Tuesday, October 30, 2012

BILA TIDAK SIHAT


Barang kali orang jarang mensyukuri nikmat sihat. Bukan kerana tidak mahu tetapi bila sihat kita terlupa bagaimana rasa sakit. Barangkali juga bila sihat, kita  terlalu sibuk dengan aktiviti menjalani kehidupan sehingga tidak sempat mengingat sakit. Barangkali juga bila sihat, kita sibuk melaksanakan tanggung jawab di rumah dan di tempat kerja yang memang memenuhi masa sehari suntuk sehingga tidak sempat mengingat sakit.

Berada di rumah hari ini kerana tidak sihat, membuatkan aku teringat usia yang sudah lanjut,dan perkhidmatan yang sudah terlalu lama, melebihi tiga puluh tahun. Selama berkhidmat, jarang sangat aku sakit, yang memerlukan aku mengambil cuti sakit. Seingat aku sudah bertahun-tahun aku tidak pernah mengambil cuti sakit.Sekali sekala memang aku sakit juga, tapi demam dan selsema  saja. Kadang-kadang memang tidak terdaya melangkah ke tempat kerja kerana demam yang amat sangat, tapi tak boleh berbuat begitu kerana majlis besar sekolah yang telah diatur dan disusun rapi. Maka pergilah aku juga ke sekolah selepas makan ubat, selepas memaniskan muka yang dipaksakan, untuk tidak merosakkan majlis rasmi atau majlis tahunan yang memerlukan aku berada di sekolah, kerana kehadiran tetamu utama yang telah dijemput dengan rasminya. 

Bagaimana mungkin aku tidak hadir ke sekolah apabila Hari Anugerah Cemerlang, DYMM Tuanku Sultan dan Tuanku Sultanah yang berangkat bercemar duli? Bagaimana boleh aku tidak hadir jika Hari Anugerah Tokoh Bitara Tuan Timbalan Pengarah yang menjadi VIPnya? Begitu juga jika Hari Graduasi, Ketua Sektor yang bersetuju menghadirinya? Hari Kejohanan Olahraga PPD yang dijemput hadir merasmikannya? Atau Hari   Mesyuarat Agong PIBG seorang tokoh terkemuka akan bertandang, bolehkah aku tidak hadir bila diserang demam atau selsema?

Begitulah bertahun-tahun menerajui sekolah, yang berkaitan dengan JPN, PPD, sekolah, guru, pelajar, dan ibu bapa, semuanya nombor satu, membelakangi diri sendiri dan keluarga. Semuanya mesti diberi keutamaan, mesti diberi perhatian supaya semuanya berada dalam kawalaan. Semuanya kerana integriti dan tanggung jawab yang diamanahkan. Begitulah menjadi orang nombor satu seperti menjadi ibu atau bapa, semuanya mesti diaturkan supaya berjalan lancar walau apa pun situasinya. Biar rebah, patah kaki bertongkatkan paruh sekalipun, akan bangun dan terus bangun menjalankan amanah dan tanggung jawab yang dipikulkan. Subha nallah, Allah huakbar, Allah maha mengetahui, mudah-mudahan semuanya dalam ilmu dan pengetahuanMu Allah yang maha pengasih lagi mah penyayang.....

Thursday, October 25, 2012

JAMUAN MENGENANG JASA 2012


The Top Four
Semua Pengurusan
 Memang sudah menjadi tradisi setiap hujung tahun akan diadakan jamuan akhir tahun untuk  semua guru dan staf. Jamuan ini memang dirancang khas untuk semua warga sekolah sebagai tanda penghargaan kepada semua yang bekerja keras sepanjang tahun. Tak kira staf sokongan ataupun guru, semuanya memang sangat tekun bekerja, semuanya memang sangat komited, semuanya memang sangat cemerlang, sesuai dengan slogan Centre of Excellence.

Berkemahiran Tinggi
Jadi apalah salahnya orang yang sangat tekun bekerja seikhlas hati diraikan. Memang sangat patut, dan memang sangat wajar. Kalau nak meraikan biarlah sangat istimewa supaya dapat dikenang sampai bila-bila, atau dapat menjadi kenangan sehingga ke akhir hayat. Sebab itu jamuan akhir tahun selalunya dibuat di tempat yang istimewa, biasanya di hotel. Tapi tahun ini berbeza sedikit, jamuan ini ingin dibuat di dewan sekolah, dengan suasana gemerlapan dan gilang gemilang yang hampir setanding dengan hotel juga.

