Sunday, June 22, 2014

KELEBIHAN SURAH ALKAHFI


SYARAHAN USTAZ ABDUL WAHID
SURAU DARULSYIFAK
Antara amalan yang baik diamalkan ialah membaca surah al-Kahfi bermula malam Jumaat hingga masuk waktu asar pada hari Jumaat. Marilah sama-sama kita amalkannya membaca al-Kahfi ini, insyaa Allah banyak faedahnya yang dapat dikongsikan bersama seperti berikut;


1.        Allah akan  beri cahaya  atau nur pada hari qiamat nanti, di kaki kita, ibarat luasnya dari Mekah menuju ke Madinah, setinggi antara langit dan bumi.  

2.       Akan dipelihara daripada  fitnah dan azab qubur apabila dibaca 10 ayat pertama surah al-Kahfi.

3.       Allah akan bangunkan kita  waktu tengah malam barang  siapa yang membaca 10 ayat yang terakhir surah al-Kahfi.

4.       Malaikat akan jaga kita,  satu surah diiringi oleh 70 ribu malaikat  penuh antara langit dan bumi.

5.       Baca malam Jumaat akan diberi cahaya daripada dirinya  hingga ke Kaabah dan akan mendapat cahaya pada hari kiamat.

6.       Siapa yang hafal sepuluh ayat awal dan 10 ayat akhirnya, Allah akan pelihara drp fitnah dajal.

7.       Siapa yang sezaman dgn dajal bacalah 10 ayat yg pertama maka akan dpt perlindungan - dajal  akan keluar pada waktu itu manusia tiada makanan, jadi fitnah dajal ialah dengan mengumpan manusia dengan  makanan yang sangat didambakan manusia. Dajal ini, dia adalah penyesat dan pembohong, dan kelirukan manusia sehingga tinggal aqidah. Di dahinya dapat dibaca semua orang tertulis ‘kaf, faa, ro’. Dan diperingatkan kepada kita, sebesar-besar fitnah kepada manusia sejak Nabi Adam hingga kiamat ialah dajal.

Marilah sama-sama membaca surah al-Kahfi dan sama-samalah kita memohon perlindungan daripada Allah supaya kita dijauhkan daripada fitnah dajal yang amat teruk itu, amin.


HIDUP ANDA BERMASALAH?


SYARAHAN USTAZ ABDUL WAHID – SURAH ALISRAK 79
SURAU DARULSYIFAK – 19 MAC 2014

Mendengar syarahan tentang faedah sembahyang tahajud amat dirasakan terlalu rugilah masa yang telah berlalu tanpa dikerjakan amalan yang sangat banyak faedahnya yang dijanjikan Allah kepada kita ini. Marilah kita sama-sama mengerjakan solat tahajud mudah-mudahan kita mendapat manfaat daripadanya, antara faedahnya;

1. Tahajjud dianggap sebagai senjata orang Islam dalam menjalani kedidupan dunia akhirat, menurut Imam Ibn Kathir, Allah perintahkan kepada nabi dan perintah ini juga ditujukan kepada  kita manusia, supaya bangun sembahyang malam, agar kita ditempatkan di tempat yang terpuji (syurga) di akhirat nanti. Nabi saw memberi syafaat kepada umatnya untuk masuk syurga, bagi umatnya yang melaksnakan bukan saja perintah Allah, tapi juga umatnya yang menunjukkan kecintaan kepada Allah dan Rasul dengan bangun sembahyang malam.
2. Nabi pernah bersabda, pada waktu malam, syaitan membelenggu manusia dengan 3 ikatan, bila kita bangun tahajud, tiga ikatan iblis akan terbuka dan  Nabi saw memberi jaminan, orang yang a bangun malam akan cergas tubuh badabnya di siang hari.
3. Sesiapa yang bangun tahajud  malam Allah akan beri kekuatan jadi janganlah kamu tinggal sembahyang malam, nescaya kamu akan rasa nikmatnya.
4. Menurut Imam Muslim Nabi pernah berkata, sembahyanglah tahajud di waktu malam Allah akan angkat darjat dan menghapus dosa kamu.
5. Nabi  saw menyuruh kita tidur dahulu kemudian baru bangun balik dan Aishah pernah berkata kepada Abdullah bangunlah malam, kerana Nabi tidak pernah tinggal sembahyang malam. Allah akan ampunkan dosa mereka yang bertahajud di malam hari.
6. Ada riwayat mengatakan, pada waktu malam Abu hurairah, kejutkan isterinya untuk sembahyang, kemudian anaknya, selepas itu hambanya, akhirnya Abu Hurairah pula sembahyang, semata-mata kerana mahu sepanjang masa malam itu ada orang  beribadat di rumahnya  supaya  rumahnya mendapat berkat.
7. Untuk lelaki yang tekun solat tahajud mereka akan mendapat bidadari dalam syurga - 'hurun ain', jadi untuk bantu kita bangun malam kenalah qoilullah, iaitu tidur sekejap selepas zohor atau sebelum zohor.
8. Yang rajin bertahujud akan dijauhkan dari kalangan orang yang lalai, dan kita akan jadi 'bilionaire' di akhirat nanti, jadi bila nak tidur mengiringlah sebelah kanan dan letak tangan kanan di kepala supaya mudah terjaga malam.
9. Sembahyang malam boleh dibuat 2 rakaat, 4 rakaat, atau 8 rakaat dan berdoalah selepas tahajud, Allah janji akan tunaikan hajat yang dipohon.

