Tuesday, April 23, 2024

FISIO OH FISIO


Senarai rawatan fisioterapi di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar.

1. 29 Nov 2023 -11.00  pagi
2. 17 Jan  2024 - 09.40 pagi
3. 24 Jan 2024  - 09.40  pagi 
4. 21 Feb 2024 - 10.00  pagi
5. 24 Apr 2024 - 10.00 pagi
6. 29 Mei 2024 - 10.30 pagi 

Rawatan pusingan ke - 5  
(24 April 2024  -  Hospital Sultanah Bahiyah)

Sejak balik dari HUKM, bermula  bulan November telah diaturkan untuk sesi fisioterapi secara berjadual, sebulan sekali di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar. Surat referal telah diberikan kepada HSB untuk menerima  dan mengaturkan tarikh buat fisioterapi. Tujuanya untuk menguatkan otot-otot di bahagian belakang, perut, paha dan betis secara berterusan. Kekuatan otot itu membantu untuk kita lebih kuat dan cepat pulih bertenaga selepas operation. 

Sebelum keluar wad fisioterapis telah pun ajarkan aktiviti atau pergerakan asas yang perlu dibuat sendiri di rumah. Kemudian bila ke hospital akan diajarkan dan ditambah pergeraka-pergerakan lain lagi yang sesuai. Masa awal-awal aktiviti  dibuat secara melentang di atas katil, difokuskan di bahagian perut dengan pergerakan kempiskan  perut  sebanyak 30 kali.  Kemudian pergerakan otot di papan punggung 30 kali, pergerakan di bahagian belakang 30 kali. Dan satu lagi aktiviti penting ialah duduk dikerusi dan bangun duduk degan perlahan-lahan, untuk menguatkan otot paha dan otot punggung supaya dapat berjalan lebih kuat dan bertenaga.

Pusingan ke - 2

akriviti kuatkan otot paha betis papan punggung






Monday, April 22, 2024

NASIHAT KEPADA ANAK-ANAK YANG DISAYANGI

Doa ini terbaca melalu tik tok, terasa menyentuh hati dan sama dengan rasa hati yang ingin diberikan kepada anak-anakku yang amat dicintai dunia dan akhirat. Jadi diabadikan di sini mudah-mudahan menjadi kenangan abadi anak-anak mama bila mama sudah tiada lagi.

1. Wahai anakku , mama tak kan selamanya ada di sisimu, belajarlah berdikari dan bertanggung jawab dengan segala urusanmu, duniamu dan akhiratmu.

2, Wahai anakku, doamu akan menjadi sangat berguna pada mama ketika mama sudah tiada lagi, di dunia ini. Ingatlah mama dalam setiap doa dan munajatmu.

3.Wahai anakku, kamu sangat berharga buat mama, jangan sia-siakan dirimu walau seluruh dunia mengecewakanmu.

4. Wahai anakku, dunia ini tempat ujian, kamu akan diuji berkali-kali hingga kamu merasa lelah dan lemah. Angkatlah tanganmu kerana saat itu, pemberi ujian iaitu Allah Tuhanmu  mengujimu  ia  merindukanmu.

5. Wahai anakku, jagalah adi beradikmu, seburuk apapun layanan mereka terhadapmu, tak kan sekali-kali putus hubungan kalian. Darah mama akan terus tetap mengalir dalam badan kalian.

6. Wahai anakku, jagalah agamamu, walau seluruh dunia memberontak dan rosak. Kerana dengan menjaga agama sahaja kamu akan dikira  berjaya, walau seluruh dunia melihatmu kecil dan gagal.

7. Wahai anakku, mama tak kan mampu setiap masa melindungi dan menyayangimu. Melihat dan memperhatikanmu setiap detik dan masa  melainkan hanyalah Penciptamu, pada setiap masa dekat denganmu, maka sayangilah Dia,cintailah Dia dan berterima kasihlah iaitu bersyukurlah kepadaNya. Mama tidak berkecil hati kalau kamu kurang ingat mama, tapi mama tak sanggup kamu lupa akan Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang.


Thursday, April 18, 2024

Semakin Pulih

Alhamdulillah dapat   berada di rumah kembali, selepas dua minggu dijaga oleh along dan Hajar. Tanggal 8 Oktober 2024, bermulalah era baru dalam kehidupan. Kena jaga diri diri, kena sedar diri, kena sabar dengan rutin pagi dan petang setiap hari. Kena sabar buat fisio, jaga pantang larang dan jaga makan. Rehat secukupnya dan jaga supaya sentiasa tenang menghadapi keadaan yang masih tidak pulih sepenuhnya. Seperti biasa setiap pagi mesti  berjalan 15 minit pagi dan petang pula jalan lagi 15 minit . Masa-masa lain kena buat fisio hari-hari. Buat ikut kemampuan, jangan terlalu berata dan tidak boleh skip semua pergerakan yang diajarkan. 