Penuh Dedikasi
Bersemangat Tinggi
Semua orang kelihatan sungguh seronok dapat bersama dalam satu jamuan malam yang sangat meriah dan santai. Kehadiran PIBG memeriahkan lagi suasana, dan mereka sungguh rasa terharu kerana julung-julung kalinya dapat hadir sama. Sambil menikmati jamuan, sambil mendengar ucapan. Ucapan pun seadanya, tapi sangat bermakna kerana dapat disampaikan ucapan tahniah dan terima kasih atas semua penat lelah selama hampir setahun bermuafakat bekerja bersama-sama dalam satu pasukan.

Sehati.....
Sejiwa.......
Paling sangat diingati ialah dapat menyajikan hidangan yang sedap-sedap, lebih sedap daripada sajian di hotel lima intang; soto, sate, nasi beriani, kambing golek, pelagai jenis kueh dan bermacam-macam jenis buah-buahan dan minuman. Semoga jamuan yang diadakan sebagai tanda mengenang jasa kepada seluruh warga sekolah dapat dirasakan kemeriahannya sampai bila-bila. Semoga dengan kebersamaan dalam semua aktiviti termasuklah makan-makan, SMKSB akan terus menuju kegemilangan dan menjadi sekolah berprestasi tinggi dalam semua bidang, insy Allah....

Senada Seirama Seiya Sekata


Tuesday, October 23, 2012

HARI ANUGERAH KOKURIKULUM DAN HEM 2012


Saban tahun pelajar terlibat dengan pelbagai aktiviti kokurikulum, dan pelbagai aktiviti HEM. Penglibatan ini melengkapkan wadah pendidikan, di samping mencapai kecemerlangan dalam akademik, pelajar juga diasuh supaya menjadi insan yang seimbang dari segi rohani, emosi, jasmani dan sosial, seperti yang dihasratkan dalam FPK. Tahun ini seperti beberapa tahun yang lalu, pihak sekolah terus meraikan kecemerlangan pelajar-pelajar dalam kokurikulum dan HEM, juga tidak ketinggalan semua pelajar yang memang terlibat dalam apa jua aktiviti kokurikulum di sekolah. Mereka diraikan dalam satu majlis Hari Anugerah Tokoh Bitara Kokurikulum dan HEM 2012, yang sungguh meriah dan gilang gemilang; sebagai satu acara tahunan yang dinantikan oleh  pelajar-pelajar. pelajar yang berjaya diberi anugerah, pelajar yang tidak berjaya diberikan jamuan, tidak ketinggalan guru yang terlibat diraikan dengan anugerah dan jamuan yang istimewa juga.


Hari Anugerah Tokoh Bitara  Koko dan HEM bertujuan menghargai  dan mengiktiraf sumbangan murid-murid dalam semua aktiviti koko, yang sekaligus menjadi duta keci sekolah dalam bidang kepimpinan, pengurusan dan pembangunan modal insan. Sebenarnya ramai yang kurang mengetahui kepentingan aktiviti koko, kerana umumnya masyarakat terlalu mementingkan kejayaan cemerlang dalam akademik.Pada mata umum, aktiviti  koko membuang masa, dan menjadikan pelajar kurang cemerlang, dan pelajar sendiri pun kadang-kadan kurang memberikan tumpuan kerana salah faham dan salah tafsiran, walaupun sudah diberi penjelasan tidak henti-henti oleh guru-guru di sekolah. Masyarakat dan pelajar hanya akan terasa kepentingan yang amat sangat apabila mengisi markah 10%  bagi kelayakan untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi  Hasrat kerajaan mewajibkan markah 10%, tidak lain untuk pembentukan jati diri, dan sahsiah terpuji demi melahirkan modal insan kelas pertama.