Alangkah sombongnya manusia, dijanjikan Allah akan menunaikan hajat sesiapa yang bertahajjud kepadaNya, namun berapa banyak antara kita yang merebut peluang yang telah dijanjikan itu. Alangkah ruginya orang-orang yang bongkak dengan Allah, Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani. Marilah kita mencuba, kerana bangun bertahajjud bukanlah suatu yang mudah dilaksana.  Bermohonlah kepada Allah agar Dia memilih kita menjadi sebahagian daripada hamba pilihanNya.Tiada daya kita untuk berbuat kebaikan dan tiada daya kita berbuat kejahatan, melainkan semuanya dengan izinNya jua.

Wednesday, June 18, 2014

HARGA SEBUAH KEHIDUPAN


SYARAHAN USTAZ ABDUL WAHID - ALKAHFI AYAT 45
SURAU DARISYFAK – 9 APRIL 201

Allah menunjukkan misalan contoh atau perbadingan yang ada dalam ayat ini.  Allah umpamakan hidup manusia  seperti air hujan yang Allah turunkan dari langit, kemudian becampur dengan tanah, maka tumbuhlah pokok, berbunga, kemudian jadi buah, akhirnya habis kering; samalah dengan kehidupan  kita manusia di dunia ini, bermula di alam janin, dilahirkan, membesar, tua dan akhirnya mati. Jika dilihat air hujan yang banyak membawa kepada banjir, tetapi selepas banjir, tidak tau ke mana hilangnya air yang banyak itu, kadang-kadang surut dengan sekejap saja. Begitulah kehidupan manusia pun lazimnya dalam sekitar 60 tahun, selepas itu hilanglah dan lenyaplah kehidupan yang dirasai, dinikmati  dan dikagumi di bumi ini, bagaikan sekelip mata jua adanya.

Allah umpamakan kehidupan dengan air hujan atau banjir,  kerana air bukanlah dari  jenis yang tetap, malah adanya atau kewujudanya hanya untuk  sekejap saja. Begitulah jua manusia tidak  akan kekal di dunia ini. Dengan keyakinan  bahawa kehidupan yang dilalui amat singkat ini, maka manusia mesti berusaha melakukan amalan soleh dan beramal untuk mengharungi masa yang sangat pantas adanya.

Manusia takut dengan  keadaan air yang  banyak, kerana air yang banyak pada bila-bila masa pun akan dan telah memudaratkan kehidupan manusia, dan merosakkan harta benda yang ada. Malah tumat-umat terdahulu yang kufur dan lupa diri tidak mengingat Allah, kebanyaknanya mengalami kemusnahan dengan air. Lihatlah kaum Nabi Noh, dimusnahkan dengan banjir besar yang Allah turunkan. Lihatlah Firaun ditenggelami air laut yang ditimpakan kepadanya beserta kaumnya yang gilakan dunia semata-mata. Begitulah juga  hidup kita di dunia, kalau terlalu leka dan melebihkan dunia, seolah-olah hanyut di air banjir, dan lebih teruk lagi jika tenggelam di arus banjir. Jika manusia  ‘menyelam’ dalam kehidupan dunia, banyak antara manusia di dunia ini akan sesat dan bergelumang dengan fitnah dunia. Sebaliknya air kalau sedikit akan memberi manafaat kepada kehidupan manusia, begitulah juga dunia kalau ‘sedikit’ dalam lingkungan syukur dan redha Allah, akan memberi kesejahteraan kepada kehidupan dunia atau di kehidupan kekal abadi di alam sana adanya.

