Friday, July 8, 2011

Day 5 - 18 MAC 2009 – PUSING-PUSING TOYOHASHI (1)


Oleh kerana terlalu letih berjalan di Nagoya, kami ambil keputusan untuk rehat di rumah memulihkan tenaga. Lepas sarapan kami mengemas semua sampah yang masih belum dibuang selama beberapa hari. Melihat tempat sampah di Universiti Toyohashi, memang rakyat Negara maju sangat perlu dicontohi. Ada beberapa kategori sampah – burnables, kertas dan botol, crushables dan ‘hadiah’. Sampah yang dikategorikan sebagai ‘hadiah’ ialah barang lama yang tidak mahu dipakai lagi, kerana sudah jemu dipakai atau tidak mampu dibawa apabila berpindah. Barang lama yang tidak dipakai lagi diletakkan di tempat sampah dengan elok-elok supaya orang lain boleh ambil dan pakai kerana masih kelihatan baru, dan masih berfungsi. Kadang-kadang kalau barang elektrik yang masih elok tapi tidak mahu digunakan lagi, mereka akan letakkan dalam kotak elok-elok dan siap bertulis ‘sila ambil untuk kegunaan anda’. Pengkelasan sampah seperti itu, ala-ala kitar semula seperti di Malaysia. Tapi di Malaysia, kitar semula tidak menjadi – puas kerajaan kempen tak berjaya juga. Last sekali tong kitar semula jadi gajah putih – semua jadi caca merba. Sukarnya mengubah pemikiran dan sikap rakyat – first class facilities third class mentality, seperti kata bekas Perdana Menteri.

Dalam perjalanan balik kami singgah di kebun sayur kobis, brokoli dan lobak putih yang sangat luas di belakang bandar Toyohashi. Nampak pekerja ladang sedang mengutip kobis, sementara di satu kawasan lagi traktor sedang memutar tanah untuk tanaman lobak putih. Yang hairannya banyak lagi lobak putih yang masih elok, tapi semuanya diputar, bukan dipungut. Rupanya orang Jepun memang kutip hasil secukupnya sahaja untuk menjaga harga supaya tidak jatuh, yang lain dimusnahkan. Sayang sekali, kalau di Malaysia sudah pasti dipungut dan disedekahkan. Paling tidak dibiarkan untuk dipungut atau dibeli oleh peraih dengan harga murah.

Kami memang berhajat untuk berehat saja, jadi kami habiskan masa di market. Market di Jepun seperti supermarket di Malaysia. Semua ikan sudah siap dipotong bersih, ada yang fresh dan frozen. Sayuran dan buah-buahan semua sangat fresh – semuanya local. Barangan import sangat dikawal supaya dapat menjaga supply barangan tempatan dan harga. Hampir tiada buah-buahan dan sayuran import. Bukan itu saja, kueh-kueh tempatan juga dijual di supermarket dengan packaging yang sangat cantik dan menarik. Setiap satu daerah ada satu jenis kueh yang dipopularkan dan menjadi identiti bagi daerah atau bandar berkenaan. Inilah yang memenuhi pasaraya selain ikan, sayuran dan barangan dapur. Yang sangat menarik, ubi manis dijual dengan harga yang sangat mahal, dijual di supermarket – cantik-cantik pulak tu. Kalau kita di Malaysia ubi hanya dijual di pasar untuk dibuat sayur atau kari. Tambahan pula saiz dan bentuk tidak tentu dan tidak seragam. Alangkah glamournya ubi di Jepun – satu jenis makanan fast food di supermarket.

Kalaulah di Malaysia dapat dipopularkan makanan tempatan lebih daripada burger, alangkah baiknya. Banyak kueh tempatan yang sedap-sedap tapi tidak dieksploit sehingga popular dan menjadi kebanggaan. Pengusaha supermarket pula tidak langsung berkeinginan menjual kueh-kueh tempatan – sama ada untuk kegunaan harian atau dijadikan sebagai buah tangan. Atau paling tidak, ada pihak membuat penyelidikan untuk menjadikan kueh tempatan dapat tahan lama, berkembang di pasaraya, dan dapat diluaskan pasarannya, dan menjadi pilihan rakyat semua lapisan. Di Jepun setiap tempat yang dikunjungi memang akan ada kueh dan makanan kebanggaan dan menjadi identiti kampung. Kueh tradisional dipek cantik-cantik untuk dijadikan buah tangan eksklusif dari tempat tersebut. Makanan ini pula dipromosikan di televisyen, supaya semua lapisan masyarakat tahu dan turut berbangga dengannya. Contohnya kebetulan kami telah menonton promosi makanan seperti dodol – diceritakan asal usul, cara memasak, pertandingan menghias dan di mana dipasarkan. Semuanya disajikan dengan cara yang cukup santai tapi menarik dan sangat berkesan. Orang Jepun sangat pandai dapat membudayakan bukan saja rakyatnya, tapi juga orang lain dengan makanannya. Begitulah angah dengan bangganya pada hari itu menyajikan kami dengan tempura udang dan sayuran (terung dan labu). Tepung tempura memang banyak dijual di supermarket, untuk kegunaan harian dan juga untuk dijadikan buah tangan, dan bila dimasak ikut resipi, memang hasilnya sangat membanggakan.

.

No comments:

Post a Comment