MELEBIHI SETENGAH ABAD

Anak menantu dan cucu meraika


 Angka 55 memang suatu angka yang unik. Pertama, jika seseorang itu mencapai angka ini, maka bermakna usianya sudah melebihi setengah abad. Kedua, suatu masa dahulu, angka ini menjadi titik permulaan seorang pekerja mula alam persaraannya. Ketiga, pada ketika ini aku berada pada usia keramat ini. Dulu-dulu, bila aku melihat orang berusia seperti aku sekarang, dirasakan orang itu sudah sangat tua, sudah lama hidup, dan sudah bersara pula. Pada usia sebegini selalunya segalanya dalam kehidupan, kelihatan sungguh  sempurna.  Pada saat ini, semua anak sudah besar, sudah berkeluarga dan sudah bercucu, malah ada yang sudah bercicit.  Alangkah sangat bermaknanya hidup.......

Kek yang sedap
Hari ini genaplah usia 55, menjangkau angka keramat ini.  Tanpa pernah diduga semua pengurusan, dan staf celeberate hari lahir yang sudah melebihi setengah abad. Alangkah terharunya...  Birthday cake, birthday wish, birthday gifts, makan-makan - semuanya home made cook; sedapppppp. Syukur ya Allah..... Allah sahajalah yang layak membalasnya.......  segalanya  sungguh sempurna....


Emmmm  siapalah yang masak ni???
Sungguh terharu....
Memang seronok sungguh, terima kasih semua.......

Hingga tak terkata.......Thanks

Monday, October 15, 2012

BERMULANYA SEBUAH KEHIDUPAN



Di rumah pengantin perempuan
Hari yang ditetapkan untuk majlis perkahwinan sudah hampir, tapi aku masih belum boleh menempah kad kahwin lagi, sebab pengantin lelaki masih  belum dapat cuti, bos belum luluskan.Untuk mengambil cuti, walaupun cuti kahwin, mereka terpaksa atur jadual betul-betul kerana doktor bertugas waktu itu hanya dua tiga orang sahaja. Tambah-tambah lagi dalam bulan Disember bukan saja ramai orang kahwin tapi juga, ramai orang bersalin.Jadi sibuklah kerja doktor di unit bius, dan wad bersalin.

Sambut menantu
Selepas cuti diluluskan, lebih kurang sebulan, berlangsunglah majlis perkahwinan dengan meriahnya. Tapi sebaik-baik saja habis cuti yang singkat itu, masuk kerja, terus kerja malam. Tinggallah aku seorang di rumah sejak dari pagi, hingga ke malamnya, keesokannya sehinggalah ke petang pula, barulah dapat berjumpa kembali. Tiba saja di rumah kadang-kadang tidak sempat mandi, mata sudah terpejam lena, tak dapat ditahan lagi. Makan malam pun entah ke mana.  Begitulah pengalaman di awal kehidupan berumah tanggga di sisi seorang yang bernama doktor.

Majlis akad nikah
Kini along pun serupa juga, ambil cuti dua hari untuk nikah dan resepsi rumah pengantin perempuan, kemudian kerja balik dua tiga hari, lepas tu cuti tiga hari lagi untuk resepsi di rumah kami. Lepas kenduri terus kerja balik, bermulalah rutin kerja untuk pengantin yang baru memulakan kehidupan berkeluarga. Begitulah seorang doktor memulakan kehidupan barunya, masih tetap sibuk walaupun di hari-hari perkahwinan sendiri. Semoga pengorbanan ini mendapat ganjaran yang sewajarnya dari Allah swt. insy Allah.......

DOKTOR MUDA



Meraikan kejayaan yang diimpikan
 Alangkah gembira dan bersyukur kami bila alang sudah lulus periksa, dan berjaya menjadi doktor seperti papa. Tambah gembira lagi apabila alang ditempatkan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, cuma sepuluh minit perjalanan dari rumah kami. Posting pertamanya di Unit Surgical, nampaknya sangat mencabar. Setiap pagi jam 5.30 pagi dia sudah siap sedia menuju ke hospital mengharungi kelam malam di awal pagi, tujuh hari seminggu. Hampir setiap hari selama dua minggu pertama, aku jarang bertemu muka dengannya, kerana perginya di awal pagi dan pulangnya lebih kurang jam 12.00 tengah malam. Kasihan anak mudaku ini, sangat tekun, sabar dan tabah. Kadang-kadang papa dengan senyum berkata, 'Kasihan anak papa.... Teruk juga kerja doktor ni? Tapi pasai pa semua orang nak jadi doktor?  Emak bapa kalau boleh, nak,  biarlah seorang anak mereka jadi doktor, seorang pun jadilah."