Bagaimanakah menjadikan kehidupan kita menjadi baik, seperti air takungan yang  sedikit yang bermanfaat? Yang paling penting, ambillah iktibar dan ingatlah pada setiap masa dengan penuh yakin, akan amaran Allah, bahawa kita akan dihidupkan semula selepas mati untuk menerima segala balasan atas daya usaha kita yang singkat di dunia ini. Buktinya seperti yang dinyatakan dalam Surah Yasin ayat 78 yang bermaksud, Allah berkuasa menghidupkan manusia selepas mati, lagi mudah, sedangkan belum hidup pun mudah Allah menghidupkan manusia. 

Sesungguhnya Allah beri hidayah kepada semua manusia, dan Allah tunjukkan jalan melalui Rasul pilihan, jadi terpulanglah kepada kita untuk memilih, sama ada mahu  tenggelam dalam keduniaan ataupun sebaliknya. Dalam al-Quran banyak ditunjukkan pengkhianatan isteri atau anak para Nabi utusan Allah untuk menjadi iktibar kepada kita dalam memilih jalan yang benar, contohnya anak dan isteri Nabi Noh serta isteri Nabi Luth. Sebaliknya Allah tunjukkan juga dalam surah Attahrim ayat 4, bagaimana isteri Firaun beriman walaupun hidup bersama-sama  orang yang fasik lagi zalim takabbur. Jadi sama-samalah kita memohon kepadaNya agar diberi pertunjuk jalan yang benar dan hidayah, supaya kita tidak leka dan lalai lalu tenggelam di lautan dunia. Mohonlah juga agar kita mendapat redha Allah supaya dunia tidak memudaratkan kita, insyaa Allah……

Berikut dicadangkan antara amalan-amalan yang memberi  manfaat untuk diamalkan. Amalkanlah membaca  Qulhuwallah huahad 10 kali (sekurang-kurangnya) setiap hari, Allah akan bina sebuah mahligai untuk kita di syurga nanti. Di samping itu amalkan sembahyang sunat sebelum zohor 4 rakaat, selepas  zohor 2 rakaat, selepas maghrib 2 rakaat, selepas isyak 2 rakaat, dan sebelum subuh 2 rakaat, Allah akan  bina kepada kita, mahligai juga di syurga. Mudah-mudah dapat kita sama-sama amalkan amalan baik ini, di samping melaksanakan amalan-amalan wajib yang lain untuk menambahserikan lagi kehidupan kita di sana nanti insyaa Allah. Mudah-mudahan Allah redha kepada kita.


Tuesday, June 17, 2014

WALBAAQIA TUSSOO LIHAHAH


SYARAHAN USTAZ ABDUL WAHID
SURAU DARULSYIFAK - 4 JUN 2014
AMAL SOLEH YANG KEKAL FAEDAHNYA


Imam Ibn Kathir  menyatakan, biarlah dalam kehidupan, kita terus mara, dan terus istiqamah dan menyibukkan diri untuk beribadat, dan melaksanakan amal soleh, demi mendapatkan keredhaan Allah. Dalam menunaikan tanggung jawab dan berkasih sayang dalam keluarga,  sepatutnya tidaklah terlampau-lampau dan janganlah hampir semua masa dan perhatian kita dihabiskan dengan anak cucu dan harta benda semata-mata, sehingga mengabaikan amal-amal soleh yang kekal faedahnya untuk membantu kita di akhirat kelak. Abdullah Ibn Abbas berkata lagi, perkara yang kekal dan baik faedahnya ialah amalan-amalan yang boleh membawa kita  ke syurga seperti  sembahyang 5 waktu, berzikir –Subhanallah, Alhamdulillah, Lailahaillah, Alluhuakbar, amalan soleh daripada perkataan dan perbuatan – bertaubat, berselawat dan bersedekah. Sesungguhnya harta, anak cucu adalah fitnah seperti dalam surah Attaghaabun ayat 15, kerana ramai orang menderita dan merana kerana anak pinak dan harta benda.

