Monday, April 10, 2017

TAHYUL


Hari ini entah kenapa tiba-tiba teringin menulis tentang suatu perkara, kepercayaan karut tentang biawak. Binatang ini termasuk kategori binatang dua alam yang suka di tempat berlembah. Makanannya benda yang busuk-busuk seperti bangkai. Orang melayu selalu kaitkan kemunculan binatang ini dengan perkara tidak baik dalam kehidupan seharian. Binatang itu makhluk Allah juga. Kenapalah bila ia muncul orang selalu anggap ia sial. Ada orang berpendapat barangkali binatang ini jelmaan makhluk Tuhan yang lain. Ia menjelma membawa berita kurang baik, supaya kita dapat bersedia minda dan mental, untuk redha dengan takdir Tuhan walau apapun yang bakal ditempuhi. Sebab bukan semua orang dipilih untuk mempunyai sixth sense mendapat perkbabaran awal atau tanda-tanda awal tentang sesuatu yang bakal terjadi. Dan perkhabaran itu diperolehinya melalui seekor binatang. Jadi bukan biawak yang membawa sial tapi biawak membawa perkhabaran kurang elok kepada orang-orang tertentu sahaja. Berikut dikongsikan cerita-cerita tentang biawak yang dikatakan  membawa berita-berita buruk:

1.  Seorang rakan, jika keluar dari rumah terjumpa biawak, terus dibatalkan rancagan walau ke mana sekalipun, kerana kebiasaannya jika biawak muncul sebelum ke mana-mana bagi sebarang  rancangan,  kerja yang direncanakan memang tidak menjadi.
2. Suatu hari seekor biawak besar melintas kereta seorang teman secara mengejut, sehingga tersirap darahnya, beberapa hari selepas itu dia mendapat berita anaknya gagal dalam peperiksaan yang didudukinya. 
3.Soerang tua terkejut biawak masuk ke dalam rumahnya melalui mangkuk tandas, tidak lama selepas itu dia kehilangan anaknya yang tidak pulang-pulang ke rumah kerana perselisihan keluarga.
4. Suatu pagi balik dari sembahyang subuh, seorang ibu terkejut seekor biawak melompat kuat semasa ia melangkah parit. Kemudian dia mendapat berita anaknya telah ditipu oleh agen yang menguruskan rumah sewa sebanyak RM 3000.00, dan terus menghilangkan diri.
5. Seorang jiran semasa berbual dengan jirannya, seekor biawak tiba-tiba terkejutkan mereka, terus merangkak laju masuk ke dalam dapurnya. Mereka menjerit menghalau biawak itu tapi ia terus bersembunyi di sebalik almari. Selepas dipukul-pukul baru ia keluar. Tidak lama selepas itu dia berselisih dengan rakan sekerjanya, sehingga boss di atas terpaksa masuk campur dan ia menjadai satu kes yang dibawa ke atas.
6. Seorang ibu membawa seorang pembantu rumah untuk menolong anaknya menjaga cucunya yang masih kecil. Di pertengahan jalan terjumpa seekor biawak, tersirap darahnya, tapi dihantarnya juga pembantu itu. Selepas seminggu budak yang dihantar itu buat perangai untuk balik tak mau bekerja lagi menjaga bayi. Dia nak balik juga-juga sehingga terpaksa dihantar balik dengan bas, sendiri-sendiri.
7. Seorang teman sebelum mendapat memo pertukaran tempat kerja telah terkejut seekor biawak besar melintas keretanya. Setelah beberapa bulan bekerja dia menghadapi masalah besar dengan bosnya, masalah yang dihadapi sukar diselesaikan dan rumit kerana bosnya orang yang bersifat baling batu sembunyi tangan. Lama juga masalah itu berlarutan sehinggalah dia bertukar tempat kerja, masalah itu selesai dengan sendirinya.

Begitulah antara cerita-cerita biawak yang telah didengari. Semuanya diikuti dengan pelbagai permasalahan yang berat. Semuanya mengisahkan nasib buruk yang dilalui selepas bertembung biawak. Kita pun tidak mengerti kenapa terjadi demikian. Tapi itulah yang menjadi norma dan sebahagian kepercayaan karut sesetengan orang melayu; biawak bawa sial. Mudah-mudahan cerita-cerita ini  hanya menjadi satu tahyul dalam masyarakat.

 

Tuesday, April 4, 2017

GRADUATION AT CITY CAMPUS LIVERPOOL U


Masih segar dalam ingatan, Bang Long mendapat keputusan cemerlang dalam SPMnya (2004), di MRSM Langkawi. Alhamdulillah....Kami amat bersyukur.  Dengan pencapain itu,  dia mendapat tawaran mengikuti Kursus Pre-Medic di UIA. Tapi  dia memilih untuk masuk Kolej Mara Banting, mengikuti Kursus Internatioanl Barcalaureate (IB). Kursus ini anjuran MARA untuk pelajar-pelajar yang akan dihantar ke luar negara, dan kursus persediaan itu memakan masa dua tahun. Sekejap saja masa dua tahun berlalu. Kemudian bulan September 2005, Bang Long fly ke University of Liverpool.

Ibu mana yang tidak gembira dengan takdir yang telah dilalui itu. Syukur alhamdulillah. Tapi jauh di sudut hati terasa sayu melepaskan anak yang masih muda ke negeri orang seorang diri. Semasa tiket flight diedarkan di KLIA, dan taklimat diberikan kepada sekumpulan pelajar yang akan berlepas itu, terasa sebak tidak tertahan. Waktu itu juga telah diedarkan chek wang sara hidup pemberian MARA  berjumlah  lebih kurang RM 14 ribu, sebagai bekalan awal. Dalam hati tak putus-putus dipanjatkan doa, supaya Bang Long selamat di perantauan. Tambahan pula untuk ke Liverpool dia seorang saja yang bakal mendaftar di situ. Tak terucapkan kebimbangan, dan kerisauan. Cuma Allah saja yang tahu. Hanya kepada Allah ku sandarkan harapan dan doa: supaya Bang Long selamat pergi, selamat belajar, dipermudahkan segala urusan, mendapat pimpinan dan hidayah, diberi pertunjuk jalan yang benar,  dan mudah-mudahan selamat pulang dengan kejayaan, in syaa Allah.

Selepas itu, masa pun terus berlalu, pejam celek Bang Long pun tamatlah pengajiannya selama 6 tahun. Syukur alhamdulillah dia berjaya mendapat ijazah yang diimpikannya. Kami pun dengan rasa syukur fly ke Liverpool untuk majlis Convocation meraikan kejayaan anakanda kami menerima segulung ijazah. Allah izinkan dia mendapat ijazah dan menjadi Doktor dari University of Liverpool yang bersejarah itu.