Ready to work..........
"Tu la teruk juga, tapi ok ja. Kawan alang dah ada yang jumpa Psychiatrist, tak tahan tensyen."  Kami terkedu, diam-diam kami rasa sungguh bersyukur. Syukur ya Allah, Engkau berikan kami seorang anak yang kuat jati dirinya. Engkau kurniakan kami seorang anak, seorang doktor muda, yang sedar diri, sedar tanggung jawab dan boleh mengharungi cabaran dengan baik. Semoga segala tugasmu. segala pengorbananmu mendapat balasan dari Allah dan mendapat keberkatan juga dari Allah. Begitu jugalah pengorbanan yang dilalui oleh papa suatu waktu dahulu, tiga puluh tahun yang lalu. Pendek kata hampir semua orang seronok melihat doktor, seronok kalau boleh kerja doktor, tapi kita yang hampir dengan doktor dapat merasai bagaimana kehidupan dan pengorbanan seorang manusia kerdil bernama doktor.

Saturday, October 13, 2012

SEMANGAT YANG KENTAL....


Berada di kuburan abah pagi itu,teringat masa-masa abah masih bersama kami. Dia sangat kuat semangat, selepas dia diserang angin ahmar, dalam masa yang cukup singkat, dia sudah mula menapak, sedikit demi sedikit, sehinggalah dia boleh berjalan seperti sedia kala kembali. Tanpa jemu, tanpa banyak merungut, dia rajin buat senaman, dan rajin pula makan ubat dengan tekun. Tapi sebenarnya ubat yang paling mujarab ialah semangat yang kuat dan kental. Pernah suatu hari dia tanya, 'abah ni makan ubat sampai mati kot?.' Kami angguk dan dia pun nampaknya sangat faham. Jadi selepas itu bila ubatnya akan habis dia akan cepat-cepat telefon, minta dibelikan supaya ubatnya tidak putus.

Walaupun sudah boleh berjalan, tapi  kehidupan harian abah,  rutinnya  masih belum kembali  seperti normal. Dia masih belum bawa kereta, dan masih belum ke mesjid lagi. Suatu hari kami minta alang bawa abah dan mak jalan-jalan ke negeri Sabah, negeri di bawah bayu. Dia ingin sekali pergi melawat kak cik. Katanya kalau kak cik sudah habis belajar di Sabah, tentu susah nak melawat Sabah lagi, kerana tak ada orang di sana. Selepas seminggu abah balik dari Sabah, dia kelihatan sangat gembira, dia seolah-olah sudah kembali sihat. Hari pertama tiba di rumah dia terus bawa kereta pergi ke mesjid. Selepas itu dia kelihatan menjalani kehidupan seperti biasa kembali.

Memang betul kata papa, ubat yang palaing mujarab untuk kembali sihat ialah semangat. Selepas boleh melancong dia rasa dia sudah benar-benar sihat. Maka hiduplah dia seperti biasa, bawa kereta sendiri, hari-hari siap pergi ke mesjid, hari-hari jalan pagi-pagi dan buat apa saja yang dia rasa mampu, kerana semangatnya sudah mengatakan dia boleh.....

Thursday, October 11, 2012

PROGRAM PERTUKARAN BUDAYA





Penolong Kanan HEM  dan Guru Kanan Sekolah Kanchai Kampholanon
dalam perbincangan awal.

Sekolah Sadao Khanchai Kamphalanon  Anusorn, Thailand, telah membuat lawatan ke SMKSB, sebagai salah satu langkah ke arah program pengnatarabangsaan bagi kedua-dua buah sekolah. Rombongan dari sekolah ini terdiri daripada 41 orang  pelajar dan 12 orang guru, termasuk Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan Guru Kanan Bahasa Inggeris. 

