Friday, July 8, 2011

DAY 8 – 21 MAC – TOYOHASHI NATURE PARK (2)

Oleh sebab terlalu leka berjalan-jalan, tidak sedar sudah masuk waktu asar. Kami sembhayang di satu bangunan tinggi, barangkali tempat tinjau untuk menikmati udara segar dan pemandangan indah di tepi tasik. Lepas sembahyang kami minum petang sambil menikmati sanwic yang kami bawa – sungguh nyaman dan sambil berehat kami dapat mengumpul tenaga untuk meneruskan perjalanan.

Matahari sudah semakin condong, tapi masih banyak tempat yang tidak kami lawati. Kami terpaksa memilih destinasi untuk memenuhi masa yang sangat sedikit berbanding tempat yang luas. Jadi kami memilih untuk ke Muzeum Dinassaur. Kelihatan adik meminati replika pelbagai jenis dinassaur menyerupai saiz sebenar yang dibina di taman di hadapan museum. Puas bergambar, masuklah kami ke museum – sungguh amat menarik – memang suatu tempat yang memberikan pelbagai sumber ilmu dengan sangat santai dan berkesan. Kalau museum di Malaysia terasa suram dan muram bila berada di sana. Belum sempat kami habis melawat lagu selamat tinggal sudah dimainkan sebagai tanda masa beroperasi akan berakhir. Jadi kami terpaksalah bergegas keluar walaupun masih banyak lagi yang nak kami lihat.

Kami berjalan lagi ke satu kawasan taman bunga hiasan yang cukup cantik dan indah dengan hiasan lankap pelbagai jenis bunga-bungaan. Di sini amat terasa kami berada dalam musim bunga. Pokok bunga-bungaan disusun indah dan rapi – amat mengasyikkan, lagi menakjubkan, kerana dengan suasana dingin waktu petang itu, dihiasi pula bunga-bungaan yang cantik lagi harum – maha suci Allah segalanya sungguh mempersonakan. Tapi sayang kami tak boleh berlama-lama di situ. Sedang asyik menikmati suasana indah musim bunga, sedang kami berseronok bergambar anak beranak, telah berkumandang pula lagu selamat tinggal yang menandakan zoo akan ditutup operasinya. Kami berjalan menyusur keluar dari zoo bersama-sama pengunjung yang lain juga. Sedih juga terasa kerana entah bila pula boleh datang semula ke situ – barangkali tidak lagi kerana angah akan meninggalkan Jepun tak lama lagi. Apa pun kami amat bersyukur, dapat juga melawat dan menikmati keindahan zooToyohashi.

DAY 8 – 21 MAC - TOYOHASHI NATURE PARK (1)


Oleh kerana kami memang bercadang untuk melawat zoo, selepas makan tengah hari lebih kurang jam 12.30, kami sudah mulakan perjalanan menuju zoo Toyohashi. Angah tak berapa setuju nak ke zoo, kononnya tak ada apa sangat yang menarik Tapi papa berkeras nak belanja angah melawat ke zoo. Kata papa, nanti bila angah balik Malaysia, angah tak boleh cerita tentang zoo, kerana tidak pernah pun melawat zoo di Jepun. Lebih kurang setengah jam perjalanan dari Sanbongi Cho, kami selamat sampai ke tempat yang dituju.

Selepas membeli tiket, kami mulakan ekspedisi, melihat-lihat binatang seperti monyet, kambing, dan entah apa-apa lagi binatang yang hampir sama dengan binatang di Malaysia. Aneh juga binatang seperti monyet, walaupun sama dengan specis di Malaysia tapi kelihatan sedikit berbeza – hidung dan mulut kelihatan kemerahan kerana cuaca sejuk barangkali.

