Wednesday, December 23, 2020

CUCU BALIK KAMPUNG

 Sudah lama cucu-cucu dari Kuala Lumpur  terutamanya Ali, tidak balik kampung. Bermula dari PKPP bulan Mac 2020 kemudian PKPB diikuti pula fasa PKPD yang berpanjangan, sehinggalah sampai bulan Disember 2020. Mula-mula PKPP bang long cutinya dibekukan. Kemudian Selangor PKPB meraka tidak tidak boleh balik kampung juga. Berikutnya Kedah pula PKPD mereka tidak boleh masuk Kedah.  Selepas tu Selangor PKPB mereka tidak boleh keluar negeri pula. Maka berlarutanlah tidak boleh balik kampung, sampailah bulan Disember barulah mereka boleh rentas negeri. Bolehlah mereka balik kampung itu pun cuti hujung minggu saja, kerana cuti masih dibekukan. Kebetulan mereka balik kami ambil peluang menjenguk kampung, menjengah rumah mak yang dah lama tidak kami kunjungi, yang dah lama kami tinggalkan diuru oleh orang lain bukan kami.

Kebetulan musim padi dara kelihatan menghijau sejuk mata memandang,   Ini menjadikan kami sungguh teruja dengan kecantikan dan kehijauan kampung halaman yang sungguh nostalgik. Lama kami tidak menikmati angin sepoi-sepoi bahasa dari bendang. Tambah-tambah lagi Ali dia tidak pernah melihat pokok padi dari dekat, semasa dia sudah besar. Dia cuma dengar cerita dari daddynya saja tentang pokok padi, dan sawah padi. Bukan saja pokok padi tapi Ali seronok dan teruja dengan pokok semalu yang menjadi 'malu' apabila disentuh jari jemarinya yang kecil. Ali seronok sangat dengan pengalaman baru ini. Maklumlah kebanyakan umurnya dia banyak berada di Kuala Lumpur.

Ali pun tidak ingat rumah nek caq kerana dia cuma balik ke kampung masa dia masih sangat kecil. Masih tidak ingat apa-apa lagi. Jadi banyaklah soalan-soalan yang bertubi-tubi ditanyanya. Dia pun sangat teruja dengan pondok yang tok wan buat untuk anak cucunya dekat situ dalam kebun durian. Walaupun pondok masih belum siap sepenuhnya, tapi bolehlah buat Ali tangkap gambar untuk kenang-kenangan. Tok Wang sungguh bangga sebab dia sendiri yang bangunkan pondok itu. Dia sendiri yang design, dia yang potong kayu,  dia yang atur tiang simen, dan naikkan tiang dan alang. Kemudian dia paku papan lantai dan seterusnya dia yang mengemaskan bumbung plastik, sehingga pondok boleh diduduki dan buat berteduh dari hujan panas, dan buat solat juga bila masuk waktunya.

 
Tok wan selalu berharap semua cucu akan rasa gembira untuk bermain di pondok itu. Memang betul Ali pun memang sangat suka berada di pondok. Maklumlah di KL mana ada semua itu. Ali barangkali dah letih dengan shopping mall, dan dah biasa sangat dengan taman permainan. Jadi bila bertukar suasana berjalan di kampung dengan suasan yang berbeza, sudah tentulah perasaannya berbeza. Semoga anak cucu yang dibesarkan di kota akan suka suasana di kampung halaman, tempat asal usul datuk neneknya.
 

Ali sempat naik sebentar ke atas pondok tok wan yang separuh siap itu. Sempat juga  bergambar di situ, mengabadikan kenangannya. Ini bakal menjadi bukti bila dia besar kelak, dia pernah semasa kecil balik berkunjung ke kampung walaupun buat sekejap cuma. InsyaAllah bila besar Ali boleh balik sendiri ke kampung halaman datuknya. Semoga Ali akan berbangga dengan tempat asal daddynya dan semoga Ali akan suka balik mengunjungi kami di kampung yang rindukan masa bersama anak-anak cucu, insyAllah, aamiin.