Tujuan lawatan ialah sebagai mengeratkan hubungan dua hala antara kedua-dua buah sekolah. Sebelum tarikh lawatan Guru Kanan sekolah tersebut telah membuat lawatan tapak bagi membincangkan program yang akan dilaksanakan pada hari tersebut. Jadi kedu-dua pihak bersetuju melaksanakan program yang boleh memberikan faedah kepada kedua pihak (win-win situation). Antara program-program yang telah dipersetujui bersama ialah program berbentuk kebudayaan seperti:
1.       Permaianan traditional (congkak dan batu seremban)
2.       Persembahan kebudayaan traditional (tarian, nyanyian solo dan bercerita)
3.       Makanan traditional (ketupat, rendang, kuih Loyang, kuih siput, rempeyek, peneram dan nasi impit)
4.       Sing Along Program dan aktiviti Bahasa Inggeris
5.       Kraf Tangan Kedua-dua Negara Malaysia dan Thailand
6.       Pakaian Traditional bangsa Melayu , China,  India dan Panjabi
7.       Pertandingan Sukaneka pelajar kedu-dua buah sekolah.

Semua program yang dirancang telah dilaksanakan menggunakan medium Bahasa Inggeris atas persetujuan bersama. Hal ini kerana tujuan lawatan pelajar dan guru dari Negara jiran itu bertujuan untuk meninjau kecemerlangan penguasaan Bahasa Inggeris di  Malaysia amnya dan di SMK Sultanah Bahiyah khususnya. Ini bertujuan meningkatkan pengalaman dan pengetahuan mereka tentang teknik-teknik pemupukan penguasaan Bahasa Inggeris yang digunakan di SMKSB untuk diaplikasikan di sekolah mereka bagi peningkatan penguasaan Bahasa Inggeris pelajar-pelajar mereka.

BILA ABAH TIADA........


Baru seminggu tidak sempat aku balik ke kampung menjenguk emak yang dikasihi, hati sudah rasa kurang senang. Masa yang sedikit terpaksa aku agihkan  antara anak cucu dan ibu, Memang aku tunggukan hujung minggu ini untuk pulang, bagi meluangkan sedikit masa bersamanya. Tidak pernah aku abaikan masa untuknya. Dia sudah tua, barang kali tidak lama lagi, dia dapat bersamaku. Masa yang amat berharga bersamanya, memang aku usahakan juga, walau sesibuk mana sekalipun. Paling tidak seminggu sekali, atau jika perlu lebih dari itu, aku tidak peduli, akan aku penuhi.

Emak tidak mahu ke mana-mana, kecuali dengan anak cucu

Walau amat singkat masa kami bersama, makan-makan, bertanya khabar, dan mendengar cerita, tapi ternyata ia amat berharga. Emak kelihatan sungguh ceria, bila kami tiba, tambah lagi kalau ada cucunya, senyum sampai ke telinga. Aku pun sungguh bahagia dapat menyenangkan hatinya, Sejak abah tiada, saban minggu kami menemaninya, menghiburnya, dan memenuhi permintaanya. Semuanya dengan harapan dia akan terus bermaya meneruskan hidup ini dengan ceria.......




Tuesday, October 9, 2012

APA DAH JADI??????


Pagi kelmarin kami terpaksa redha dengan tindakannya, walaupun sebenarnya kami sangat kecewa. Semua dah kami buat, telefon waris, telefon nombornya, dan akhirnya telefon jiran yang  terdekat. Semunya dengan harapan kami dapat membantu dia menduduki peperiksaan untuk masa depannya, yang barangkali dia masih belum mengerti kepentingannya. Tapi semuanya gagal juga. Dia telah memilih jalannya yang dirasakan terbaik untuknya, jalan tidak hadir untuk menduduki peperiksaan awam yang sangat penting.

Pagi ini tiba-tiba dia muncul dengan muka selamba, tiada sebarang riak sedih, atau kesal, atau rasa segan silu, tiada apa perasaan pun yang tergambar, …. kelihatan kosong dan hambar. Tiada perasaan apa-apa…..  Manusia jenis apakah ini yang begitu kering hatinya dan perasaannya?  Manusia jenis apakah ini yang tidak langsung ada sedikit hati untuk mendengar kata orang?. Manusia jenis apakah yang kelihatan langsung tiada perasaan? Manusia bagaimanakah sehingga tidak langsung tahu dan menghargai kasih sayang dan harapan orang? Di manakha silapnya???