Adik suka sungguh menikmati perangai penguin-penguin yang sungguh ramai di zoo itu. Macam-macam gaya yang dipamerkan. Dia sungguh teruja, dan sungguh rasa terhibur. Lastly kami join orang yang ramai-ramai – rupanya budak-budak sedang seronok bermain dengan arnab. Adik pun teruja juga nak main ngan arnab tapi semua budak-budak kecil saja yang dok pulun, tak jadilah dia nak mencelah. Kami pun menikmati suasana yang ceria itu – dengan hilai tawa anak kecil yang suka tapi takut dan geli, dan dengan tawa mak bapa yang melihat kelucuan anak-anak mereka berhadapan dengan pengalaman baru – sungguh mengasyikkan suasana petang yang dingin itu. Tapi suatu yang amat menarik perhatian aku ialah bagaimana orang Jepun membiasakan anak-anak, dengan amalan membasuh tangan. Ibu bapa akan mendampingi anak bermain dengan arnab, selepas itu mereka mengajar anak mereka membasuh tangan. Tempat membasuh tangan pula disediakan oleh pihak zoo – cantik sebagai decoration dan sangat praktikal pula, siap dengan cecair pembersih lagi. Tambah hebat ialah siap ada disediakan arahan dan langkah-langkah cara membasuh tangan dengan betul oleh pihak zoo. Hebat sungguh kehidupan masyarakat di negara maju, first class mentality dibentuk di mana-mana, dan semua pihak main peranan yang serius dan sungguh-sungguh.

DAY 7 – 20 MAC 2009 – MEMBELI BELAH DI COOK MART DAN REHAT- REHAT DI RUMAH (2)

2. Jadi, di Cookmart selain borong ikan dan sayuran segar, kami juga beli ketam. Angah sangat terharu kerana dia akan dapat merasa masak lemak ketam yang sangat mahal harganya – sekilo RM 60.00. Selepas masak dia makan dengan lahapnya, minta disimpan sedikit untuk teman serumahnya pun, dia agak keberatan. Agaknya belum puas merasa ketam yang telah lama tidak dijamah sejak tinggal di Jepun. Selain masak lemak ketam aku juga masak sambal udang, sambal sotong dan kari ayam. Semuanya dibekukan sebagai stok untuk beberapa hari. Letih memasak petang dan malam kami hanya menonton tv sambil berehat-rehat anak beranak.

Di Jepun ni rancangan tv pun jadi cerita. Jepun guna tv untuk educate rakyatnya dan untuk tanam rasa cintakan negaranya – sungguh efektif. Kebanyakan rancangan tv adalah rancangan tempatan – jarang ada rancangan yang diimport dari luar, kalau adapun dialaibahasakan ke bahasa Jepun. Salah satu rancangan yang ditonton ialah pertandingan lawan makan makanan tempatan. Diterangkan nama makanan, sejarahnya, cara memasak terlebih dahulu, kemudian barulah berlaku pertandingan. Jadi generasi muda akan sentiasa dilengkapi maklumat tentang jenis-jenis makanan traditional yang menjadi kebanggaan mereka.

Satu contoh lagi rancangan tentang makanan juga, ialah tentang makanan istimewa yang menjadi kebanggan di suatu tempat. Di sini wartawan akan buat liputan di tempat yang dipilih untuk memperkenalkan makanan istimewa dari tempat itu – macam program anak angkat – wartawan tinggal di rumah pengusaha makanan pilihan dan menceritakan cara memproses makanan itu, dari awal hingga akhirnya – sungguh menarik. Dengan rancangan tv dapat diterangkan cara bagaimana membekalkan rakyat dengan pengetahuan tentang khazanah bangsa yang barangkali dipandang remeh oleh kita, iaitu makanan. Rancangan yang sangat santai ini sangat baik untuk memantapkan jati diri bangsa. Di Malaysia memang banyak disiarkan rangcangan masakan tapi tidak dicungkil dan tidak diadun sehingga memperlihatkan keistimewaan makanan kita, sebagai suatu yang unik dan membanggakan sehingga perlu diketahui oleh semua rakyat sebelum ia pupus dan hilang dari ingatan rakyat.

Hal ini tidak berlaku di Jepun. Mereka telah maju dengan mengekalkan jati diri mereka, waima dalam aspek makanan pun mereka ambil berat dan pandang serius. Makanan juga di samping menjadi kebanggaaan masyarakat tempatan tapi juga menjadi sauatu aspek yang penting dalam perkembangan ekonomi yang banyak menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi mereka. Ini dapat dilkukakan dengan cukup rapi dan teliti – yang memerlukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dari semua pihak yang berkepentingan. Bilakah agaknya kita dapat menggantikan rancangan tv kita dengan unsur budaya kita yang kaya, sehingga kita jadi bangga dengan bangsa kita dan budaya kita? Trend kini menunjukkan media kita banyak berfokus kepada rancangan yang kurang menyumbang kepada penyuburan unsur budaya bangsa, alangkah sedihnya. l

