Wednesday, January 10, 2018

CERITA-CERITA "CIKGU AZIZAN"


BERIKUT DIKONGSIKAN CERITA-CERITA YANG PERNAH BERLAKU DI SEKOLAH YANG MASIH KEKAL DALAM INGATAN

CERITA 1:
Satu hari sedang kami mengajar kedengaran riuh rendah suara bising murid-murid. Kelihatan beberapa orang guru berlari meluru ke arah pejabat. Kelihatan juga guru yang lain berkejar lari keluar dari pejabat. Murid-murid mula berkerumun untuk meninjau apa yang sedang berlaku. PK HEM dengan tegas minta pelajar balik ke kelas masing-masing. Guru Disiplin pula meredakan suasana dengan mengarahkan pelajar meninggalkan kawasan yang sesak itu. Beberapa orang guru turut membantu. Tidak lama selepas itu, keadaan menjadi reda dan suasana pulih tenang. Dari dalam kelas kami nampak ada beberapa orang guru sedang bercakap-cakap dengan seorang waris lelaki yang kelihatan dalam keadaan yang sangat marah. 

Tidak lama kemudian kelihatan guru-guru yang berada di situ,  bersalaman dengan waris itu. Kemudian kami lihat dia beredar pulang. Rupa-rupanya waris itu datang menyerang Pengetua dengan parang panjang kerana marahkan pihak sekolah, yang menggantung persekolahan anaknya. Pihak sekolah telah menghubungi waris untuk datang ke sekolah bagi menyelesaikan masalah disiplin. Malangnya waris tidak hadir ke sekolah, walaupun sudah berkali-kali  surat yang dihantar. Waris juga tidak hadir ke sekolah walaupun telah dihubungi berkali-kali. Jadi tindakan akhir ialah menggantung persekolahan pelajar, selepas diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Disiplin Sekolah. Bila anak tidak boleh datang ke sekolah maka menyingalah si bapa. Dia terus bawa parang panjang ke sekolah, menyerang Pengetua. Rupa-rupanya dia sangat marah kepada guru yang menggantung persekolahan anaknya kerana dia tidak dapat mengawal anaknya jika berada di rumah. Anaknya akan melawan emaknya, bergaduh dengan adik-adiknya dan menjadikan suasana di rumah sangat kecoh dan kelam kabut. Jadi jika anaknya berada di sekolah amanlah sedikit keadaan di rumah mereka. 

CERITA 2:
Satu pagi Pengetua mendapat panggilan telefon dari seorang Wakil Rakyat. Kononnya dia mendapat aduan dari seorang waris, dia tidak puas hati anaknya telah didenda oleh Guru Disiplin. Wakil Rakyat itu mengugut Pengetua, jika kes ini tidak diselesaikan tindakan mahkamah akan diambil kepada pihak sekolah. Kemudian Guru Disiplin membuat laporan tentang kes kejadian pelajar yang dimaksudkan. Guru-guru dan pelajar yang terlibat juga dipanggil untuk memberi penjelasan yang jelas. 

Menurut laporan kejadian, pelajar itu memang terlibat dengan pelbagai kes disiplin, dan terakhir ialah kes gaduh. Pelajar telah memberitahu warisnya dia dihukum walaupun dia tidak bersalah. Dengan bukti yang sahih, prosedur yang betul, dan saksi yang ramai, pelajar itu memang didapati bersalah. Selepas itu waris pelajar dipanggil dan dimaklumkan perkara yang sebenar. Kesimpulannya pelajar itu telah lama menipu warisnya tentang masalah yang berlaku di sekolah. Waris pun  sangat percaya sehingga membuat aduan kepada Wakil Rakyat. Semasa pelajar disemukakan dengan Guru-guru Disiplin dia masih menegakkan benang basah mengatakan dia tidak bersalah dengan sombong dan angkuhnya. Tetapi selepas dibawakan saksi-saksi dari rakan-rakannya sendiri dia sudah tidak boleh berbohong lagi. Begitulah jika ibu bapa selalu menyebelahi anak tanpa usul periksa anak menjadi rosak akhlaknya.