Menurut Imam Ahmad Ibn majah  antara perkara yang baik dan kekal boleh membawa ke syurga yang  boleh dilaksanakan dengan mudah ialah mengamalkan membaca zikirullah berikut:
1. Subhanalla 100 x – sama  pahalanya  dengan memerdekakan 100 orang hamba
2. Alhamdulillah 100 x – sama pahalanya  dengan  100 ekor kudaperang siap dengan pelana              3. Lailahaillah 100 x – mendapat  pahala memenuhi langit dan bumi
4. Allahuakbar  100 x – sama  dengan 100 ekor unta
5. Lakhaulawala quwwataillah billah hil aliyilazim
Imam Qurtubi menyatakan sesungguhnya Nabi saw pernah bersabda, jika kamu menyebut dan mengamalkan 5 zikirullah di atas, akan gugurlah dosa kamu.Nabi saw pernah bersabda kepada Abu Hurairah ' tahu tak kamu, tanaman yang lebih baik daripada segala tanaman yang memberi manfaat yang kekal ialah sebut 5 zikir di atas, Allah akan beri setiap zikir itu satu  pokok tanaman di syurga.' Nabi pernah bersabda, semua umatku akan masuk syurga kecuali yang tidak mahu, kerana  manusia di bumi yang mengamalkan  5 zikirullah, Allah cuci semua dosanya.

Sabda Nabi saw lagi, 'Allah suka zikir 'alhamdulillah' sebab  itulah  banyak kali diulang dalam Quran. Menurut Imam Ahmad, 'sesiapa yang berzikir 'alhamdulillah' akan memenuhi timbangannya atau mizan, iaitu pahalanya penuh dari langit dan seluruh muka bumi. Imam Muslim memberitahu, Allah taala redha bila seorang itu makan atau minum, dia menyebut 'alhamdulillah'. Imam Thabrani pula pernah mendengar Nabi saw berkata, 'ambillah perisai kamu, daripada api neraka, jika kamu berzikir 5 zikirullah di atas. Dan Imam Ahmad berkata, orang yang menyebut 5 zikir itu,  para malaikat akan duduk keliling arasy, sambil menyebut nama orang yang berzikir itu.

Nabi juga bersabda, sembahyang itu nur yang akan menjadi petunjuk jalan yang benar, iaitu jalan menuju ke syurga. Abdullah Ibn Umarpernah dengar Nabi saw bersabda, 'pintu langit terbuka ketika orang solat membaca doa iftitah, dan12 malaikat berebut-rebut turun untuk ambil pahala drp org yg membaca doa iftitah. Imam Ahmad memberitahu Nabi pernah bersabda, siapa yang membaca 'robbana lakalhamdu' sm dengan malaikat, maka dosanya semua Allah ampunkan.

Sedekah juga umum mengetahui besar faedahnya dan merupakan suatu amalan yang amat dituntut. Dan membaca Quran adalah amalan yang akan menjadi amal yang akan berhujjah dan membantu kita di akhirat nanti.

Jadi marilah kita menjalankan semua amal soleh di samping membasahkan lidah kita dengan zikirullah yang disarankan kepada kita untuk menjadi amalan sepanjang hari supaya menjadi amal soleh yang kekal faedahnya kepada kita di akhirat nanti, apabila semua orang tidak lagi sempat memikirkan siapa-siapa lagi. Insyaa Allah memberi manfaat kepada kita semua.   

SAHABAT IBLIS




SYARAHAN  USTAZ  ABDUL WAHID
SURAU DARULSYIFA’ - 11 JUN 2014

Umum mengetahui kisah Allah menyuruh malaikat sujud kepada  Adam, mereka patuh, namun iblis ingkar. Menurut Ibn Abbas, iblis asalnya bernama harith. Setelah dia engkar  arahan Allah, ditukar namanya menjadi iblis.  Keturunannya adalah daripada golongan jin, dan iblis diciptakan dari lidah api, sebab itulah dia merasakan dirinya lebih mulia daripada Adam yang diciptakan dari tanah.  Menurut Ibn Kathir, iblis adalah ketua daripada  makhluk yang menjaga syurga, tetapi dia marah apabila Allah melantik  Adam  menjadi  khalifah. Diriwayatkan juga,  iblis makhluk yang  memang kuat bekerja, dan banyak ilmu pula, sebab itu dia jadi takabbur dan engkar atau tidak boleh menerima suruhan Allah untuk menyembah Adam. Jadi jika manusia mengikut sifat-sifat  iblis yang tersebut di atas,  sama ada secara sedar atau tidak, maka manusia telah menzalimi diri mereka sendiri. Menurut Ibn Kathir, angkatan  iblis bergerak menawan hati manusia dengan sungguh-sungguh melalui enam ‘portfolio’: solat, perdagangan, wanita, multi media, dan rumah tangga. Sebab itulah banyak fitnah yang timbul melalui enam perkara di atas, kerana iblis dengan sungguh-sungguh,  tidak pernah henti-henti, dan tidak sedikitpun pernah kecewa atau  putus asa dalam menyebarkan hasutan agar manusia ikut serta menjadi pengikutnya nanti. Dan bila tiba masanya mengadap Allah nanti,  seperti telah disebutkan dalam AlQuran surah AlHashr, iblis lepas tangan, kitalah yang akan menanggung segala azab dan balasan sendirian