DAY 7 – 20 MAC 2009 – MEMBELI BELAH DI COOK MART DAN REHAT- REHAT DI RUMAH 1)

1. Oleh kerana sudah terlalu letih berjalan di Tokyo, jadi hari ini, kami rehat-rehat di rumah. Lepas subuh, kami terus tidur mengumpulkan tenaga yang telah banyak digunakan di Tokyo. Tambahan pula cuaca sejuk, jadi memanglah sedap sungguh kami tidur selepas subuh. Setelah puas berehat dan selepas sarapan, kami buat keputusan untuk pergi ke Cook Mart – market yang moden lagi sangat bersih. Macam-macam jenis ikan segar, sayur segar, daging segar dan buah-buah segar yang dijual di sini. Yang paling menarik ialah di sini dijual pelbagai jenis kuih tradisonal dari kebanyakan daerah di negara Jepun – satu daerah satu kueh memang sangat popular. Kebanyakan kuih tradisional Jepun agak menyerupai kuih-kuih tradisional di Malaysia.

Ada satu kesamaan cita rasa Jepun dan Melayu, iaitu kuih trasisional kedua negara banyak yang manis. Contohnya, di Tokyo sangat popular dengan Tokyo Banana, sejenis kuih seperti seperti baulu berbentu pisang kekuningan, yang ditambah dengan pelbagai perisa sebagai krim intinya. Yang uniknya dengan bangsa Jepun ialah setiap bandar ada keistimewaanya terutamanya dari segi makanan iaitu kuih traditional. Dan kuih ini diglobalisedkan sehingga semua orang tahu, dan menjadi kebanggaan masyarakat tempatan pula. Dan kuih ini mendapat tempat di pasaraya tempatan, atau pasaraya bandar lain juga. Kuih-kuih yang menjadi kebanggan ini memang sangat membanggakan kerana dipack dengan cantik dan bergaya, untuk dijadikan hadiah, atau juga untuk dijadikan souvinir kepada seseorang yang istimewa, waima vvip sekalipun. Selain cantik dan eksklusif, kuih-kuih traditional Jepun memang mudah diakses pada bila-bila masa terutamanya di Cookmart, pasaraya seperti Giant atau Tesco di Malaysia.

Oleh sebab kami akan berangkat pulang, kami ambil peluang shopping ikan, ketam, dan udang, sebanyak mungkin. Niat di hati biarlah aku masak beberapa makanan kegemaran angah sebelum kami pulang, sebagai stok untuk beberapa hari, sebelum hilang rindu masakan emak. Kami juga shopping sayuran segar untuk dimakan bersama sebelum kami pulang.

Dalam menunggu giliran untuk membayar barangan pilihan, terasa sangat perbezaan berada di market negeri matahari terbit ini. Sangat selesa berada di pasar ikan di Toyohashi Jepun, kerana sangat bersih dan tidak busuk seperti di market kita di Malaysia. Di Jepun tiada market basah, market ikan di pasaraya seperti Giant saja di mana-mana, sangat bersih dan selesa. Barangkali kerana orang Jepun hanya makan isi ikan saja, jadi ikan tidak disiang seperti kita. Ikan disayat isinya saja, bahagian lain dari kepala hingga ke tulang, terus dibuang, walaupun bahagian kepala yang sangat kita gemari untuk dibuat kari kepala ikan. Mudahnya masakan orang-orang Jepun ni dan sangat simple pula – ala-ala susyi - mentah, separuh masak, rebus atau steam. Jadi cara hidup juga menentukan perniagaan. Tidak seperti di Malaysia, ikan berbagai-bagai, kalau nak yang segar mesti ke pasar basah atau pasar minggu kerana ikannya dibawa terus dari laut. Kalau di pasaraya, ikan sudah diletakkan ais jadi kurang segar – sebab itulah orang Malaysia suka beli ikan di pasar basah, walaupun kotor dan busuk. Kalaulah di Malaysia pasaraya seperti Giant dan Tesco ikannya segar seperti ikan di pasar basah, sudah pasti orang tidak akan pergi ke pasar basah lagi – sudahlah bersih, harganya murah, udaranya sejuk dan nyaman pula. Aduhai bilalah Malaysia akan benar-benar maju seperti ini?

