Saturday, December 9, 2023

UNIVERSITAS NEGERI MEDAN (UNIMED)

 


Day 4
4 Disember 2023   
Kolaberasi PSMCK dengan UNIMED (Universiti Negeri Medan)

Kami sarapan awal di Fave Hotel. Tepat jam 8.00 pagi kami sudah bertolak ke Universiti Negeri Medan atau lebil dikenali UNIMED. Dulunya UNIMED adalah IKIP iaitu Institut Keguruan. Pagi itu agak dingin dan keadaan lalu lintas pun aman,  lancar sehingga kami dapat sampai awal di kawasan UNIMED. Kami disambut mesra dibawa bergambar kenangan di hadapan poster yang terpampang narasumber atau penceramah dari pihak kami (PSMCK) yang akan menyampaikan kuliah umum dan kuliah parallel kepada pelajar-pelajar. 

Kami diraikan di bilik mesyuarat dengan acara perkenalan kedua-dua pihak dalam majlis serba ringkas dan bermakna. Sambil berkenalan dan bertukar maklumat kami disajikan minum pagi. Kuih ketayap memang sedap, dan satu lagi kueh popia goreng  berinti sayur pun ada rasanya. Kemudian kami diraikan dengan acara sambutan di ruang legar universiti. Kumpulan tarian mempersembahkan tarian selamat datang dengan mempersembahkan tepak sirih kepada tetamu. Kelihatan ramai yang memberikan sumbangan derma dimasukkan ke dalam tepak sirih yang dibawa penari-penari itu.

Kemudiannya diadakan kuliah paralel iaitu 5 kuliah berjalan serentak, di lima bilik kuliah, disampaikan oleh penceramah kami, Dr Ibrahim Bakar, Dr Kasri, Dr Mohamad Ali,  Dr Faisal dan Puan Susila. Memang sangat ramai dan meriah. Sesekali terdengar sorakan dan tepukan gemuruh dari siswa-siswi. Dan ramai juga yang bersuafoto dengan penceramah-penceramah  dalam bilik kuliah masing-masing.

Kemudian kami di bawa ke dewan kuliah umum untuk acara seminar. Ini acara kolaberasi, mereka menganjurkan Seminar Internasional Relasi Kedah (Malaysia) dengan Pantai Timur Sumatera (Indonesia). Papa membentangkan tajuk Kedah Zaman Awal abad ke-8 SM sehingga abad ke-8 M. Dato Shaaranai dengan tajuk ceramah Kota Seputih sebagai penceramah kedua. Seterusnya DRs Flores Tanjung, membandingkan beberapa persamaan  budaya Malaysia Indonesia. Prof Dr Ichwan Anuar dengan lancarnya membandingkan Kota China Medan dengan Lembah Bujang Kedah dari sudur arkeologi. Akhir sekali  Bapa Saparudin Barus berkongsikan topik pemerintahan Batu Bara oleh Kedatuan. Dr Ichwan menghangatkan dewan dengan lelucon perkataan bujang dalam bahasa batak membawa maksud yang kurang enak. Tapi Puan Susi terus mempertahankan bahawa itu bahasa Kedah, kami tetap menyebut bujang walaupun ada yang terus senyum.

Selepas penyampaian cenderamata, kami makan tengah hari. Lauk pauk yang disaji memang sedap dan sesuai selera kami. Kemudian satu ven kami bergegas ke bandar untuk shopping apa yang patut, satu ven lagi menunggu kami yang agak lewat kerana tanda tangan MOU pelaksanaan program pada hari ini. Walau bagaimanapun mereka juga terus ke tempat shopping kerana kami ikut Prof Ichwan ke Galeri Al Quran miliknya. Kemudian kami dihantar ke hotel terus dan kami makan malam di kafe hotel. menunya pun sedap dan puas dimakan. Alhamdulillahhh. 

Seronok tengok muzeum Pak Ichwan, dengan kerjasama Yayasan, dia ada pelajar-pelajarnya yang membantu menguruskannya secara sambilan. Bahan pameran tidaklah terlalu banyak tapi dia dapat merealisasikan  penubuhan muzeum. Dan muzeum itu dijadikan tempat membuat kajian untuk pelajarnya dari UNIMED, dan dari UIS yang berhampiran.  Jadi muzeum itu tidak pernah sunyi, amat berfunggsi dan dapat diimarahkan sebagai tempat menyalurkan bahan ilmu untuk kajian dan kerja kursus.

Akhir sekali jam 9.00 malam team kaji selidik diketuai Dr Kasri, semunya berkumpul di lobi untuk membincangkan dapatan kajian dan tugasan penulisan apabila balik ke Malaysia nanti. Papa saja yang turun kerana aku rasa sangat letih, tidak dapat berehat sepanjang siang dari pagi hingga ke petang. 

No comments:

Post a Comment