  
Di samping itu, ramai juga yang pernah mendengar bagaimana tekunnya dan bersungguh-sungguhnya iblis menyesatkan seorang pemuda Bani Israil, bernama Barsieso yang sangat istiqmah  beribadat pada setiap masa selama 40 tahun. Malangnya Barsieso akhirnya tewas kepada iblis dan telah terjerumus melakukan dosa besar, berzina, membunuh dan murtad sujud  mengikut iblis. Hancur musnah dan sia-sialah amalanya selama 40 tahun. Iblis hanya tekun dan bersungguh-sungguh dalam berpua-pura, mengikut Barsieso  beribadat. Dengan kesungguhan itulah Barsieso terpedaya dan menjadi pengikut iblis laknatullah.

Iktibar yang boleh diambil sebagai kesimpulanya ialah,
1. Manusia mestilah kuat bersatu hati dan berada dalam jamaah ke arah melaksanakan suruhan Allah dan mencegah kepada kemungkaran. Berada dalam jamaah, membolehkan kita saling tegur menegur kepada kebaikan, dalam suasana ukhwah dan persaudaraan untuk mendapat kesejahteraan di dunia di di akhirat sana nanti.
2. Langkah yang dibuat oleh iblis dalam menyesatkan manusia hingga berjaya, ialah bekerja tanpa jemu sedikit demi sedikit dan berterusan, tidak melalui jalan pintas, tapi tekun dan bersungguh-sungguh. Akhirnya dia mencapai kejayaan yang diingininya,  pada tahap maksimum.
3. Kesabaran iblis dalam melaksanakan apa jua tugas amat tinggi, dan tiada mengenal erti  putus asa, dan inilah yang  mengalahkan kita akhirnya. Jika kita tidak sabar senanglah kita digoda, dan segala masalah pun bermula dengan tiadanya perasaan sabar.
4. Lelaki dengan perempuan akan sentiasa digoda oleh iblis sehingga menimbulkan fitnah dan terjebak dengan dosa besar yang amat disukai syaitan. Jadi eloklah lelaki dan perempuan bukan muhrim tidak rapat untuk mengelakkan dihasut iblis melakukan dosa.
5.Iblis sangat bijak dan halus mengatur strategi,  sehingga semua yang buruk diberikan tafsiran oleh manusia bahawa kita berada di pihak yang benar dan betul belaka, sehingga masing-masing menegakkan benang basah yang menyebabkan berlaku pertelingkahan dan permusuhan. Sesungguhnya perselisihan manusia itulah yang sangat disukai iblis.
6. Iblis sangat suka manusia tidak bernikah kahwin, kerana perkahwinan membawa kepada kesejahteraan ummah dan mengelakkan berlakunya maksiat.
7. Perasan rasa hebat atau takabburlah, yang membuatkan iblis engkarkan suruhan Allah. Jadi iblis akan sentiasa melunakkan hati manusia supaya tanpa disedari manusia akan kagum dengan kehebatan diri sendiri, dan inilah yang memecahbelahkan manusia sehingga bermusuhan sesama sendiri dan iblis gembiralah akhirnya.

Oleh itu marilah kita sentiasa bermohon kepada Allah supaya kita dilindungi daripada fitnah iblis yang bersungguh-sungguh mahu menyesatkan kita.