DAY 6 JAPAN - 19 MAC – TRIP TO TOKYO (4)


Hari semakin senja, kami meninggalkan Ueno Garden berjalan ke Freak Street tidak jauh dari situ. Sekilas pandang nampak macam pasar malam di Malaysia, dengan pelbagai jualan – baju, kasut, barangan kemas, termasuklah makanan. Selepas membeli-belah sedikit sebanyak, kami makan kebab di kedai Turki, kononnya muslim. Kami dengar dia bagi salam, lega rasa. Cuaca yang sejuk memang sedap sangat kami makan kebab. Tambah lagi dah sepanjang hari kami jalan-jalan, lagilah lapar dan sedap makan. Mahalnya kebab RM 20 satu, tapi lapar punya pasal tak kira dah.

Lebih kurang 6.40 petang kami meningalkan EUNO station menuju ke Tokyo Station. Lima minit perjalanan kami sudah tiba di station. Sebelum bertolak balik kami beli Tokyo banana yang di pack cukup cantik untuk buah tangan kawan-kawan angah. Kami beli 3 packet berharga RM 25 setiap kotak. Orang Tokyo cukup bangga dengan tokyo banana seperti baulu di Malaysia. Bezanya baulu Jepun ni dipelbagaikan dengan inti seperti jem straberi dan lain-lain dan pelbagai jenis perisa krim untuk menarik perhatian pembeli. Di station selain air dijual menggunakan mesin, rokok juga dijual menggunakan mesin. Hanya pembeli berumur 18 tahun ke atas boleh membeli rokok dari mesin menggunakan kad khas. Dan orang Jepun tidak merokok di tempat awam. Satu tempat khas disediakan untuk orang merokok di luar kawasan terminal. Tepat jam 7.00 malam kami naik shin kan sen balik ke Toyohashi.

Malam di Toyohashi Central masih ramai orang yang balik kerja menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam. Oleh kerana terlalu letih kami tak berminat untuk melihat apa-apa lagi. Kami terus naik tren ke Takeshi. Ramai juga yang menuju ke Takeshi macam kami tapi mereka semua dalam perjalanan pulang dari tempat kerja. Orang Jepun memang kuat kerja jam 9.00 malam baru balik. Tapi kebanyakan mereka minum arak – jadi bau dalam tren agak memualkan. Tapi kami pun tak terdaya memikirkan apa-apa kerana terlalu keletihan. Dalam sepuluh minit perjalanan kami tiba di Takeshi. Dalam kesejukan yang amat sangat kami berlari ke tempat letak kereta dan terus balik. Komputer mesin tempat letak kereta mengucapkan selamat jalan kepada kami, dan tak lupa juga mengucapkan terima kasih kerana menggunakan perkhidmatan mereka. Sampai di rumah kami tidak terdaya lagi untuk buat apa-apa, semua kami hanya mengidamkan bantal buat menghilangkan letih seharian di bandar Tokyo.

DAY 6 JAPAN - 19 MAC – TRIP TO TOKYO (3)

Dari Hamatsu kami naik tren lagi ke Shinbuyu Shopping Street, atau lebih di kenali sebagai Harajuku Street. Ini kawasan orang muda-muda shopping. Semua keperluan orang muda – pakaian, aksesori, kasut, hiasan, komputer, telefon dan macam-macam lagi. Rata-rata pengunjung ke sini menggayakan pelbagai fesyen kegemaran – termasuklah fesyen seperti dalam filem atau fesyen siri kartun terkenal di tv atau di filem. Nampak sangat menarik dan berwarna-warni. Pelancong pun ramai di sini sebab ingin turut serta merasai keunikan Harajuku Street sebagai tempat memperagakan fesyen kegemaran. Sesekali saja kami nampak pelancong asing dari barat. Baju-baju remaja cantik-cantik dan agak murah. Sepanjang-panjang jalan di situ sesak dengan remaja yang datang untuk shopping atau menikmati suasana meriah Harajuku. Kerana kesuntukan masa kami berjalan satu pertiga saja dari sepanjang jalan yang kiri kanannya dipenuhi pelbagai jenis kedai. Memang kawasan syurga remaja membeli belah.