Alhamdulillah Makan dan minum angah yang uruskan masak untuk makan seharian. Adik juga membantu dalam kesibukan menjaga anak kecilnya, kadang-kadang dia masak bila angah ke luar kaawasan. Kerja rumah untuk jaga kebersihan bibik uruskanl, di samping di juga menjaga dan menguruskan caq yang terlantar sejak kekian lama.

Sebelum balik telah dibekalkan perlbagai ubat-ubatan, jadi setiap pagi mesti dimakan ubat mengikut aturannya. Dengan susah payahnya morning walk depan rumah bersama papa selepas sarapan jadi biasa dan rasa semakin ringan badan selepas hampir sebulan operation. Sudah tentulah fisio dan jalan dapat membantu menguatkan otot kaki dan pinggang sehingga badan terasa agak sihat sedikit. 

Masa sebulan dan dua bulan memang masa untuk berehat sepenuhnya, seperti berada dalam wad hospital walaupun sebenarnya duduk di rumah. Tiada aktiviti dibenarkan sebab emnunggu luka kering dan proses pertumbuhan tulang yang amat mengambil masa.

kesan ubat fosamex - cirit birit sebulan - jadi semakin lemah 

start fisio di HSB

dua bulan ke medan 31 nov - 5 disember 

balik medan tiga bulan naik tangga

 bulan jan follow up 2 di HUKM - stat ubat baru injection prolia

pergi kuantan

4 bulan naik tangga - sembayang spt biasa

5 bulan bawa kereta.

sembahyang tarawikh sakit balik - sembayang atas kerusi unt kurang kan sakit

masak angkat belanga sakit, 







Sunday, December 10, 2023

PERJALANAN PULANG

 

Day 5
5 Disember 2023
Bandara Kuala Namu  - Airport Penang - Alor Setar

Jam 3.00 pagi kami dikejutkan untuk bersiap ke Bandara Kuala Namu Medan. Pihak hotel membekalkan kami dengan 2 keping roti dan 2 biji telur rebus. Kami makan di atas ven untuk lapik perut dulu. Kemudian kami beratur untuk urusan check-in. Urusannya agak lambat sebab ramai penumpang menuju ke Pulau Pinang dengan pesawat yang sama.. Hampir jam 6.30 pagi, baru kami semua selesai mendapat boarding pass masing-masing. Alhamdulillah syukur pada Allah yang mengaturkan segalanya dipermudahkan.

Kami bergegas ke surau untuk solat subuh. Dapat juga kami bejemaah Subuh di Kuala Namu. Kemudian kami masuk ke balai berlepas melepasi Imigresen dan menunggu dengan sabarnya untuk boarding meninggalkan Kuala Namu, yang entah bila pula akan kami kunjungi. Tepat jam 7.00 pagi kami terbang dengan selamatnya. Bismillah..... Semoga selamat sampai berjumpa kaum keluarga nanti.

Perjalanan di udara lancar, lepas minum air, flight dah mula untuk turun ke airport Penang. Kami selamat mendarat di Pulau Pingan tepat jam 9.00 pagi waktu Malaysia. Kami disambut oleh Firdaus dengan seyuman lebar dan ketawa besar. Kami naik bas terus dan singgah di RnR Gurun untuk makan pagi jam 11.30 pagi. 

Jam 12.30  kami selamat sampai di Perkarangan Muzeum dengan selamatnya, alhamdulillah. Maha suci Allah alhamdulillah, sesungguhnya Engkau maha halus pentadbiranMu. Perjalanan kami semuanya dipermudahkan dan hampir semua yang dirancangkan dapat dilaksanakan, syukur padaMu, nikmat mana lagi yang kami dustakan ya Allah. Semoga kaji selidik kali ini meberikan manfaat kepada kebaikan agama dan bangsa insyaAllahh.