Jika dikatakan kita tidak beri perhatian, kita menghabiskan semua masa dan tenaga untuk memberikan kasih sayang. Jika dikatakan kita tidak penyayang kita telah korbankan jiwa raga untuk memberi yang terbaik untuk masa depannya. Nasihat, tunjuk ajar, tunjuk cara, teguran, bimbingan, belaian, tazkirah, sentuh hati, sentuh rasa……. Pendek kata semua usaha yang terdaya telah kita laksana. Dari segi sistem persekolahan rasanya sudah tiada yang silap. Dari segi pelaksanaan FPK sudah sudah dihayati dan diberi penegasan, serta dilakukan sebaik mungkin.

Malang sungguh, malang sungguh...... Sekolah tidak dapat berdiri sendiri, segala hasrat kerajaan dalam pembentukan modal insan tidak mungkin akan tercapai hanya dengan kerja kuat guru-guru, hanya dengan kesungguhan Pentadbir dan wawasan Menteri. Faktor di atas hanya boleh menjadi pemangkin kepada faktor yang paling amat penting iaitu perhatian, asuhan dan kasih sayang ibu bapa. Jika anak diberi perhatian sewajarnya oleh ibu bapa dengan penuh rasa kasih sayang dan rasa tanggung jawab dan dapat dirasai oleh anak pula, sudah pasti pembentukan modal insan terlaksana dengan mudahnya. Sudah tentu anak akan lebih lembut hatinya, baik perangainya, prihatin, sedar diri, perasa dan pengasih pula. Tapi sekarang dengan arus pemodenan ramai ibu bapa berpecah belah, anaklah mangsanya. Ramai ibu bapa sibuk anak jugalah mangsanya. Ramai ibu bapa hanya mengharapkan anak cemerlang dalam peperiksaan, anak jugalah mangsanya... Barang kali inilah antara sebabnya, ada antara anak-anak  kita yang hatinya menjadi keras dan tidak perasa........


Monday, October 8, 2012

YANG LAMA ITU BURUK........


Kita orang Melayu, bila ada sesuatu yang lama dikatakan itu benda buruk. Benda buruk biasanya kurang dijaga, kurang diberi perhatian, dan dan dianggap kurang berharga pula. Boleh dikatakan hampir semua benda dalam masyarakat kita menerima nasib yang sama. Sebab itulah jarang orang-orang kita menyimpan benda-benda milik sendiri pun, yang lama kerana barang lama memerlukan penjagaan, dan ramai pula menganggap barang yang  lama akan menyusahkan kita. Barang lama perlu disimpan, dan terkadang memerlukan ruang pula. Bukan barang sahaja tapi bangunan lama juga, dirasakan sebagai membebankan kita, kerana memerlukan belanja yang besar untuk diselenggarera. Sebab itulah banyak bangunan lama kita tidak terjaga dan tidak terpelihara.

City Campus Universiti Liverpool
Berbeza sekali dengan masyarakat di barat, barangan lama akan dijual, paling tidak di pasar lambak "car boot sale" atau dihantar ke "charity shop" untuk dijadikan sumbangan kepada yang memerlukan. Di Jepun pula, barangan lama tidak dibuang, sebaliknya akan di masukkan ke dalam kotak dengan elok-elok dan kemas, kemudian diletakkan di tempat buangan khas dan ditulis "sila ambil" untuk diberikan kepada yang memerlukan secara percuma, misalnya kipas angain, peti sejuk dan lain-lain lagi barang keperluan yang tidak diguna pakai lagi.

Di barat, bangunan lama berusia beratus tahun sekali pun masih tampak cantik, kuat dan unggul. Masih teringat, Banguanan Merah Viktoria di Liverpool yang berusia 120 tahun, masih kekal tersergam, sejak tahun1895 lagi dan kini menjadi mercu tanda kebanggaan Kota Budaya itu. Bangunan itu menjadi sebahagian daripada bangunan utama Universiti Liverpool, yang kini menjadi Galeri dan Museum sejak tahun 2008. Berjalan di hadapan bangunan setua itu, sangat terasa keagongannya, sangat terasa kemegahannya, dan kita rasa sangat kagum kerana ia dijaga dengan sebaiknya sehingga dapat kita nikmati sejarahnya sehingga kini.