Seterusnya kami naik tren lagi ke Shinjuku. Niat di hati untuk melihat-lihat garden tapi oleh kerana agak jauh dari stesen, kami tukar fikiran. Berhenti di Shinjuku Station kami buat keputusan untuk tidak keluar dari stesen. Kami sembahyang jamak di stesen kerana sudah lewat waktu zohor. Kami pilih untuk sembahyang di tepi sudut bangunan yang agak tidak sibuk. Orang Jepun naik pelik tengok kami, yang bergilir-gilir sembahyang. Kami tidak peduli asal lepas tanggung jawab, kami sudah boleh berpuas hati, untuk terus berjalan. Lepas makan-makan sebagai pengalas perut waktu petang, kami meneruskan perjalanan ke UENO PARK pula. Masa 25 minit dalam tren kami dapatlah kami berehat seketika mengembalikan tenaga yang hilang, mengumpulkan sedikit tenaga untuk meneruskan lawatan di negeri matahari terbit ini.

Suasana di Ueno Park waktu petang sangat sejuk kerana angin musim luruh bertiup kencang. Memulakan perjalanan di luar stesen ada pertunjukan puppet string main biola – irama yang sungguh merdu dan kelihatan sangat real. Kalau di barat mesti banyak wang yang dikutip untuk persembahan jalanan seperti ini. Tapi oleh kerana orang Jepun memang sangat berjimat dan ’kedekut’, hanya beberapa orang saja yang menghulurkan wang derma. Dapat dilihat deretan pokok sakura tanpa daun sejauh mata memandang. Dilihat dari dekat kudup bunga sakura sudah agak besar, Cuma menunggu masa untuk berbunga. Persediaan menyambut musim bunga sedang rancak dibuat. Lampu-lampu sudah dipasang sepanjang-panjang jalan, dan gerai-gerai semuanya sudah sedia disusun, kerana lagi 2 minggu pesta musim bunga akan bermula.

Kawasan Ueno Park ini memang tempat rekreasi semua lapisan pengunjung. Di sini terdapat Muzium Luvre yang mempamerkan lukisan-lukisan terkenal. Juga ada zoo yang besar untuk dilawati. Gerai makanan juga banyak, sangat bersih dan cantik. Pokok sakura memang dijaga supaya subur dan dapat berbunga pada setiap tahun. Juga dihiasi dengan air pancut yang menyamankan. Sangat ramai pengunjung taman ini – anak muda berpasang-pasangan bersiar-siar. Sudah menjadi trend kononnya, anak muda bersiar mengheret luggage bag pelbagai rupa. Ibu-ibu pula membawa anak-anak bersiar-siar dalam kumpulan. Anak-anak bermain ibi-ibu bertukar pendapat mengembangkan fikiran sementara menunggu suami pulang kerja lewat malam. Orang-orang tua pula bersiar dan beriadhah untuk menyihatkan badan. Bagusnya di tengah-tengah bandar raya Tokyo ada kawasan taman bunga yang luas tempat bersiar-siar.

DAY 6 JAPAN - 19 MAC – TRIP TO TOKYO (2)

Semakin menghampiri bandar Tokyo kelihatan sawah padi - bendang-bendang yang agak luas bertebaran di sana sini. Lepas itu rumah-rumah kediaman kelihatan semakin padat, dan akhirnya memasuki ke bandar Tokyo jelas kelihatan bangunan pencakar langit yang gah. Tepat jam 10.15 pagi kami menjejakkan kaki di Bandaraya Tokyo yang moden dan cantik. Maha suci Allah, maha agong Allah, kami telah berada di bandar Tokyo. Di stesen Tokyo Central kelihatan ramai petugas mengawasi cctv bagi memantau penumpang-penumpang shin kan sen, untuk tujuan keselamatan. Nampaknya keselamatan orang awam dijaga dan dipantau dengan rapi di tempat awam. Kita rasa sungguh selamat dan memang ternyata sangat selamat.

Selepas menikmati pemandangan di sekitar Tokyo Central, dan meninjau-ninjau suasana yang indah dan nyaman, kami pilih untuk city tour naik tren yang ternyata lebih murah. Berpandukan peta bandaraya Tokyo, kami telah memilih beberapa destinasi yang sesuai untuk dilawati. Meneruskan perjalanan kami membeli one-day ticket tren JR LINES. Kami boleh naik mana-mana keretapi JR Lines ke mana-mana destinasi dalam Tokyo. Destinasi pertama kami ialah Tokyo Tower. Untuk ke sana, dari Tokyo Central kami turun di Hamatsu. Kemudian kami berjalan kira-kira 1 kilometer. Sebelum Tokyo Tower terdapat sebuah Tokong yang besar dan dijaga bersih kerana ramai pengunjung singgah di tokong itu sebelum ke Tokyo Tower. Setelah puas bergambar dan melihat-lihat di situ, kami makan tengah hari di taman bersebelahan. Makan dalam cuaca sejuk dan nyaman memang menyelerakan. Habis mee goreng yang kami bawa. Kemudian kami teruskan destinasi dengan berjalan ke stesen Hamatsu, sangat jelas kelihatan suasana bandaraya Tokyo waktu tengah hari (1 t.h.) tidak sesak dengan barisan kenderaan seperti di Kuala Lumpur atau bandar lain di Malaysia. Inilah hasilnya jika kenderaan awam sangat maju, selesa, mencukupi dan dapat memenuhi cita rasa semua lapisan masayarakat.