Terima kasih PSMCK, terima kasih Firdaus yang menguruskan perjalanan sejak mula sehinggalah selamat pulang ke tanah air. Terima kasih semua sahabat team kaji selidik yang harmonis sepasukan, menjadikan kajian kali ini akmat bermakna dan berjaya. Terima kasih Pak Andi dan pembantu, yang cekal menguruskan kami, dan Pak Herman yang tak pernah kering idea bercerita menyampaikan maklumat, kepada kami sepanjang perjalanan ke mana saja. Alhamdulillah syukur padaMu ya Allah. Tidak akan dapat terjadi apa pun, melainkan dengan keizinannua Mu jua, biiznillah. Laahawlawala quwwataillah billah hil aliyyil aziimm.

Saturday, December 9, 2023

UNIVERSITAS NEGERI MEDAN (UNIMED)

 


Day 4
4 Disember 2023   
Kolaberasi PSMCK dengan UNIMED (Universiti Negeri Medan)

Kami sarapan awal di Fave Hotel. Tepat jam 8.00 pagi kami sudah bertolak ke Universiti Negeri Medan atau lebil dikenali UNIMED. Dulunya UNIMED adalah IKIP iaitu Institut Keguruan. Pagi itu agak dingin dan keadaan lalu lintas pun aman,  lancar sehingga kami dapat sampai awal di kawasan UNIMED. Kami disambut mesra dibawa bergambar kenangan di hadapan poster yang terpampang narasumber atau penceramah dari pihak kami (PSMCK) yang akan menyampaikan kuliah umum dan kuliah parallel kepada pelajar-pelajar. 

Kami diraikan di bilik mesyuarat dengan acara perkenalan kedua-dua pihak dalam majlis serba ringkas dan bermakna. Sambil berkenalan dan bertukar maklumat kami disajikan minum pagi. Kuih ketayap memang sedap, dan satu lagi kueh popia goreng  berinti sayur pun ada rasanya. Kemudian kami diraikan dengan acara sambutan di ruang legar universiti. Kumpulan tarian mempersembahkan tarian selamat datang dengan mempersembahkan tepak sirih kepada tetamu. Kelihatan ramai yang memberikan sumbangan derma dimasukkan ke dalam tepak sirih yang dibawa penari-penari itu.

Kemudiannya diadakan kuliah paralel iaitu 5 kuliah berjalan serentak, di lima bilik kuliah, disampaikan oleh penceramah kami, Dr Ibrahim Bakar, Dr Kasri, Dr Mohamad Ali,  Dr Faisal dan Puan Susila. Memang sangat ramai dan meriah. Sesekali terdengar sorakan dan tepukan gemuruh dari siswa-siswi. Dan ramai juga yang bersuafoto dengan penceramah-penceramah  dalam bilik kuliah masing-masing.

Kemudian kami di bawa ke dewan kuliah umum untuk acara seminar. Ini acara kolaberasi, mereka menganjurkan Seminar Internasional Relasi Kedah (Malaysia) dengan Pantai Timur Sumatera (Indonesia). Papa membentangkan tajuk Kedah Zaman Awal abad ke-8 SM sehingga abad ke-8 M. Dato Shaaranai dengan tajuk ceramah Kota Seputih sebagai penceramah kedua. Seterusnya DRs Flores Tanjung, membandingkan beberapa persamaan  budaya Malaysia Indonesia. Prof Dr Ichwan Anuar dengan lancarnya membandingkan Kota China Medan dengan Lembah Bujang Kedah dari sudur arkeologi. Akhir sekali  Bapa Saparudin Barus berkongsikan topik pemerintahan Batu Bara oleh Kedatuan. Dr Ichwan menghangatkan dewan dengan lelucon perkataan bujang dalam bahasa batak membawa maksud yang kurang enak. Tapi Puan Susi terus mempertahankan bahawa itu bahasa Kedah, kami tetap menyebut bujang walaupun ada yang terus senyum.

Selepas penyampaian cenderamata, kami makan tengah hari. Lauk pauk yang disaji memang sedap dan sesuai selera kami. Kemudian satu ven kami bergegas ke bandar untuk shopping apa yang patut, satu ven lagi menunggu kami yang agak lewat kerana tanda tangan MOU pelaksanaan program pada hari ini. Walau bagaimanapun mereka juga terus ke tempat shopping kerana kami ikut Prof Ichwan ke Galeri Al Quran miliknya. Kemudian kami dihantar ke hotel terus dan kami makan malam di kafe hotel. menunya pun sedap dan puas dimakan. Alhamdulillahhh. 

