak sulung (lahir ca. 1835, nama tidak diingat oleh informan, nama anaknya: Tok Musa ‘Kora’).

Tok Alang Besar mempunyai 5 anak. (1) Tok Man, kahwin Tok Nun binti Salleh ‘Kaya’ sepupunya. (2) Tok Wahab. (3) Tok Tih ‘Alang’, kahwin Tok Nah. Antara anak-anak mereka ialah a) Tok Tam, b)Tok Leha, c) Tok Din ‘Ansun’ (datuk kepada ADUN Kedah, YB Nor Saidi bin Nayan), d) Tok Mayah (Umaiyah) dan e) Tok Su Kiah (kahwin Tok Alang ‘Kechik’).

Saudara Tok Saleh ‘Kaya’ di bawahnya ialah (1)Seorang lelaki, menetap di Parit Buntar (nama tak diingat oleg informan). Anaknya Haji Hassan kembali ke Langkawi, berkahwin dengan Tok Misah binti Jusoh, anak saudara isteri Tok Salleh ‘Kaya’ (tinggal bersama mereka). Haji Hassan dan Tok Misah dikurniakan: a) Ibrahim ‘Eka’, b) Haji Kamariah, kahwin Tok Mawan, dikurniakan Zakaria (bapa Puan Latifah binti Zakaria, kahwin Cikgu Ali), c) Tam, d) Jamaliah, e) Sulaiman ‘Lebai Laju’, dan e) Asma, kahwin Tok Din ‘Kucing Jalang’, f) Husin, g) Talib.

Tok Salleh dikurniakan 4 orang anak, (1) Taib, (2) Tok Nun (perempuan), kahwin Man bin Alang Besar, sepupunya sebelah ayah, (3) Tok Wi (perempuan), kahwin Ibrahim dari Setul, dan (4) Tok Samad (Tok Su), kahwin Tok Cah binti Musa Tok Aris, perempuan dari Padang Matsirat.

Ciri-ciri Tok Salleh ‘Kaya’: Beliau digelar ‘Kaya’ sebab mempunyai hartanah sawah dan kebun, yang luas; dan memiliki ternakan kerbau berpuak-puak tak terbilang banyaknya. Berbadan tegap dan mempunyai kekuatan yang luar biasa dan rajin bekerja membuka kebun dan sawah. Memiliki rumah yang besar, dan satu-satunya penduduk yang memiliki ‘peti nyanyi’ di kampung itu, menandakan jiwanya yang ‘halus dan muzikal’.

7. Tok Mat Ali atau ‘Tok Ali’ dianggarkan lahir pada tahun 1805. Isterinya bernama Tok Halimah. Mereka tinggal di Kampung Candik Kura, Mukim Kedawang, Langkawi. Pasangan ini dikurniakan 7 orang anak. (1) Anak sulung, perempuan, ibu Tok Musa ‘Kora’, lahir ca. 1835, (2) Tok Simah, lahir ca. 1840. (3) Tok Alang Besar, lahir ca. 1845. (4) Tok Salleh ‘Kaya’, lahir ca. 1850. (5) Lelaki, tinggal di Parit Buntar, Perak. (6) Tok Bakar, kahwin Tok Roknah, (7) Nama tidak diingati informan.
Tok Mat Ali telah disemadikan diperkuburan Kampung Candik Kura, sebuah perkuburan tua yang kini masih berfungsi. Tidak diketahui bilakah Tok Mat Ali meninggal dunia.
Tok Saleh ‘Kaya’ juga disemadikan di perkuburan yang sama, berdekatan ayahnya, Tok Mat Ali. Kedua-dua perkuburan mereka ditandakan dengan batu nisan berukuran agak besar, daripada batu bukit, berbanding kubur-kubur lain sekitarnya.

Ibrahim Bakar's photo.
CIRI-CIRI GENETIK KELUARGA TOK ALI:
1. Berukuran tinggi, besar, berbadan tegap dan sasa.
2. Memiliki telapak kaki dan telapak tangan besar.
3. Berkulit cerah.
4. Muka bujur sirih, sedikit lebar.
5. Bertelinga besar.
6. Wajahnya sentiasa kelihatan serius.
7. Bermata agak sepet tetapi pandangannya tajam.
8. Dalam keadaan marah, matanya berapi dan menggerunkan.
9. Dalam keadaan tenang mudah tersenyum dan manis dipandang.
10. Suaranya tegas
11. Hatinya lembut, mudah mengeluarkan air mata.
12. Mudah didekati (friendly).
13. Mudah menyumbang tenaga untuk masyarakat kelilingnya.
14. Gemar ilmu, suka mentelaah buku.
15. Gemar bunyi-bunyian dan budaya.