Perjalanan pergi dan balik ke Tokyo Tower menyaksikan budaya masyarakat Jepun yang unggul. Tokyo Tower menyaksikan ramai pengujung tempatan. Kami empat beranak hanya sebahagian kecil pelancong luar, di tengah-tengah kesesakan pelancong bermata sepet. Terdapat sekumpulan pelancong Jepun, penggemar photo hunting, dengan kamera dan lensa yang hebat dan mahal dengan pelbagai aksi merakamkan gambar-gambar di situ. Aktiviti fotografi memang sangat popular di mana-mana, sebagai sebahagian daripada cara hidup moden dan maju, untuk dapat merakamkan khazanah budaya bangsa, sebagai kebanggaan dan untuk menjadi dokumentasi yang berharga, di samping untuk tujuan komersial juga.

DAY 6 JAPAN - 19 MAC – TRIP TO TOKYO (1)

Kami turun awal dari Erume Hall Sanbongi ke stesen tren Takeshi. Selesai menyimpan kereta di kawasan parking awam, tepat jam 7.20 pagi, tren Kodama Super Express sudah bertolak ke Toyohashi Central, Dalam masa perjalanan yang sangat singkat, ada yang ambil kesempatan memejamkan mata dan ada banyak yang membaca. Terlihat tanda ’dilarang bercakap telefon’ di dalam tren. Agaknya mereka tidak mahu suasana tenang waktu pagi yang nyaman, diganggu dengan perbualan telefon. Memang wajar pun kerana perbualan telefon dalam perjalanan memang sangat mengganggu. Dalam lebih kurang 10 minit perjalanan, kami tiba di stesen Toyohashi Central yang ternyata sangat sibuk pada waktu pagi. Pekerja pejabat dari segenap lapisan, dan budak-budak sekolah semuanya naik tren ke destinasi masing-masing dan dengan pantas bergegas keluar menuju destanasi masing-masing apabila tren berhenti.

Di Toyohashi kami cepat-cepat mendapatkan tiket ke Tokyo. Alangkah gembiranya, kerana kami dapat tiket dengan harga pakej keluarga, lebih kurang JY15, 405 (RM 616.00) pergi balik. Perjalanan ke Tokyo dengan shin kan sen (bullet train) mengambil masa selama satu jam empat puluh lima minit. Jika dibandingkan jauh perjalanan seperti dari Alor Setar ke Johor Bharu lebih kurang 600 km. Ruang dan tempat duduk shin kan sen sangat selesa. Tepat jam 8.00 shin kan sen memulalan perjalanan. Antara stesen –stesen bandar besar yang dilalui ialah Hamamatsu, Kakagawa, Shizuoka, Shin Fuji, Mishima, Odawara, Shin Yoko Hama dan Shinagawa.

Perjalanan selama dua jam menyajikan kami pelbagai pemandangan melambangkan sosio ekonomi dan budaya masyarakat di negara Jepun. Melewati Hamamatsu, dapat dilihat pemandangan sebuah bandar tepi pantai yang maju dan cantik. Bila melalui kawasan Kakagawa yang dipenuhi lereng bukit, dapat dilihat ladang-ladang teh menghijau tersusun barisnya bagai diatur. Selepas itu, kira 45 minit di perjalanan, kami dapat lihat dari jauh Gunung Fuji diselaputi salji, yang sangat klasik semasa melepasi bandar Shin Fuji. Sementara semasa berhenti di Odawara, kelihatan banyak gadis berpakaian kimono untuk menghadiri graduation day. Nampak sangat jelita dan anggun, tanpa sedikit pun rasa segan dan silu. Kalau di Malaysia sudah pasti tidak pernah dapat dilihat remaja berpakaian songket naik bas, keretapi atau kapalterbang. Memang suatu yang sangat janggal jika adapun – bukan kebiasaan dan kurang sesuai kerana cuaca yang panas pula tu. Tapi yang lebih penting kita tidak pernah diajar bangga dengan budaya kita yang agong. Keagongan budaya kita hanya pada saat dan ketika tertentu sahaja, bukan sesuatu yang membudaya dalam hidup.