Sunday, June 1, 2014

ISRAK MIKRAJ




Setiap kali bulan Rejab tiba, maka kita akan diingatkan tentang kisah perjalanan Nabi Mohamad, agar dapat kita menghayati peristiwa israk mikraj, yang Allah telah taqdirkan kepada baginda Nabi saw. Saya amat tertarik dengan ceramah Israk mikraj yang disampaikan oleh Dr Mohamad Akil yang membawa kita meneliti kisah itu, dengan menghayati maksud ayat dalam Surrah Israk, ayat yang pertama (1).

Dalam ayat ini, Allah memulakannya dengan perkataan 'subhaana'  maksudnya maha suci Allah. Ayat ini tidak lain bertujuan  untuk menepis segala tohmahan yang timbul selepas Nabi saw menceritakan kisah baginda yang telah mengalami peristiwa israk mikraj, yang menakjubkan itu. Allah sendiri yang meletakkan perkataan yang bermaksud maha suci. Jadi bagi orang yang benar-benar beriman dengan Nabi pada waktu itu, peristiwa ini tidak akan disangsikan lagi, walaupun kelihatan seperti suatu yang kurang masuk akal. Tapi bagi orang kafir sudah tentulah peristiwa  besar ini menjadi bual bicara orang kufur, untuk menghalang kaum mereka daripada turut beriman dengan Nabi saw.

Di samping itu, Allah menyebut beberapa perkataan lain di dalam ayat ini:
Asra  -  maknanya berjalan malam. Ada hikmahnya Allah menetapkan Nabi berjalan pada waktu malam, kerana peristiwa yang berlaku pada waktu malam, yang keadaanyan gelap gulita, boleh menimbulkan tanda tanya tentang kesahihannya. Sudah tentulah peristiwa ini  bertujuan  menguji  keimanan manusia kepada Allah, iaitu pada zaman Nabi baru mengembangkan syiar Islam. Bagi pengikut-pengikut yang sudah memeluk Islam, peristiwa ini sudah tentulah dapat  meningkatkan lagi keyakinan mereka tentang kebesaran Allah, dan Nabi Mohamad sebagai pesuruh Allah dalam menyampaikan syiar Islam. Dan lagi Allah memilih waktu malam hari, kerana melakukan sesuatu pada malam hari adalah lebih selesa berbanding waktu siang hari. Sudah tentulah Allah mahukan yang terbaik untuk Nabi saw sebagai kekasihNya.

Bi'abdihi  -  bermaksud semulia-mulia manusia. Dalam al-Quran Nabi selalunya disebut sebagai Rasul dan Nabi, tetapi dalam ayat ini Allah menyebut Nabi sebagai semulia-mulia manusia, yang  mengabdikan diri kepada Allah yang maha berkuasa. Jadi ini menjadi contoh agar manusia mengambil iktibar, supaya mengikut sifat mulia Nabi  yang  menunjukkan sifat keabdian atau ubudiah makhluk kepada penciptaNya, Allah yang maha agong.

Min Masjidil Haram  -  bermaksud dari Masjidil Haram, yang diberi pelbagai tafsiran iaitu boleh jadi Masjidil Haram iaitu Kaabah, atau Tanah Haram.  Perkataan ini disebut berkali-kali dalam Quran,  membawa maksud berbagai-bagai seperti yang tersebut. Dalam konteks israk mikraj ahli tafsir mengatakan Nabi bermula daripada rumah Ummu Hani, kakak Saidina Ali, iaitu sepupu Nabi Mohamad saw.

Masjidil Aqsa - 'aqsa dari sudut bahasa bermakna satu tempat yang jauh, di situ telah dibina sebuah masjid oleh Nabi Ishak ibn Yaakob selepas Nabi Ibrahim membina Masjidil Haram.

Jadi selepas meneliti beberapa perkataan dan maksud ayat tersebut di atas, maka kita boleh mengambil iktibar daripada peristiwa yang berlaku kepada Nabi besar junjungan kita. Dalam peristiwa itu terdapat  lima (5) komponen yang jelas, iaitu pelakon utama (Nabi Mohamad saw), sahabat yang menemani Nabi (malaikat Jibril), kenderaan yang dinaiki iaitu burak, tempat bermula (Masjidil Haram) dan tempat tujuan (MasjidilAqsa).  Keadaan ini boleh diterjemahkan dalam kehidupan kita sebagai manusia yang menjalani kehidupan di dunia yang sementara ini.