Seronok tengok muzeum Pak Ichwan, dengan kerjasama Yayasan, dia ada pelajar-pelajarnya yang membantu menguruskannya secara sambilan. Bahan pameran tidaklah terlalu banyak tapi dia dapat merealisasikan  penubuhan muzeum. Dan muzeum itu dijadikan tempat membuat kajian untuk pelajarnya dari UNIMED, dan dari UIS yang berhampiran.  Jadi muzeum itu tidak pernah sunyi, amat berfunggsi dan dapat diimarahkan sebagai tempat menyalurkan bahan ilmu untuk kajian dan kerja kursus.

Akhir sekali jam 9.00 malam team kaji selidik diketuai Dr Kasri, semunya berkumpul di lobi untuk membincangkan dapatan kajian dan tugasan penulisan apabila balik ke Malaysia nanti. Papa saja yang turun kerana aku rasa sangat letih, tidak dapat berehat sepanjang siang dari pagi hingga ke petang. 

Friday, December 8, 2023

ISTANA LIMA LARAS

 

Day 3
3 Disember 2023 
Batu Bara Ke Istana Lima Laras 

Selepas sarapan kami bergerak meninggalkan Singapore City Hotel  menuju ke Istana Lima Laras. Kami telah melalui jalan-jalan kampung yang sempit dan bengkang bengkok untuk sampai ke istana. Istana  Lima Laras adalah salah sebuah istana kerajaan Melayu pesisir yang berada di Kabupaten Batu Bara, provinsi Sumatera Utara. Ia terletak di kawasan perkampungan nelayan, dibangunkan oleh Datuk Muhamad Yuda Raja kerajaan Lima Laras. 

Bangunan istana tersergam indah terdiri dari tiga tingkat, pernah menjadi tempat tinggal  keluarga diraja  Batu Bara itu. Namun keluarga itu telah diarah supaya mengosongkan dan meninggalkannya oleh pihak Belanda. Sehingga sekarang pada saat ini ia menjadi terbiar, usang, mereput dan menunggu masa rebah.

Kami disambut oleh cucu Raja yang menjadi penjaga istana itu sekian lama. Meramaikan sambutan rombongan kami ialah Pengerusi HIKABARA (Himpunan Keluarga Besar Batu Bara). Turut serta bersama kami ialah Pengerusi HIKABARA Jakarta. Kami amat bersyukur Pengerusi dan ahli-ahlinya dalam 20 orang, sungguh berbesar hati menunggu dan meraikan kami.  Kami mendengar taklimat sejarah keluarga dan sejarah istana. Rupanya waris-waris Raja bersama HIKABARA sedang mencari dana untuk membaik-pulih istana yang agak besar kos pembiayaannya. Kami doakan semoga hasrat besar itu tercapai supaya dapat melestarikan tinggalan bersejarah itu.

Selepas itu untuk memenuhi waktu ahli rombongan dibawa  menjamu mata dengan hasil kerja tangan orang tempatan Batu Bara iaitu kain songket tenun tangan. Ramai juga yang mengambil kesempatan membeli songket dan tengkolok buat kenang-kenangan pulang. 

Sudah lewat tengah hari, kami di bawa ke Restoren 100 untuk jamuan tengah hari. Selepas makan berlansung ucara sambutan yang diserikan dengan ucapan Pengerusi HIKABARA, dan Pengerusi PSMCK. Selanjutnya diikuti dengan sesi pertukaran cenderamata kepada kedua-dua organisasi. 

Meninggalkan Restoren itu dengan penuh kenangan kami bergerak menuju ke Medan. Niat di hati semua berangan-angan untuk shopping. Semua menyepi melayan fikiran dalam keletihan. Kami singgah di RnR untuk solat jamak takkhir zohor asar, di situ ada masjid yang agak besar. Meneruskan perjalanan di lebuh raya yang luas itu, keretanya pun banyak, hujan mula mencurah-curah. Semua berdoa agar hujan reda, namun ketentuan Allah hujan lebat berpanjangan. Jalan mula sesak dan bergerak perlahan dan hari semakin gelap, maka hasrat untuk shopping tinggal hasrat semata-mata. Semua kelihatan agak kecewa. Akhirnya hari dah malam kami terus dibawa untuk dinner di kedai Padang Resotran Sobat lagi.

Mengakhiri hari kami, kami checkin di Fave Hotel Medan untuk berehat. Semua sangat letih melalui perjalanan yang jauh sehari suntuk. Semoga dapat berehat memulihkan tenaga untuk perjalanan keesokan hari ke Universit Negeri Medan pula. InsyaAllah semoga Allah permudahkan segala urusan kami esok, Ya Allah bantu kami semog segala urusan lancar dan bermanfaat.