Day 5 - 18 MAC 2009 – PUSING-PUSING TOYOHASHI (2)

Duduk santai –santai di rumah, memanglah suatu yang sangat menyenangkan. Tambahan pula suasana cuaca yang nyaman, dan perut yang kenyang menjadikan kami seperti ular sawa kekenyangan. Memenuhi masa yang ada kami menonton televisyen, suatu aktiviti yang jarang-jarang dapat kami buat di Malaysia kerana kesibukan bekerja. Terlanjur dapat menonton tv di Jepun, memanglah suatu pengalaman yang sangat bermakna. Boleh dikatakan hampir semua rancangan tv yang kami tonton adalah rancangan tempatan keluaran Jepun. Di Malaysia, bukanlah suatu aktiviti yang menjadi kegemaran keluarga kami, kerana rancangan televisyen di Malaysia, memang tidak banyak yang boleh mendatangkan ilmu dan menjana minda masyarakat. Berbanding rancangan tv di Malaysia, amat banyak rancangan yang diimport dari luar. Kalau tidak pun rancangan tv di Malaysia memang sarat dengan rancangan untuk melahirkan artis segera. Juga kebanyakan rancangan kurang dapat membina jati diri.

Tidak rugi kami menonton tv cerita dokumentari tentang NASA yang telah dialihsuarakan ke bahasa Jepun. Tapi yang amat mengesankan ialah rumusan daripada filem itu. Ditonjolkan pula JASA dengan panjang lebar sehingga akhirnya yang tinggal dalam memori penonton ialah kehebatan JASA, kehebatan angkasawan Jepun dan kehebatan kajian yang dilakukan di negeri Jepun itu. Menurut angah itu memang biasa, dia pernah menonton satu lagi rancangan tentang kehebatan empire Rom dan piramid. Akhir sekali yang disimpulkan ialah kehebatan Raja Jepun sejak berabad lamanya. Kehebatan maharaja Jepun menjadi salah satu faktor kemajuan dan kekuatan negara Jepun hingga ke hari ini.

Petang pula kami disajikan satu cerita benar dokumentari tentang seorang remaja wanita mengalami sejenis penyakit yang dikenali sebagai bolemia. Seorang remaja perempuan enggan makan kerana takut dia menjadi gemuk. Jika terlebih makan dia akan muntahkan semua makanan yang dimakannya. Kisah ini dilakonkan semula dengan cukup dramatis. Akhirnya amalan tidak sihat itu telah membawa maut yang sangat tragis bagi seorang remaja di sebuah negara maju. Ini fenomenon remaja Jepun yang sangat beauty concious. Ini kesan buruk kepada kemajuan yang tidak berasaskan kepercayaan kepada Tuhan. Bukan kes ini saja yang menjadi masalah kepada emosi remaja di sana, tapi banyak lagi. Antaranya remaja Jepun tidak tahan dengan kegagalan – kegagalan membuatkan mereka sangat kecewa sehingga sanggup membunuh diri. Ini juga penyakit sosial yang melanda remaja mereka. Syukur kita tidak sampai ke tahap itu, kerana remaja kita masih lagi bepegang kepada ajaran agama dalam kehidupan.

Day 5 - 18 MAC 2009 – PUSING-PUSING TOYOHASHI (1)


Oleh kerana terlalu letih berjalan di Nagoya, kami ambil keputusan untuk rehat di rumah memulihkan tenaga. Lepas sarapan kami mengemas semua sampah yang masih belum dibuang selama beberapa hari. Melihat tempat sampah di Universiti Toyohashi, memang rakyat Negara maju sangat perlu dicontohi. Ada beberapa kategori sampah – burnables, kertas dan botol, crushables dan ‘hadiah’. Sampah yang dikategorikan sebagai ‘hadiah’ ialah barang lama yang tidak mahu dipakai lagi, kerana sudah jemu dipakai atau tidak mampu dibawa apabila berpindah. Barang lama yang tidak dipakai lagi diletakkan di tempat sampah dengan elok-elok supaya orang lain boleh ambil dan pakai kerana masih kelihatan baru, dan masih berfungsi. Kadang-kadang kalau barang elektrik yang masih elok tapi tidak mahu digunakan lagi, mereka akan letakkan dalam kotak elok-elok dan siap bertulis ‘sila ambil untuk kegunaan anda’. Pengkelasan sampah seperti itu, ala-ala kitar semula seperti di Malaysia. Tapi di Malaysia, kitar semula tidak menjadi – puas kerajaan kempen tak berjaya juga. Last sekali tong kitar semula jadi gajah putih – semua jadi caca merba. Sukarnya mengubah pemikiran dan sikap rakyat – first class facilities third class mentality, seperti kata bekas Perdana Menteri.

