Friday, July 8, 2011

DAY 6 JAPAN - 19 MAC – TRIP TO TOKYO (3)

Dari Hamatsu kami naik tren lagi ke Shinbuyu Shopping Street, atau lebih di kenali sebagai Harajuku Street. Ini kawasan orang muda-muda shopping. Semua keperluan orang muda – pakaian, aksesori, kasut, hiasan, komputer, telefon dan macam-macam lagi. Rata-rata pengunjung ke sini menggayakan pelbagai fesyen kegemaran – termasuklah fesyen seperti dalam filem atau fesyen siri kartun terkenal di tv atau di filem. Nampak sangat menarik dan berwarna-warni. Pelancong pun ramai di sini sebab ingin turut serta merasai keunikan Harajuku Street sebagai tempat memperagakan fesyen kegemaran. Sesekali saja kami nampak pelancong asing dari barat. Baju-baju remaja cantik-cantik dan agak murah. Sepanjang-panjang jalan di situ sesak dengan remaja yang datang untuk shopping atau menikmati suasana meriah Harajuku. Kerana kesuntukan masa kami berjalan satu pertiga saja dari sepanjang jalan yang kiri kanannya dipenuhi pelbagai jenis kedai. Memang kawasan syurga remaja membeli belah.

Seterusnya kami naik tren lagi ke Shinjuku. Niat di hati untuk melihat-lihat garden tapi oleh kerana agak jauh dari stesen, kami tukar fikiran. Berhenti di Shinjuku Station kami buat keputusan untuk tidak keluar dari stesen. Kami sembahyang jamak di stesen kerana sudah lewat waktu zohor. Kami pilih untuk sembahyang di tepi sudut bangunan yang agak tidak sibuk. Orang Jepun naik pelik tengok kami, yang bergilir-gilir sembahyang. Kami tidak peduli asal lepas tanggung jawab, kami sudah boleh berpuas hati, untuk terus berjalan. Lepas makan-makan sebagai pengalas perut waktu petang, kami meneruskan perjalanan ke UENO PARK pula. Masa 25 minit dalam tren kami dapatlah kami berehat seketika mengembalikan tenaga yang hilang, mengumpulkan sedikit tenaga untuk meneruskan lawatan di negeri matahari terbit ini.

Suasana di Ueno Park waktu petang sangat sejuk kerana angin musim luruh bertiup kencang. Memulakan perjalanan di luar stesen ada pertunjukan puppet string main biola – irama yang sungguh merdu dan kelihatan sangat real. Kalau di barat mesti banyak wang yang dikutip untuk persembahan jalanan seperti ini. Tapi oleh kerana orang Jepun memang sangat berjimat dan ’kedekut’, hanya beberapa orang saja yang menghulurkan wang derma. Dapat dilihat deretan pokok sakura tanpa daun sejauh mata memandang. Dilihat dari dekat kudup bunga sakura sudah agak besar, Cuma menunggu masa untuk berbunga. Persediaan menyambut musim bunga sedang rancak dibuat. Lampu-lampu sudah dipasang sepanjang-panjang jalan, dan gerai-gerai semuanya sudah sedia disusun, kerana lagi 2 minggu pesta musim bunga akan bermula.

Kawasan Ueno Park ini memang tempat rekreasi semua lapisan pengunjung. Di sini terdapat Muzium Luvre yang mempamerkan lukisan-lukisan terkenal. Juga ada zoo yang besar untuk dilawati. Gerai makanan juga banyak, sangat bersih dan cantik. Pokok sakura memang dijaga supaya subur dan dapat berbunga pada setiap tahun. Juga dihiasi dengan air pancut yang menyamankan. Sangat ramai pengunjung taman ini – anak muda berpasang-pasangan bersiar-siar. Sudah menjadi trend kononnya, anak muda bersiar mengheret luggage bag pelbagai rupa. Ibu-ibu pula membawa anak-anak bersiar-siar dalam kumpulan. Anak-anak bermain ibi-ibu bertukar pendapat mengembangkan fikiran sementara menunggu suami pulang kerja lewat malam. Orang-orang tua pula bersiar dan beriadhah untuk menyihatkan badan. Bagusnya di tengah-tengah bandar raya Tokyo ada kawasan taman bunga yang luas tempat bersiar-siar.

No comments:

Post a Comment