Wednesday, December 6, 2023

LASBELA KE BATU BARA DAN MEDAN INDONESIA 2 HINGGA 5 DISEMBER 2023

 

Day 1 
1 Disember 
Alor Setar - Penang

Jumaat jam 5.00 petang kami bertolak dari ke Pulau Pinang kerana penerbangan kami memerlukan kami berada awal di airport PP. Kami makan nasi kandar Beratur 618, kemudian terus check-in di Hotel Raia, supaya esoknya kami boleh ke airport awal pagi. 

Sebelum ke bilik masing-masing kami diberi taklimat kajian oleh Dr Kasri. Team kami akan berpecah kepada 3 kumpulan. Kumpulan A diketuai oleh Dr Ibrahim yang akan meninjau kawasan makan yang telah dikenalpasti oleh wakil tempatan. Team B diketuai oleh Dr kasri yang akan mendapatkan maklumat tentang sejarah Batu Bara dan hubungannya dengan negeri Kedah. Team C diketuai oleh Tuan Mokhtar yang bertangggung jawab melihat aspek sosio-budaya masyarakat Batu Bara. 

Encik Firdaus mengedarkan t-shirt, vest, fail, dan  hadiah-hadiah berupa sijil dan buku-buku. Semuanya kami terpaksa bawa sorang sikit untuk mengelakkan masalah Imegresen dan lebihan bagasi. Kami juga diperkenalkan kepada Pak Andy dan Thaqeef  wakil Travel yang akan menguruskan perjalanan kami di Medan.


Day 2
2 Disember 2023
Penang - Kuala Namu  -  Pagu Rawan - Batu Bara
 
Seawal jam 3.30 pagi kami telah dikejutkan oleh morning call dari petugas Hotel Raia. Selepas itu jam 4.00 pagi team LASBELA seramai  14 orang dari PSMCK, dan 2  pengurus pelancong, telah berada di Penang International  Airport  untuk penerbangan FY 5332 jam 7.00 pagi Ke Kuala Namu International Airport Medan. Untuk kemudahan kami semua menginap Di Hotel Raia tidak jauh dari airport. 

Kami diangkut oleh Firdaus ke airport dengan kenderaan pacuan 4 roda. Terima kasih Firdaus memudahkan perjalanan kami. Dalam kesejukan pagi kami dibantu oleh Pak Andy dan Thaqif travel agent untuk urus bagasi, check-in dan jam 7.00 pagi kami terus terbang ke Medan. 

Cuaca  cerah tapi mendung, dan kami selamat mendarat di Kuala Namu, lapangan terbang baru Medan, jam 9.00 waktu Indonesia alhamdulillah. Semua urusan Imegresen dan kemasukan mudah sebab semua kami telah menyiapkan QR Cod untuk diimbas. Kami disambut oleh Pak Dian wakil travel agent, sebaik keluar dari balai ketibaan. Kami diperkenalkan dengan Pak Her man tour guideyang akan menemani kami selama 4 hari.

Semasa keluar kami menuju  ke dua buah ven  yang akan membawa kami 16 orang ke Pagu Rawan, hujan renyai-renyai. Kami berpecah dua kumpulan. Jadi dua ven yang membawa kami, terus meluncur ke Restoran Sobat untuk minum pagi. Ramai yang pesan nasi lemak, ada yang makan soto dan banyak juga yang makan roti. 

Kami terus menuju  Ke Pagu Rawan, hujan semakin lebat semasa melalui lebuh raya, selepas itu semakin reda dan kami rasa lebih selesa. Namun  jalannya semakin sempit tidak boleh dilalui bas pelancong, sebab itu kami di bawa dengan ven saja. Di kiri kanan jalan sehingga ke Bandar Khalifah,  kelihatan rumah-rumah orang kristian. Di pertengahan jalan kami terpaksa turun berjalan kaki kerana jambatan sedang dibaiki dan jalanya licin dan sempit beralaskan papan. Salah seorang ahli kami tergelincir dalam selut, amatlah malang baginya, namun dapat diuruskan dan kami meneruskan perjalanan.

Selepas itu, mendekati ke Batu Bara di kiri kanan jalan sudah kelihatan rumah-rumah masyarakat orang Islam. Sesekali kelihatan masjid-masjid yang cantik-cantik juga. Corak lanskap juga sudah kelihatan seperti mendekati Kuala. Alhamdulillah kami selamat sampai di Kampung Pengkalan Cempedak Pagu Rawan, disambut oleh wakil tempatah cik Halimah Sakdiah dan masyarakat tempatan. 