Dalam perjalanan balik kami singgah di kebun sayur kobis, brokoli dan lobak putih yang sangat luas di belakang bandar Toyohashi. Nampak pekerja ladang sedang mengutip kobis, sementara di satu kawasan lagi traktor sedang memutar tanah untuk tanaman lobak putih. Yang hairannya banyak lagi lobak putih yang masih elok, tapi semuanya diputar, bukan dipungut. Rupanya orang Jepun memang kutip hasil secukupnya sahaja untuk menjaga harga supaya tidak jatuh, yang lain dimusnahkan. Sayang sekali, kalau di Malaysia sudah pasti dipungut dan disedekahkan. Paling tidak dibiarkan untuk dipungut atau dibeli oleh peraih dengan harga murah.

Kami memang berhajat untuk berehat saja, jadi kami habiskan masa di market. Market di Jepun seperti supermarket di Malaysia. Semua ikan sudah siap dipotong bersih, ada yang fresh dan frozen. Sayuran dan buah-buahan semua sangat fresh – semuanya local. Barangan import sangat dikawal supaya dapat menjaga supply barangan tempatan dan harga. Hampir tiada buah-buahan dan sayuran import. Bukan itu saja, kueh-kueh tempatan juga dijual di supermarket dengan packaging yang sangat cantik dan menarik. Setiap satu daerah ada satu jenis kueh yang dipopularkan dan menjadi identiti bagi daerah atau bandar berkenaan. Inilah yang memenuhi pasaraya selain ikan, sayuran dan barangan dapur. Yang sangat menarik, ubi manis dijual dengan harga yang sangat mahal, dijual di supermarket – cantik-cantik pulak tu. Kalau kita di Malaysia ubi hanya dijual di pasar untuk dibuat sayur atau kari. Tambahan pula saiz dan bentuk tidak tentu dan tidak seragam. Alangkah glamournya ubi di Jepun – satu jenis makanan fast food di supermarket.

Kalaulah di Malaysia dapat dipopularkan makanan tempatan lebih daripada burger, alangkah baiknya. Banyak kueh tempatan yang sedap-sedap tapi tidak dieksploit sehingga popular dan menjadi kebanggaan. Pengusaha supermarket pula tidak langsung berkeinginan menjual kueh-kueh tempatan – sama ada untuk kegunaan harian atau dijadikan sebagai buah tangan. Atau paling tidak, ada pihak membuat penyelidikan untuk menjadikan kueh tempatan dapat tahan lama, berkembang di pasaraya, dan dapat diluaskan pasarannya, dan menjadi pilihan rakyat semua lapisan. Di Jepun setiap tempat yang dikunjungi memang akan ada kueh dan makanan kebanggaan dan menjadi identiti kampung. Kueh tradisional dipek cantik-cantik untuk dijadikan buah tangan eksklusif dari tempat tersebut. Makanan ini pula dipromosikan di televisyen, supaya semua lapisan masyarakat tahu dan turut berbangga dengannya. Contohnya kebetulan kami telah menonton promosi makanan seperti dodol – diceritakan asal usul, cara memasak, pertandingan menghias dan di mana dipasarkan. Semuanya disajikan dengan cara yang cukup santai tapi menarik dan sangat berkesan. Orang Jepun sangat pandai dapat membudayakan bukan saja rakyatnya, tapi juga orang lain dengan makanannya. Begitulah angah dengan bangganya pada hari itu menyajikan kami dengan tempura udang dan sayuran (terung dan labu). Tepung tempura memang banyak dijual di supermarket, untuk kegunaan harian dan juga untuk dijadikan buah tangan, dan bila dimasak ikut resipi, memang hasilnya sangat membanggakan.

.