Sunday, July 29, 2012

HILANGNYA SEORANG SAUDARA.....


Selalunya bulan puasa begini rumah di kampung akan riuh rendah dengan suara Baby yang lincah dan ceria. Dia sangat suka apabila kami berhimpun untuk berbuka di kampung. Dia sangat teruja pabila semua orang ada. Jadi dia akan cuba tarik perhatian semua orang dengan manja. Kami sudah sangat biasa, dan kami pun memang sangat suka melayannya.

Tapi puasa kali ini, semua itu sudah tiada, semua itu sudah menjadi kenangan semata. Tinggal kenangan yang hanya dapat bermain dengan kata-kata, kerana sudah tiada di mata. Alangkah sunyinya sebuah keluarga, alangkah sayunya sebuah keluarga. Lantaran takdir sudah ternyata menentukan seadanya. Takdir sudah menentukan sudah terpisah dua insan dalam rumah tangga. Yang nyata Baby sudah tidak lagi dibawa pulang ke kampung kerana sudah roboh sebuah rumah tangga yang sudah sekian lama terbina. Baby tidak tahu apa-apa, memang dia ditakdirkan tidak mengerti satu apa pun pada tahap umurnya, disebabkan penyakitnya itu.

Bila ditanya kenapa Baby tidak pulang kampung, dia hanya mampu mengatakan dia sibuk seperti ucapan maminya. Alangkah sayunya Ramadhan ini... . Sudah hilang seorang saudara yang dikasihi sekian lama. Sudah hilang seorang saudara, dan saatnya pula saat semua insan lain bergembira menyambut bulan yang mulia. Semoga Allah memberikan hidayah dan semoga saudaraku itu dapat menghadapi ujian ini dengan sabar dan redha. Ramadhan ini aku kehilangan seorang ahli keluarga yang di kasihi  

Tuesday, July 24, 2012

HIBURAN YANG AMAT BERMAKNA....



Masa-masa yang sungguh indah....
Masa berlalu dengan amat pantas. Masih segar dalam ingatan masa-masa baru mendirikan rumah tangga. Amat manis dan bahagia. Kemudian rumah tangga dihiasi pula dengan tangis dan tawa anak-anak, satu lepas satu. Akhirnya keluarga menjadi besar, enam orang semuanya. Kehidupan pun menjadi lebih bermakna dan masa-masa berlalu, bila dikenang semula, menjadi bagaikan suatu kenikmatan  dan hiburan yang telah dihadiahkan oleh Yang Maha Esa.

Yang sulung dan yang bongsu
Dalam kehidupan, apa pun jenis kenikmatan, tidak kita peroleh dengan percuma. Begitu juga dengan anak-anak yang dikurniakan, ia menjadi hiburan yang perlu dibayar dengan pengorbanan. Maka berkorbanlah kami suami isteri, tenaga, masa, wang ringgit dan harta benda, semuanya untuk kebahagiaan anak-anak yang amat dicinta. Masa yang dibaluti kebahagian itu kekal hingga kini dan berbekas dalam hati sehingga  kini. Alangkah indah dan manisnya masa bersama anak-anak sehingga mereka remaja, berjaya dan berkarier. Syukurlah, alhamdulillah semuanya dikurniakan Allah dengan sebaiknya. Amat besar ujian Allah memberikan hiburan dan kenikmatan untuk aku. Mudah-mudahan ujian Allah ini menjadikan aku terus mensyukuri nikmatNya.

Yang Kedua, ketiga, keempat, cucu dan kak cik.....

Kini tiba pula masanya menimang menantu dan menimang cucu. Alangkah, alangkah bahagianya.... melihat anak-anak yang disayangi dan dikasihi mendapat teman hidup sebagai penyeri. Ditambah lagi dengan kehadiran cucu-cucu yang amat dinanti-nanti. Satu lepas satu...

Anak Menantu ..........

Meraikan cucu .........








Hidup menjadi semakin bermakna, semakin hari semakin banyak kenikmatan kurniaan Allah yang menjadi hiburan pula. Dengan cucu, menangis, merengek, apa tah lagi senyum dan tawa, semuanya pun menjadi hiburan yang amat tak terkata indahnya. Syukur padaMu  ya Allah, yang menyajikan aku dengan hiburan-hiburan yang melimpah ruah sehingga ke hari tua. Aku terima ujian besarMu itu, semoga mendapat kebahagiaan bukan saja di dunia tapi juga di alam sana yang kekal abadi...... insya Allah

Semua sudah berjaya, syukukurlah.......

Sunday, July 22, 2012

BULAN MENUJU KEMENANGAN


Bulan Ramadhan ini jatuhnya dalam bulan Julai, bermakna sudah tujuh bulan kami menjalani hari persekolahan. Semakin masa berlalu, semakin hampir pelajar dengan hari menghadapi peperiksaan. Jadi bulan puasa yang mulia ini, menjadi bulan mulia sarat dengan pengorbanan. Untuk berjaya kita perlu berkorban. Itulah yang ditakdirkan kepada pelajar-pelajar yang telah dikenal pasti sebagai 'top twenty' yang dijangkakan akan mencapai keputusan semua A SPM nanti.

Seawal jam 6.45 pagi mereka sudah hadir ke sekolah untuk menjawab soalan-soalan latih tubi. Sedang orang lain masih lagi bersantai-santai, masih lagi boleh relek-relek mereka mengerah keringat dan memerah otak untuk mencapai cita-cita yang diharapkan. Semoga mereka semua mencapai hajat yang diimpikan insy Allah...... 

Saturday, July 21, 2012

RAMADAN DATANG LAGI


Seperti biasa Ramadhan datang lagi. Entah kenapa menyambut Ramadhan tahun ini, bercampur baur perasaan yang ada. Pertama-tama sudah pasti kita amat merindui Ramadhan, bulan yang penuh keberkatan, dan bulan yang menjanjikan seribu kemenangan. Ini menjadikan kita cukup bersemangat untuk turut serta mendapatkan keberkatan dan kemenangan yang dijanjikan. Sudah pasti azam pada tahun ini, tentunya lebih banyak masa, tenaga dan wang ringgit akan digunakan sebaik mungkin untuk tujuan murni itu. Yang itu tiada siapa dapat sangkal.

Tapi Ramadhan tahun ini juga membenam rasa sayu yang tidak terhingga, kerana sudah dua tahun orang yang amat berjasa, orang amat disayangi dalam hidup ini, sudah tiada lagi. Mengenang itu hari pertama berpuasa aku habiskan di rumah emak di kampung. Makan malam dan sembahyang tarawikh bersama emak amat sayu dirasakan. Sudah semakin jauh kami ditinggalkan, tapi semakin tebal dan semakin sarat ingatan kasih sayangnya. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Amin.