Seperti peristiwa israk mikraj, kehidupan kita manusia juga ibarat suatu perjalanan jauh yang dilalui dalam masa yang singkat. Di dunia ini kitalah pelakon utamanya.  Jika Nabi disebutkan sebagi semulia-mulia manusia yang mengabdikan diri kepada Allah dalam israk mikraj, maka yang patut kita contohi ialah kita mestilah berusaha menjadi sebaik-baik hamba di dunia ini. Kita mesti mengabdikan diri, dan menjadi orang baik-baik iaitu beriman dengan bersungguh-sungguh kepada Allah dan Rasul, untuk mendapat keredaan Allah. Bukanlah suatu yang mudah menjadi orang beriman, kerana banyak cubaan dan dugaan yang menimpa kita, Tapi itulah yang perlu kita tempuhi, semata-mata kerana keyakinan kita, semata-mata  mengharapkan balasan dan rahmat Allah, kerana Allah telah mengajarkan kepada kita supaya melakukan kebaikan dan menjauhi kemungkaran di muka bumi ini, sebagai bekalan bila tamat perjalanan kehidupan dunia.

Perkara kedua, dalam menjalani kehidupan kita memerlukan sahabat. Jika Nabi diiring oleh Jibril sepanjang perjalanan  ke langit, maka iktibarnya dalam kehidupan kita di dunia juga, kita perlukan sahabat. Allah dengan segala kebesaranNya, telah memilih Jibril menjadi pengiring Nabi, dan menjadi sahabat yang memainkan peranan sebaiknya,  sehingga israk dan mikraj menjadi amat bermakna kepada Nabi. Iktibarnya, dalam menjalani kehidupan kita, maka pilihlah sahabat yang baik. Pilihlah sahabat yang boleh membantu kita menjadi semakin kuat iman dan amal. Pilihlah sahabat yang boleh membimbing kita supaya kita berupaya mendapat redha Allah, menjadi orang yang baik hati budi, dan menjadi lebih  dekat dengan Allah, bukan sebaliknya. Pilihlah orang baik-baik sebagai jiran kita, orang baik-baik di tempat kerja kita dan orang baik-baik di mana jua supaya dapat membantu kita menjadi orang yang mengabdikan diri semata-mata kepada Allah. Dan jika orang di sekililing kita baik-baik maka kitapun patutlah menjadi orang baik-baik. Jika sebaliknya orang tidak berlaku baik kepada kita pun eloklah kita berlaku baik kepada orang supaya menjadi contoh dan diteladani kebaikan kita kepada orang. 

Seterusnya, dalam kehidupan, kita amat memerlukan kenderaan. Allah telah menyediakan burak sebagai kenderaan untuk Nabi mengadap Allah di langit. Telah dikatakan perjalanan Nabi amat pantas. Jadi iktibarnya kita juga amat memerlukan kenderaan yang boleh memudahkan kita bergerak ke tempat kerja, yang tidak membebankan kita, yang  boleh dibawa untuk beribadat, atau untuk apa saja aktiviti harian yang sebenarnya adalah amalan yang menjadi ibadat, jika dilaksanakan semata-semata untuk mendapat keredhaan Allah. Jadi kenderaan kita mestilah sesuai dengan kemampuan kita, jika kita inginkan ia menjadi suatu ibadat, kerana jika tidak, kenderaan kita hanya menjadi suatu bebanan yang tidak mampu untuk menggalakkan kita membuat amal kebajikan yang dituntutkan.

Akhir sekali, kehidupan kita di dunia, adalah permulaan kehidupan, dalam menuju suatu kehidupan di dunia yang kekal abadi nanti. Inilah permulaan, tempat kita hidup, tempat kita menjalani kehidupan, mencari rezeki,  berkeluarga, bekerja dan beramal. Semuanya tidak lain, bertujuan untuk  menuju pengabdian kepada Allah, Tuhan maha pencipta. Semuanya dengan harapan menjadi hala tuju kita, tidak lain menuju ubudiah atau pengabdian kepada Allah semata-mata.

Marilah kita sama-sama mengambil iktibar daripada kisah perjalanan Nabi saw yang sering kita dengar setiap tahun apabila datangnya bulan Rejab. Insyaa Allah mudah-mudahan dengan menghayati kisah israk mikraj, akan semakin terbukalah pintu hati kita untuk terus mengabdikan diri kepada Allah. Mudah-mudahan perjalanan kita nanti mendapat redha Allah dan dimasukkan kita ke dalam golongan orang-orang yang soleh. Amin ya Allah