Kami dibawa ke rumah Halimah, rumah dua tingkat, di tingkat bawah rumah dan tingkat atasnya sekolah agama dan tahfiz. Kami disediakan jamuan tengah hari. Lauknya segala macam makanan laut, udang tumis cili, shellout sotong, siput, kteam rebus dan ikan siakap panggang yang segar-segar. Banyak juga kuih muih yang disajikan, semuanya sama dengan kuih muih yang kita ada di kedah. Antaranya kueh karas, kueh lapis, bengkang, bubur dan bubur lambuk, cuma bubur lambuknya sedikit pedas, Hari ini masyarakat tempatan buat kenduri menyambut kedatangan  kami. Sungguh ramai. Selepas makan dan solat diadakan pula acara sambutan untuk rombongan kami di satu arena, khas berkemah tak jauh dari rumah Halimah.

Acara sambutan dihadiri ramai penduduk dan diserikan lagi dengan kehadiran Pak Camat dan Ketua POLSEK. Dimulakan dengan silat oleh kanak-kanak sekolah dasar. Mereka kelihatan lincah dan yakin menggayakan silat sambutan. Kemudian diserikan lagi dengan berbalas pantun dan akhirnya digemuruhkan dengan acara tarian yang berwarna-warni lagi lemah gemalai.

Acara dimulakan dengan ucapan Pak Camat Medang Deras. Beliau mengucapkan syukur dan melahirkan rasa gembira atas kesudian kami bertandang ke tempatnya, dan berharap kerjasama akan diteruskan pada masa-masa akan datang. Pihak PSMCK diwakili Pengurusinya Dr Ibrahim memberi ucapan balas mengucapkan jutaan terima kasih atas kesudian merai, menyambut, membantu dan melibatkan diri sama-sama dalam menjayakan kajian. Acara dimeriahkan lagi dengan upacara pemberian cenderamata kepada yang terlibat sebagai tanda terima kasih dari kami. 

Kemudian team Dr Ibrahim telah bergerak ke lapangan untuk mencari makam-makam. Ada yang naik kereta, bersama Pak Dian dan Ibu Halimah. Ada yang bermotorsikal kerana jalan ke makam agak sukar dan sempit. Dan ada satu makam mereka terpaksa naik bot kerana tiada jalan dan terletak di tepi kuala sungai. 

Sementara kami yang tinggal mengadakan open-forum untuk mendapatkan maklumat sejarah dan  budaya serta hubungan masyarakat melayu Pagu Rawan dengan Kedah. Moderatornya Tuan Mokhtar bersama  Dr Kasri dan Dr Mohd Ali cuba mencungkilkan perkara tersebut dengan mengemukakan pelbagai soalan untuk merungkaikan persoalan. Team penyelidik pula mencatat mana-mana yang perlu seta merakamkan foto untuk dokumentasi kajian kami. 

Lebih kurang jam 5 petang majlis selesai, penduduk bersurai dan kami pun meninggalkan majlis semasa azan asar sedang berkumandang. Kami bergerak perlahan, di celah-celah jemuran ikan kering di sepanjang jalan untuk keluar ke jalan besar menuju ke Batu Bara. Kami sempat berjumpa Team A yang masih belum selesai tugas. Mereka akan ke satu lagi makam yang terpaksa menggunakan bot. Kami meninggalkan team A menuju ke Batu Bara terlebih dahulu.

Dalam ven semua menyepi, barangkali terlampau letih dan mengantuk sebab perjalanan kami bermula sejak  jam 3.30 pagi lagi, bermula di Raia Hotel di Pulau Pinang untuk kami dapat terbang jam 7.00 pagi ke Medan. Dari Pagu Rawan jalan sangat sibuk petang itu. Kononnya lebuhraya ini laluan ke semua bandar besar, jadi banyaklah lori dan pelbagai kenderaan keci besar  berpusu-pusu ke destinasi masing-masing. Akhirnya kami sampai di Singapore City Hotel Batu Bara, setelah 2 jam di perjalanan, ketika azan maghrib sedang berkumandang. 

Selepas makan malam kami berhimpun di lobi. Dr Ibrahim membuat rumusan dapatan kajian yang di temui di situs makam yang telah dikunjungi. Laporang lanjut akan disediakan oleh team yang bertugas. InsyaAllah, mudah-mudahan ia bakal menjadi ilmu yang bakal membawa manfaat kepada bangsa dan agama..